Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 10

Yasmin Qawlah Azwar

Meneka bayang di dalam samar

"Tak kira, sama ada melalui udara, lautan atau darat, semua team MyJebat kena bertindak serentak dan bersatu. Misi dan operasi kita kali ni, bukan calang-calang. Kita kuasai langit, tapi tersesat barat di darat, musibah kita terima nanti berat! Kita mengaum di hutan tapi kita terkapai-kapai di lautan, pun tak guna! Musuh akan datang macam taufan, gulungkan kita dan benamkan team ni terus ke dasar! Semua kena bergerak serentak. Satukan maklumat dari udara, lautan dan darat. Faham. Ini teamwork. Ini bukan misi nak kejar pingat."

Sewaktu skrin masih bercahaya putih dan mendesah bunyinya, Tedung tiba-tiba memberi taklimat. Amat berkias tetapi maksudnya jelas. Kami semua tegak mendengarnya.

"Selamat datang, Zeus! Apa maklumat yang ada?"

"Kita cuba pintas kod rahsia Prince Joni dari Hong Kong. Dia selalu guna telefon satelit. Kita bergerak guna chameleon kita. Kena yakin. Kita mampu kacau-bilaukan komunikasi pada frekuensi all band all mode. Tapi tempoh waktu yang sesuai 12 malam sampai empat pagi aje."

"Maknanya kita bergerak selepas 12 malam?"

"Ya, bos."

"Sekarang DA makin mengganas. Semua yang dekat dengan dia, akan terlibat cara tak sedar dalam isu ini. Dr. Ivan, pakar plastic surgery pun antara yang akan digunakan nama sebagai pemegang duit yang ditarik oleh Prince Joni. Makin lama makin besar rangkaian tali barut Prince Joni. Modus operandinya mudah, bagi peluang projek, kemudian terus cucuk hidung. Jadi lembu masing-masing."

Aku yang di sebelah Dato Khan mendengar setiap butir penerangan Zeus. Telinga aku jenuh dicapangkan. Menyaring makna kata-kata Zeus. Bukan tak faham tapi perbualan Zeus dengan Dato Khan serius berdengung. Kadangkala macam bercakap dalam air. Sesekali timbul bunyi blup blup blup. Kemudian macam bunyi angin mendesah.

Aku cuba mengamati susuk lelaki ini. Nampak berbalam-balam. Muka pun memakai topeng hitam. Cuma nampak mulut dan biji mata saja. Aku tahu suaranya pun memang sudah diubah suai. Tentu itu bukan suara sebenar Zeus. Memang hebat sungguh bos kami menyorokkan identiti Zeus.

Bersama-sama team Tedung, banyak benda aku belajar. Antara yang selalu disebut bos besar aku ni. "Kadang-kadang kita rasa kita tahu banyak benda, padahal yang betulnya, banyak benda kita tak tahu. Kadang-kadang kita rasa kita kenal semua orang, yang betulnya, kita tak kenal langsung peribadi sebenar orang tu. Kita ni selalu rasa-rasa. Kita rasa kita dah cukup licik, tapi kita lupa, ada orang lain lebih tangkas dari kita."

Suara berdengung Zeus tiba-tiba melengking, mengejutkan kami semua.

"Tapi kita tetap kena berawas. Kita tak boleh takbur, confident misi kita lancar sempurna. Ini blueprint Sorga Nefertiti. Banyak pintu rahsia, banyak lorong tersembunyi. Jangan lupa, tahap keselamatannya juga bukan calang-calang."

Terkagum aku memandang skrin. Berselirat rupanya laluan bawah tanah umpama terowong kecil di kediaman rasmi DA. Malah ada yang umpama lubang tikus, hanya muat-muat manusia dewasa dengan ketinggian sederhana untuk menyusur masuk. Aku terus teringat gambaran terowong rahsia yang banyak bersepah di Berlin, Jerman, peninggalan Hitler.

"Ada maklumat baru, saya inform. Roger out."

Kelibat Zeus hilang dengan pancaran kilat yang menerpa skrin. Pedih mata aku tak semena-mena.

"Okay, team Cobra jadi unit peninjau. Kami akan pantau dan beri isyarat. Line clear aje, Yasmin kita gugurkan. Guna HAHO, High Altitude High Opening, terjun di sekitar kawasan tasik di belakang kawasan target. Awas, tasik tu memang ada buaya belaan DA. Ada kawasan yang dia tempatkan burung kasawari, burung unta dengan angsa-angsa. Kami akan kacau semua tu. Akan ada frekuensi tinggi ganggu binatang peliharaan ni semua. Akan riuh-rendah masa tu. Kami akan cuba lepaskan sawa albino yang dibela dalam kandang berdekatan. Kita bikin havoc untuk alih perhatian. Kemudian Yasmin menyusup masuk, guna taktik HALO.

High Altitude Low Opening ke bilik kebal dia. Kedudukan fail merah akan kita beritahu nanti. Faham?" Tedung memberi penerangan panjang lebar. Aku yang rasa tersentak-sentak tapi muka maintain berani.

Tegak aku duduk mendengar penerangan Tedung. Tiba-tiba terasa bahu aku dihempuk dengan tugasan yang bukan calang-calang. Kena terjun dalam tasik, kena menyusup masuk bilik kebal. Sebelum tu nak kena bergasak dengan segala jenis burung... Huhu... Lengan aku tumbuh bulu pelepah!

"Faham, bos!" Kami menyahut serentak.

"Yasmin, faham?"

"Faham!"

"Studi dan kaji peta Sorga Nefertiti ni."

"Ya, bos!"

"Standby. Tunggu arahan bila operasi ni bermula," tukas Tedung sebelum melepaskan kami semua kembali ke station kerja masing-masing.

"Baik, bos!"

Laju mulut aku menjawab. Muka berlagak kering tak ada perasaan tapi emosi aku sebetulnya kacau-bilau. Huh, sebelum jumpa musuh, redah jumpa ternakan dan binatang eksotik belaan Si Adnan!

Dan tak dapat tidak, fikiran aku melayang teringatkan Ziyad!

Kalaulah aku boleh cekak leher Si Ziyad, mahu aje aku tanya. "Apa masalah bos kau? Menjahanamkan bangsa dan negara sendiri."

"Jaga pergerakan. Sistem Sorga Nefertiti bukan calang-calang. Sini... Ikut aku!" Tiba-tiba Tedung mengajak kami menuju ke Bilik Kesatria. Sebelum boleh melepasi kamar itu, kami harus melalui scan seluruh tubuh. Di skrin kecil terpampang tengkorak kami, mencapah ke anak mata, sehinggalah ke hujung kaki. Lengkap ketinggian dan 10 cap jari tangan dan kaki kami terpampang. Selesai prosedur baru kami mengambil tempat di Bilik Kesatria.

"Semua sila fokus." Dato Khan tiba-tiba mengambil tempat kerusi utama. Meja hidraulik menaikkan sesuatu.

Kami terpaku memandang.

"Sorga Nefertiti!" Mulut aku menyebut perlahan. Semua yang ada di bilik itu pegun sesaat. Di hadapan kami kini model kediaman rasmi DA.

Kemudian Dato Khan tanpa berlengah memberi taklimat. Memberitahu kami laluan-laluan yang bahaya.

"Ada bilik kebal di aras bawah tanah. Di situ tersimpan fail merah."

Aku meneguk liur yang kesat. Aku memandang team Cobra. Semua sudah menjadi tugu. Bukan takut. Tapi aku yakin, mereka sama seperti aku, tak mahu ada satu kesilapan pun di sini.

"Ingat tanda-tanda ini..." Kami memandang model istana kediaman DA itu.

"Di sini... Di kawasan belakang ini, sebelum sampai ke kawasan tasik, ada banyak bobby trap. Nampak saja macam semak-samun, penuh belukar kecil. Tapi awas. Kalau kita terlanggar, tersentuh sikit, kita mengaktifkan tujuh lapis sekuriti kediaman ni."

Aku memandang kawasan yang ditunjukkan Dato Khan sambil mengetap bibir. Geng Cobra saling pandang memandang dan angkat kening.

"Semua bodyguard dan penjaga kawasan Sorga Nefertiti bukan calang-calang. Mereka terlatih secara komando dan gerila. Ada yang pernah dapat latihan di Fort McPherson, militari base di Atlanta Georgia, Amerika. Jadi mereka bukan calang-calang."

Entah kenapa aku terus terkilas Ziyad! Ah, itu tentu engkau Ziyad. Dendam dan amarah aku semakin bernyala-nyala. Tak terucap benci aku pada lelaki yang sanggup menjadi penjilat perosak bangsa. Kalaulah ada peluang, mahu aje hadiahkan kasut bertumit runcing pada muka lelaki itu sebelum aku ludahkan!

Dasar keparat penjahanam bangsa. Harapkan tubuh saja segak kekar, namun semangat penuh racun dan bertoksik!

Mengenangkan Ziyad, hilang rasa gentar aku untuk meredah Sorga Nefertiti. Seluruh tenaga bagai sudah bersiap siaga untuk merempuh dan menghadapi segala kemungkinan. Ini satu perjuangan. Semoga Tuhan mempermudahkan urusan kami.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro