Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 1

Azwar Ashraf

Anak, di sangkar dadamu, berdegup jantungku

AlhamdulillaH! Alhamdulillah! Nikmat Tuhan mana yang patut aku dustakan?

Perkara yang paling melegakan aku apabila masalah merebut Yasmin dari bekas isteri aku perlahan-lahan kian reda. Tiada lagi saat-saat yang berantakan antara aku dengan ibu Yasmin. Sejak Yasmin lolos dan kabur, aku rasa ibu Yasmin semakin menerima hakikat, kasih anak bukan boleh dipaksa jauh sekali untuk dibeli jiwanya.

"Kau jangan lupa, Azwar! Yasmin tu cuma benih kau. Aku yang mengandung, aku yang termuntah-muntah, aku yang sakit satu badan bawa perut sembilan bulan sembilan hari. Kalau terpaksa, aku sanggup cincang kau, Azwar. Aku boleh cari suami bila-bila masa. Suami boleh bertukar, anak tak ada ganti. Kau ingat itu, Azwar!"

Aku diam tanpa menjawab kata-kata amaran ibu Yasmin. Perempuan ini apabila marah, dia bagai ternampak-nampak syaitan dan iblis membawa api neraka marak pada mata, pada lidah dan pada wajahnya itu.

"Kau rampas Yasmin, aku buatkan hidup kau sengsara." Dia masih menggila dan menggertak.

"Sekarang pun aku dah sengsara. Kau puas hati, kan? Kau menang."

"Kau belum mati. Aku teringin nak dengar khabar kau mati perlahan-lahan. Kau rasa sakit mati tu lambat-lambat. Kau bayangkan kuku kau dicabut satu-satu, kulit kau disiat kemudian muka kau ditoreh, belakang kau dihiris. Aku nak macam tu, Azwar!"

Aku tak sanggup mendengarnya, aku terus mematikan talian telefon. Aku tahu, tak guna aku layan perempuan psiko itu. Terkumat-kamit aku beristighfar. Menenangkan perasaan sendiri. Tak mengapalah. Allah s.w.t ada untuk aku mohon perlindungan. Itu perbualan kami yang terakhir dua tahun sudah. Selepas itu semuanya senyap. Aku rasa perempuan itu sudah berputus asa.

Sebelum aku menutup mata, aku hanya ingin melihat kejayaan Yasmin. Aku tahu dia anak yang keras hati. Menurun perangai ibunya. Tapi aku yakin, roh srikandi Islam Qawlah Azwar meresap dalam jiwanya. Memang itu niat aku tatkala memberi nama Yasmin Qawlah Azwar buat satu-satunya zuriat aku ini.

Apatah lagi Yasmin ini keras hatinya. Memang dia memberontak tatkala kami bercerai. Melihat ibunya bernikah lain, menambah luka dalam hatinya.

Yasmin semakin berdikari dengan pertolongan Raid. Namun aku tak boleh alpa. Aku pasti, ada saja cubaan dilakukan bagi memastikan Yasmin kembali ke pangkuan mamanya.

Mujur aku ada Raid yang banyak membantu. Aku percaya, lama-kelamaan Yasmin akan semakin faham mengapa aku ambil tindakan ini. Tentunya dia semakin mengenali Raid. Aku hanya mampu berdoa. Apa jua takdir yang melintang lalu membujur patah untuk Yasmin, biarlah yang membawa kebahagiaan hakiki untuknya.

Aku terasa sedikit tenang, pulih dan kembali segar berbanding dahulu. Aku percaya aku harus kuat semangat dan bangkit. Setidak-tidaknya untuk Yasmin. Pada Yasmin tergantung nyawa aku. Aku dah tak ada sesiapa di dunia ini kecuali Yasmin dan beberapa sahabat yang dipercayai. Aku tak mengejar kekayaan, cukuplah dengan sedikit bekal untuk hidup. Selebihnya aku mahu bersiap-siap kalau aku dijemput pulang oleh Tuhan.

Biarpun aku dengan Yasmin ada ketikanya terasa amat berjarak dan berbalam, tapi aku yakin doa dan kasih sayang aku sentiasa bersatu di kalbu Yasmin.

"Abah larat ke nak memandu tu?"

"Boleh. Abah bawa perlahan-lahan. Tak ada apa yang nak dikejar. Setakat nak jengah kebun durian tu."

"Yasmin temankan, ya. Nanti Yasmin mintak izin keluar. Pukul empat petang Yasmin ada training. Yasmin tinggalkan abah di kampung. Selesai urusan semua, Yasmin jemput abah semula." Bersungguh-sungguh dia menawarkan khidmat.

"Abah boleh pergi sendiri. Kalau duduk saja, tak bergerak, tak boleh juga. Makin sakit nanti."

"Risau Yasmin..."

Aku sebenarnya dapat membaca apa yang tersirat dalam hati Yasmin tapi seperti yang selalu aku pesan pada dia, serahkan keyakinan kita pada Allah s.w.t.

"Abah cuma nak tengok Herman dengan Zali sulamkan kebun tu dengan anak pokok baru. Lepas tu nak bagi jadual meracun dengan jadual tabur baja. Sekarang ni pula banyak monyet, banyak tupai dengan keluang dekat kebun tu. Ada aje yang rosakkan anak durian. Dalam 40 batang anak pokok baru punah bila kena sondol dengan babi hutan."

Aku dengan jujur menyenaraikan jadual aku kalau ke kampung. Memang ada beberapa perkara aku harus uruskan pada rumah dusun aku itu.

"Banyaknya dah buat tu..."

"Buat sikit-sikit. Pagar keliling pun nak kena betulkan. Sejak banjir dulu, tak sempat lagi abah nak betulkan."

"Abah kalau ada apa-apa abah beritahu, ya. Kalau tak dapat contact Yasmin, tinggalkan aje mesej. Tapi Yasmin bimbanglah... Abah drive sendiri. Takut abah punya darah tinggi naik masa memandu."

"Insya-Allah, tak ada apa-apa."

"Abah jangan pula ajak Herman dengan Zali pergi makan nasi gunting dengan sup tulang dekat kampung. Nanti mencanak darah tinggi."

"Hahaha, kalau abah pergi sana, Herman nanti buatkan abah air misai kucing." Aku tertawa kecil sambil terbatuk-batuk.

"Itu... Abah tak sihat lagi tu."

"Boleh. Yasmin ni fikir macam-macam. Kalau masalah datang, Allah tak minta kita fikirkan jalan keluar sehingga penat. Allah minta kita sabar dan solat." Aku cuba melunakkan perasaan Yasmin.

"Yasmin rasa tak sedap hati."

"Yasmin terlebih menghayati kerja ni... Dah bidang kerja Yasmin macam tu. Jangan fikir bukan-bukan." Semenjak Yasmin dalam latihan, perwatakannya menjadi semakin ampuh dan teguh.

Cuaca cerah, langit terang-benderang, aku memandu santai sahaja untuk menghala ke kampung. Aku menjangkakan sejam setengah mungkin aku akan sampai. Awal memandu, aku baik-baik aje. Macam biasa, lagu-lagu keroncong menemani aku sepanjang perjalanan.

Tapi entah di mana silapnya, selepas empat puluh minit memandu, aku terasa pening. Mata terasa kuyu. Macam mahu aku tongkatkan saja kelopak mata. Aku tutup pendingin hawa, aku buka cermin kereta. Biar angin luar masuk. Sebelah tangan memegang stereng, tangan kiri memicit tengkuk sendiri. Seingat aku, tak ada pula aku salah makan.

"Allahumma yassir wala tu'assir. Rabbi tammim bilkhoir. Birohmatikaya arhamarrohimin."

Bibir aku basah dengan zikrullah ini. Ya Allah! Kau permudahkanlah urusan aku!

Entah apa yang tak kena, aku seperti mabuk dan mamai tak semena-mena. Macam sukar aku bernafas.

Tiba-tiba keting dan betis aku terasa kejang. Urat terasa menyentap. Sakitnya bagai terkena simpul biawak. Allahu! Aku cuba bertenang. Mujur keadaan jalan agak lengang.

Tatkala melewati kawasan yang agak berselekoh, aku terkejut dengan bunyi yang kuat seolah-olah kereta sedang membuat drift. Bunyi enjin itu betul-betul di belakang aku. Aku jadi tergamam apabila kereta berwarna putih bercermin gelap itu memintas kereta aku secara zigzag.

Apabila di hadapan aku, tidak pula dia memecut. Sengaja membiarkan aku mendahului dan dia pula mencucuk-cucuk aku dari belakang.

Berulang kali aku beristighfar. Bunyi bingit enjin mengaum amat mengganggu, dia kembali menghimpit sebelum cahaya terang memancar menyerkup cermin hadapan aku. Silau cahaya putih seperti flash kamera yang bertalu-talu itu menyimbah pemandangan aku.

Kucar-kacir aku memandu.

Aku tak mampu mengelak. Kunang-kunang bergemerlapan di mata aku. Entah ke kanan, entah ke kiri hala kereta. Bersimpang-siur jadinya. Alih-alih hentakan yang amat dahsyat dan bunyi dentuman kuat menghentikan kereta aku.

Dada dan muka aku tertolak ke hadapan sebelum muka tersembam pada stereng. Allahu. Airbag yang terkeluar membuat dada aku terasa senak. Kaki aku terasa tersepit dengan dashboard.

Cermin mata aku memang hancur terus terkena hentakan airbag. Aku cuba memandang ke cermin tingkap belah kiri. Tergamam aku memandang besi penghadang jalan sudah terjulur dan menembusi tingkap yang kacanya pecah seribu.

Segala-galanya berlaku sekelip mata. Aku tidak mampu membuka mata. Masih terasa pening. Bau hangit muncul perlahan-lahan. Hanya Allah yang tahu perasaan aku masa itu.

Aku semakin pening dan larut dalam keadaan badan yang semakin mengejang menahan kesakitan. Terasa ada darah meleleh dari kepala.

Allahu... Semua terjadi sangat pantas. Aku dapat rasakan kaki aku semakin panas dan bahang. Asap mulai keluar dari enjin.

Tuhan, berapa jarak agaknya antara hidup dan mati aku? Mungkin maut bakal menjemput selepas satu denyut jantung ini.

Aku semakin tak berdaya untuk bertahan. Ya Tuhan, inikah geruh yang kau kirimkan dalam hati Yasmin? Aku terus teringat Yasmin yang melarang aku memandu sendirian.

Aku menggunakan nafas-nafas terakhir ini untuk mengucap kalimah syahadah. Sesungguhnya mati itu benar, alam barzakh itu benar, siratul mustaqim itu benar, syurga dan neraka itu jua benar.

Aku terus terpejam. Sayup-sayup aku terdengar suara parau lelaki memberi arahan.

"Pak Cik Azwar! Bangunlah!"

Bunyi derap kasut menerpa ke arah aku.

"Abah! Abah!"

Aku cuba buka mata tapi tak berdaya. Tuhan, kalau ini garis pemisah antara dunia dan alam barzakh aku, ampuni aku.

"Abah!!!" Suara Yasmin kedengaran semakin jelas.

"Yasmin, ke tepi!"

Dalam keadaan berbalam-balam, aku nampak tangan Raid kemas memegang kerambitnya.

Tali pinggang kereta yang menjerut aku dipotong mudah dengan kerambit itu. Aku rasa kaki aku semakin perit, panas dan bisa.

"Kaki tu... Tersangkut."

"Satu, dua, tiga, tarik!"

"Perlahan-lahan... Hati-hati! Tarik!"

Aku terasa tubuh aku sedikit bergoncang dan ditarik perlahan-lahan. Sakitnya bukan kepalang. Bagai lerai tulang kering aku.

"Pak cik! Bangun! Raid sini. Jangan bimbang, pak cik selamat."

Tubuh aku kemudian diheret oleh Raid serta beberapa orang yang datang berhenti membantu. Berdengung telinga aku mendengar kekecohannya. Aku terasa tubuh lembik seperti sayur.

Aku semakin terpejam sebelum satu letupan menggegarkan kawasan sekeliling kami. Telinga aku menangkap raungan Yasmin. Yang lain-lain beristighfar panjang.

Aku dapat mengagak, biar aku separa sedar. Kereta aku meletup.

Allahu! Sedetik aku terselamat dari maut.

"Abah! Abah, kita tunggu ambulans, ya." Suara Yasmin lembut memujuk.

Aku sekadar mengangguk sambil aku dipayungkan Yasmin.

"Pak cik, tenang. Cuba tarik nafas ikut hidung. Lepaskan ke mulut, perlahan-lahan... Tenangkan diri. Panik hanya akan buat darah pak cik lagi cepat mengalir." Raid memujuk. Aku cuba menyahut tapi hanya bibir terkumat-kamit. Telefon aku berbunyi. Aku tak berdaya menjawabnya. Kemudian aku terdengar. Suara Yasmin terketar-ketar.

"Hah??? Kebun abah terbakar? Bila?"

Tujuh lapis bongkah langit terasa menghempap dada aku. Tangan aku sudah terawang-awang. Bagai memberi isyarat.

"Pak cik bertenang, ya. Kita selesaikan hal pak cik dulu. Kebun di kampung biar kami uruskan."

Aku cuma mampu mengangguk. Fikiran aku bagai tersimpul mati. Urat di dada semakin sempit rasanya. Sesak aku bernafas. Aku tak mampu berbuat apa-apa. Kemudian aku terdengar lagi suara Yasmin.

"Raid, itu... Itu Ziyad, bukan? Kenapa dia dekat sini?"

"Mana?"

"Itu! Ziyad El Zamri. Apa hal dia ada sini?" Suara Yasmin jelas kedengaran cemas. "Kita selesaikan abah kau dulu."

"Kenapa dia ada dekat sini!" Nada Yasmin penuh curiga. Aku terpejam namun semuanya jelas pada pendengaran.

Kemudian bunyi deruman motor memancung segala keriuhan sekeliling aku.

Sesaat kemudian, aku terus terpejam pada lena yang paling dalam dan paling dasar.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro