Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 8

HARI terakhir di tanah Brunei Darussalam. Dingin subuh masih terasa ketika Jaja mengetuk pintu biliknya. Nyaris terlepas jatuh novel Sejati dari tangan Khadijah. Lehernya dipanjangnya ke arah pintu. Mengikut pada pola ketukan pintu Jaja, pasti hal serius dan mustahak. Penanda buku unik kambing biri-biri berwarna putih dicapai lalu diselitkan di muka surat 205. Nanti baru Khadijah sambung semula bacaannya.

Selepas itu tanpa membuang masa lagi, Khadijah bangun untuk membuka pintu. Wajah teruja bercampur cemas Jaja yang menjadi santapan mata Khadijah.

"Ada apa?"

Tidak ada jawapan, sebaliknya Jaja menarik tangan Khadijah ke ruang tamu. Di sana Macbook Jaja sedang terpasang. Skrinnya memaparkan laman sesawang Facebook.

"Aku dah jumpa Fahri. Aku dah jumpa dia. Ya ALLAH, meremang-remang bulu roma aku, Khadijah. I was so surprised. I got goosebumps everywhere."

Langkah Khadijah memang terhenti terus. Khadijah takut dia salah dengar apa yang Jaja tuturkan. Sepasang matanya tidak berkerdip memandang Jaja.

"Aku dah jumpa dia. Akhirnya aku dah jumpa dia, Khadijah." Tidak berhenti Jaja berdecit ayat yang sama. Suaranya perlahan kali ini. Meskipun perlahan, tetapi sangat lantang masuk ke dalam jiwa Khadijah. Rasa-rasanya, Khadijah tidak pandai bernafas untuk sesaat dua.

"Aku join Alumni SMKPB. Aku nampak nama dia. Tak buang masa aku terus hantar friend request. Kau pun patut cepat-cepat hantar friend request pada dia. Ya ALLAH, Khadijah... Aku happy sangat ni!"

Jaja nampak sangat teruja. Sekejap-sekejap Jaja menekup mulutnya, kemudian memandang Khadijah dengan pandangan yang sulit untuk Khadijah gambarkan. Kemudian tiba-tiba saja Jaja memegang kedua-dua belah lengan Khadijah.

"Aku rasa. No, bukan rasa lagi. Tapi aku yakin Fahri tu memang jodoh kau. Bayangkanlah, selama ni aku tak pernah tergerak hati nak join alumni SMKPB, tapi tadi aku tergerak hati. Aku scroll sekejap saja, aku dah jumpa Fahri."

Terpaku Khadijah. Bibirnya bergerak-gerak untuk berkata sesuatu, namun tidak terluah. Khadijah bimbang jawapannya salah.

"Kebetulan ni bukan sebarang kebetulan lagi, Khadijah. Ini kebetulan yang sangat indah. Semalam kau sentuh buku Saidatina Khadijah, hari ni Fahri dah muncul dalam radar hidup kau. Can't you see? ALLAH dah susun cantik-cantik jalur hidup kau."

Tidak terkata Khadijah dibuatnya mendengar hujah Jaja. Jaja terlalu yakin, sedangkan Khadijah penuh dengan rasa ragu.

"Khadijah, ini ketentuan ALLAH. ALLAH dah hantar Fahri pada kau."

Jaja ni... Fahri belum pun lagi meluluskan permohonan hendak menjadi sahabat Jaja. Jaja sudah memberi reaksi luar biasa.

"Kalau dia bukan Fahri macam mana? Nama Fahri dalam dunia ni ramai." Setelah asyik terpaku tanpa suara, akhirnya Khadijah melontarkan keraguan hatinya.

Raut wajah teruja Jaja sedikit pun tidak sirna mendengar soalan Khadijah, sebaliknya Jaja memaksa Khadijah duduk di kerusi.

"Sekali tengok profile picture ni pun, aku dah boleh cam itu Fahri. Fahri bekas ketua pengawas alias ketua pelajar SMKPB." Jari telunjuk Jaja tak berhenti menunjuk ke arah gambar profil pengguna Facebook yang menggunakan nama Fahri itu.

"Jaja, dia tak tunjuk muka pun. Nampak belakang badan saja."

"Belakang badan tu milik Fahri. Mata aku ni takkan salah pandang."

Dahsyat Jaja ni. Hanya dengan mełihat belakang tubuh pun dia sudah yakin itu Fahri. Akhirnya Khadijah menarik nafas panjang. Gambar profil lelaki yang Jaja dakwa sebagai Fahri itu diteliti.

Rangka tubuhnya lebih besar berbanding Fahri yang Khadijah ingat. Lain-lain masih sama. Rambut masih hitam. Telinganya masih dua. Tangan dan kakinya pun masih dua. Tetapi itu semua adalah fakta asas untuk semua manusia.

"Khadijah, kenapa buat muka blur lagi ni? Dia memang Fahri kita. Cepat buka akaun Facebook kau dan hantar friend request."

Permintaan Jaja mudah saja, namun sangat berat untuk Khadijah laksanakan. Selagi belum ada kepastian, Khadijah tak akan sebarang menghantar permohonan menjadi sahabat Facebook lelaki bernama Fahri itu.

"Okey, tak apa. Kau tunggu dia approve friend request aku. Kemudian kita stalk FB dia. Aku akan buktikan dia ni memang Fahri kita."

Penuh bersemangat Jaja menuturkan kata-kata tersebut. Namun selepas lapan jam berlalu, semangat Jaja nampak mulai pudar. Jaja mula marah-marah pada pengguna FB yang didakwanya Fahri itu.

"Apa masalah dia ni? Kenapa sampai sekarang dia belum approve friend request aku? Geram pula hati aku ni." Keluh-kesah Jaja menarik perhatian Khadijah. Hingar-bingar suasana di Lapangan Terbang Antarabangsa Hassanal Bolkiah belum cukup menandingi keluh kesah seorang Jaja. Mereka sudah berada di lapangan terbang.

"Aku ni Jaja. Aku siap guna gambar betul. Takkan dia tak kenal aku? Siaplah Fahri tu kalau dia betul-betul dah lupakan aku. Memang aku tendangkan dia tu. Berani sungguh dia tak approve friend request aku."

Mekar senyuman Khadijah mendengar keluh-kesah Jaja. Jauh di relung hati, Khadijah ikut kecewa. Sebenarnya subuh tadi, selepas Jaja meninggalkannya, Khadijah telah menghantar permohonan menjadi sahabat Fahri. Sama seperti Jaja, permohonannya turut dipandang sepi oleh Fahri.

"Dia sibuk agaknya. Tunggulah sehari dua lagi," pujuk Khadijah, sekali gus memujuk hati sendiri.

"Aku nak buktikan aku betul depan mata kau. Ni kau dah nak balik KL. Taklah kalau tak nampak muka kau bila kau tahu aku betul."

Amboi Jaja, ada motif rupanya. Kalau beginilah keadaannya, Khadijah harap Fahri meluluskan permohonan sahabat Jaja selepas Khadijah selamat memasuki balai berlepas.

"Betulkan motif tu dulu, kemudian barulah Fahri terbuka hati nak approve friend request kau."

Sedepa muncung Jaja. Kemudian dia menarik Khadijah ke dalam pelukannya. Masa sudah suntuk. Rela atau tidak, dia perlu melepaskan Khadijah masuk ke dalam ruang balai berlepas.

"Jaga diri baik-baik. Jaga suami kau. Kirim salam pada dia. Dan jangan lupa belikan aku oleh-oleh dari oversea. Paling penting, tag aku bila kau upload gambar di Turki tu nanti."

"Baik. Kau pun sama, Khadijah. Jaga diri elok-elok. Sekarang setiap kali lepas solat, aku titipkan doa supaya Fahri jadi milik kau. Aku harap kau pun titipkan doa yang sama."

Pelukan Jaja dilonggarkan.

"Dah, jangan buat muka terkejut. Aku kawan kau dari dulu sampai sekarang. Apa yang tertulis dalam ni, aku tahu rahsianya... Walaupun kau tutup rapat." Jaja menyentuh dada Khadijah sepintas lalu.

Tunduk kepala Khadijah. Kalau dengan Jaja, rahsianya selalu bocor.

"Kalau Fahri dah approve friend request aku, aku terus inform kau. Bersiap sedia terima berita baik daripada aku."

Kali ini Khadijah pula yang memeluk Jaja. Kibaran jubah hitamnya beralun cantik, secantik hatinya yang mengharapkan Fahri lekas-lekas menerimanya dengan Jaja sebagai sahabat Facebook.

"Aku pergi dulu, Jaja."

Ah, Jaja! Dia menangis pula. Tak fasal tubir mata Khadijah ikut basah.

"Pergi masuk cepat. Nanti airport ni banjir." Jaja mengusirnya dengan cara paling sopan. Ini cara mengusir yang paling Khadijah suka. Perlahan-lahan tubuhnya dipusingkan lalu langkah diambil meninggalkan Jaja.

SEMENTARA itu, tanah Kuala Kangsar di negeri Perak masih dipanah matahari, biarpun ramalan cuaca mengatakan petang ini daerah tersebut bakal dilanda hujan. Jam baru saja menunjukkan angka 5:00 petang tepat. Petang yang redup ini tidak berjaya meredupkan hati Fahri. Hati Fahri sedang bergolak. Banyak hal yang berlegar dalam kepalanya. Dia sudah terbelit dengan masalah, dan belitan masalah itu payah untuk dirungkai.

"Fahri."

Kepalanya ditoleh ke belakang. Tubuh emaknya ada di sana. Di luar rumah pula, suara saudara-mara terdekatnya saling bertingkah. Hangat nampaknya perbincangan mereka.

"Dah siap? Kalau dah siap, kita gerak sekarang. Kalau tak gerak sekarang, mak takut kita lambat sampai. Tak elok buat orang menunggu."

Fahri membalas dengan anggukan. Lambat-lambat dia bangun. Nun di laman rumahnya, sudah tersadai lima buah kereta. Bersama langkah malas, Fahri menghampiri kereta Volkswagennya yang berada di hadapan sekali.

"Nanti Fahri singgah sekejap kat bandar. Singgah kedai semalam. Ada dua barang mak lupa beli."

Fahri memandang emaknya sejenak sebelum bersuara. Pelik mendengar permintaan emaknya. Tadi emaknya risau sangat mereka akan lambat sampai. Kalau singgah di bandar, memang sah mereka akan lambat sampai.

"Mak kata tadi takut lambat."

"Bukan lama. Sekejap saja. Fahri tak perlu turun. Biar mak sendiri yang turun."

"Barang apa lagi mak nak beli tu? Mak kata nak buat kecil-kecilan. Tapi Fahri tengok, macam besar saja. Dulang saja ada..."

"Bertunang ni kalau boleh sekali saja, Fahri. Sekali tu mak nak yang terbaik. Lagipun mak nak pinang doktor untuk Fahri. Mak mestilah buat yang paling bagus. Takkan mak nak pinang doktor secara caca marba."

Fahri mengeluh dalam hati untuk kesekian kalinya. Digagahkan juga untuk mengangguk. Emaknya sudah tua dan dia cuma ada satu emak. Kalau bukan dia sebagai anak yang menggembirakan hati emaknya, siapa lagi? Kalau ditakdirkan dia perlu terbakar ketika proses hendak menggembirakan hati emaknya, dia terima. Sebab syurga itu, di bawah telapak kaki seorang emak. 

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro