Bab 7
TIDAK sedar ada jatuhan air mata yang membasahi pipi Khadijah. 12 tahun lalu seorang Shin sudah mati. Yang wujud sekarang adalah Khadijah. 12 tahun lalu, tubuhnya teruk menerima pukulan Pak Cik Lee. Sewaktu Khadijah sedar semula, dia sudah ditempatkan di rumah kawan Pak Cik Lee jauh di Pekan Tangkak. Khadijah sendiri tidak tahu berapa lama dia pengsan.
Seminggu kemudian, dia dibawa terbang ke Kota Samarahan. Kawan Pak Cik Lee meninggalkan Khadijah sehelai sepinggang di rumah kebajikan anak-anak yatim di sana. Khadijah cuma ingat kata-kata kawan Pak Cik Lee sebelum lelaki itu angkat kaki.
"Mulai sekarang, kau bukan keluarga Lee. Duduk sini diam-diam! Kalau kau berani datang dekat keluarga Lee lagi, muka kau pecah!"
Seiring terpisahnya Khadijah dengan keluarga angkatnya, begitu jugalah dengan nama Lee Shin Li. Nama Shin, telah ditukar jadi Khadijah. Nama Shin terlalu pahit dan berat untuk dibawa. Genap usianya 21 tahun, secara rasmi Khadijah memilih Islam. Semua yang hitam, telah Khadijah tinggalkan di belakang. Cuma hari ini, setelah bersua semula dengan buku Khadijah milik Fahri, segala yang hitam itu datang menyapa semula.
"Khadijah?"
Namanya dipanggil. Terus saja buku ditangannya ditutup. Bergegas Khadijah membersihkan matanya. Khadijah tidak mahu Jaja melihatnya menangis. Malangnya sudah terlambat. Jaja sudah memeluknya, kemudian memujuknya.
"Aku tunjukkan buku tu, bukan nak kau sedih. Aku tunjuk buku tu, bukan juga sebab nak kau ingat semula fasal pak cik kau. Buku ni hak kau. Pemberian dari Fahri. Aku nak kau ingat yang manis dan indah saja."
Khadijah tahu niat Jaja baik. Cuma otak Khadijah tak mampu dikawal supaya mengingati hal yang manis dan indah saja.
"Dulu sebelum aku pindah ke KL, aku ada tolong pulangkan buku ni pada Fahri, tapi dia tak nak terima. Dia kata buku ni, dia berikan pada kau. Tapi kalau kau nak pulangkan juga, dia minta kau sendiri yang pulangkan. Bila aku cerita pada dia, yang pak cik kau dah bawa kau pindah, dia tak nak terima juga buku ni. Dia pesan, buku ni jadi hak aku kalau aku tak dapat jumpa kau semula. Sebab sekarang aku dah jumpa kau, jadi buku ni kau punya. Terpulang sama ada kau nak simpan atau kau nak cari Fahri dan pulangkan balik pada dia."
Itu dia penjelasan panjang lebar Jaja. Terangguk-angguk kepala Khadijah mendengarnya. Kemudian buku setebal 457 muka surat itu diambil lalu dipeluk dengan erat.
"Buku ni harta. Harta ni mengenalkan aku dengan peribadi Khadijah. Buku ni juga mengajar aku tentang cinta agung Rasulullah pada Khadijah. Tanpa buku ni, Khadijah depan mata kau sekarang takkan wujud. Aku hutang banyak dengan Fahri."
"Memang kau hutang banyak dengan dia. Lepas pak cik kau bawa kau pergi, dia selalu lalu depan kelas kita. Kalau lalu tu, mesti dia pandang tempat duduk kau." Jaja ketawa kecil di hujung ceritanya.
"Aku rasa dia suka kau. Sebab tu bila aku pikat dia dengan macam-macam cara, dia bolayan. Pandang aku dengan dua belah mata pun tak. Sedih tau kena tolak mentah-mentah ni."
Lebar senyuman Khadijah. Awal-awal dulu memang Khadijah dah ingatkan Jaja tentang perangai khas Fahri. Jaja yang keras kepala, nak juga mencuba nasib. Padanlah muka kena tolak mentah-mentah.
"Taklah, dia bukan suka aku. Aku ni kan pelik. Mata aku saja lain, tak sama dengan orang lain."
"Sebab 'pelik' itulah kau selalu jadi perhatian mata dia."
Aduh Jaja, merah pipi Khadijah dibuatnya.
"Aku doakan dia bahagia sekarang walau di mana dia berada."
"Aku pun sama. Dan kalau dia belum berjumpa jodoh, aku harap ALLAH bawa dia datang pada kau. Aku dah penat tengok Nizam asyik datang merayu kau balik semula pada dia."
Khadijah memukul lengan Jaja. Jaja kalau merepek, boleh tahan kalau tak dibantah.
"Jaja, kita jangan buka topik fasal Nizam lagi. Perut aku loya. Aku dah buang dia dari hidup aku."
Jaja mengekek. Walaupun dia belum pernah berjumpa Nizam, dia sudah marah dengan lelaki tersebut. Bayangkan, Nizam yang terhegeh-hegeh mengajak Khadijah bercinta. Apabila Khadijah beri peluang, tak sampai enam bulan, lelaki itu ditangkap ada skandal dengan rakan sekerjanya sendiri.
"Okey, baik. Aku tak sebut dah nama lelaki tak guna tu."
Diam-diam Khadijah mengeluh. Khadijah telah membuka lembaran baru. Dia telah meninggalkan kota Singapura, jauh daripada Nizam dan Linda. Khadijah penat dengan Nizam yang tak berhenti mengajaknya bercinta semula. Khadijah lebih penat melayan kerenah Linda yang asyik menuduhnya cuba merampas Nizam semula. Linda pernah menempelaknya di tengah ramainya orang di Orchard Road.
"I warn you, Khadijah. Stay away from Nizam. Dia sekarang hak aku. Kau tu dah ditinggalkan!"
Salah! Sebenarnya Khadijah yang meninggalkan Nizam. Bukan sebaliknya. Khadijah sejuta kali tak sudi nak bercinta dengan lelaki mata keranjang seperti Nizam.
Bahunya ditepuk. Sekelip mata kejadian di Orchard Road hilang dari kepala Khadijah.
"Fikir apa? Fikir fasal lelaki tak guna dan perempuan meroyan tu lagi?"
Bulat mata Khadijah mendengar telahan Jaja.
"Jangan nak nafikan. Aku boleh baca apa dalam kepala kau sekarang."
Ketawa Khadijah mendengar amaran Jaja. Nafas panjang dihela.
"I always thought myself to give my 'toy' to the less fortunate, Jaja."
Jaja pelik, namun perlahan-lahan otaknya dapat mencerna siapa 'toy' dan siapa 'less fortunate' yang dimaksudkan oleh Khadijah.
"And besides, real man can't be stolen."
"Wow! Bagusnya ayat kau. Aku setuju sangat. Aku yakin, Fahri tu adalah real man yang kau tunggu-tunggu selama ni."
Berkerut seribu dahi Khadijah. Nampaknya Jaja belum puas mahu menjodohkannya dengan Fahri. Masalahnya sekarang, lokasi di mana Fahri berada pun belum dapat dijejak lagi.
"Betullah. Kalau bukan dia pinjamkan buku ni pada kau, kau tak kenal Khadijah. Kau tak kenal Rasulullah dan seterusnya jatuh cinta dengan Islam. Aku ni walaupun rapat dengan kau, pun tak pernah berusaha macam apa Fahri buat."
"Eh, kau tak pergi jemput Arif? Dia touch down hari ni kan dari Bandung?" aju Khadijah setelah matanya melekat pada jam di dinding.
"Arif dah tangguhkan flight dia, sayang. Esok baru touch down."
Geli isi perut Khadijah bila Jaja memanggilnya sayang. Kenalkan, inilah Jaja. Nama penuhnya Yuhaija Dato' Yunus. Jaja teman akrabnya sejak di sekolah menengah. Jaja ini jugalah yang gila bayang pada Fahri. Cuma sekarang sudah terbalik. Terbalik sebab sekarang, Jaja suka sangat jodohkan Fahri dengan Khadijah.
"Jaja."
"Hurm..."
"Esok aku plan nak balik KL. Nak kerja sana."
"Aku ingatkan kau nak cari kerja kat sini."
"Ada hal aku nak selesaikan kat sana."
"Kau nak cari Fahri, kan?"
Fahri lagi. Jaja tu, memang nak dicabai mulutnya!
"Sebenarnya aku dah jumpa Pak Cik Lee."
Lambat-lambat Jaja memandang ke arah Khadijah. Raut mukanya seperti baru terkena histeria mendengar apa yang baru saja keluar dari mulut Khadijah.
"No. Aku tak benarkan kau balik ke sana. Macam mana kalau Pak Cik Lee pukul kau lagi? Macam mana kalau dia buat kau dengan aku terpisah lagi? Kita baru jumpa balik. Tak sampai sebulan pun lagi."
"Jaja, Pak Cik Lee bukan macam dulu lagi. Dia dah tua. Dah tua sangat."
"Dah tua sangat atau apa sekalipun, aku tak benarkan."
Khadijah menggenggam kemas jari tangan Jaja. Anak mata Jaja disorot dalam-dalam.
"Aku perlu jumpa Pak Cik Lee. Aku nak tanya dia kubur emak dengan bapak aku. Aku tak pernah ziarah kubur mereka sekali pun. Tak lama lagi Ching Ming, Jaja. Tahun ni, aku harap sangat dapat ziarah dan bersihkan kubur emak dengan bapak."
Jaja tunduk saja mendengar penjelasan Khadijah. Tidak tahu apa yang bermain dalam fikiran Jaja sekarang.
"Lepas jumpa Pak Cik Lee dan ziarah kubur emak dengan bapak kau, kau akan balik sini semula?"
Khadijah geleng kepala. Bibirnya ikut tersenyum.
"Aku akan stay kat KL. Once aku dah dapat kerja dan rumah, aku inform kau. Nanti kau boleh datang lawat aku kalau kau balik KL."
"Janji dengan aku, kalau Pak Cik Lee buat macam-macam lagi pada kau, kau mesti inform aku terus. Aku akan pastikan Pak Cik Lee tu disumbat ke dalam penjara."
"Aku janji."
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro