Bab 3
KUMAT-KAMIT mulut Shin mencarut bahasa paling kotor. Fahri itu kurang ajar. Mentang-mentang dia ketua pengawas, sesuka hati sahaja dia denda Shin. Demi Tuhan, hari ini Shin bukan sengaja datang lambat. Shin menolong emak dengan bapak tadi. Fahri yang macam sengaja cari salah Shin.
Shin perasan, sejak perhimpunan hari itu lagi Fahri seolah-olah mengawasi setiap gerak-geri Shin. Bukan sekali dua Shin menangkap Fahri meniliknya. Cara tilikan Fahri seolah-olah Shin adalah makhluk asing. Sudah banyak kali dia menangkap kegiatan Fahri, sehingga tak terhitung lagi dengan jari.
Shin tak tahu apa salahnya. Shin tak pernah terlibat dengan masalah disiplin kecuali hari ini. Itu pun bersebab, sebab yang sangat kukuh. Selama dia bersekolah di sini, mana pernah dia menimbulkan masalah.
Sewaktu melalui tempat meletak kenderaan, mata Shin melekat pada sebuah motosikal Modenas Kriss warna biru. Kenal sangat Shin dengan motosikal tersebut. Itu motosikal Fahri. Selalu sangat Shin nampak Fahri menunggang motosikal tersebut datang ke sekolah. Shin sudah hafal nombor pendaftaran motosikal Fahri.
Shin mendekati motosikal tersebut. Berdiri di sisi motosikal tersebut. Sempat mata Shin melihat sekeliling. Setelah memastikan tidak ada saksi yang berkeliaran, segaris senyuman jahat mulai nampak di bibirnya.
"Kau dengan tuan kau, sama saja. Boleh jalan dah!"
Motosikal itu ditendangnya sekali. Perlahan saja tendangan Shin. Kemudian ditendang sekali lagi. Kali ini kuat sedikit. Shin melampiaskan rasa geramnya pada motosikal itu. Lebih dahsyat lagi, motosikal Modenas Kriss itu Shin anggap Fahri. Berapi-api hati Shin.
"Geramnya aku!"
Motosikal itu ditendang sekuat hati. Sakit sungguh kaki Shin. Selepas ini, pasti kakinya bengkak. Namun dalam sekelip mata rasa sakit kaki Shin lenyap setelah motosikal milik Fahri itu mulai bergoyang dan terus tumbang. Spontan Shin menekup mulut.
Tidak sampai sepuluh saat, lebih daripada 15 buah motosikal mula berjatuhan seperti daun terup. Semuanya gara-gara dihempap motosikal Fahri yang tumbang.
Sesaat dua Shin hilang suara. Ada keringat halus yang berlumba-lumba di sekitar dahinya. Jelas cuak muka Shin. Dia menoleh ke kiri dan kanan. Kemudian belakang. Alamak, ada saksi pula yang melihat insiden tersebut. Saksi bukan sebarang saksi. Saksi yang melihat adalah Fahri sendiri.
"Shin!"
Habislah Shin hari ini! Tetapi sumpah, niat Shin cuma mahu menendang sedikit motosikal milik Fahri. Shin tak tahu keadaan boleh bertukar jadi buruk. Shin minta maaf!
DISEBABKAN insiden 18 buah motosikal tumbang dan saling bertindihan, Shin didenda membersihkan kawasan tempat letak kenderaan sekolah. Fahri sendiri yang menawarkan diri untuk mengawasi Shin sehingga dia selesai membersihkan kawasan tersebut.
"Sana ada banyak daun. Sapu."
Shin tahu dia salah, maka dia tak akan membantah. Dia menuruti segala arahan Fahri sejak tadi.
"Situ pun sama. Sapu bersih-bersih."
Ya, Shin tak akan buka mulut. Shin akan selalu bersabar.
"Shin, sini pun awak kena sapu."
Mungkin Fahri sengaja hendak menguji tahap sabar Shin. Kalau betul, sukalah Shin khabarkan yang rasa sabarnya mulai menipis.
"Cepat sikit buat kerja tu. Macam mana saya nak balik awal kalau awak buat kerja mengalahkan kura-kura berjalan?"
Shin sedang melakukan kerjanya sehabis laju dan sehabis efisien. Lagipun panas terik sekarang.
"Cepatlah! Panas ni."
Mahu saja Shin cakar muka Fahri dengan pencakar sampah tersebut. Biar muka elok Fahri penuh dengan bekas cakaran. Lagipun Fahri tu bolehlah cakap banyak, dia duduk di tempat teduh. Bukan macam Shin yang teruk dipanah terik matahari.
"Pakai ni, nanti awak lebih selesa."
Ada payung hitam yang tiba-tiba saja melindungi tubuh Shin. Sejenak Shin terpaku. Pintu hatinya sedang diketuk rasa yang disebut terharu.
"Pandang saya lagi. Cepatlah buat kerja. Cepat awak siap, cepatlah saya dapat balik. Saya belum solat zuhur ni. Kalau saya terlepas waktu zuhur, awak yang salah."
Ya, Shin mesti cepat. Emak dan bapak pun hendak keluar berniaga hari ini. Shin mahu mengikut mereka.
Sebaik sahaja tugas Shin selesai, Shin terus mengayun langkah deras mahu keluar dari kawasan sekolah. Shin mesti sampai ke rumah sebelum pukul 3.00 petang. Belum melepasi pagar sekolah, namanya dipanggil lagi oleh Fahri.
"Ada daun kering lagi ke saya nak kena sapu?"
"Semua dah disapu."
"Habis tu, awak panggil saya sebab apa?" Meninggi suara Shin. Sekarang suhu matahari membahang dan Shin mahu cepat. Fahri pula terlalu sengaja melengahkan masanya di bawah teriknya matahari.
"Saya dah cakap tadi, sekarang panas. Jadi guna ni."
Payung hitam tadi telah diserahkan kepada Shin. Hilang semua perkara negatif di dalam kepala Shin. Matanya hanya melihat Fahri.
"Jangan buat harta pula. Esok pulangkan balik. Kalau payung ni rosak sikit sekalipun, awak ganti payung baru." Begitu pesanan Fahri sebelum lelaki itu kembali ke tempat meletak kenderaan di sekolah.
Shin tak sepatutnya terharu tadi. Shin sepatutnya sudah cukup jelas dengan perangai tidak ikhlas Fahri. Payung hitam pemberian Fahri, disimpan di dalam beg. Shin tak sudi nak guna. Fahri bukan ikhlas pinjamkan payung tersebut kepadanya.
Shin sampai di rumahnya lambat sepuluh minit dari waktu yang sepatutnya. Belum masuk rumah, Shin sudah melihat kasut lain di depan pintu masuk. Dia juga mendengar suara lantang seorang lelaki memarahi bapak dengan emak.
Hilang nafas Shin sejenak. Sudah lama dia tidak melihat muka Pak Cik Lee. Semenjak bapak dengan emak memilih pindah keluar dari rumah pusaka keluarga. Sekali gus keahlian bapak dan emak sebagai anak lelaki kedua dan menantu perempuan keluarga Lee dilucutkan.
Bapak dengan emak banyak berkorban untuk Shin. Mereka berdua nyawa Shin sampai mati. Shin berasa sangat berdosa setiap kali Pak Cik Lee memarahi bapak dan emak kerana dirinya. Luluh hati Shin.
"Sebab anak tak tahu usul tu, kau sanggup buang keluarga?"
Shin menahan nafas. Ayat lontaran Pak Cik Lee seperti racun.
"Aku tak tahu apa dah merasuk kepala kau orang berdua. Cakap aku sebagai ketua keluarga kau berdua bukan nak dengar! Nanti kalau jadi apa-apa, menyesal pun dah tak guna!"
Tiba-tiba pintu dibuka. Shin tidak sempat menyorok. Pandangannya bertembung dengan pandangan mata Pak Cik Lee. Kemudian Shin menundukkan kepala. Dia tak suka Pak Cik Lee. Dia tak sudi pun nak pandang muka Pak Cik Lee lama-lama.
Dahinya ditunjal dengan kuat. Shin terdorong ke belakang sebanyak dua langkah. Kemudian dahinya ditunjal lagi tanpa henti sehingga dia terperosok ke bawah rumah.
"Kau sukalah sekarang? Kau dah berjaya pecah belahkan keluarga Lee."
Shin terus menundukkan kepala. Macam mana Shin marah, Pak Cik Lee masih tetap abang pada bapak. Bapak selalu mengajar Shin supaya hormat orang tua.
"Kau tahu tak, aku dah pergi tukang tilik. Kata tukang tilik, kau ni bawa malang. Kalau kau tak pergi dari keluarga ni. Adik aku dengan isteri dia akan mati."
"Mati?" aju Shin. Kali ini dia punya keberanian untuk bertentang mata dengan Pak Cik Lee. Sepuluh tahun sudah berlalu sejak bapak dengan emak pindah keluar dari rumah pusaka keluarga Lee. Nampaknya tidak ada banyak yang berubah pada Pak Cik Lee, kecuali perutnya yang semakin boroi ke depan.
"Ya, mati. Kalau betul kau anggap mereka emak dan bapak kau, aku nak kau pergi! Aku tak nak kau tunjuk muka kau lagi!"
Kepalanya berterusan menerima tujahan keras.
"Aku tak main-main. Aku nak kau berambus. Aku nak kau 'mati' dari hidup adik aku dengan isteri dia. Kau faham maksud aku?"
Shin tidak mengangguk, tidak juga menggeleng. Sejujurnya, Shin tidak tahu mahu memberi reaksi apa-apa. Apa saja reaksi Shin, pasti membuat Pak Cik Lee semakin marah.
"Kalau kau masih dengan keras kepala kau ni..." bertubi-tubi tujahan keras mengenai kepala Shin.
"Aku sendiri akan datang ke sini dan kemudian bunuh kau. Masa tu kalau kau merayu pun, aku dah tak peduli. Jadi sebelum aku naik gila, lebih baik kau cepat-cepat angkat kaki. "
Pak Cik Lee beredar setelah selesai memberi amaran keras. Amaran yang membuatkan Shin berfikir panjang dan tidak berani masuk ke dalam rumah. Shin memilih menyorok di belakang reban ayam kampung emak.
Setelah emak dan bapak keluar untuk berniaga di pasar malam, barulah Shin masuk ke dalam rumah. Kain bajunya dikeluarkan dari dalam almari.
Shin bawa malang. Shin sayang emak dengan bapaknya. Jadi Shin tak akan membiarkan emak dengan bapak mati sebab malang yang ada pada dirinya.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro