Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 2

ISNIN. Cuaca mulai terik. Mungkin sudah mencecah 38 darjah Celcius. Berpeluh tubuh Shin. Rasanya bukan Shin seorang saja yang berpeluh satu badan, Shin yakin pelajar yang lain pun rasa apa yang Shin alami sekarang. Bukti paling dekat mestilah Jaja. Jaja kawan Shin. Perhatikan keadaan Jaja sekarang, tangannya tak berhenti berkipas.

"Panasnya! Bila perhimpunan ni nak bubar? Bila ustaz nak baca doa? Aku dah cair ni." Jaja merungut. Hari pertama mereka berkawan, Shin sudah tahu Jaja suka merungut.

Meskipun begitu, Shin suka berkawan dengan Jaja. Sebab Jaja hatinya bersih. Jaja tak kisah berkawan dengan Shin. Bukan Shin tak tahu, Jaja itu anak orang 'ada-ada' dari kota besar Kuala Lumpur. Bukan macam Shin yang tidak diketahui asalnya dari mana.

"Sekejap lagi, Jaja."

Lengannya tiba-tiba ditepuk oleh Jaja.

"Masin mulut kau, Shin. Tu ustaz dah mula nak baca doa."

Cukup lebar cara Shin tersengih. Sejenak kemudian, terdengar suara Ustaz Amri mula mengalunkan lafaz bismillah dan seterusnya doa untuk hari ini.

"Kenapa tak tadah tangan? Tangan tu berat sangat ke sampai angkuh nak bermohon dekat Allah?"

Laju Shin menoleh. Shin kenal siapa yang menegurnya. Namanya Fahri. Orang kampung Shin juga. Cuma Shin tak pernah berbual dengannya dan dia pun tak pernah tahu kewujudan Shin.

"Tunggu apa lagi?" Naik tinggi suara Fahri, tetapi Shin sedikit pun tak gentar. Tenang pandangan mata Shin membalas pandangan mata Fahri.

"Dia bukan Muslim. Sebab tu dia tak tadah tangan baca doa." Suara Jaja memberi penjelasan. Ketika Shin menoleh pada Jaja, Shin hanya mampu menggelengkan kepalanya. Nampaknya, Jaja yang baru berpindah sekolah ke sini, sudah terjerat dengan aura Fahri. Melihat pipi kemerah-merahan Jaja, sudah memberi jawapan bahawa Jaja sedang dilamun cinta.

"Awak jangan nak kelentong saya."

Shin kembali berpaling. Suara Fahri, suara orang marah. Raut wajahnya bukan main serius.

"Tak. Saya tak tipu. Nama saya Jaja. Jangan lupa tau nama saya tu. Nama kawan saya ni pula Shin. Muka dia memang tak macam Cina, tapi mak bapak dia Cina."

Senafas Jaja bercerita. Shin yang mendengar hampir tergelak. Sempat lagi Jaja perkenalkan diri pada Fahri.

Melihat raut wajah Fahri semakin bengis, Jaja menyiku Shin. Namun matanya tak pernah beralih dari memandang Fahri, biarpun Fahri tidak memandangnya. Fahri terlalu sibuk menilik Shin atas dan bawah, seolah-olah Shin adalah penjenayah yang paling dikehendaki.

"Shin, keluarkan buku latihan kau sekarang. Cepat!"

Apabila Shin lambat memberikan respons, Jaja sendiri yang menyelongkar beg sekolah Shin. Satu buku latihan milik Shin diambil lalu diserahkan kepada Fahri. Kemudian dia menyelongkar pula beg sekolahnya sendiri.

"Ni pula buku latihan saya. Tengok nama saya..." Ayat Jaja mati. Figura Fahri sudah tidak ada.

"Mana dia?"

"Dah pergi sana."

"Hah! Kenapa kau tak tahan? Alah... Aku belum tanya nama dia lagi. Kau pun satu, kenapa tak cakap sekolah ni ada pengawas yang handsome nak mampus?"

Shin menyimpan kembali buku latihannya. Selepas itu, tumpuannya kembali pada Jaja.

"Nama dia Fahri. Ketua pengawas merangkap ketua pelajar sekolah ni. Aku tak cakap sebab aku ingat mata kau dah nampak Fahri tu."

"Fahri... Wah, sedapnya nama dia. Baiklah, Shin... Mulai saat ini, detik ini, aku nak pikat Fahri tu sampai dapat."

Shin menyembunyikan gelaknya. Shin doakan Jaja berjaya dalam misinya, sebab mengikut rekod Fahri yang lepas-lepas, belum ada lagi pelajar perempuan yang berjaya dinaik taraf jadi kekasih Fahri.

Semuanya pulang dengan status ditolak mentah-mentah.

SHIN duduk ditempat duduknya. Barisan paling depan, berdekatan dengan pintu kelas. Jaja yang berada di sebelahnya seperti selalu, riuh bercerita itu dan ini. Kebanyakannya berkisar tentang Fahri. Bersungguh benar Jaja jatuh hati kali ini. Naik bosan juga Shin mendengar luahan hati Jaja. Sejak perhimpunan tamat dan hampir tengah hari ini, hanya nama Fahri yang menari-nari di bibir Jaja. Mujurlah Cikgu Ruminah yang mengajar subjek Matematik sudah masuk. Jadi, cerita tentang Fahri tergendala. Kalau tidak, mungkin boleh bernanah telinga Shin.

"Alamak, Shin! Aku belum siap kerja sekolah yang cikgu kasi semalam. Bagi aku pinjam buku kau. Ada tiga soalan lagi aku tak dapat jawab. Pagi tadi aku lupa nak tanya."

Tidak sempat Shin memberi jawapan, Jaja sudah membuka buku latihan Shin.

"Ooo... Macam tu jalan kira dia. Patutlah aku tak dapat jawapan."

"Cepatlah! Nanti Cikgu Ruminah nampak," desak Shin.

Masin lagi mulut Shin. Mata helang Cikgu Ruminah melekat pada Shin dan Jaja.

"Shin, Jaja, awak berdua buat apa tu?"

Terpelanting pen Jaja. Garang suara Cikgu Ruminah. Sebab itulah Jaja tak suka sungguh dengan subjek Matematik. Shin itu saja yang datang dari planet Pluto. Shin tu, suka sangat dengan subjek Matematik.

"Hah! Kerja tak siap, lepas tu meniru?"

Cikgu Ruminah bercekak pinggang di depan Shin dan Jaja.

"Pergi berdiri di luar sekarang!"

"Tapi, cikgu..."

"Tak ada tapi-tapi. Shin, awak pun berdiri sekali di luar tu. Tak sangka awak macam ni, Shin. Awak kasi kawan awak salin jawapan awak," bebel Cikgu Ruminah. Jari telunjuknya telah menunjuk ke arah pintu kelas.

"Minta maaf, Shin. Salah aku. Tak pasal-pasal kau terheret sama." Kesal benar suara Jaja. Cikgu Ruminah pun satu, apa salahnya dia berkompromi kali ini? Jaja bukan tiru semua, tiga jawapan saja Jaja tiru.

"Shin!" Suara layu Jaja jadi bertenaga semula. Lengan Shin digoncang berkali-kali. Bersemangat cara Jaja mahu menarik perhatian Shin.

"Apa?"

"Tu!" Bibir manis Jaja terjuih, memberikan arah pada Shin.

"Apa tu?"

"Ketua pengawas yang handsome tu!"

Shin ikut melihat arah yang sedang dilihat oleh Jaja. Memang betul, Fahri sedang berjalan ke arah mereka. Bukan berseorangan, tetapi ditemani dua orang lagi pengawas lelaki.

"Aku nak buat apa ni, Shin? Dia dah makin dekat. Aduh, kenapa baru sekarang dia nak lalu kat sini?"

Suka hati Fahri nak berjalan dekat mana pun. Jaja tu, reaksinya sangat luar biasa. Siapa yang melihat pun boleh nampak yang Jaja gilakan Fahri.

"Shin, malunya aku. Masa kita kena denda inilah dia nak lalu sini. Mana aku nak sorok muka aku ni, Shin? Jatuhlah saham aku kalau macam ni."

Pelik Shin dengan perangai mabuk kepayang Jaja. Bukan Si Fahri itu kisah pun apa yang Jaja rasa sekarang. Lagipun, bertepuk sebelah tangan tak akan berbunyi. Tepuklah sampai seratus tahun sekalipun, memang tak berbunyi langsung.

"Hai, Abang Fahri!"

Nyaris rebah tubuh Shin. Boleh pula Jaja menggatal ketika Shin masih berada di sebelahnya. Shin malu dan segan. Shin memandang arah lain. Dia kalau boleh, tak nak masuk campur urusan hati Jaja.

Setelah Fahri melepasinya, Shin berpaling pada Jaja. Melihat keadaan terkini Jaja, jelaslah Fahri telah melemparkan jampi medusa pada Jaja. Jaja sudah jadi seperti batu. Mulutnya saja yang ternganga.

"Shin, dia makin handsome! Alahai, kenapa dia handsome sangat ni? Masya-Allah, dup-dap, dup-dap hati aku ni, Shin. Macam nak meletup dah hati aku ni."

"Tak payah nak dup-dap, dup-dap sangat. Dia tu..." Jari telunjuk Shin terarah pada Fahri yang sudah berada di hujung koridor.

"Tak balas pun hai kau tadi. Sila bangun dari mimpi."

"Aku tak kisah semua tu. Esok lusa dia balaslah hai aku. Yang aku tahu sekarang, dia handsome sangat."

Shin julingkan mata ke atas. Kalah dengan semangat cinta Jaja. Harap-harap Jaja boleh bangun semula nanti sekiranya cintanya ditolak mentah-mentah.

"Kau agak-agak dia suka makan apa? Aku nak masakkan bekal untuk dia esok pagi."

Parah penyakit cinta Jaja. Tak padan dengan umurnya yang baru 16 tahun. Gatalnya tidak tertolong lagi.

"Tak payah buat semua tu. Jadi diri kau sendiri dah cukup."

"Borak apa lagi tu?"

Lantunan suara Cikgu Ruminah mengunci terus mulut Jaja dan Shin. Serta-merta Shin dan Jaja menegakkan tubuh.

Cukup 15 minit berdiri, kaki Shin mulai lenguh. Dia menyandarkan tubuhnya pada pintu kelas ketika Cikgu Ruminah leka mengajar. Kemudian dia memandang sekeliling. Selepas itu naik ke tingkat tiga.

Berhenti sekejap nafas Shin. Di tingkat tiga sana, Shin melihat Fahri. Fahri tidak tersenyum ketika ditangkap basah. Tajam mata Fahri membalas sorotannya. Seumur hidup Shin, belum pernah dia menerima renungan setajam itu.

"Kau pandang apa?"

Lari pandangan mata Shin. Sekarang pandangannya bertaut dengan Jaja.

"Jaja, bakal buah hati kau, kelas dia kat tingkat tiga. Tadi aku nampak dia kat situ. Dia duduk tepi tingkap. Dia pandang sini tadi."

"Mana? Mana? Mana? Tak ada pun."

Betullah cakap Jaja. Figura Fahri sudah tidak ada di sana.

"Kau sengaja kacau akulah tu." Sedepa muncung Jaja. Sedepa juga kerutan dahi Shin.

Kalau bukan Fahri yang Shin nampak tadi. Mungkin mata Shin sudah tertipu atau mungkin Shin melihat hantu? Meremang bulu roma Shin. Fahri telah berubah menjadi cerita seram.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro