Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 10

KHADIJAH bangun dalam keadaan mengejut. Peluh renik banyak tumbuh di sekitar dahinya. Sempat dia mengerling jam di pergelangan tangan. Kurang setengah jam lagi pesawat Boeing milik AirAsia ini akan mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

Perlahan-lahan bibirnya bergerak untuk beristighfar. Mimpi itu mainan tidur. Dan meskipun dia tahu mimpi itu mainan tidur, masih lagi mengundang resah yang panjang.

Malu Khadijah hendak bercerita tentang mimpinya tadi. Cukuplah semua tahu, dia bermimpi telah menemui Fahri. Mereka berkawan dan kemudian sepakat untuk belajar berkongsi dalam konteks sebagai suami dan isteri. Namun perkongsian itu tergendala setelah seorang lelaki tiba-tiba muncul. Lelaki yang begitu asing. Lelaki yang tak pernah Khadijah kenal. Lelaki tanpa nama dan tak tahu malu.

Khadijah gelar lelaki itu tak tahu malu sebab sikap sosialnya yang berlebihan. Dia menarik tangan Khadijah tanpa lapik. Lebih teruk lagi apabila lelaki itu marah-marah lalu membawanya pergi jauh daripada Fahri. Biarpun dia merayu minta dilepaskan, dia tetap dibawa pergi. 'Dibawa pergi' mungkin bukan perkataan yang tepat menggambarkan situasi dalam mimpinya. Perkataan yang paling tepat adalah dia diculik daripada Fahri.

Khadijah menyentuh dadanya. Masih terasa betapa deras jantungnya mengepam darah. Semuanya gara-gara terkejut. Andai kata lelaki itu wujud, dia akan lari jauh. Lelaki itu menakutkan dan mengerikan untuk dijadikan kawan.

"Are you okay?"

Seorang penumpang yang kebetulan melalui tempat duduknya menyapa. Penumpang itu lelaki. Lelaki berketurunan Tionghoa. Orangnya tinggi lampai, mungkin ketinggiannya mencecah 6 kaki. Kulitnya sawo matang, tidak seperti kelaziman warna kulit keturunan Tionghoa.

Sepasang matanya juga tidak sepet, lebih kepada bundar. Keningnya lebat dan raut wajahnya nampak cukup lelaki. Dengan pakej tubuh sasa begini, lelaki ini mampu membuat jiwa yang bergelar perempuan terpesona. Namun yang pasti, lelaki berketurunan Tionghoa ini bukan lelaki yang muncul dalam mimpi Khadijah tadi.

"Yes, I'm okay. Thank you for asking." Terangguk-angguk kepala Khadijah. Dia harap lelaki berketurunan Tionghoa ini segera beredar. Ini bukan masanya untuk berbual-bual. Hati dan jiwa Khadijah perlu ditenangkan semula.

"Tempat duduk saya selang tiga baris dari sini. In case kalau awak perlukan bantuan perubatan, saya ada kat sana."

Berkerut dahi Khadijah. Dia keliru mendengar penjelasan lelaki tersebut.

"Oh, sorry. Sebenarnya saya doktor. Doktor Jeremy Lee. You may address me Jeremy."

Nama keluarga Lee itu sangat menghentam jiwa. Sempat membuatkan isi kepala Khadijah kosong dan sejuk. Lututnya juga melonglai. Mujurlah Khadijah sedang duduk sekarang. Kalau dia sedang berdiri, pasti nampak bagaimana dia jatuh terduduk.

"Thank you, Jeremy. Saya okey."

Jeremy diam seribu bahasa. Pandangan matanya yang lembut bertukar tajam.

"You look familiar. Those eyes... I have seen it before," ujar Jeremy, cukup jauh masuk ke dalam hati Khadijah.

Khadijah melarikan pandangan. Jari-jemarinya digenggam kemas. Degupan jantungnya lebih kencang berbanding tadi.

"Tapi saya tak rasa saya pernah jumpa awak sebelum ni."

"Okey. Mungkin saya salah orang."

"Saya pun rasa awak dah salah orang. Saya tak pernah jumpa awak."

Senyuman Jeremy cukup lebar. Masih tidak ada tanda-tanda dia akan beredar semula ke tempat duduknya.

"Mak cik saya stay di Bandar Seri Begawan. Saya pula bekerja di Gleneagles. Jadi saya memang selalu berulang dari Brunei ke KL dan KL ke Brunei."

Khadijah tak tanya pun. Jeremy terlalu murah hati pula bercerita. Dia mula diserang rasa tidak selesa. Bukanlah Khadijah sombong. Cuma disebabkan keramahan Jeremy, mereka menjadi tumpuan berpasang-pasang mata. Lagipun soalan Jeremy tadi masih berlegar dalam kepala Khadijah.

"Saya nak panggil awak apa ni? Dari tadi saya tunggu awak beritahu saya nama awak."

Khadijah belum bersedia berkongsi cerita dengan seorang lelaki yang belum dikenali secara mendalam. Apatah lagi nama keluarga lelaki ini Lee. Nama keluarga Lee seperti arus elektrik 10,000 voltan.

"Khadijah." Bibir Khadijah sudah menderhaka.

"Nice name. Sesuai dengan personaliti awak." Senyuman Jeremy menyapanya dan selepas itu, dia membuat Khadijah menarik nafas lega dengan meminta diri.

"Saya tak nak kacau awak lagi, tapi kalau ada apa-apa, saya ada kat sana." Jeremy menunjukkan arah tempat duduknya. Kemudian tanpa menunggu reaksi balas Khadijah, dia melangkah pergi. Baru beberapa langkah, dia kembali berpaling mencari sorotan mata Khadijah. Tangannya dilambaikan.

Sepasang mata hijau zamrud itu unik dan ada aura yang sangat khas. Jeremy sebut khas sebab dia sudah terpikat dan terikat. Dan jujur, dia tidak berbohong bila dia menyebut dia pernah melihat mata tersebut. Namun dia sudah lupa di mana dia melihatnya.

Pun begitu, sepasang mata hijau zamrud itu masih belum mampu mengalahkan pesona Ariana. Ariana itu rakan sekerja Jeremy di Gleneagles. Darah Filipino Ariana mengalahkan mata cantik Khadijah. Lagipun Ariana hebat bergaya meski auratnya bertutup dengan elok. Sedangkan Khadijah menutup semua auratnya dengan warna hitam. Warna kesedihan.

Jeremy menggelengkan kepalanya. Dia tidak sepatutnya membandingkan Ariana dan Khadijah. Kedua-duanya mempunyai kecantikan yang tersendiri. Dan lagi, dia tidak sepatutnya membiarkan hatinya terpikat dan terikat pada sepasang mata Khadijah.

Hatinya telah dimiliki oleh Ariana. Dia balik ke Gleneagles kali ini bersama sebentuk cincin. Dia mahu melamar Ariana. Dia sudah membuat persediaan dan mendapat sokongan daripada rakan sekerjanya yang lain. Esok dia akan melutut di depan Ariana di ruang legar Gleneagles.

Jeremy menyeluk poket seluar jeannya. Kotak baldu warna hitam dikeluarkan lalu dibuka. Ariana pasti tambah cantik setelah memakai cincin tandanya.

Senyuman Jeremy tidak lepas dari pandangan mata Khadijah. Dua ke tiga kali dia mencuri pandang ke arah lelaki tersebut. Khadijah bimbang Jeremy datang semula padanya.

Setelah yakin Jeremy tenggelam dalam dunianya sendiri, barulah Khadijah mampu menarik nafas panjang. Dia memerlukan ruang privasinya sekarang. Kehadiran Jeremy tadi meresahkan seluruh jiwanya.

Mungkin kebetulan sahaja nama keluarga Jeremy adalah Lee. Jeremy tidak ada apa-apa kaitan dengan keluarga angkat Khadijah. Setahu Khadijah, Pak Cik Lee tidak ada anak dan kalau betul Jeremy mungkin dari anak mak cik dan pak ciknya yang lain, Khadijah mesti kenal.

Tenang sedikit hati Khadijah. Buku Khadijah pemberian Fahri dipegang kemas. Tubuhnya disandarkan dengan kedua-dua belah mata yang sengaja dipejamkan. Lama dia berkeadaan begitu. Kemudian terdengar pengumuman memberitahu pesawat akan mendarat di KLIA.

Selamat pulang ke Tanah Malaysia. Tanah tempat tumpahnya darah marhaen bernama Khadijah.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro