
Bab 1
TERDENGAR suara orang saling bertingkah. Kemudian disusuli bunyi barang pecah. Terakhir sekali suara emak menangis. Bergegar rasanya rumah pusaka yang telah berusia lebih 30 tahun ini apabila ada pertelingkahan besar yang berlaku.
Kalau lahir ke dunia ini satu dosa, dia rela tidak dilahirkan. Dia tidak dicerca, tidak dihina dan tidak juga dimaki sesuka hati. Dari dalam rumah, emak dan bapaknya teruk dimarah dalam bahasa Hokkien. Kalau dialih bahasa, begini bunyi kemarahan tersebut.
"Dia tu anak tak ada asal usul! Anak kotor! Aku dah cakap dulu, jangan ambil dia jadi anak angkat. Kau berdua degil! Tengok mata dia, langsung tak sama dengan kita!"
Pak Cik Lee yang memegang utuh tradisi lama bangsa Tionghoa mula mengamuk. Setiap kali Pak Cik Lee ke sini, dia memang selalu mengamuk. Mana pernah orang tua itu tidak mengamuk?
"Aku nak kau berhenti jaga budak tu. Bagi dia duit dan suruh dia keluar dari rumah ni. Aku tak nak keturunan baik-baik kita, jadi tak baik. Aku tak nak nenek moyang kita marah dan datangkan bala. Faham?"
Air mata yang menitik dikesat.
Tiba-tiba pintu biliknya ditendang dengan kuat. Tercabut daun pintu tersebut dek kuatnya tendangan Pak Cik Lee. Dia mahu lari namun sudah terlambat. Lengannya direntap sampai dia jatuh terduduk. Dia harap tulangnya cukup kuat menerima amukan Pak Cik Lee. Jangan sampai ada yang patah.
"Kau keluar sekarang!"
Tubuh kecilnya diseret meskipun puas dia merayu minta dilepaskan. Dia cuba melawan, namun pipinya menerima tamparan keras. Bukan sekali, tetapi dua kali. Sakitnya hampir membuatkan dia pitam. Namun digagahkan juga menyusun sepuluh jari di depan Pak Cik Lee. Dalam hati tak lupa dia menitipkan doa pada TUHAN supaya hati Pak Cik Lee jadi lembut.
"Aku tak suka kau tinggal di rumah ni. Kau bawa malang!" tempik Pak Cik Lee dengan mata merah seperti naga sedang marah. Kemudian rambutnya, Pak Cik Lee tarik dengan cara paling kasar. Tubuh kecilnya kembali diseret tanpa belas. Suara rayuan dan lolongan kesakitannya tidak menggoyahkan hati orang tua itu langsung.
Sebaik saja sampai di muka pintu, tubuhnya ditolak jatuh. Dahinya terhantuk pada pasu bunga emak. Darah keluar, bercampur dengan air hujan yang turun.
"Aku dah tak nak tengok muka kau lagi! Pergi berambus!"
Emak menangis penuh sayu. Bapak terbaring di atas lantai ruang tamu sambil menahan kesakitan. Dahi bapak pun berdarah juga. Selepas itu dia sudah tidak melihat apa-apa lagi. Pintu telah ditutup dan yang menemani hanyalah bunyi guruh dan petir.
Dahinya diraba. Sakit!
Perlahan-lahan dia bangun dalam pekatnya malam itu. Langkah kakinya goyah. Dibiarkan saja hujan menghentam tubuh kecilnya. Lebih bagus kalau dia dipanah petir dan terus mati.
Namaku Shin. Lee Shin Li. Aku anak angkat yang tidak diperlukan.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro