Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 9

"Nadia, aku nak tanya sikit, boleh?" Diana membuka bicara.

"Tanyalah," balas Nadia walaupun mata masih lagi terpaku di kaca televisyen. Maklumlah, sudah kekenyangan dengan makan malam.

Sambil berehat sebelum masuk tidur, melepaklah di depan TV. Kalau hendak melayari Internet, dia tak ada komputer, dulu di rumah Ezuan adalah. Telefon pintar hadiah daripada Ezuan juga sudah pun ditinggalkan di rumah lama itu, Nadia belum lagi berkesempatan membeli telefon bimbit baru.

"Kau period ke?"

"Eh, tak adalah. Kenapa?" balas Nadia pelik, tiba-tiba sahaja tanya pasal datang bulan.

"Ni... Kuku kau ni. Merah. Macam mana kau solat? Atau kau tak... Solat?" tanya Diana, dia serba salah juga nak tanya tapi ini tanggungjawab, dia kena tanya juga.

"Errr..."

Nadia kehilangan kata-kata. Memang betul, dia sudah lama tinggalkan tikar sembahyang. Dulu bila dia dihalau daripada rumah, mak tiri Nadia campak sahaja begnya keluar rumah. Sudah tentu telekung tidak disumbat masuk sekali ke dalam beg kecil itu.

Selepas dia 'dikutip' oleh Ezuan, dia tidak berani untuk meminta-minta. Dia sudah cukup berterima kasih bila lelaki itu memberinya tempat tinggal yang selesa dan makan minum yang cukup. Bila sudah lama meninggalkan amalan itu, dia sendiri sudah tidak ingat bahawa solat pernah menjadi rutinnya dahulu yang dia perlu teruskan sehingga hujung hayat.

"Betul ke apa aku cakap ni?"

Diana serkap jarang, tetapi perubahan wajah Nadia membuatkan dia percaya apa yang ditukasnya benar belaka. Suara Diana sangat lembut bila bertanya, Diana bukan main lantang bila menyatakan peraturan-peraturan rumahnya, apa yang boleh buat, apa yang tidak boleh buat dan sebagainya tetapi bila menyentuh isu agama suaranya lembut seolah-olah memujuk.

Nadia mengangguk, tiada guna untuk dia menipu. Memang jelas lagi nyata.

"Kau tak pernah solat?" tanya Diana lagi.

Nadia menelan liur, segan dan takut. Dadanya berdebar-debar bila soal ini dibangkitkan, sedang dia sudah lama melupakannya.

"Eh, taklah. Aku pernah. Tapi, aku dah lama tinggal." Suara Nadia perlahan. Rasa bersalah terbit dalam diri.

"Aku tengok kau ni nampak baik sangat, orang baik-baik. Kenapa?"

Nadia tidak dapat menjawab soalan Diana itu, dia hanya menjongketkan bahu dan menggeleng sedikit. Dirinya terasa kosong. Diana tidak tahu apa-apa mengenainya, luaran saja nampak baik tapi bergunung sudah dosanya. Nadia menundukkan kepalanya. Teringatkan dirinya yang banyak berdosa buat dia malu untuk mengangkat kepala di hadapan Diana. Diana memegang tangan Nadia, Nadia sedang menahan getaran jantungnya yang laju berdegup. Mereka berdua diam seketika.

"Aku tak ada telekunglah, Diana. Kau ada telekung lebih tak?" tanya Nadia kepada Diana. Baru sekarang dia berani memandang wajah Diana yang kelihatan seperti bersimpati dengan Nadia. Diana tersenyum bila mendengar soalan itu.

"Ada. Nanti aku hadiahkan pada kau," ujar Diana senang.

"Aku kena buang benda ni. Nanti orang kat pejabat kata aku tak beretika pula, datang ofis kuku merah."

Nadia berkata sendiri sambil merenung ke arah kuku-kukunya setelah menarik tangannya perlahan-perlahan daripada genggaman Diana.

Ini semua kerja Alan, dialah yang pandai-pandai meletakkan nail polish warna merah garang ini, bentak Nadia dalam hati, namun sebentar kemudian terus dia terlintas dalam fikirannya yang Alan langsung tidak bersalah. Dia boleh menghalang Alan daripada berbuat demikian tetapi dia membiarkan sahaja. Bukan salah Alan, Nadia tidak menunaikan tanggungjawabnya. Memang sudah lama dia meninggalkan amalan wajib itu.

Ada hikmahnya juga Alan meletakkan pewarna kuku itu pada kuku Nadia. Jika tidak, mungkin Diana tidak akan menegurnya dan topik solat mungkin tidak dibuka malam ini.

"Erm... Bercakap pasal kerja, aku naik pangkat tau," cerita Nadia bersemangat, merubah mood yang tadi kelam sahaja. Nadia duduk mengiring di atas sofa itu untuk menghadap Diana, begitu juga Diana.

"Ya ke?"

"Bukanlah naik pangkat sangat. Tapi, naik gajilah juga, bos besar minta aku ganti PA dia. Dengar ceritanya akak PA tu nak bersalin dan terus berhenti. Bos tak nak kerja dengan orang baru jadi dia suruh aku ganti akak tu, tempat aku nanti boleh ganti orang lain." Nadia bercerita sungguh-sungguh.

"Untunglah... Aku ni, kena cari kerja lain."

"Kau betul-betul kena pecat ke?"

"Yalah. Kalau tak, takkan aku nak duduk senang-senang goyang kaki kat rumah. Aku sekarang tengah cari kerjalah ni, tapi bukan minta hari ni boleh dapat esok," luah Diana dalam nada kesal.

"Eh, dulu kau cakap kau kerja bank, kan?" tanya Nadia.

"Haah, tapi aku dulu sebenarnya belajar akaun," jawab Diana.

"Kau bagi aku resume kau satu. Nanti aku cuba tanya kalau kau boleh datang interview, lagipun sekarang ni syarikat tempat aku kerja tengah dalam transformasi. Dah nak pindah bangunan sendiri. Business makin besar, memang dia orang nak pakai orang. Walaupun aku ni bukanlah orang besar dalam syarikat tu, tapi aku dah lama kerja situ tau. Nanti aku cuba tolong kau tanyakan." Panjang lebar Nadia bersuara, Diana pun teruja mendengar Nadia sanggup membantunya mendapatkan kerja.

"Betul ni?" tanya Diana tidak percaya, membulat matanya.

"Betullah."

"Nadia, you datang." Clara menegur Nadia yang datang tiba-tiba sahaja. Alan yang sedang sibuk menggunting rambut seorang pelanggan hanya menoleh dan tersenyum.

"Hai." Nadia menyapa, dia terus berjalan kepada Clara yang sedang duduk membaca di kaunter.

"Clara, sini ada nail polish remover, kan? I nak pakai sikit, boleh? I tak sempat nak belilah." Nadia menyatakan hasrat dia ke mari.

"Actually I dah buang malam tadi, tapi tak ada remover tu, jadi tak bersih." Nadia menyambung sambil membelek kuku. Clara terus menarik tangan Nadia.

"You tak pakai remover? Habis, you pakai apa?" tanya Clara dengan nada bimbang, seperti jari-jemari itu miliknya pula.

"I kikis, pakai pisau."

"What?!" Terjerit gadis itu, matanya membulat melihat kuku Nadia.

"Rosaklah kuku you. Come, kita naik atas."

Berkerut-kerut dahinya melihat keadaan kuku Nadia yang sudah dikikis. Dia cepat sahaja dia menarik Nadia naik ke tingkat atas, Clara menjemput Nadia duduk untuk mendapatkan rawatan kuku.

Clara membuang saki baki warna merah yang masih lagi terlekat pada kuku Nadia dengan cermat, kerjanya sungguh lembut. Ini pertama kali Nadia merasakan jari jemarinya diberikan 'layanan' yang sangat lembut. Semasa Alan mewarnakan kukunya juga tidak selembut ini, Clara memang sudah biasa buat kerja ini. Dia sungguh fokus dengan kerjanya.

"Cermatnya you buat kerja," komen Nadia. Mulutnya tak reti diam baru-baru ni, suka bercakap. Maklumlah, dah terlepas daripada kurungan Ezuan, Nadia sudah bebas. Nak cakap apa pun boleh, tak perlu risau akan terlepas cakap, terbongkar rahsia.

"Sudah buat hari-hari ma, kalau servis tak cantik nanti orang tak datang lagi lorh," balas Clara, dia masih memberi sepenuh perhatian dengan kerjanya.

"You sudah makan?" tanya Clara, sekarang waktu makan tengah hari tetapi Nadia terpacak di sini.

"Belum, I nak bersihkan kuku I dulu," jawab Nadia dengan tangan yang masih berendam di dalam air suam.

"You nak makan apa? I nak oder ni? Kafe sebelah hantar sini," kata Clara sambil mengeringkan tangannya, Nadia hanya menjongket bahu tanda tak tahu.

"Nak cuba cream spaghetti tak? Cream spaghetti dia sangat sedap," cadang Clara, Nadia tersenyum setuju. Terus Clara menarik telefon bimbit dan membuat panggilan untuk membuat pesanan.

Alan cakap boleh buat delivery, betullah kut. Selama ni tak pernah pula aku tahu. Kening Nadia terangkat bila hatinya berkata-kata. Lagi terangkat bila melihat gaya Clara bercakap. Memanglah Nadia tidak faham sepatah perkataan pun yang keluar dari bibir Clara, tapi gaya Clara seolah-olah memarahi orang yang menjawab panggilannya buat Nadia berasa hairan. Selesai membuat panggilan, Clara menghabiskan kerjanya pada kuku Nadia. Dia mengeringkan tangan Nadia dan mencuci tangannya.

Mereka berbual-bual sementara menunggu makanan mereka dihantar. Rupa-rupanya Clara bekerja di sini, dia bertugas sebagai nail art artist dan makeup artist. Clara tidaklah sesibuk abangnya Alan yang bertugas sebagai pendandan rambut kerana salun kecantikan mereka lebih popular dengan hasil potongan dan dandanan rambut berbanding perkhidmatan solekan dan nail art kerana solekan dan nail art bukan keutamaan mereka, itu hanya business sampingan. Nadia dan Clara selesa untuk berbual bersama walaupun Clara muda setahun daripada Nadia. Nadia dan Clara menjadi kawan dengan cepat, Nadia sungguh gembira bila dia dapat kawan baru lagi.

Dahulu dunianya hanya Ezuan dan rakan sepejabat. Itu pun mereka tidak rapat sangat kerana Ezuan tidak suka jika dia menghabiskan banyak masa dengan rakan sepejabat. Bimbang kalau mereka dapat menghidu hubungan Ezuan dan Nadia.

Jadi, Nadia tidak pernah bergaul bersama rakan sekerja selepas waktu pejabat mahupun di hujung minggu. Masa terluangnya hanya untuk Ezuan sahaja, dunia Nadia menjadi teramat sempit. Sekarang dia sudah bebas, dia sudah boleh berkawan dengan siapa sahaja, meluaskan dunianya.

"Cream spaghetti."

Hidangan yang dinanti sampai di depan mata. Baunya sahaja sudah memikat selera, terus sahaja perut Nadia terasa lapar.

"Ge, this is my friend, Nadia. Nadia, this is my brother, Brian." Clara perkenalkan mereka berdua, Nadia memandang lelaki yang sedang berdiri di hadapan mereka, dia berpakaian kemeja putih dengan seluar hitam, pinggangnya terikat apron hitam, memang uniform pekerja kafe sebelah. Ada riak tidak percaya pada wajah Nadia.

"Hai." Brian menyapa.

"Hai, you kerja Kafe Galaxy tu?" Nadia bertanya, Brian hanya mengangguk.

"He's the owner too," jelas Clara lalu tersenyum.

"Wow." Nadia terkejut, muda-muda lagi sudah ada kafe sendiri, boleh tahan maju kafe itu. Abang sulung ada salun kecantikan, abang kedua membuka sebuah kafe, dua-dua berjaya.

"Tadi you cakap dengan abang you ke yang marah-marah tu?" Nadia bertanya lagi. Brian menarik kerusi untuk duduk dengan mereka.

"Ya lorh. Dia tak mau hantar, suruh I pergi sana. Malaslah, kafe tu ramai orang. Makan," ujar Clara, tangannya sudah mencapai garpu dan sudu. Perutnya sudah lapar sangat-sangat kerana sejak pagi lagi belum menjamah apa-apa. Nadia juga mahu cepat-cepat makan kerana waktu rehat sudah hampir habis, tinggal tiga puluh minit sahaja lagi, dia perlu cepat.

"Kau orang tiga beradik saja ke?" soal Nadia.

"Erm... Kami tiga orang. Alan, me and last Clara," terang Brian sambil mengusap-usap kepala Clara bila menyebut nama Clara. Tiba-tiba Nadia tergelak kecil, nasib baik makanan sudah ditelan. Kalau tidak, boleh tercekik atau tersedak, paling teruk kalau tersembur ke muka Clara.

"Nama kau orang ikut turutan abjad, A, B, C," kata Nadia lalu dia tertawa lagi.

"Everyone said that. Nasib baik I tak ada adik, kalau ada adik mesti adik I nama Daniel, or Damien..." Clara mengakui itu. Kalau dulu sewaktu dia kecil, dia terasa bila orang berkata begitu kerana menganggap orang lain menghina nama mereka. Tetapi sekarang tidak lagi, dia sudah tidak kesah kerana sudah faham mereka bukan hendak menghina nama dia dan adik-beradik lain.

"Or Damon, or Danish... And then comes E, Eric, Erica..." Brian menyambung lalu tertawa. Memang betul-betul unik kerana permulaan nama mereka mengikut turutan abjad.

"I'm hungry." Alan tiba-tiba muncul dari tangga.

"Hey initial A, come here and eat." Clara memanggil Alan, kemudian mereka tertawa. 

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro