Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 6

"Kak long."

"Yup."

"Ganggu ke?" soal Diana serba salah, melihat kak longnya yang langsung tidak mengangkat kepala membuatkan dia berasa tidak selesa.

"Nope. Studi ni. Apa hal?" balas si kak long tanpa melihat wajah Diana yang berkerut.

"Hmmm... Rumah ni ada kawan nak sewa biliklah, kak long. Boleh tak? Kalau tak boleh lama, sekejap. Sementara dia cari rumah lain pun tak apalah. Boleh tak?" tanya Diana tanpa berselindung. Apa guna nak berselindung? Berterus terang adalah salah satu jalan yang memudahkan menyelesaikan masalah. Akhirnya kak long Diana mengangkat kepalanya dan memandang adiknya di skrin komputer ribanya.

"Kenapa dengan muka kau?"

"Accident sikit semalam, tak ada apa. Luka sikit aje." Diana membalas.

"Boleh ke tak kak long, kawan nak tinggal sini?" Diana balik kepada topik asal.

"Siapa?"

"Kawan. Kak long tak kenal dia," balas Diana sambil tergeleng-geleng cepat.

"Perempuan?"

"Isy, kak long ni. Takkanlah lelaki."

"Melayu?"

"Melayu, sama umur dengan adik."

Kak long terangguk-angguk kepalanya.

"Bila dia masuk?"

"Kira bolehlah ni?" Diana meminta kepastian, macam tak percaya pula kak longnya bersetuju tanpa payah memujuk. Cool betul kak longnya kali ini.

"Elok juga kalau ada orang teman kau, dik. Sekarang macam-macam jenis bahaya boleh datang pada perempuan tinggal seorang macam kau."

"Kak long ni... Janganlah menakutkan orang, selama ni adik tinggal sorang tak ada masalah pun. Kata-kata tu doa tau." Diana membalas, risau pula bila kakak sendiri pun berkata begitu.

"Kak long bukan nak doakan, tapi nak ingatkan. Mak pun kadang-kadang bising juga kata risaukan kau sorang-sorang kat KL tu, kita saudara-mara pun tak ada kat sana."

"Ala, macam baru dua hari adik kat sini. Dah bertahun. Mak aje risau lebih-lebih."

"Sebab kau jarang balik kampung, jarang telefon mak sekarang sebab itulah dia risau. Sudah-sudahlah tu. Balik kampung, jenguk mak. Telefon mak selalu."

"Yalah, adik salah. Nanti adik telefon mak," balas Diana.

"Bagus."

Mereka sama-sama senyap seketika sebelum Diana bertanyakan soalan terakhir.

"Kak, sewa tu tiga ratus okey ke?" soal Diana.

"Okeylah. Tak kesahlah berapa asalkan bayar. Duit tu bagilah mak abah. Jangan buat benda tak elok kat rumah tu, itu aje kak long pesan."

"Okey. Kak long, nak pergi masak ni. Babai. Assalamualaikum."

"Waalaikumussalam."

Talian Skype itu dimatikan. Diana terus bergegas ke dapur untuk menyediakan makan tengah hari.

"Aku dah contact kakak aku, dia benarkan kau duduk kat sini. Dia pun cakap lagi selamat sebab selama ni aku duduk sorang-sorang, tapi kau jangan buat benda bukan-bukan kat sini."

Diana memberitahu Nadia yang baru turun, Nadia terus menerpa Diana dan memeluk gadis itu dari belakang. Dengan Diana, dia terasa seperti sudah berkawan lama, sudah akrab, kerana personaliti Diana yang menyenangkan membuat Nadia selesa. Lagipun Nadia sudah bertekad untuk belajar menjadi lebih mesra dengan orang lain, dan mencari lebih ramai kawan. Ezuan sudah tidak ada hak untuk mengawal dengan siapa dia hendak berkawan.

"Terima kasih..." ujar Nadia. Tiada kata lain yang dapat dia ucapkan betapa dia bersyukur Diana sudi membantunya. Nadia sampaikan rasa terima kasihnya dengan pelukan ini.

"Ah... Sudah-sudah, jangan buat drama cinta romantik pula kat dapur ni. Jom makan." Diana meleraikan tangan Nadia yang memeluk pinggangnya.

"Pasal makan, kita akan bahagi sama rata untuk beli barang masak. Masak sama-sama, sebab aku tak suka bila ada jadual masak, hari ni kau masak, esok aku, kemudian kau, padahal hari-hari pun penat sama saja. Jadi, biar sama-sama penat memasak," kata Diana sambil menghidangkan makanan.

Hari ini dia abaikan peraturan itu dahulu. Dia mengagak Nadia sedang berhadapan dengan masalah, jadi biarlah dia memasak hari ini.

"Pasal duit barang mentah, kita bahagi dua. Masak sama-sama dan kalau nak makan kat luar mesti beritahu antara satu sama lain. Aku tak galakkan pembaziran," sambung Diana sambil menarik kerusi lalu duduk di situ.

"Apa lagi? Duduklah. Tak nak makan ke?" jemput Diana. Nadia terus mengambil tempat di hadapan Diana. Dia merenung wajah Diana yang sedang meletakkan nasi ke pinggannya dan pinggan Nadia.

"Diana, terima kasih tau. Kau baik sangat," kata Nadia penuh emosi. Dia terharu dengan penerimaan Diana. Walaupun sewaktu dia sampai tadi Diana seperti 'terpaksa' memberi bantuan kepada Nadia, tetapi sekarang Diana melayannya dengan baik.

Syarat dan peraturan itu hanya cabaran kecil buat Nadia. Nadia tak kesah langsung, kalau di rumah lain pun ada syarat dan peraturan tertentu juga, biasalah.

Diana memandang wajah Nadia yang sayu, alahai... Kenapa budak ni asyik nampak macam bermasalah aje? Kesian aku tengok.

"Sudahlah, jom makan. Tak perlu nak emosi."

Mereka menikmati hidangan makan tengah hari bersama. Sesekali Nadia menjeling memandang Diana, lain rasanya makan tengah hari ini. Selalunya dia makan bersama Ezuan tetapi hari ini peneman dia makan bukan Ezuan. Tapi Diana, gadis yang dia baru kenal tidak sampai 24 jam lagi. Luka pada tubuh Diana masih lagi berbalut, dalam hati Nadia berdoa luka Diana akan cepat kering dan sembuh tanpa meninggalkan parut. Kalau tidak, pasti dia akan rasa bersalah terhadap gadis itu.

Tak mungkin Nadia dapat berhadapan dengan Diana kalau kecederaan Diana meninggalkan parut terutamanya di wajahnya. Tapi... Hendak pindah, Nadia sudah tidak tahu hendak ke mana. Dia tidak mungkin akan pulang ke rumah milik Ezuan semula.

Ah, walau sehebat mana Nadia hendak mengelak, akhirnya dia terpaksa berhadapan dengan Ezuan lagi di tempat kerja. Mustahil bagi Nadia untuk lari begitu sahaja, susahlah hidupnya kalau dia berhenti kerja. Tetapi Nadia nekad dia tidak akan menerima apa-apa 'tajaan' daripada Ezuan lagi, cukuplah setakat ini.

Nadia, kau ada dua hari untuk sediakan diri nak jumpa Ezuan Isnin ni, bisik hati Nadia.

"Mengelamun? Aku susah payah masak sedap-sedap bukan untuk ditenung. Makanlah," tegur Diana bila dia perasan yang tangan Nadia sudah berhenti menyuap nasi untuk beberapa ketika. Entah apa yang difikirkannya? Nadia tersenyum nipis, tangannya kembali menyudu nasi di atas pinggan.

"Kau fikir apa ni?" tanya Diana lembut.

"Tak ada apalah," balas Nadia, Diana mula buat muka mengugut.

"Aku cuma fikir, er... Macam mana kau pergi kerja? Aku tak nampak kereta kau pun," lencong Nadia, dia belum bercadang hendak bercerita kepada Diana pengalaman hidupnya. Sekarang bukan masa yang sesuai untuk membuka kisah silamnya.

"Aku naik bas aje. Rumah ni agak dekat dengan hentian bas, jadi aku jalan sikit dah sampai. Bas pun okey. Kenapa?"

"Aku fikir macam mana nak pergi kerja Isnin ni?" dalih Nadia.

"Kereta kau mana?"

"Kereta aku?"

"Myvi yang kau buat langgar aku semalam."

"Oh, itu bukan kereta aku. Kereta kawan, aku pinjam." Memang benar kereta itu bukan miliknya, Ezuan yang beli untuk dia pakai. Nadia sudah tinggalkan di rumah Ezuan bersama kuncinya di dalam bilik.

"Nanti aku tunjukkan kat mana bus stop tu," ujar Diana, Nadia senyum lalu mengangguk sekali.

"Maaf kalau aku terlalu jaga tepi kain kau, tapi aku tertanya-tanya, kenapa kau pindah rumah? Sebelum ni kau tinggal kat mana?"

"Er..." Nadia tidak tahu hendak menjawab bagaimana, melihat wajah ragu-ragu Nadia, Diana terus menyambung.

"Kalau kau tak selesa nak jawab tak apalah," ujar Diana untuk menyedapkan hati Nadia. Bimbang selera Nadia mati, berlaparlah housemate baru dia nanti. Nadia jadi serba salah, tak patut juga buat orang yang telah menyelamatkannya ini terus tertanya-tanya.

"Aku... Berselisih faham dengan tuan rumah aku. Aku tak nak ada konflik lagi jadi aku pindah aje," kata Nadia, Diana berkerut dahi.

"Gaduh dengan tuan rumah?" tanya Diana pelik, dan risau.

"Hal peribadi, er... Tapi kau janganlah takut. Aku tak akan bawa masalah pada kau. Aku janji. Aku akan jadi penyewa yang baik," janji Nadia sungguh-sungguh. Dia tidak mahu dihalau, ini satu-satunya harapannya, dia tidak mahu mencari rumah sewa lain. 

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro