Bab 4
Menangis pun dah tak guna. Aku dah kena pecat. Diana mengingatkan diri yang dia sekarang bukan lagi salah seorang staf di bank ini. Matanya sayu memandang pintu bank, dia sudah lakukan yang terbaik, tetapi dia tidak serasi dengan kerja ini agaknya.
Majikannya berpendapat prestasi kerjanya tidak sebagus rakan sekerjanya yang lain kerana pernah menerima kompelin daripada pelanggan dan dia terpaksa diberhentikan bila mereka perlu mengurangkan pekerja. Padahal sepanjang dia bekerja di sini, baru ada satu sahaja kompelin yang dia terima.
Tanpa membuang masa, Diana terus melangkah meninggalkan bangunan tempat kerjanya. Diana terus berjalan ke perhentian bas, seperti selalu. Cuma bezanya hari ini dia pulang dengan sekotak barang-barangnya kerana hari ini hari terakhir dia bekerja di situ itu.
Hanya kerana satu kesilapan kecil, Diana terjerat. Salahkah dia bila dia menolak untuk berurusan dengan pelanggan yang datang menemuinya atas urusan peribadi? Business is business. Diana tidak suka pelanggan yang datang kepadanya yang cuba untuk mengajaknya keluar sesudah waktu pejabat.
Jenuhlah nak kena cari kerja lain, dan dia dengan jayanya kembali memegang jawatan penganggur terhormat. Rosak habis rekod selepas ini, baru nak masuk tujuh bulan bekerja sudah dipecat. Bukan berhenti kerja secara rela tapi diberhentikan. Diana benar-benar terkilan.
Ah... Sudahlah. Mungkin setakat itu sahaja rezeki aku di situ.
Diana terus melangkah walaupun fikirannya jauh melayang. Tanpa dia sedar dia bergerak ke arah jalan raya, melintas jalan tanpa menoleh ke kiri mahupun ke kanan.
Buk!
Diana dilanggar kereta. Tubuh genitnya terlayang lalu terduduk dan tertiarap di atas jalan tar, barang-barangnya habis semua bersepah di atas jalan. Tak sempat untuk Diana mengaduh atau menjerit, sedar-sedar sahaja wajahnya sudah mencium jalan tar yang kasar itu. Sakit bila rasa pipinya seolah-olah tersagat.
"Awak, awak tak apa-apa ke? Maaf, maaf. Saya minta maaf sangat-sangat sebab tak nampak awak," ucap pemandu yang baru keluar daripada keretanya dengan nada panik. Wajahnya nampak sangat cemas, ini pertama kali dia melanggar manusia.
Sebelum ini pernahlah terlanggar tiang, langgar pagar, tetapi itu semua yang tidak bernyawa. Tapi hari ini dia terlanggar seseorang bernyawa. Mujurlah tadi dia tidak memandu laju kerana baru membelok daripada persimpangan, kalau tidak pasti teruk kecederaan mangsanya.
"Awak tak apa-apa?" tanya gadis itu lagi, dia membantu Diana yang tertiarap di atas jalan itu bangun dan duduk di situ. Diana yang kesakitan menitiskan air mata serta-merta.
Ya Allah, apalah malang nasib aku ni? Tuhan memang menguji aku sungguh hari ni, rintih hati Diana, dia tidak dapat menahan rasa lalu dia terus menangis.
"Awak, awak kenapa nangis? Sakit sangat ke? Jom, jom kita pergi klinik," kata gadis itu kepada Diana dengan kalut, tangannya bersungguh-sungguh menarik perlahan lengan Diana untuk bangun supaya dia boleh segera menghantar gadis malang itu ke klinik berhampiran. Namun Diana tidak bergerak, sudahnya pemandu itu yang terduduk di hadapan Diana.
"Awak... Janganlah nangis. Tadi kan saya dah minta maaf. Jomlah saya bawa awak pergi klinik," kata pemandu itu lalu dia turut sama menangis, malah lebih kuat rintihannya daripada Diana yang sedang menahan kepedihan akibat luka-luka kecil di tubuhnya.
Diana yang menangis tadi terus tercengang melihat orang yang melanggarnya menangis lebih kuat daripada dirinya, si mangsa di sini. Tiba-tiba dia terasa lucu dalam hati. Terus dia tertawa walaupun pipinya masih perit, geli hatinya tidak dapat ditahan lagi. Lucu sungguh.
"Kenapa awak gelak? Saya tengah risaukan awak ni." Marah pemandu itu dalam sendunya lalu terus sambung menangis. Diana tertawa lagi, melihat wajahnya sahaja sudah cukup buat Diana tertawa. Mana tidaknya, solekan pada wajah gadis ini 'hancur', dicemari dengan warna hitam daripada maskaranya yang tertanggal dek air mata yang gugur dengan lebatnya daripada mata bundar gadis itu.
Alahai, apalah nasib aku, malang betul hari ni. Kena buli dengan bos, jatuh macam nangka busuk dalam hujan, break up dengan boyfriend. Sekarang langgar orang pula, bila nak habis hari ni? Tangis hati gadis itu. Banyak betul kekecewaannya hari ini, tadi baru sahaja dia berhenti menangis di dalam kereta. Tetapi belum sempat air matanya kering sepenuhnya, sekarang air matanya kembali membasahi pipi kerana malang yang menimpa dirinya hari ini tidak putus-putus.
"Yang awak menangis kenapa? Saya yang kena langgar, saya yang sakit tapi awak yang langgar saya pula yang menangis lagi kuat daripada saya," kata Diana dengan sengih di bibir. Pemandu tadi senyap, tidak lagi menangis sebaliknya merenung ke wajah mangsa kemalangan ini dengan sedu yang berbaki. Tangan Diana mencapai beg tangannya lalu dia mengambil sepaket tisu. Dengan spontan dia menarik tisu itu dan mengesat air mata hitam di wajah gadis di hadapannya ini.
Melihat tisu yang berubah hitam baru dia tahu kenapa gadis yang dilanggarnya ini tertawakan dirinya. Cepat-cepat dia mengesat saki baki air matanya dengan tisu itu.
"Terima kasih. Jom, saya hantar pergi klinik, lutut awak luka, tangan awak luka, pipi awak luka. Jom pergi klinik."
"Awak tak apa-apa, kan? Doktor cakap apa?"
"Saya tak apa-apa pun, sikit aje ni."
Diana membalas dan memberikan senyuman kepada gadis yang sedari tadi berkerut dahi. Baru sekarang Diana berpeluang melihat wajah sebenar gadis yang melanggarnya, kesan hitam maskara sudah pun dibersihkan. Nampak sangat cantik dan ayu wajahnya.
"Baguslah kalau tak ada apa-apa. Nama awak Diana, kan? Nama saya Nadia. Nama kita terbalik aje sebutannya, Diana, Nadia, Diana, Nadia." Nadia perkenalkan dirinya. Diana hanya tersenyum.
Nadia melangsaikan bayaran perubatan walaupun Diana banyak kali menolaknya. Dia dilanggar bukan atas kesalahan Nadia sahaja, dia pun bersalah kerana melintas jalan tanpa melihat kiri dan kanan terlebih dahulu. Kecuaian dia juga perlu diambil kira, tetapi Nadia tetap hendak bertanggungjawab sepenuhnya atas kecelakaan itu.
Nadia menawarkan diri untuk menghantar Diana pulang ke rumah sebagai tanda maaf dia terlanggar Diana. Kali ini Diana tidak menolak lagi, dengan keadaannya yang berbalut sana sini, menerima tawaran itu adalah langkah lebih bijak. Tidak perlu dia mengusung kotaknya menaiki kenderaan awam, hendak naik teksi dia teringat yang dia baru sahaja dipecat, mesti mula berjimat dari sekarang. Nasib dia baik Nadia beria-ia hendak menjelaskan bayaran perubatan tadi, kalau tidak banyak juga wang yang melayang hari ini.
Sepanjang perjalanan, mereka tidak bercakap banyak, cuma berbual kosong dan Diana menjadi penunjuk arah kepada Nadia. Sehinggalah mereka selamat sampai di hadapan rumah Diana.
"Awak tinggal sini, Diana?" tanya Nadia penuh minat. Matanya galak memandang kawasan sekeliling rumah itu.
"Haah."
"Sorang?" Ramah pula Nadia. Agaknya kesan daripada bercakap dengan Alan tadi beri dia keberanian untuk berbual dengan orang yang dia tak berapa kenal, sedangkan sebelum ni setiap masa dia kekok dengan orang yang dia tak kenal.
"Ermmm," jawab Diana pendek. Nadia terangguk-angguk, dia memerhatikan rumah itu. Boleh tahan.
"Oh... Tak takut ke tinggal sorang-sorang?" soal Nadia lagi. Nadia dulu bila dia tinggal seorang diri takut juga, tapi lama-lama sudah biasa.
"Dah biasa."
Aku tinggal rumah apartmen, atas bawah kiri kanan ada orang, tak macam Diana, semi-D walaupun ada rumah sekeliling tapi rasanya apartmen aku lagi selamat kut. Mesti sunyi tinggal sorang-sorang.
Nadia mula hilang dalam fikirannya, macam-macam yang dia fikirkan. Wajahnya berkerut lagi.
"Terima kasih sebab hantar saya balik rumah," ucap Diana sambil menanggalkan tali pinggang keselamatan. Kata-kata Diana tidak disambut Nadia, dia masih berkhayal agaknya.
"Nadia."
"Hah? Apa apa?" Nadia yang terkejut menyahut. Terkebil-kebil dia memandang Diana.
"Saya cakap, terima kasih sebab hantar saya balik rumah," ulang Diana sekali lagi.
"Tak ada hallah. Nak Nadia tolong angkat barang?" balas Nadia. Diana menggeleng dan kemudian keluar dari kereta, dia membuka pintu belakang untuk mengambil barang-barangnya.
"Terima kasih ya?" ucap Diana sekali lagi.
"Okey okey, jumpa esok," kata Nadia tiba-tiba. Diana tercengang.
"Hah?"
"Errr... Tak, tak ada apa. Babai," ucap Nadia dan melambai sebelum keretanya meluncur meninggalkan kawasan perumahan itu.
Diana menggeleng, pertama kali dia berjumpa dengan seseorang seperti Nadia. Baik juga orangnya.
Diana jatuh rahang.
Ini bukan ke manusia yang aku kata baik semalam? Diana bertanya kepada diri sendiri. Matanya membulat dan dia tercengang bila terpandang Nadia berdiri di hadapan rumahnya bersama satu beg pakaian sederhana besar. Mula-mula dia hampir tidak cam wajah Nadia kerana penampilannya yang jauh berbeza dari semalam. Semalam dia berpakaian sangat elegan dan cantik, tetapi hari ini Nadia nampak...
Biasa.
Tak ada apa yang spesial pada dirinya. Kecuali wajah yang cantik dihiasi tahi lalat manis di pipi kanannya.
Buat apa dia datang sini?
Satu soalan muncul dalam minda Diana. Apa tujuan Nadia datang ke rumahnya pagi-pagi begini?
"Hai, assalamualaikum." Salam Nadia hanya menjawab dalam hati Diana. Diana menghampiri pintu pagar rumahnya, Diana terlihat sebuah teksi yang baru sahaja bergerak pergi.
Eh, mana pergi kereta dia? Satu lagi soalan menjelma dalam minda Diana. Walau banyak yang bermain dalam fikirannya, tetapi mulut tidak pula ringan untuk bertanya panjang-panjang.
"Dari mana?" Diana bertanya sambil membuka pintu pagar. Nadia tersengih lalu tanpa segan silu dia masuk.
"Dari rumah."
Dari rumah, tapi kenapa sampai bawa beg ni? Diana bertanya dalam hati sahaja, matanya masih merenung hairan ke arah Nadia yang tak habis-habis tersenyum.
"Diana, mulai dari hari ni. Saya akan jadi housemate awak. Awak suka tak? Hehe," ujar Nadia lalu dia tersenyum.
"Hah?!" Diana terjerit, terkejut.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro