Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 2

Nadia merenung ke wajah sendiri di dalam cermin. Matanya merah kerana menangis, ada lingkaran gelap sekeliling matanya akibat tidak dapat melelapkan mata untuk beberapa hari. Nadia perhatikan keningnya yang berkerut, untuk beberapa minggu ini itulah ekspresi wajah yang selalu tertayang di mukanya.

Memang patutlah Ez abaikan kau, tengoklah rupa kau sekarang, memang muka nak kena tinggal. Lelaki, mestilah dia pilih yang lebih cantik. Nadia bercakap dengan dirinya sendiri. Kemudian dia mengeluh.

Tok! Tok! Tok!

Bunyi ketukan di pintu kedengaran. Nadia terus menoleh ke arah pintu itu. Baru dia teringat yang dia sedang berada di dalam bilik air salun bernama 'Ace Cut' ini. Salun kecantikan (uniseks) yang sepatutnya tidak beroperasi hari ini. Salun yang dia teringin sangat hendak jejaki, akhirnya dia berada di sini tetapi dalam keadaan yang memalukan.

"Kenapa you mandi lama sangat? Sudah satu jam you kat dalam, you pengsan ke?" Lelaki yang membantu Nadia tadi bertanya, dialah yang membawa Nadia ke sini. Tergelak kecil Nadia mendengar kata-katanya berbunyi pelat.

"Pandai juga dia cakap bahasa Melayu, pelat-pelat pun," komen Nadia perlahan. Bibirnya masih tersengih, terlupa dia sebentar yang dia sekarang sedang ditimpa masalah.

"You tak jawab, I anggap you pengsan kat dalam. I'm coming in."

Ternganga Nadia mendengar ayat itu, menggelabah dia bila mendengar bunyi pintu yang berkunci cuba dibuka.

"I... I dah siap," balas Nadia lekas. Risau jika lelaki itu melihat keadaannya sekarang. Dia cuma berjubah mandi, pakaiannya tadi sudah basah lencun dan kotor, tidak dapat dipakai lagi.

Alamak, baju aku dah basah. Aku nak pakai apa ni? Nadia resah, tak mungkin dia akan melangkah keluar dari bilik air ini dengan hanya berjubah mandi. Dia menggaru-garu kepala, runsing. Matanya memandang ke arah baju yang basah di atas singki. Nadia mengeluh lagi, buntu.

Tok! Tok! Tok!

Ketukan di pintu berbunyi lagi. Nadia menghampiri pintu bilik air itu. Dengan teragak-agak dia membuka pintu itu sedikit.

"Nah. Baju untuk you." Lelaki itu berkata sambil menyua sepasang baju kepada Nadia.

"Kat sini tak ada pakaian dalam, but I found a bikini. Better daripada tak pakai apa-apa, kan? It's brand new, so don't worry," katanya lagi sambil menyerahkan sepasang bikini yang disangkut pada penyangkut. Tangan Nadia menyambutnya lalu dia terus menutup pintu tanpa memberi ucapan terima kasih. Tanpa membuang masa, dia berpakaian. Walaupun kekok kerana memakai baju orang lain, tetapi dia terpaksa. Daripada tidak berpakaian langsung, baiklah dia sarung saja baju itu dahulu.

Sebaik sahaja dia lengkap berpakaian, dengan beraninya dia menapak keluar. Perlahan-lahan dia melangkah keluar dari bilik air itu. Lelaki tadi yang sedang mengemop lantai pegun sebentar. Dia berdiri tegak lalu memandang ke arah Nadia. Sambil bertongkatkan pada kayu mop dia perhatikan Nadia dari hujung rambut hingga ke hujung kaki, lalu dia tersenyum.

"Hai, I Alan."

Jarinya menunjukkan tanda 'peace', Nadia diam tidak membalas. Pipinya berona merah kerana malu. Alan kemudian cepat-cepat menyiapkan kerjanya mengeringkan lantai yang sedikit basah akibat titisan air hujan daripada tubuh Nadia sewaktu dia membawa Nadia masuk tadi. Nadia hanya pegun di hadapan pintu bilik air tadi, diam tidak bergerak. Hanya bola anak matanya sahaja lincah bergerak, menyoroti pergerakan Alan ke mana sahaja dia pergi.

"Kasut you dah basah, you boleh pakai kasut tu," kata Alan sambil memberikan isyarat mulut menunjukkan kasut yang sudah dia tinggalkan di sebelah pintu bilik air. Alan kemudian berjalan ke stor untuk menyimpan semula mop.

Dengan teragak-agak Nadia menyarung kasut itu ke kakinya.

Cantiknya! getus hati Nadia. Dia suka sangat kasut yang tersarung di kakinya sekarang, bukan sahaja cantik malah menaikkan ketinggiannya untuk beberapa inci.

"Kenapa you berdiri di situ lama-lama? Come, sit here." Alan memanggil sambil mengeringkan tangan yang baru dibersihkan, kemudian menepuk-nepuk kerusi di hadapan cermin. Nadia terus menurut, dia bergerak kebahagian hadapan salun itu lalu duduk di atas kerusi di hadapan Alan. Nadia masih diam tidak bersuara, dia hanya memandang perlakuan Alan daripada cermin di hadapan mereka.

Alan menghidupkan pengering rambut, tangannya dengan selamba membelai rambut Nadia. Nadia terkejut, terus dia mengelak. Nadia menoleh, matanya tajam memandang ke wajah Alan. Alan mematikan pengering rambut di tangannya.

"I cuma nak keringkan rambut you, you nak kena selesema ke?" tanya Alan kepada Nadia yang terkebil-kebil, keliru dengan situasi ini.

"Ada ke orang selesema sebab tak keringkan rambut?" balas Nadia dengan soalan. Selama ni tak pernah pula dia selesema kalau tidak keringkan rambut. Dengan cuaca Malaysia yang panas sepanjang tahun ni, sekejap je rambut kering secara semula jadi. Tak perlu nak keringkan bagai.

Nadia merapu dalam hati, dia terlupa yang cuaca di luar sekarang bukannya panas, tetapi hujan. Memang mengambil masa untuk rambutnya yang panjang sampai ke pinggang itu hendak kering kalau dia menggunakan pengering rambut sekalipun.

"Finally, I ingat you bisu punya orang." Alan membalas dengan sinis. Dia menolak lembut kepala Nadia supaya menghadap cermin di hadapannya. Mereka saling memandang melalui cermin itu. Nadia terasa malu pula bila mereka saling memandang begitu, terus dia melarikan anak matanya.

"Ada. Plus, you kena hujan tadi."

Kedua-dua mereka senyap. Cuma bunyi hujan yang sedikit reda sahaja sayup-sayup kedengaran. Nadia kembali memandang dalam cermin, melihat kalau-kalau Alan masih memandangnya, mata mereka bertemu.

Kenapa lelaki ni tolong aku? Hati Nadia berbisik. Otaknya mula berfikir. Dia tidak pernah mengenali lelaki ini, nak kata dia pelanggan salun ini tak juga. Ini kali pertama dia datang ke sini, bukan datang secara rela tapi 'diseret' ke sini. Nak kata selalu bertembung, rasanya tidak... Mungkin pernah beberapa kali kerana ofisnya berhampiran dengan salun ini tapi... Ah, mungkin dia sudah tak ingat.

Beraninya aku ikut dia. Nadia mulai rasa tidak sedap hati, rasa seperti hendak lari dari situ, risau kalau dia diapa-apakan.

"Coffee?" Alan mengalihkan pandangan matanya pada secawan kopi panas di hadapan mereka sebagai isyarat mata buat Nadia.

Patutlah ada bau wangi. Ingatkan datang dari kafe sebelah. Sedapnya, tapi... Tak beranilah nak minum. Buatnya dia letak apa-apa, mampus aku.

Nadia menggeleng kecil tanda tidak mahu kopi itu. Walaupun salun ini berdinding kaca, dan orang luar pasti akan nampak jika Alan cuba mengapa-apakannya tetapi Nadia tetap berasa tidak selamat. Alan mengangguk faham, dia menghidupkan semula pengering rambut tadi dan mula mengeringkan rambut Nadia.

"What's your name?"

"Nadia."

"Nice. Kerja sini, kan? I mean around this area?" soal Alan lagi. Rasanya dia pernah nampak wajah Nadia sebelum ini. Nadia hanya menjawab dengan anggukan.

"Tadi, kenapa you duduk dalam hujan?" tanya Alan, ingin tahu.

Ekspresi gelisah yang sentiasa terukir di wajah gadis ini membuatkan dia ingin tahu lebih lanjut mengenai gadis ini. Wajah yang cantik ini sepatutnya dihiasi dengan senyuman, bukan kerutan pada dahi.

"I terjatuh," jawab Nadia perlahan.

Nadia agak kekok dan segan bila bercakap dengan orang yang dia baru kenal. Tambah-tambah lelaki, suara yang keluar pun macam nak tak nak aje keluar. Tetapi lain pula dengan Alan, dia sudah biasa bercakap dengan pelanggannya.

"I see, you jatuh tapi you tak bangun," komen Alan pelik.

Kata-kata Alan buat Nadia rasa seperti ditampar, walaupun Alan tidak tahu apa-apa mengenai dirinya tetapi kata-kata tadi seolah-olah sedang mengejeknya seperti seorang yang mudah mengaku kalah.

"Sakit ke?" Alan terus bertanya.

"Sakit, sakit hati." Nadia terlepas cakap, dia sebenarnya hanya bercakap sendiri tetapi Alan dapat menangkap luahan Nadia itu.

Tangan Alan kaku sebentar, wajah Nadia yang berkerut diperhatikan daripada dalam cermin. Wajah seperti hendak menangis, Nadia tidak pula sedar yang Alan sedang memerhatikan dirinya yang cuba menahan diri daripada menangis.

"Apa yang terjadi?" Alan bertanya. Nadia memandang ke dalam cermin, baru dia perasan yang Alan terhenti membuat kerjanya dan sedang memandangnya. Nadia berdehem kecil, menghilangkan rasa aneh di tekak kerana menahan tangisan.

"Tak ada apa-apalah." Nadia enggan bercerita, dia segan. Riak wajah Alan berubah kurang senang, tangannya mematikan alat pengering rambut di tangannya.

"Ceritalah, I nak tahu."

Nadia menggeleng-geleng enggan. Sibuk aje.

"Kalau you tak cerita, I tak bagi you keluar dari salun I ni," ugut Alan, lagi bertambah berkerut dahi Nadia.

"Peliklah you ni, menyibuk aje. Semua cerita pelanggan you, you nak ambil tahu ke?" soal Nadia geram.

Alan terkedu sebentar, selama ini memang dia ada berbual dengan pelanggan, tetapi dia bukanlah jenis yang 'mengorek' cerita dalam-dalam. Tapi hari ni banyak pula dia tanya, dia sendiri pelik dengan diri sendiri.

Suasana terus menjadi kekok bila kedua-dua mereka terdiam. Tangan kiri Alan tiba-tiba sahaja menyelerakkan dengan kasar rambut Nadia yang sudah hampir kering itu.

"Hei!" Terjerit Nadia dibuatnya. Apa jenis hair stylish dia ni, suka-suka hati main rambut orang, ingat aku ni anjing ke apa? Lepas tu buat muka selamba, nasib baik aku sabar aje, kalau tak muka handsome boleh jadi muka pembedahan plastik tak jadi nanti.

"I geram dengan bos I. Ezuan minta I belikan vanila latte untuk bakal tunang dia. Padahal itu bukan kerja I. Lepas tu, I terjatuh dan air tu tumpah. Itu aje," cerita Nadia dalam nada geram. Kening Alan terangkat, muka tak ambil kesah. Cerita Nadia tadi memang tak menarik minatnya. Tangannya kembali bekerja, pengering rambut dihidupkan semula.

"Next time, you boleh call dan mereka akan hantar kepada you," balas Alan. Dia memberikan senyuman buat Nadia dengan harapan dapat menyejukkan gadis itu yang sedang geram dengan dirinya.

Hmmm... Nampaknya esok terpaksalah Alan berpesan kepada adiknya dan pekerja-pekerja di kafe sebelah agar mereka menerima pesanan melalui panggilan telefon dan penghantaran, tetapi cuma khas buat Nadia sahajalah.

Tak pernah-pernah dia buat macam ni, entah mengapa dia berbuat begitu pun dia tak pasti, kenapa dia baik sangat hari ni? Pasti adiknya, Brian akan buat muka tak puas hati dan mengamuk marahkan dia kerana pandai-pandai menambah 'service' kafe itu yang memang tak pernah ada. Delivery service untuk salun Alan pernahlah, tapi tidak untuk orang lain. Alan sudah dapat bayangkan macam mana wajah tak puas hati Brian nanti.

Malas hendak merunsingkan otak membayangkan reaksi Brian, Alan mencapai sikat di troli perkakas di sebelahnya dan meneruskan kerjanya.

"I sakit hati bukan sebab vanila latte," sambung Nadia, nadanya rendah tidak beremosi. Pertama kali dia berani untuk bercakap daripada hati dengan lelaki yang tidak dia kenali. Alan sebaliknya tidak menyahut, dia hanya tumpukan perhatian kepada kerjanya sambil memasang telinga.

"Ezuan kekasih I. Kami dah bercinta plus minus enam tahun."

Tangan Alan terhenti, mereka sama-sama diam. Hanya bunyi pengering rambut di tangan Alan sahaja yang meriuhkan suasana.

Dan sekarang, ini baru cerita yang menarik bagi Alan.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro