
Bab 15
"Banyak-banyak tempat kau boleh lepak, kat sini juga kau lepak?"
Nashrul menarik kerusi di hadapan sahabatnya, Rizman yang sedang leka dengan iPad. Entah apa yang dibacanya pun Nashrul tak tahu, khusyuk semacam sampai sahabat bertahun sudah tak berjumpa pun tak dipandang. Ni mesti ada kaitan dengan perempuan.
"Apa salahnya lepak kat sini?" Rizman membalas tanpa mengangkat kepala.
"Memanglah tak salah, tapi sini KFC weh... KFC ni tempat budak-budak aje." Nashrul mengambil cawan Rizman lalu menghirup airnya. Terus tangan Rizman memukul tangan sahabatnya itu.
"Dah lama gila aku tak makan KFC tahu tak? Kat sana lain rasanya, tahu? Kau nak lain, pergi belilah jangan minum aku punya. Belikan aku lagi satu set Snack Plate, nak drumstick dengan thigh tau."
Nashrul bangun daripada kerusinya, melihat bungkusan dan dua kotak cheesy wedges yang sudah kosong membuatkan Nashrul mendengus perlahan. Dah sah-sah sebiji Zinger burger, seketul dua ayam dan dua kotak cheesy wedges tu sudah pun selamat dalam perut Rizman.
Tak penuh-penuh lagi ke perut dia, badan saja kurus tapi nafsu besar. Ini sah hantu makan besar tengah rasuk dia.
Cepat sahaja Nashrul sudah kembali menatang dulang dengan hidangan, nama pun fastfood mestilah cepat.
"Kau duduk sini dari pukul berapa? Dah berkotak-kotak kau telan?" soal Nashrul sambil mengambil tempat di hadapan Rizman.
"Entah, adalah dalam tiga empat jam sudah aku kat sini. Lapar weh."
"Makan tak baca bismillah ke apa?"
Rizman tidak mengendahkan gurauan sahabatnya itu.
"Selalu kau lepak tempat banyak awek, tapi hari ni lain sikit. Dah tukar taste?" usik Nashrul. Rizman ni memang dia kenal sangat, lima tahun di universiti dulu Rizman memang terkenal dengan sifat terlebih mesra dengan perempuan. Sifat, bukan sikap, memang dilahirkan jenis yang tak reti layan perempuan dengan betul, terlalu gentleman dengan mana-mana perempuan sampai habis satu fakulti anak-anak gadis daripada pelbagai negara dan bangsa perasan habis ingatkan Si Rizman ni syok kat dia orang. Tapi bila dah lama-lama baru kenal perangai sebenar Rizman yang tak pernah serius tu, terus kena cop playboy.
"Lepak sini baru boleh concentrate buat kerja."
"Pfffttt... Kerja konon. Tengok sikit kerja apa kau buat sampai langsung tak hiraukan kawan kau yang dah bertahun tak jumpa ni?" Nashrul merampas iPad daripada tangan Rizman, dia membaca kandungan yang terpapar pada skrin itu.
"Betullah aku kerja, aku tengok-tengok resume nak shortlist untuk panggil temu duga," balas Rizman. Nashrul hanya tersengih.
"Mesti semua yang shortlisted tu perempuan, kan?" perli Nashrul.
"Sudah, sudah. Kau mana boleh tengok, benda ni p&c." Rizman cuba merampas semula iPad daripada tangan Nasrul, namun Nashrul pantas menepis tangan Rizman.
"Kejaplah, aku tengok sikit aje. Bukan aku nak buat benda tak baik pun," balas Nashrul. Dia melihat sekali lalu satu per satu resume itu, sampailah terjumpa satu wajah yang dia kenal.
"Aku rasa... Aku macam kenal perempuan ni."
"Mana?"
IPad itu kembali beralih tangan, Nashrul mencapai cawannya. Sambil minum dia berfikir di mana dia pernah berjumpa perempuan itu.
"Diana Nazri ni?" Rizman bertanya. Nashrul memandang wajah sahabatnya lalu dia mengangguk. Keningnya berkerut kerana masih belum mendapat jawapan.
"Lawa," komen Rizman pendek sambil membaca maklumat di resume gadis berusia 24 tahun itu.
"Alah... Kau bukan pernah jumpa dia, kau perasan aje sebab dia lawa." Rizman bercakap berdasarkan pengalaman, memang kadang-kadang perasaannya sahaja padahal tak pernah jumpa pun.
"Aku bukan macam kau, okey. Tak ada ke gambar dia yang besar sikit?"
Rizman menggeleng.
"Aku tahu..." Nashrul diam seketika kemudian dia tiba-tiba meletak kembali cawannya di atas meja dan mengangkat jari telunjuknya.
"Aku dah ingat kat mana aku jumpa dia. Dekat bank. Check tengok betul tak budak tu kerja bank," kalut dua sahabat itu mendekatkan diri, dua pasang mata tertumpu pada skrin iPad itu sambil jari Rizman scroll down resume itu.
Memang benar gadis ini pernah bekerja di bank. Dia memang gadis yang Nashrul katakan.
"Kan betul aku pernah jumpa awek ni."
Rizman tarik sengih, Nashrul kemudian berkerut kening.
"Kenapa dia minta kerja?"
"Mana aku tahu. Dah bosan kerja bank, maybe?" Rizman menjawab, manalah dia tahu kenapa orang mencari kerja lain. Boleh jadi mereka tidak suka dengan tempat kerja sekarang, boleh jadi terlalu stress dengan kerja sekarang. Ada juga yang cari kerja yang bergaji lebih tinggi, boleh jadi juga... Mereka dipecat.
"Jangan kata dia kena buang kerja sebab aku sudah." Suara Nashrul lemah, teringatkan perbuatannya terbit juga rasa bersalah pada si gadis ini.
"Kenapa pula ada kena-mengena dengan kau." Hairan lagi pelik. Tiba-tiba Nashrul ni terbabit dengan orang yang dia tak berapa kenal.
"Sebab aku pernah buat kompelin pasal dia."
Air muka Nashrul berubah keruh, bimbang kalau-kalau Diana betul-betul dibuang kerja kerana tindakannya. Bila difikirkan balik, memang agak melampau perbuatannya.
"Kompelin? Kenapa?"
"Aku tackle dia, dia jual mahal. Tak layan langsung, bukan sekali, dua tiga kali juga la. Aku geram, aku saja hantar e-mel kompelin pasal kerja dia, padahal tak ada benda pun. Kes kecik aje, aku saja besarkan."
Rizman tarik muka tak percaya, macam muka mengejek pun ya.
"Tak sangka aku ada kawan macam ni," ujar Rizman sambil menggeleng-geleng, matanya memandang sinis kepada Nashrul.
"Apa? Macam apa? Yang aniaya orang?" tukas Nashrul dalam nada tak puas hati. Dia sendiri pun tahu silapnya, tak perlulah Rizman nak perli dan beri pandangan bagaikan dia makhluk paling jijik di muka bumi ini. Macam besar sangat salahnya. Tapi, kalau dah tabur pasir dalam periuk nasi orang lain, tak besar ke salahnya tu? Dia memang tak sangka tindakannya yang cuma main-main menyebabkan gadis itu kehilangan kerja.
Oh, tidak. boleh jadi dia sebenarnya berhenti kerja, Nashrul menyedapkan hati. Nashrul diselubungi rasa bersalah dan benar-benar menyesal.
"Bukan. Jenis yang tak reti pikat perempuan. Malu aku nak mengaku kawan kau."
Nashrul tertunduk mengeluh, memang dia tahu otak Rizman ni dari dulu lagi dah rosak.
"Apa-apa pun, nama Diana ni kena masuk shortlist dan kerja kau kena masukkan dia dalam company kau."
Nashrul dengan selamba memberi arahan. Rizman yang rosak pemikiran ni memang tak dapat diselamatkan lagi dah, sekarang yang penting selamatkan periuk nasi manusia tidak bersalah tu dulu.
"Eh, suka-suka hati kau arah aku macam company ni bapak kau punya..."
Nashrul buat muka bosan, tangannya laju menyumbat drumstick ke dalam mulut Rizman yang sedang kalut bercakap. Rizman terkebil-kebil memandang Nashrul, tidak percaya dengan apa yang baru Nashrul lakukan terhadapnya. Nashrul pula hanya buat muka tak endah.
Lantaklah kau nak fikir apa dalam hati. Yang penting kau diam.
Nadia memandang Diana yang sedang termenung di meja makan. Kepala Diana terlentok pada lengan yang diletakkan di atas meja itu sudah lama statik tidak bergerak. Nadia mengeluh, lalu dia menghampiri Diana yang berwajah monyok sedari tadi.
"Oi, monyok aje." Nadia menegur, dia mengambil tempat berhadapan dengan Diana. Sebaik sahaja ditegur, Diana terus mengangkat kepalanya. Pantas sahaja dia mengaduh, tengkuknya sakit, lenguh kerana telah terlentok dan pegun dalam keadaan kurang selesa untuk suatu jangka masa yang panjang.
"Aduh, aduh..." Panjang Diana mengaduh, tangannya mengurut-urut tengkuk yang sakit bagi melancarkan aliran darah sekitar tengkuk, biar berkurangan sakit yang menyengat itu.
"Berapa lama kau termenung macam tu, Diana? Sampai teleng tengkuk kau tu aku tengok." Nadia mengulas. Wajahnya berkerut risau, terjuih-juih bibir terkumat-kamit memarahi Diana tanpa nada.
"Aku... Tak sedar, syok aje duduk macam ni." Diana mengetuk-ngetuk lembut pada bahunya pula, hilangkan sengal di bahu.
"Kau termenungkan apa? Ingat cik abang ya?" usik Nadia sambil tersengih-sengih. Wajah Diana pula berkerut, cepat-cepat dia menyangkal.
"Isy... Kau ni, ke situ pula. Aku mana ada cik abang lagi."
"Habis tu, muka monyok macam orang putus tunang."
"Kalau putus tunang, bukan monyok. Menangis dah aku."
Nadia tergelak dengan jawapan Diana, lucu rasanya.
"Habis tu, kau fikir pasal apa?"
"Pasal apa lagi, kerjalah. Aku rasa tak sedap hati aje menganggur..." Muka Diana kembali keruh, Nadia mengeluh perlahan bersimpati dengan nasib Diana.
"Ala Diana, relekslah. Kau baru menganggur seminggu bukannya setahun. Kan kau dah ada minta kerja dengan banyak tempat, insya-Allah adalah rezeki kau tu nanti. Doa aje banyak-banyak." Nadia memberi semangat. Sesaat kemudian dia menelan liur, pandai aje bercakap tetapi timbul juga perasaan kekok bila dia menasihati Diana yang lebih alim daripada dirinya tentang berdoa.
"Tengah tunggu panggilan temu dugalah ni, tapi... Aku rasa tak sedap hati sangat. Asyik berdebar aje, risau orang tak nak ambil aku bekerja."
Diana mengadu gundahnya yang tersimpan dalam hati. Bermacam-macam rasa dia simpan dalam hatinya, jarang sekali dia luahkan kepada sesiapa. Nak luah pada kak long, dia tak mahu menambah beban kakaknya yang sedang memerah otak demi pelajaran dan keluarga nun jauh di perantauan. Nak telefon mak ayah, tak mahu mereka risaukan dirinya, biarlah mereka hidup dengan aman tak ada gangguan di kampung.
Telefon rakan-rakan lain untuk mengadu juga bukan pilihan yang bijak, kerana mereka yang lain juga masing-masing tengah struggle untuk menstabilkan kehidupan masing-masing yang masih lagi seperti Diana juga, mencari kerja yang serasi dengan diri, tukar kerja sana sini. Nak tak nak Nadialah satu-satunya mangsa yang sesuai untuk menjadi pendengar setia pilihan Diana. Tapi nasib Nadia jugalah, siapa suruh dia busybody, kalau dia tidak menyoal mungkin Diana tidak membuka mulut.
"Kau ni fikir banyak sangatlah, Diana. Tak perlu fikir banyak-banyak macam tu."
Nadia menarik tangan Diana lalu dia menggoncang-goncang lengan gadis di hadapannya itu. Menggesa Diana supaya tidak terlalu memikirkan hal-hal yang membebankan minda. Diana tersentuh dengan kesungguhan Nadia melayan aduannya, walhal mereka baru sahaja berkenalan tidak sampai lagi sebulan. Mereka berdua sama-sama belajar membuka hati masing-masing untuk mengenali hati budi dan menjadi rakan, juga sahabat.
Nadia memberikan senyuman sokongan buat Diana dan dia menyambung kata, "aku doakan untuk kau, okey?"
Terus sahaja Nadia menadah tangannya tinggi dan berdoa dengan suara lantang.
"Ya Allah, kau murahkanlah rezeki rakanku ini, mudahkanlah dia dapat kerja. Kesian aku tengok dia susah hati sangat, kau bantulah dia supaya dia tak susah-susah hati lagi."
Diana tergelak kecil melihat gelagat Nadia. Lega hati Nadia bila dia melihat senyuman terukir di bibir Diana itu.
Tiba-tiba telefon bimbit Diana berbunyi, ada e-mel yang baru sahaja masuk ke e-melnya. Diana yang masih lagi terukir senyuman manis di bibir setelah tawanya mereda, terus mencapai telefon pintar itu yang terletak tidak jauh dari sisinya. Lincah sahaja jari-jemarinya menari-nari di atas skrin sentuh telefon itu, e-mel yang baru diterimanya dibuka dengan penuh debar.
"Sukacita dimaklumkan bahawa cik sudah disenarai pendekkan untuk hadir temu duga!"
Diana membaca butir e-mel yang diterimanya sebentar tadi dengan nada yang semakin menaik daripada tidak kedengaran kepada jeritan. Nadia turut menjerit bersama dek teruja. Jantung Diana terus berdegup laju, Ya Allah... Alhamdulillah, alhamdulillah. Walaupun hanyalah e-mel jemputan untuk menghadiri temu duga, Diana sudah sangat bersyukur. Ini bermakna dia sudah setapak maju ke hadapan, one step closer to her target.
"Ya Allah, betul ke Diana? Kompeni apa?" tanya Nadia tidak percaya, baru sahaja dia berdoa tadi, tup-tup Allah sudah makbulkan doanya, besarnya kuasa doa.
"Kompeni kau kerja. Kejap, biar aku baca lagi sekali." Diana menarik nafas dalam-dalam sebelum mengulang baca. Diana membaca dalam hati e-mel itu yang dihantar dalam dwibahasa, bahasa Inggeris dan bahasa Melayu. Daripada mula e-mel hingga ke titik penghujungnya. Terangguk-angguk dia memberi kepastian kepada Nadia. Terus Nadia menadah tangan sekali lagi seperti tadi dan mengucapkan syukur.
"Alhamdulillah..." ucap mereka berdua serentak.
"Celebrate jom? Kita makan luar nak malam ni?"
Bukan main lagi Nadia memberi cadangan, seronok sangat macam sudah menang hadiah besar.
"Kau ni... Sabar-sabarlah, ini baru jemputan interview. Bukan aku dapat kerja lagi pun." Diana menggeleng tidak setuju. Dia kembali meletakkan telefon pintarnya di atas meja makan. Nadia menarik tangan Diana, sambil memujuk.
"Ala, ini kira small celebration la. Nanti kalau kau dapat kerja kita celebrate la yang meriah sikit. Jomlah, bukan nak makan besar pun, bukan nak makan mahal-mahal ke apa, makan kat gerai pun tak apa. Janji kita keluar makan, lagipun aku teringin nak bawa kereta baru aku tu jalan-jalanlah, Diana." Pandai Nadia memujuk, terus sahaja Diana termakan pujuk rayu gadis itu. Lantas senyuman nakal terukir di bibir Diana.
"Sekali-sekala apa salahnya, kan?" suara Diana sambil mengangkat bahu sekali. Nadia bersorak kegirangan.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro