Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 14

Mata Diana terkebil-kebil melihat Nadia memarkir kereta Perodua Kelisa merah berbumbung hitam di anjung rumah. Nadia berlagak bersahaja sebaik sahaja keluar daripada kereta baharu yang tak berapa nak baharu itu. Terus dia menutup pagar.

"Eh, kau tak pernah nampak Perodua Kelisa ke?" tanya Nadia kepada Diana yang masih ternganga di muka pintu.

"Comel tak?" tanya Nadia sambil mengangkat keningnya, bangga berdiri di sebelah keretanya.

"Comel... Sesuai dengan kau," puji Diana. Dia terangguk-angguk memperkukuhkan kenyataannya, sesuailah dengan Nadia yang comel.

Semalam dia berposing habis dengan kereta-kereta yang ada semasa dia memilih kereta, kejap Perodua Myvi hitam, Perodua Myvi kuning, Perodua Kancil merah, Proton Saga biru, Proton Satria silver dan banyak lagi jenis kereta yang ada. Alan pun melayan aje dia, sikit pun tak kompelin, dan akhirnya Perodua Kelisa merah ini juga yang jadi pilihan hati setelah ditolak campur darab bahagi gajinya, inilah yang sesuai dengan gajinya sekarang dan dia sangat suka dengan pilihannya ini. Nadia tersenyum luas, bukan main dia berposing dengan kereta Kelisa itu, kereta kebanggaannya kerana dia membelinya dengan duit sendiri.

"Kereta siapa pula kau bawa balik ni?" Diana bertanya. Tak pernah pula dia dengar Nadia ada kata dia hendak beli kereta ke apa. Tiba-tiba sahaja muncul, mungkin dia pinjam daripada kawan kut. Nadia terus merangkul lengan Diana dan sama-sama beriringan ke dapur.

"Kereta akulah. Tiga hari lepas aku pergi beli. Hari ni lepas OT tadi aku ambil." Nadia menghempas tubuh di atas kerusi di meja makan. Seperti yang dia jangka pasti Diana sudah siap masakkan makan tengah hari, bau masakan sudah menusuk hidungnya sejak dia melangkah masuk rumah tadi. Perut sudah lapar, tak sabar nak makan. Nadia apa lagi, cepat-cepatlah mencuci tangannya di singki.

"Cepatnya."

"Dunia sekarang, asal ada duit sekejap aje," balas Nadia. Lagi cepat lagi bagus, tak perlu lagi nak kejar bas untuk ke mana-mana. Selama ini dia terlalu disenangkan oleh Ezuan sampai masa dia berasa susah sedikit, sudah menggelupur. Cepat-cepat cari jalan penyelesaian, mujurlah dia masih mampu untuk membeli kereta, second hand pun second hand la, janji boleh bergerak.

"Ha... Itu agaknya beza orang dah kerja dekat tujuh tahun dengan orang yang baru kerja tujuh bulan. Kau dah boleh beli kereta, aku pula kena buang kerja."

Diana mengeluh, tempoh dia tidak bekerja itu terasa sangat-sangat panjang. Baru seminggu, tapi terasa macam sudah lama dia duduk goyang kaki. Rasa tak enak mula bertamu dalam hati, siapa nak tanam anggur lama-lama, duit bergunung pun boleh habis macam tu aje.

"Ala, ada officemate aku kerja baru sebulan dua dah beli kereta tau. Sekarang kereta tu satu keperluan, tak ada kenderaan susah nak gerak. Public transport kita belum cukup cekap lagi, bas kejap awal kejap lambat, stesen lrt, mrt dengan ktm pun tak boleh banding dengan negara jauh macam Jepun dengan Korea tu, lawan dengan negara jiran kita pun kalah."

Nadia mula mencedok nasi ke atas pinggannya dan ke atas pinggan Diana. Tetapi Diana masih lagi berdiri di sebelahnya, masih risaukan mengenai status dirinya sebagai penganggur dan duit.

"Macam manalah nak buat hutang kereta kalau hutang PTPTN pun banyak lagi."

Bukan Diana nak merungut, tetapi memang kenyataan. Dia dirundung rasa tidak enak bila mengenang nasib diri yang sedang menganggur sekarang. Bukan juga sebab dia tak mahu bersusah sikit naik kenderaan awam, dia sanggup bangun awal untuk mengejar train dan bas untuk ke tempat kerja. Tetapi sekarang ini banyak pula majikan yang awal-awal sudah pamerkan dalam iklan jawatan kosong mereka yang mereka mahukan pekerja ada lesen, boleh memandu dan ada kenderaan sendiri.

Kalau kena buat sales, masuk akallah tapi banyak juga jawatan yang bukan bidang jualan dan pemasaran tetapi masih mahukan pekerja yang ada kenderaan sendiri. Dah macam syarat wajib pula.

"Ala, budak-budak sekarang PTPTN tolak tepi. Kereta dulu, paling tidak pun motor. Tak ada kereta, tak bergerak. Tak bergerak susah nak kerja. Aku tak kata ia mustahil, cuma susah sikitlah." Nadia menyambung, tangannya menarik kerusi untuk Diana dan memaksa si penganggur itu duduk di atas kerusi.

"Tapi... Hutang tetap hutang. Aku tak sedap hati bila fikir pasal hutang."

Nadia memandang wajah keruh Diana, hatinya terus dijentik rasa bersalah. Salah topik ke? Risau juga kalau Diana ni sensitif bab-bab duit ni sebab dia masih lagi job hunting sekarang.

"Sudahlah, bercerita pasal duit sampai esok pun tak akan habis," ucap Nadia. Diana diam tidak membalas.

"Pasal kerja, aku dah hantar resume kau kat HR masa aku pergi ambil surat lantikan aku. Akak tu suruh kau e-mel sendiri softcopy resume, nanti aku bagi e-mel address dia. Akak tu cakap bos HR dah tukar baru, adik big boss. Aku pun tak kenal dia, tapi mesti dia okey dan baik punya sebab bos besar aku baik sangat, adik dia pun mesti baik, kan? So, jangan risau sangat tau, relaks aje kalau dia orang panggil interview." Nadia memberi semangat, Dania mengangguk faham.

"Diana, aku dah lapar ni... Jom makan." Nadia memujuk sambil tangannya menggosok-gosok perut yang terasa panas. Dia mencebir bila Diana masih termenung. Nadia terus menepuk bahu Diana untuk menyedarkannya.

"Terkejut aku."

"Makan!"

"Yalah, nak makanlah ni."

Ezuan melelapkan mata, lengan kiri diletakkan ke atas dahi. Untuk ke sekalian kalinya dia mengeluh. Sejak Nadia meninggalkan rumah ini, Ezuan tidak pernah berhenti menanti kepulangan Nadia saban malam.

Ezuan langsung tidak pulang ke rumah keluarganya sedangkan memang dia tinggal di sana. Cuma sekali-sekala sahaja dia datang tidur atau menjengah ke sini untuk berjumpa dengan Nadia. Memanglah mereka sering bertengkar di pejabat, tetapi jauh dalam sudut hati, Ezuan tetap menanti Nadia di sini.

Masih terbayang tubuh Nadia di sekitar rumah ini, Nadia memasak, mengemas rumah, makan, menonton filem di kaca televisyen... Sebenarnya Ezuan rindu tetapi dia terlalu ego untuk mengaku. Hari ini Nadia datang ke pejabat dengan senyuman lebar, sungguh cantik sekali. Boleh dikatakan Nadia semakin hari semakin cantik, makin ceria, tidak ada lagi kerutan di dahi. Sebaliknya pula Ezuan yang semakin hari semakin tertekan dan kesunyian.

Televisyen yang terpasang dibiarkan tidak bertutup walaupun dia tidak berniat untuk menontonnya. Ezuan hanya memasangnya untuk meriuhkan suasana yang terlalu sunyi. Tanpa Nadia, rumah ini terlalu sunyi, seperti jiwanya yang semakin hari semakin kosong.

Mata Ezuan yang layu terbuka luas bila dia mendengar bunyi loceng rumah dipetik. Ezuan bangun daripada berbaring pada sofa itu, dia duduk sambil memandang ke arah pintu utama. Mindanya berteka-teki adakah dia berkhayal atau memang ada orang di hadapan pintu rumahnya itu. Loceng rumah berbunyi sekali lagi, Ezuan bangkit dan bergerak ke pintu utama.

Nadia? Dia sudah pulang? Ezuan berharap Nadia yang berdiri di hadapan pintu itu. Laju tangannya membuka pintu.

"Woi, kau tak kerja ke hari ni?"

"Pak... Pak... su."

Ezuan terkejut melihat lelaki di hadapannya. Tak sangka orang lain pula yang muncul.

"Yang kau gagap kenapa?"

"Terkejutlah, bila pak su balik?"

"Dah tiga hari dah aku bernafas udara Malaysia ni. Itu la, siapa suruh kau tak balik rumah mak kau, aku balik pun kau tak tau. Kau tak nak jemput aku masuk ke?"

Ezuan membuka luas pintu rumahnya.

"Masuklah."

Rizman melangkah masuk ke dalam apartmen Ezuan bersama satu bagasi besar. Mata Ezuan membulat melihat lelaki itu menarik beg bagasi itu ke dalam rumah.

"Aku tinggal sini, bilik aku yang mana? Yang ni?" Selamba sahaja Rizman menuding jari ke arah bilik tidur milik Nadia dahulu, baru sahaja Rizman hendak mendekati pintu bilik itu, Ezuan cepat-cepat menghalang.

"Apa pasal pak su nak duduk sini?" Ezuan bertanya kepada Rizman, bapa saudara yang tua enam tahun sahaja daripada dirinya.

"Ala, macam kau tak tahu sebab apa aku tak nak duduk dengan bapak kau. Kau sendiri pun lari dari rumah. Duduk dengan along dengan kak long memanglah best, layanan tiptop, makanan sedap-sedap, rumah besar, selesa, tapi tak ada kebebasan... Tak boleh balik lambat, Sabtu Ahad tak boleh keluar malam, macam budak sekolah. Tapi bila cakap tidur rumah kawan dia bagi."

Berkerut-kerut wajah Rizman bercerita kisah yang sememangnya Ezuan tahu. Dia sendiri pun kena macam tu. Di rumahnya ada peraturan ketat, semua mesti patuhi jadual. Walaupun sudah dewasa, Ezuan masih belum ada kebebasan untuk balik lewat malam, bak kata ayahnya, '99% aktiviti di luar pada lewat malam adalah yang tidak elok, lebih baik duduk di rumah sahaja daripada buat benda yang bukan-bukan di luar. Siapa yang boleh tahan kalau macam itu? Mereka darah muda, lelaki pula tu, memang lari dari rumahlah jawabnya.

"Ayah tahu ke pak su pindah keluar?"

"Mestilah dia tak tau, aku lari sebelum dia balik kerja tadi. Ei... Cepatlah, aku nak masuk bilik." Rizman mendesak Ezuan bergerak ke tepi. Ezuan masih menghalang.

"Bukan bilik ni, tu... Yang depan sana. Bilik ni tak boleh masuk, Ez duduk sini."

"Alah, kedekut... Kau simpan perempuan ke apa dalam ni? Aku tak masuklah, aku pun tahu jaga privasi orang," bebel Rizman sambil menarik begnya ke bilik yang lagi satu, bilik Ezuan yang sebenar.

Sementara Rizman di dalam bilik, Ezuan mengelilingi segenap rumahnya, memastikan tiada barang-barang milik Nadia yang tertinggal di luar, semuanya dibawa masuk ke dalam bilik Nadia yang kini menjadi milik Ezuan secara rasmi setelah dia memberi biliknya kepada Rizman.

Setelah berpuas hati Ezuan keluar dari bilik, kebetulan pula Rizman menjerit memanggil namanya.

"Apa hal?" Ezuan bertanya sebaik sahaja dia tiba di muka pintu bilik.

"Almari ni penuh dengan baju kau, aku nak sumbat mana barang aku?"

Dia ni serius rupa-rupanya nak duduk rumah aku ni. Ezuan mengomel dalam hati. Cepat sahaja dia melangkah mendekati almari empat pintu itu. Tangannya mengambil keluar semua baju yang bersangkut lalu dia mencampakkan sahaja di atas katil. Rizman mengambil penyangkut untuk menyangkut baju-bajunya pula.

"Kau jangan lupa telefon rumah, mak kau dah cari. Aku tak faham, kenapa dengan aku bapak kau strict gila, tapi dengan kau tak ada pun. Kalau kau tak balik dia orang tak pernah kesah pun."

Rizman terus mengemas baju-bajunya, Ezuan pula mengeluarkan barangnya daripada laci almari itu.

"Sebab dari sekolah lagi Ez selalu bawa balik kawan sekolah tidur kat rumah, jadi mak dengan ayah percayalah kalau Ez cakap Ez lepak rumah kawan macam mana kawan-kawan Ez selalu lepak kat rumah kita."

"Pandai kau." Rizman memerli Ezuan. Ezuan terus mencampak boxer di tangannya ke kepala Rizman.

"Kalau pak su nak duduk sini, baik tutup mulut."

"Bukan main lagi kau ugut aku. Kau ingat bapak kau tak tahu ke rumah ini sebenarnya rumah kau bukan kawan kau? Seribu tahun awallah kalau kau nak menipu bab ni dengan bapak kau."

Ezuan kaku mendengar kata-kata yang keluar dari mulut pak sunya itu. Kalau memang ayah sudah tahu kenapa tidak pernah walau sekali ayahnya bertanya mengenai rumah ini?

Sejak dari zaman belajar lagi dia tinggal di sini supaya dia lebih bebas daripada kongkongan keluarga, kononnya dia menyewa dengan rakan-rakan supaya dekat dengan fakulti, tetapi sebenarnya dia cuma tinggal di sini seorang diri sebelum dia membawa Nadia tinggal bersama. Tetapi bila sudah bekerja, Ezuan lebih selesa tinggal di rumah keluarga kerana rumah keluarganya lebih dekat dengan pejabat, jadi tidak perlu dia menempuh kesesakan setiap pagi dan petang.

"Tak payah cuak sangatlah. Kalau dia nak marah kau, awal-awal lagi dari masa kau belajar dulu lagi dia dah marah kau. Dia tahu kau tak pernah keluar dari rumah sewa ni lepas habis belajar dulu sebab lepas kau kerja kau beli rumah ni, kan? Dah berapa tahun kau beli rumah ni dia tak pernah cakap apa pun. Memang dia tak nak usiklah tu. Kau kan budak baik, bapak kau percaya kat kau."

"Ayah tahu atau tidak, pak su buat-buat tak tahu aje. Mulut pak su tu bukan boleh percaya sangat."

"Sampai hati kau, mulut aku pandai control diri sendiri. Kau kena bagi juga aku tinggal sini, kau tak kesian ke kat pak su? Mak bapak pun dah tak ada, kerja pun baru sehari dua, mana nak ada gaji lagi? Mana pak su ada duit nak cari rumah."

Rizman menarik muka meraih simpati. Ezuan buat muka menyampah, bab meminta pandai pula tukar kata ganti diri daripada aku kepada pak su.

"Tak ada duit? Tak ada duit taik kau. Kalau pak su nak beli rumah sekarang pun boleh, cash pun boleh," balas Ezuan sambil tangannya tak habis-habis melempar boxer-boxernya ke muka Rizman.

Rizman terpegun melihat peti sejuk Ezuan yang penuh dengan makanan dan bahan mentah. Tak seperti peti sejuk lelaki bujang yang tinggal seorang diri.

"Kau masak ke kat rumah, Ez?" tanya Rizman sebelum meneguk susu terus daripada kotak susu itu.

Baru seteguk air susu itu masuk ke dalam mulutnya Rizman cepat-cepat berkalih ke singki dan memuntahkan semula susu itu.

"Puuuiii... Expired!!!" jerit Rizman, terus tangannya menuang susu basi itu ke dalam singki. Itulah kalau makan pakai telan aje, tak reti nak baca label, tak reti nak ambil bau dulu ke apa.

Rizman berkumur beberapa kali, kemudian dia kembali ke peti sejuk yang masih terbuka. Confirm, ini memang peti sejuk orang bujang, ada susu basi dalam peti sejuk pun tak perasan. Nak tunggu jadi hijau baru nak buang agaknya. Tangan Rizman mencapai sebiji buah epal lalu menggigitnya sambil tangan kirinya menghempas pintu peti sejuk itu.

"Ez, order something. Call piza, pak su laparlah." Rizman ni memang pandai, bila dia hendak meminta baru dia gunakan ayat dan nada sopan sikit.

"Cepatlah, lapar ni. Pagi tadi bangun lambat tak sarapan pun. Dah dekat pukul tiga dah ni. Lapar gila kut," sambung Rizman.

"Mana nak sarapan, bangun pun tengah hari. Lepas tu tak lunch dulu kat rumah sebelum lari," perli Ezuan.

"Kalau makan dulu tadi mana ada peluang nak lari."

Rizman mengambil tempat di sebelah Ezuan di atas sofa panjang di ruang tamu. Ezuan pula bangkit sejurus Rizman melabuhkan punggungnya, dia bergerak ke arah balkoni.

"Nak piza apa?" Ezuan berpaling untuk bertanya sebelum dia melangkah keluar ke balkoni.

"Apa-apa yang sedap."

"Okey."

Setelah membuat pesanan, Ezuan kembali masuk ke dalam rumah. Matanya yang tajam terus menangkap objek yang tidak patut berada di atas meja kaca di depan sofa.

"Tu... Epal tu, dah makan tak reti nak buang?"

Sebagaimana Nadia pernah memarahinya kerana meninggalkan sampah di atas meja kaca itu, begitulah dia memarahi pak sunya.

Dengan nada perli yang sama dan ekpresi wajah yang sama dengan kening kanan yang terangkat dan isyarat mata ke arah sampah itu. Dulu ada orang tolong kemaskan rumah, sekarang ni kalau dibiarkan bersepah memang kotorlah apartmen ni jadinya. Rizman tersengih, dia mengutipnya dan berlalu ke dapur untuk membuang sisa epal tadi dan mencuci tangan.

"Pak su dah masuk kerja, kan? Department mana?"

"HR," jawab Rizman pendek sambil dia mengambil tempatnya kembali.

"HR? Kenapa HR? Bertahun-tahun belajar overseass, siap kerja kat sana tiba-tiba masuk kerja yang tak ada kena-mengena dengan apa yang pak su belajar. Kongsilah ilmu yang pak su kutip kat sana."

"Suka hati akulah, aku dah puas jadi arkitek kat Australia dulu. Balik ni aku nak goyang kaki aje kat HR tu, nak main-main aje. Syok apa kerja HR ni. Fail beratus-ratus pekerja ada dalam tangan aku, boleh aku pilih mana yang boleh buat awek dengan hujung jari aku aje." Rizman membalas.

Ezuan menggeleng melihat perangai gila pak sunya. Ezuan pun tak faham kenapa dia masih ada rasa hormat pada pak sunya ini, kata hatinya kuat menyatakan; 'sebab dia lagi berani daripada kau.'

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro