Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 12

"Kenapa dengan you?" tanya Anna, salah seorang pekerja di Salun Ace Cut. Matanya terbeliak melihat keadaan Nadia yang baru sahaja melangkah masuk ke dalam salun itu.

"Ada orang gila tuang kopi atas kepala I," jawab Nadia dengan suara malas. Mendengar suara Nadia membalas pertanyaan itu, Alan terus tertoleh ke arahnya.

"Why?" tanya Anna lagi.

"Sebab dia gila," jawab Nadia lagi dengan nada geram. Ming dan Eddie, pendandan rambut Ace Cut dan tiga orang pelanggan juga menoleh setelah mendengar jawapan Nadia itu. Nadia mengeluh lalu dia tertunduk.

"Anna."

Alan memanggil Anna sambil menanggalkan sarung tangan, Anna faham yang Alan memanggilnya untuk menghabiskan kerjanya mewarnakan rambut pelanggan. Anna terus sahaja mengambil tempat bosnya menyambung tugas itu. Senyuman dilemparkan kepada pelanggan yang sudah kuyu matanya kerana mengantuk. Proses mewarnakan rambut memang lama, tambah-tambah pula rambutnya panjang.

Alan mendapatkan Nadia yang kaku di depan pintu salun. Wajah Alan terselit riak risau, keningnya berkerut. Tangannya memegang lembut lengan Nadia.

"Apa sudah jadi?" tanya Alan risau. Nadia menggeleng.

"Jangan macam ini, nanti I risau. Just tell me what happened?" sambung Alan bila Nadia enggan bersuara. Nadia panggung kepala lalu memandang ke dalam mata Alan, dia tersenyum tapi Alan tahu itu senyuman paksa.

"Alan, I nak cuci rambut," kata Nadia. Takkan nak balik ke rumah dengan rambut bau kopi. Alang-alang ada di salun rambut, cuci sajalah rambut ni.

"Come." Alan menarik lengan Nadia membuatkan gadis itu mengaduh serta-merta. Alan memandang Nadia, Nadia menjawab tanpa disoal.

"Tangan I ada lebam sikit."

"Oh, sorry." Terus sahaja Alan melepaskan lengan Nadia. Nadia mengikuti Alan ke ruang mencuci rambut. Alan menjalankan tugasnya seperti biasa, sudah lama dia tidak mensyampu rambut pelanggan kerana selalunya pekerja bawahannya yang akan membuat kerja itu.

"Now, can you please tell me why you smell like coffee?" soal Alan sambil tangannya membersihkan rambut Nadia.

"Tadi kan I dah beritahu, ada orang gila tuang kopi atas kepala I."

"Kenapa?"

"Sebab dia gila."

"Nadia, be serious." Keras suara Alan. Nadia menarik muka. Alan risau, baru sahaja Nadia dapat tersenyum gembira baru-baru ini tetapi hari ini senyuman manis Nadia seolah-olah diragut pergi daripada wajah cantiknya itu.

"You ni, mana boleh marah pelanggan," kompelin Nadia, bibirnya muncung tanda tak puas hati.

"Orang datang salun dia, dia marah kita. Tak datang terus baru padan muka. Hilang sorang pelanggan setia," bebel mulut Nadia. Terus sahaja wajah Nadia direnjis air.

"Ops... Sorry, tak sengaja," ucap Alan dengan nada tak ikhlas walau sekelumit pun, dia memang sengaja berbuat begitu kerana geramkan Nadia yang tidak mahu membuka cerita sebenar. Boleh pula Nadia membebel marahkan Alan depan-depan.

Nadia bangkit dan menoleh ke arah Alan dengan muka masam mencuka. Alan menarik lembut bahu Nadia memaksanya berbaring semula.

"Cik, tolong jangan bangun. Nanti baju basah," ucap Alan dengan pelatnya.

"Mana ada I marah pelanggan, I marah kawan I yang tak mahu cerita perkara sebenar," sambung Alan. Bibir Nadia yang diketap rapat mula herot ke kiri dan ke kanan, lagaknya seolah-olah sedang berfikir. Kemudian dia mengeluh lagi.

"Okey fine, kalau you tak nak cerita..."

"Iryana yang tuang kopi ni atas kepala I. Iryana, bakal tunang ex-boyfriend I tu. Dah gila agaknya dia, dia geram tanpa sebab lepas tu dia tuang kopi tu." Dengan berat hati Nadia berterus terang, lagipun Alan memang sudah tahu mengenai apa yang terjadi antara dia dan Ezuan. Sejak berpisah dengan Ezuan memang Alan menjadi pendengar setia setiap kali dia mengadu atau berkongsi cerita, kenapa tidak kali ini?

"Are you okay?" tanya Alan dengan nada penuh prihatin.

"Erm," jawab Nadia pendek.

"You gaduh dengan dia?"

"Tak, cuma dia... Bagi warning kat I. Jangan dekat dengan Ezuan." Nadia menjawab dengan suara menyampah.

Nadia diam sebentar sebelum menyambung.

"Macamlah I nak sangat pada Ezuan tu. Sikit pun tak hairan. Tak perlu dia nak ingatkan siapa diri I, tahulah I tak setanding dengan dia. Bukan siapa-siapa, tak berharta, tak bergaya macam dia."

Suara Nadia bergetar, giginya diketap kuat kegeraman. Tanpa dia sedar setitis air matanya mengalir. Kehadiran mutiara jernih itu disedari Alan lantas dia menyeka air mata itu dengan tuala bersih.

"Don't cry... She gave you a warning because she felt insecure. That shows you are an amazing girl," pujuk Alan, Nadia mencebik. Nak pujuklah tu, jangan sweet sangat boleh? Cair tau!

"Mana ada I nangis, syampu you masuk dalam mata," bidas Nadia, malu hendak mengaku yang air matanya sudah menitis. Nadia menutup matanya, takut kalau ada air mata yang akan menitis lagi.

"You are an amazing girl, just remember that." Suara Alan perlahan sebelum dia menyambung semula kerjanya.

"Ya, I tahu. Tapi I nak jadi yang lebih lagi, Alan... You mesti tolong I upgradekan diri I. I nak jadi lebih cantik, lebih ayu, lagi bergaya, stylish daripada dia. In short, perfect woman. You kena tolong I," ujar Nadia sambil memandang ke wajah Alan.

"Okey. I'll help you. Your first task is, belajar macam mana untuk senyap bila masa you tak perlu bercakap. Senyum saja, sebab you nampak paling cantik bila you senyum. Stop talking to yourself out loud, macam orang gila."

"Belum apa-apa dah ada task, siap kata I gila pula. Iryana tu baru gila, I ni tak gila tau. Mana ada I bercakap sorang diri, I suka bercakap aje..."

"Shhh..."

Nadia terus terdiam.

Tak perlu bercakap bila tak perlu. Nadia menyimpan pesanan Alan ini kemas-kemas di dalam mindanya. Nampaknya Nadia perlulah berlatih supaya bibirnya tidak lagi terkumat-kamit bercakap seorang diri.

Clara menarik kerusi untuk duduk di sebelah Nadia. Alan yang sedang mengeringkan rambut Nadia hanya memandang perilaku adik bongsunya itu daripada ekor matanya.

"Mereka beritahu I, kepala you kena tuang kopi."

Nadia tergelak mendengar kata-kata Clara. Clara mencubit lengan Nadia. Dia bersungguh-sungguh hendak tahu tetapi Nadia boleh ketawa pula.

"Aw... Awww." Nadia mengaduh kuat.

"Sakitlah! Kenapa? Kenapalah dua tiga hari ni ada saja orang tarik tangan I la, rentap tangan I la, sekarang kena cubit pula. Sakitlah, oi..." rintih Nadia. Wajah Clara berubah riak bersalah, Alan hanya tergelak.

"Aiyooo... Mana I tau sakit. Siapa suruh you ketawa. Cepatlah, cerita." Clara mendesak.

"Sebenarnya..." Nadia baru hendak membuka bicara tiba Alan bersuara.

"Don't tell her."

"Abang!" Clara melenting. Ini kali kedua Alan melarang Nadia bercerita kepadanya. Sebagai seorang kawan, dia pun nak tahu juga apa sudah jadi dengan Nadia. Clara merenung marah ke arah Alan.

"What?"

Nadia tergelak melihat Alan buat muka tak bersalah pada Clara. Ah, dia tahu Alan cuma mahu mengusik adiknya itu.

"Why cannot tell me?" soal Clara dengan tegas. Dia bangun daripada kerusi lalu berhadapan dengan abangnya.

"Because her stories are exclusive for me only." Alan membalas. Tangannya sudah berhenti bekerja. Nadia melihat dua beradik itu bertelagah di hadapan cermin, lucu rasanya melihat gelagat mereka. Clara sungguh comel bila dia marahkan Alan, patutlah Alan suka mengusik dan beri provokasi terhadap Clara.

Daripada English, sampai bercakap bahasa Cina dah dua beradik ni. Kalau dibiarkan, sampai esok pagi pun rambut aku tak siap, bisik Nadia dalam hati.

Nadia mendapat akal, dia mengambil dua pengering rambut kiri dan kanannya lalu dia hidupkan kedua-duanya. Terus sahaja dia mengacukan pengering rambut itu ke muka Alan dan Clara yang asyik sangat bertikam lidah sampai Nadia bergerak ke sana sini mengambil senjata pun mereka tidak perasan.

Alan dan Clara terus terdiam, mereka berdua memandang Nadia yang mengacu pengering rambut itu seperti sedang mengacukan pistol ke wajah mereka. Mata mereka terkebil-kebil melawan angin panas yang keluar daripada pengering rambut itu.

"Bos, kalau you asyik bergaduh dengan adik you ni. Sampai esok pun tak kering rambut I ni tau," ujar Nadia kepada Alan.

"What did you say?" Alan bertanya, suara Nadia yang halus ditenggelami bunyi tiga pengering rambut yang sangat kuat itu. Nadia mematikan pengering rambutnya lalu tersengih. Alan juga mematikan pengering rambut di tangannya.

"I cakap, kalau you asyik bergaduh dengan adik you ni, sampai esok pun tak kering rambut I ni tahu tak?" Nadia mengulang. Alan memandang ke wajah Nadia.

"Actually without hair dryer also can dry after a while what..."

"Kalau I selesema macam mana?" sangkal Nadia. Dia teringat Alan pernah beritahu yang ada orang selesema bila tak keringkan rambut. Walaupun Nadia tahu dia tidak akan kena selesema, sebab Malaysia ni bukan sejuk sampai tahap kalau tak keringkan rambut boleh selesema. Alan saja gempak dia dulu. Nadia mencekak pinggang dengan kening kanannya diangkat.

Alan senyum, dia kemudian memusingkan tubuh Nadia dan memaksa Nadia duduk kembali di atas kerusinya.

Dalam hati dia tersenyum bangga dan suka kerana Nadia masih ingat kata-katanya sewaktu kali pertama mereka berjumpa. Alan mengambil pengering rambut daripada tangan Nadia lalu meletakkannya di tempat asalnya kembali. Clara yang terdiam kerana disembur udara panas tadi hanya memerhati mereka berdua.

Alan menyambung kembali kerjanya, pengering rambut di tangan kanannya dihidupkan, sikat di tangan kiri menyisir rambut Nadia. Nadia tersenyum kepada Alan, mereka saling memandang antara satu sama lain melalui refleksi di cermin.

"Mencurigakan. Apa hubungan kamu berdua?" Clara bertanya, matanya seolah-olah terpegun melihat Alan dan Nadia.

"Hah?" Nadia pelik, kenapa pula Clara bertanya begitu? Dia dan Alan mestilah...

Aku dengan Alan... Apa, ya? Nak kata aku ni pelanggan dia, Alan terlalu baik dengan aku macam kawan lama. Nak kata kawan, kami baru sahaja kenal tak sampai seminggu. Nadia berbicara dengan diri sendiri, dia baru sedar yang dia tak boleh menjawab pertanyaan Clara itu.

"You two look so close. Dah lama Alan tak rapat dengan mana-mana perempuan tau."

"Really?" Nadia tidak percaya. Clara tidak menjawab soalan itu sebaliknya dia memandang ke arah abangnya yang langsung tidak memberi reaksi terhadap pertanyaannya tadi.

"Hmmm... Kami, ka... Kawan?" Suara Nadia teragak-agak, teringat dia tadi Alan ada menyebut yang dia adalah kawannya semasa mencuci rambut tadi.

"Kita kawan kan, Alan?" tanya Nadia dengan suara tak pasti. Alan tersenyum.

"Yup."

Jawapan itu membawa senyuman lebar ke bibir Nadia, hari ini secara rasminya mereka sama-sama mengakui mereka adalah kawan, bukan lagi dua orang yang tak tahu statusnya.

"Susah nak percaya," komen Clara.

"Apa pula susah nak percaya? Macam mana I dengan you, macam itulah I dengan Alan, kita kan kawan," terang Nadia.

"Tapi you lagi rapat dengan Alan daripada I, bukan I saja cakap. Anna, Ming dengan Eddie semua pun cakap yang sama," kata Clara, memang dia selalu bergosip dengan Anna, dan Anna ada memberitahunya mengenai hal ini. Memang mereka, pekerja-pekerja di salun kecantikan ini hairan melihat Alan sekarang, selama ini tak pernah mereka lihat Alan rapat dengan mana-mana pelanggannya sampai ke tahap ini. Tambah-tambah pula Melayu. Lain warna kulit, bercakap lain bahasa.

"Awww... You jelus la ni? Okey, okey. Demi kawan baru I yang cantik dan comel ni, I akan spend lagi banyak masa dengan you, I janji." Nadia menyua jari kelengkeng kepada Clara, cepat sahaja jari kelengkeng mereka bertaut mengikat janji.

"You free tak lepas ni? I nak keluar shopping. Temankan I?" Nadia bertanya, dia perlukan baju baharu kerana semua baju kurungnya sudah habis dipakai. Selama ini baju-bajunya Ezuan yang belikan, semuanya dia sudah tinggalkan di rumah Ezuan, jadi dia terpaksa beli baju baharu. Takkan nak ulang pakai baju yang sama sahaja. Hari ini Nadia akan membeli-belah habis-habisan, beli baju baharu untuk pakai ke pejabat, di rumah, pakaian kasual dan sebagainya. Dan banyak lagi keperluan yang perlu dibeli. Harapnya Clara boleh menemaninya membeli-belah.

"Kalau Alan bagi I balik awal, boleh lorh..."

Alan mendengar namanya diseru terus memandang ke wajah Nadia dan Clara yang di dalam cermin. Clara dan Nadia sama-sama buat muka kesian, mohon simpati Alan supaya membenarkan Clara menemani Nadia keluar membeli-belah. Alan buat-buat tak faham, dia matikan pengering rambut lalu meletakkannya di tempat asalnya, sikat pula diletakkan di dalam troli perkakasan. Mata Clara dan Nadia sama-sama mengikut pergerakan Alan yang tidak menghiraukan mereka berdua.

"Ge..." Clara memanggil dengan nada kasihan, matanya berkaca-kaca memohon simpati. Wajah tipikal pussy boot, kucing dalam filem Shrek.

"Fine." Alan mengalah.

"Oh, yes." Dua gadis itu bersorak dan menepuk tangan. Lebar senyuman masing-masing sampai menampakkan gigi.

"Ge... I need a car." Sekali lagi Clara memancing simpati Alan. Alan mengeluh. Kemudian dia menyeluk poket seluarnya mengeluarkan kunci kereta lalu melambungnya kepada Clara.

Clara dan Nadia sama-sama ketawa tidak berbunyi kerana terlalu gembira. Seronok sangat dapat kebenaran untuk keluar membeli-belah, siap boleh pinjam kereta lagi. Hari ini dalam sejarah, bukan senang Alan nak bagi Clara pinjam keretanya kerana Clara seorang pemandu yang kurang cekap, takut nanti kereta Audi TT kesayangannya menjadi mangsa.

"Nadia, you need to change. I tak nak keluar dengan orang yang pakai baju ada kesan kopi, ewww. Come, I bagi you pinjam baju I." Clara menarik tangan Nadia. Nadia mengekori Clara dengan perasaan teruja. 

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro