Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 11

"Ini misi balas dendam Ez ke apa ni?" Nadia gumam sendiri perlahan, matanya menyoroti langkah Iryana dan Ezuan yang sama-sama beriringan masuk ke dalam bilik Ezuan. Mereka baru lepas makan tengah hari bersama, Iryana pula menawarkan diri mengemas bilik Ezuan untuk bersedia berpindah ke bangunan pejabat baharu. Ezuan masih terlalu sibuk dengan urusan kerja untuk berkemas.

"Dalam sebulan dua ni, akak selalu nampak anak bos besar tu bawa perempuan tu datang ofis dia." Suara Suria, kerani akaun yang duduk di sebelah Nadia. Nadia tertoleh bila mendengar ada suara bercakap.

"Hah? Apa? Apa?" Nadia bertanya semula kerana dia tidak dapat menangkap apa yang Suria katakan tadi, dia terlalu leka dengan fikirannya sendiri.

"Akak cakap dalam sebulan dua ni akak selalu nampak perempuan tu kat sini."

Suria mengulang ayatnya. Nadia membuat muka setuju, memang pun Iryana selalu bertandang ke sini sejak Tuan Khalid perkenalkan Iryana dan Ezuan.

"Memang selalu, tiap-tiap minggu pun datang. Macam dah tak boleh dating lepas waktu pejabat," balas Nadia dalam nada menyindir. Dia kembali menyambung kerjanya, malas hendak melanjutkan topik ini, buat panas hati dan menambah dosa aje. Lagipun Nadia tak biasa bergosip dengan rakan sekerja sangat, takut terlepas cakap pasal dia dan Ezuan.

"Dating? Bukan Encik Ezuan tu dengan Nadia ke?" Suria bertanya, memancing cerita daripada Nadia. Biasalah, siapa yang tak bergosip di pejabat. Kalau dah bos sibuk angkut perempuan, mana dia nak nampak staf dia bergosip.

Nadia tersentak mendenger kenyataan Suria itu, jarinya berhenti menaip.

Mana dia tahu ni?

"Dengan saya? Mana ada akak, ada-ada aje akak ni. Dia mana nak pandang perempuan kampung macam saya ni kak." Nadia menafikan, Suria tertawa kecil dengan jawapan Nadia. Memang dia sudah agak Nadia tidak akan mengaku.

"Sudah-sudahlah kau nak sorok Nadia, semua orang dah tahu. Sebab kau orang sorok-sorok aje kami diam, kami dah lama dah tahu," ujar Suria sambil menampar lembut bahu Nadia. Nadia terus menggigit bibir, tak sangka pula staf pejabat ni dah tahu tapi masih boleh diam buat-buat tak nampak. Atau mungkin mereka ada bergosip di belakang Nadia dan Ezuan, cuma dia sendiri yang tak nampak kerana kurang bergaul dengan mereka. Dada Nadia mula berdebar, sejauh mana mereka tahu?

"Kalau buat air, nak minta tolong ke, kamulah tiap kali kena panggil. Mula-mula kami ingat dia buli kamu tapi akak tengok Nadia okey aje, tak ada pula marah-marah ke, mengamuk ke. Lama-lama baru perasan dia layan Nadia baik sangat, kalau ada apa-apa pun semua dia dahulukan Nadia. Kadang-kadang kami nampak aje kau orang berdua berbual tapi kami buat-buat tak nampak, kami semua ada mata tau," usik Suria pada Nadia. Nadia tertunduk, jarinya menggigil sejuk, dalam hati makin berdebar bimbang kalau-kalau mereka tahu yang dia pernah tinggal di rumah milik Ezuan dahulu.

Apa aku nak jawab ni?

Belum pun sempat Nadia mencari akal untuk membalas kata-kata Suria, telefon di tempatnya berdering, Nadia menarik nafas lega kerana dia dapat melarikan diri daripada terus membalas kata-kata Suria. Atau paling tidak pun, beri dia masa untuk berfikir.

"Nadia, buat air." Suara Ezuan menyapa sebaik sahaja gagang telefon itu melekap ke telinga Nadia. Nadia terus tarik muka bosan, Ezuan memanglah boleh minum tapi si bakal tunang tu boleh ke nak hadam?

"Buat air, kan?" tukas Suria sambil menuding jari kepada Nadia. Nadia mengangguk, bibirnya melepaskan keluhan malas.

"Kan akak dah cakap."

Nadia terus bangun dan berlalu ke pantri. Cepat sahaja Nadia menyediakan dua cawan kopi buat Ezuan dan Iryana dan menghantarnya ke bilik Ezuan. Otak Nadia kosong ketika dia menyediakan minuman itu, sedar-sedar sahaja dia sudah berada di bilik Ezuan. Di hadapannya terpacak Ezuan dan Iryana yang sibuk mengeluarkan beberapa fail dari kabinet untuk dimasukkan ke dalam kotak besar.

Melihat Ezuan yang langsung tidak memandang ke arahnya, Nadia terus sahaja meletakkan dua cawan kopi tadi di atas meja Ezuan. Kemudian Nadia terus keluar dari bilik itu dan terus ke tempatnya setelah menyimpan dulang di pantri.

"Berkerut-kerut dahi Nadia," ujar Suria bila Nadia duduk di tempatnya. Telahan hatinya Nadia cemburu dengan kehadiran Iryana.

"Hah? Ya ke?"

Nadia mengurut-urut dahinya. Cuba untuk tidak mengerutkan dahinya, dia tidak mahu terpengaruh dengan Ezuan dan Iryana sedangkan dia sudah memilih untuk berpisah dengan Ezuan. Nadia memperingatkan dirinya yang dia tidak lagi mencintai Ezuan. Nadia, kau dah bertekad untuk tutup pintu hati buat Ezuan, sepatutnya kau tak akan terganggu dengan Iryana kat sini.

"Ezuan dengan perempuan tu ada apa-apa ke?" tanya Suria. Kerjanya yang sudah siap pagi tadi memberi ruang untuk dia mengorek cerita Nadia.

"Dengar cerita itu bakal tunang dia."

"Habis kamu?"

"Kami tak ada apa-apalah, kak," tipu Nadia.

"Kamu ni biar betul, Nadia. Nadia bukan main lagi intim dengan dia takkan tak ada apa-apa? Cerita ajelah." Laju sahaja bibir Suria memujuk Nadia membuka cerita, teruja pula rasanya.

"Mana ada intim, kak. Saya layan Ezuan baik-baik sebab dia yang tolong saya dapatkan kerja ni dulu, kak. Saya banyak terhutang budi dengan dia. Kami tak ada apa-apa pun. Kami kawan rapat aje," balas Nadia. Tak sanggup dia membuka cerita, risau akan sampai ke telinga orang lain dan Tuan Khalid. Bab yang dia terhutang budi dengan Ezuan tu memang seratus peratus benar, yang tak benar cuma bahagian hubungannya dengan Ezuan.

Suria hanya mampu memuncungkan mulut bila dia tidak dapat jawapan yang diharapkan.

"Sekarang saya jarakkan diri dengan dia, takut nanti bakal tunang dia salah faham. Senang sikit hidup saya dia ada tunang, tak adalah asyik nak mengarah saya aje kut lepas ni. Relaks sikit, saya pun naik segan dah kalau nak minta tolong apa-apa daripada dia," sambung Nadia, memang dia sudah tak mahu ambil pusing pasal Ezuan. Biar dia dengan bakal tunang dia tu hidup dalam dunia mereka sendiri.

"Akak setuju tu, dengan lelaki ni tak boleh baik sangat, Nadia. Nanti mula orang salah faham. Macam akak ni ha, mati-mati ingat Nadia ada hubungan dengan Encik Ezuan tu, lelaki-lelaki kat sini semua nak mengurat kamu tak jadi tau sebab ingat Nadia kekasih bos. Lagi satu, tak elok termakan budi orang banyak sangat, nanti nak bayar susah. Eloklah kamu jarakkan sikit hubungan kamu dengan Encik Ezuan tu. Akak tengok kamu pun dah lain, lebih fresh dan relaks." Suria berpendapat. Kata-kata nasihat Suria itu bagaikan jarum halus yang mencucuk ke dalam hati Nadia, sakit dan ngilu.

Nadia sekadar membalas dengan senyuman tipis di bibirnya. Nadia telan satu-satu nasihat ikhlas itu dengan hati terbuka kerana apa yang dikatakan itu memang benar belaka.

"Hei kau, sini." Iryana memanggil Nadia yang baru keluar dari surau. Hari ini dia bercadang untuk keluar membeli-belah selepas balik kerja jadi dia solat asar terlebih dahulu di surau pejabat.

Apa hal pula ni?

Nadia menghampiri Iryana yang berdiri di hadapan pantri bersama dua piring dan cawan tadi di tangannya. Iryana menyua piring dan cawan itu kepada Nadia, Nadia terus sahaja menyambutnya. Baru sahaja Nadia hendak masuk ke dalam pantri, Iryana bersuara.

"Sebelum tu aku nak bercakap sikit dengan kau."

"Apa dia?"

"Kau jangan cuba jadi penghalang antara aku dan Ez, aku tahu hubungan kau dengan Ez. Dia awal lagi dah beritahu, tapi baguslah kau tahu taraf diri kau dan berpisah dengan dia. Jadi aku nak ingatkan pada kau jangan sesekali terlintas dalam kepala otak kau yang kau nak balik dengan dia. Dulu dia muda lagi bolehlah kau tipu dia, goda dia untuk kesenangan kau. Sekarang dia dah cukup matang untuk fikir siapa lebih bernilai. Aku rasa dia sendiri pun dah tak teringin kat kau, entah dari kampung mana dia kutip kau pun aku tak tahu. Tanpa Ezuan, baju kurung lusuh ni aje kau mampu pakai? Dengan tak reti mekapnya, tolong remind diri kau hari-hari yang kau tak layak untuk Ez." Lancar sahaja bibir Iryana menuturkan kata-kata sinis itu. Nadia dengan selamba memandang Iryana dari atas ke bawah dan kembali memandang wajah Iryana yang beriak sombong.

Jadi, kau layak sangatlah? komen Nadia dalam hati. Sekali lagi meneliti Iryana dari atas ke bawah dengan kening terangkat sebelah.

"Yang kau usyar aku atas bawah atas bawah ni kenapa?" tanya Iryana bengang.

"Kenapa? Tak boleh? Cik Iryana dah habis cakap? Biar saya pula yang bercakap. Cik Iryana tak perlu bimbang, saya tak perlu pun nak ingatkan diri sendiri saya ni siapa sebab saya kenal diri saya. Dan saya pun tak berniat walau sekecil zarah nak dekat Encik Ezuan tu. Saya tak desperate nak berebut Ezuan Rizal dengan perempuan lain, banyak lagi lelaki lebih bagus daripada dia kat luar sana tu," balas Nadia dengan berani, wajah Iryana terus berubah.

"Jadi kau kata aku desperate la?" Iryana melenting.

"Eh, ada ke saya cakap macam tu? Siapa makan cili dialah yang pedas." Nadia membalas dengan nada tak bersalah. Dalam hati dia tertawa kuat, tahu pula terasa.

Tawa dalam hati Nadia mati bila Iryana mencapai cawan di atas piring yang dipegang Nadia lalu menuang air kopi itu ke atas kepala Nadia. Melihat Nadia yang terkejut dengan tindakan Iryana buat gadis itu tersenyum puas. Kemudian dia meletak kembali cawan itu di atas piring tadi.

"Nasib baik aku tak minum kopi kau ni. Dah tahu diri tu siapa, ada hati nak berlagak. Ada hati nak perli aku. Orang macam kau ni, lenyap dari muka bumi ni lagi bagus," tutur Iryana sinis. Dia kemudian terus berlalu ke bilik Ezuan.

Nadia terus masuk ke pantri, dia meletakkan piring dan cawan tadi ke dalam singki. Kalau ikutkan hati yang geram, mahu sahaja dia mengejar Iryana dan menarik rambut gadis itu dan ingin sekali dia menghadiahkan tamparan ke pipi gadis itu. Tetapi dia tak mahu buat kecoh, dan tak mahu juga mengotorkan lantai dengan air kopi yang menitik daripada rambutnya. Nanti tak pasal-pasal jadi satu kerja nak bersihkan.

Nadia menarik tisu dapur yang tersedia di dalam pantri itu untuk mengelap rambut dan bajunya yang basah dek kopi itu, selepas itu dia mengelap air mata yang menitis, bukan kerana sedih tetapi kerana marah yang teramat. 

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro