
Bab 10
Nadia melangkah keluar dari surau kecil pejabat, sekarang Nadia cuba membiasakan diri untuk kembali ke rutin wajib setiap umat Islam. Kaki baru sahaja hendak melangkah, terasa lengannya direntap kasar oleh seseorang.
"Ouch... Sakitlah!" marah Nadia kasar, hilang rasa tenang yang dia rasakan sebentar tadi. Tak payah pandang pun dia tahu siapa yang merentap lengannya, dah buat hobi baharu agaknya rentap lengan orang dengan kasar.
"Lepaslah, sakit tahu tak? Dah la sakit semalam tak hilang lagi, tak takut ke orang nampak?!" marah Nadia lagi. Matanya tajam menikam Ezuan yang buat muka tak bersalah seperti biasa.
Kesan lebam akibat sikap Ezuan yang suka-suka hati rentap lengan Nadia semalam pun masih belum hilang, hari ini Ezuan merentap lengannya lagi di tempat yang sama. Memang terasalah sakitnya.
"You jangan ingat I tak nampak you lepak dekat salun seberang tu."
"So?"
"You tahu kan I tak suka you bergaul dengan orang luar." Ezuan mengingatkan Nadia berkenaan pesanannya dahulu. Nadia ingat lagi bila dia mula bekerja di sini, rakan-rakan satu tempat kerja mengajak dia keluar menonton wayang bersama, tetapi kerana Ezuan tidak membenarkan dia pergi, terpaksalah Nadia batalkan janji temunya di saat akhir. Ezuan memang diktator, bila dia kata tak boleh, maka tak boleh.
"Kalau you tak suka pun, apa masalahnya? I bukan milik you lagi." Nadia berbicara sambil mengetap gigi, dia menarik lengannya daripada cengkaman Ezuan. Nadia baru hendak berlalu ke tempat duduknya tetapi Ezuan menghalang, Nadia merengus geram.
"I tak habis cakap lagi."
"Apa lagi?" Nadia cukup malas hendak melayan kerenah Ezuan yang tak faham-faham.
Nak kata bodoh tak faham bahasa, tapi belajar sampai universiti. Tapi cakap aku pun tak reti-reti nak faham. Nadia maki hamun Ezuan cukup-cukup, ayat-ayat marah Nadia makin sebati sebab selalu sangat terlintas dalam hati Nadia. Ezuan, tolonglah elak daripada buat aku menambah dosa mengutuk kau dalam hati.
"Lelaki petang semalam tu siapa?" soal Ezuan dalam nada marah, kalau ikutkan hati yang panas, mahu sahaja dia menengking Nadia, tetapi memandangkan pekerja-pekerja lain sudah mulai masuk pejabat, Ezuan menjaga nada agar tidak ada yang perasan situasi tegang yang berlaku sekarang.
"You sibuk sangat nak tahu kenapa? Bukan ada kena-mengena dengan you pun. Please la, jangan ganggu I."
"Kalau aku tanya tu jawablah. Sejak bila degil sangat ni?!" Makin mengeras nada suara Ezuan, sudah lama dia tak marah-marah sampai begini. Dadanya terasa seperti hendak meletup dek rasa marah yang membuak-buak.
"Dia tauke salun depan tu, ha... Itu dia jawapannya. Sekarang dah puas hati?"
Kalau ikutkan hati, Nadia malas hendak melayan marah Ezuan, tetapi mengalah dan berdiam diri adalah perkara yang selalu dia buat selama ini. Jadi hari ini adalah hari dia mahu bertikam lidah sungguh-sungguh sampai Ezuan terdiam. Dulu Nadia hanya berani berperang dingin, dan setiap kali pun Nadia yang akan mengangkat bendera putih dahulu.
"Itu bukan yang aku nak tahu, dia tu siapa dengan kau? Jangan nak buat-buat tak faham. Mamat Cina tu boyfriend kau atau kawan kau?"
Ai... Dah tukar title nampak, jadi aku kau pula. Laki ni nak kena ni. Ingat aku nak diam. Nadia mengepal tangan kegeraman.
"Dua-dua pun boleh, yalah sekarang I dah bebas nak kawan dengan siapa pun." Nadia membalas dalam nada bangga, dia menukar strategi perang mulut. Semua kemarahan dia telan, dengan meninggikan suara mungkin dapat buat dia makin marah tetapi dengan sindiran dan buat bolayan pada Ezuan akan buat Ezuan terasa egonya tercabar. Sejak berpisah dengan Ezuan, ego Nadia juga semakin mencanak naik, dia tidak akan sesekali kembali kepada dirinya yang dahulu yang mudah mengaku kalah.
"Dasar perempuan tak tahu dek untung, aku bela kau bertahun-tahun berani kau cari jantan lain eh?"
Mata Ezuan menikam tepat ke anak mata Nadia yang tidak ambil port dengan apa yang diujar Ezuan. Ezuan jadi semakin membahang. Jangankan bercinta, kalau Nadia dan lelaki Cina semalam itu hanya sekadar kawan sekalipun buat hatinya bagai hendak meletup.
Selama ini hanya dia lelaki di dalam hidup Nadia, tiada ruang untuk orang lain menapak. Tetapi tiba-tiba, dalam beberapa hari sahaja Nadia sudah rapat dengan lelaki lain. Semakin bertambah jaringan rakannya, bukan dia tak nampak betapa sukanya Nadia ketawa dan berbual di salun kecantikan berhadapan dengan pejabat mereka. Tadi Ezuan mengintai kelibat Nadia di salun itu yang berdinding kaca, jadi memang dia dapat melihat dengan jelas apa yang berlaku di salun Ace Cut itu dari ruang pejabatnya.
"Encik Ezuan Rizal, kalau you lupalah, biar I ingatkan you. You tu, bakal bertunang dengan perempuan lain tak lama lagi. You yang ada perempuan lain dulu, buat apa I nak setia dengan you tapi tak dapat apa-apa? Hei, kemewahan tak akan dapat beli sekeping hati. Kalau you betul-betul mahukan I lagi, kalau you betul-betul anak jantan, I cabar you beritahu Tuan Khalid yang you tak nak bertunang dengan Iryana. Beritahu ayah you yang kita dah bercinta lama. I cabar you!"
Humph, mampus kau nak bagitau bapak kau. Jantan pengecut.
"I nak ingatkan you sekali lagi, I nak kebebasan. I nak bebas pergi mana I nak pergi, dengan siapa I nak berkawan, kat mana I tinggal, jangan masuk campur urusan I lagi. Kita dah putus," tegas Nadia, hari ini dia puas kerana sudah luahkan segala-galanya. Dia tahu Ezuan tidak akan berani berterus terang kepada Tuan Khalid. Sekalipun keajaiban berlaku dan Ezuan mendapat keberanian entah dari mana untuk berterus terang, Nadia tidak akan sesekali kembali kepada Ezuan sama ada Tuan Khalid merestui atau tidak.
Selama ini Nadia sangkakan yang dia betul-betul cintakan Ezuan tetapi ternyata dia silap, dia cuma takut kehilangan tempat bergantung. Kalau tidak, masakan dia boleh lupakan semua perasaannya kepada Ezuan begitu cepat. Rasa cinta dan sayang yang disangkakan terpahat kuat dalam hati amat mudah dibuang. Jantung Nadia sedikit pun tidak berdegup pantas untuk Ezuan lagi, entah sejak bila rasa itu hilang dia pun tidak tahu. Cuma dia pasti, pintu hatinya sudah tertutup buat Ezuan Rizal.
Nadia lebih puas bila Ezuan mati kata tertampar dek kata-kata Nadia yang tidak pernah dia bayangkan akan meluncur keluar daripada bibir gadis itu.
"Alan! Alan! Alan!" Nadia memanggil Alan dengan penuh teruja, dia masuk ke dalam salun Alan itu bagaikan itu adalah rumahnya sendiri.
"You kena dengar cerita ni, you kena dengar cerita ni."
Nadia teruja sangat-sangat untuk bercerita mengenai apa yang terjadi antara dia dan Ezuan tadi. Sebaik sahaja habis waktu pejabat, Nadia terus berlari ke sini. Tangannya menarik Alan dengan teruja. Tambah pula Alan baru sahaja selesai tugasannya, dia tengah tak ada kerja, apa lagi, terjahlah. Nadia menarik tangan Alan untuk duduk di atas sofa yang tersedia, mereka sama-sama duduk mengiring dan memandang ke arah satu sama lain. Nadia tak peduli walaupun banyak pasang mata pekerja Alan yang memandang ke arahnya.
"Why are you so excited?"
"Hari ni hari kemenangan. I tak sangka I boleh lawan cakap ex I, hahaha... I'm so happy." Nadia tertawa bangga, baginya dapat membuatkan Ezuan terdiam dan kegeraman bagai satu kemenangan besar buatnya.
"Oh... Selama ni aku diam aje, sekarang jangan harap aku nak dengar kau cakap apa pun. Hahaha."
Nadia tertawa lagi selepas memarahi Ezuan sendiri, lagi kuat tawa sinisnya seperti watak jahat dalam drama. Alan hanya memerhati Nadia yang senang hati dengan senyuman di bibirnya. Ini ke Nadia yang dia jumpa Jumaat lalu, yang wajahnya sentiasa berkerut pada hari itu, yang jatuh tetapi tidak bangun daripada kejatuhan itu. Sekarang Nadia sudah berubah.
"Tahu tadi dia cakap apa? Dia tanya kita ada hubungan ke? Cemburu la tu. Selama ni I tak pernah ada kawan rapat selain dia, so bila I ada rapat dengan orang lain mulalah dia menggelabah." Nadia bersemangat bercerita, Alan menongkat kepalanya dengan tangan di sofa sambil merenung wajah Nadia.
"Then, what did you say?"
"Haha, bila dia tanya you ni kawan ke boyfriend, I cakap dua-dua pun boleh. I geram sangat tadi sampai I cabar dia beritahu bapak dia yang kita orang bercinta dah bertahun-tahun."
"Kalau dia beritahu macam mana? Dia tak jadi bertunanglah?"
"Ala, dia takkan berani punya. Kalau dia betul-betul nak cakap, awal-awal lagi dia dah beritahu yang dia tak mahu kenal dengan perempuan tu sebab dah ada pilihan lain. Terdiam dia tadi, padan dengan muka. Lepas tu I warning dia jangan ambil tahu pasal I lagi. Suka hati I la nak kawan dengan siapa, nak bercinta dengan siapa pun, or mana I nak pergi pun. Buat apa dia nak ambil tahu? Yang pasti sekarang, I rasa seratus peratus bebas, I dah boleh buat apa yang I nak buat tanpa sekatan," ujar Nadia dengan nada puas.
Walaupun dia tahu Ezuan tidak akan mengendahkan amarannya tetapi dapat mengeluarkan kata-kata keras buat Ezuan sudah satu kejayaan yang patut diraikan, akhirnya dia merdeka daripada jajahan Ezuan, fizikal dan mental. Tahniah Nadia, satu pencapaian yang sangat hebat. Nadia meletakkan tangan ke dadanya, terpejam sambil tersenyum dan terangguk-angguk ketika dia sedang memuji diri sendiri dalam hati.
"Selama ni memang dia suka control you ke?" Soalan Alan menghentikan aktiviti memuji diri sendiri di dalam minda Nadia.
"Memang, betapa teruknya dia sampai kat mana I ada, I buat apa semua dia ambil tahu. I pakai baju apa, pun dia nak control. I tak ada kawan selama I tinggal ni KL ni sebab I spent masa I dengan dia sentiasa, sebab tu bila I rapat dengan orang lain dia tak suka. Mungkin sebab I terlalu bergantung pada dia, dia buat I macam barang milik dia seorang. Dia sampai pasang GPS tracker kat kereta dan GPS Apps dalam telefon sentiasa on."
Mengenangkan apa yang pernah Ezuan lakukan padanya membuatkan hatinya berasa kesal untuk ke sekalian kali, bodohnya... Lemahnya... Pengecutnya dia kerana terlalu takut akan ditinggalkan Ezuan dan dia akan hilang segala-galanya. Mujur Nadia sudah tersedar, dia sudah mendapat semangat baharu.
"Dulu I takut sangat dia akan tinggalkan I, tapi tengok sekarang I yang tinggalkan dia. Betul cakap you, I tak rugi apa-apa pun tinggalkan dia. Lagi happy adalah," sambung Nadia lagi.
"I dah bebas, yes! Harap-harap lepas ni I tak akan jumpa lelaki macam dia lagi, suka control tu control ni. Lelaki semua macam tu ke?" Nadia bertanya dengan kerutan di dahi, kerutan hairan.
"Yes and no. I pernah juga jadi macam tu."
"Queen control? Eh silap, King control?"
"We were in LDR (long distance relationship), I dekat Penang, dia di Taipei. I risaukan dia jadi I selalu tanya dialah, dia ada di mana? Dengan siapa? Hari-hari pun tanya, control ke tu?"
"Eh, you ni. Kesian dia. Macam you tak percaya kat dia pula."
"Can't blame me. Dia jauh, I risau. I boleh buat apa lagi?" Alan sungguh-sungguh pertahankan diri sendiri. Kalau dah sayang memanglah nak ambil tahu semua perkara, tetapi berpada-padalah.
"Dia pun tak boleh tengok you, apa you buat, dengan siapa you jumpa," balas Nadia.
"Then why didn't she ask me? Mungkin dia tak sayang I macam I sayang dia, sebab itulah putus. I mengaku I tak akan suka kalau dia selalu sangat tanya, but when she didn't ask at all, mesti ada something's wrong, and sometimes that makes me feel unworthy and insecure you know? That's why I asked her a lot."
"Unworthy? Insecure? You sound like a girl," komen Nadia.
"What?" Alan tidak percaya dengan kata-kata yang Nadia baru dilemparkan kepadanya. Nadia mungkin tidak percaya, lelaki macam dia akan rasa begitu, jauh dalam lubuk hati memang kadangkala mereka (lelaki) juga berasa seperti itu cuma mereka tidak meluahkannya. Ini baru kali pertama dia berkongsi cerita dengan perempuan, sudahnya dia kena cop dia macam perempuan pula.
"No, nothing." Nadia cepat-cepat menggeleng, dalam mindanya dia menampar bibir sendiri yang terlalu celopar. Cepat-cepat dia tarik balik kata-katanya tadi.
"I tarik balik apa yang I cakap tadi, sorry."
"Forgiven," balas Alan, Nadia senyap sahaja selepas itu.
"But I do agree, GPS tracker is just too much, that's extreme." Alan menyambung kata, tidak mahu mereka terperangkap dalam situasi janggal.
"Kan?" Nadia menyokong kata-kata Alan, tidak mahu suasana kekok berpanjangan. Memang melampau pun kalau sampai letak GPS. Agaknya kalau Ezuan boleh letak GPS tracker pada badan Nadia, mesti dia tanam juga GPS tu. Ngeri.
"Cakap pasal kereta. Alan, bila you free? Teman I beli kereta, I tak retilah. Dulu dia yang tolong. Sekarang I nak beli kereta baru. Errr... Bukan baharu la, second hand pun jadilah sebab I nak cepat lagipun I bukan bergaji besar. Boleh tak?"
Nadia tayang muka kesian demi meraih simpati Alan. Dalam hati ada juga rasa bersalah dan segan, yalah dia baru kenal Alan beberapa hari, tapi sudah minta tolong macam-macam. Tapi sekarang dia sudah terdesak, dia tak reti urusan beli kereta ni takut juga kena tipu.
"Dah banyak hari I naik bas. Bukanlah banyak hari, baru dua hari. Sebenarnya I tak kesah pun naik bas tapi minggu depan kami kena pindah HQ baharu, pejabat kat sini tutup. Kat bangunan pejabat baharu tu agak jauh dari laluan bas, bus stop pun jauh sangat. Sebab tu I ingat I nak beli kereta, tak kesahlah kereta macam mana pun. Perodua Kancil pun tak apa, asalkan I ada kereta. Kalau hujan ke, ribut ke, senanglah I tak payah nak berpayung-payung bagai. Kalau tak, habis I basah lencun kena hujan. Macam mana I nak kerja? Kalau sampai lambat nanti kena marah, I tak nak nanti timbul konflik, susah nak datang tempat kerja. Bolehlah eh, temankan I?" pujuk Nadia lagi, matanya terkedip-kedip sambil wajahnya cuba buat memek muka kucing Shrek, wajah Alan sudah berubah seolah-olah sedang menahan tawa. Wajah Nadia berkerut kehairanan.
"You kenapa? Boleh ke tidak? Yes or no?"
"You cuma mahu I teman you pergi beli kereta, tapi you punya ayat sangat panjang. My brain almost explodes trying to understand what you are trying to tell me. Hahaha... Explain me in short and easy sentence." Alan dah mula nak pening. Memanglah dia boleh faham bahasa Melayu, dia selalu gunakan bahasa kebangsaan itu kerana ramai juga pelanggannya yang berketurunan Melayu tetapi kalau kata-kata yang keluar daripada bibir Nadia bak bertih jagung yang meletup-letup, tak sempat otaknya hendak hadam.
Nadia menghela nafas panjang sebelum menghembusnya.
"Alan, you temankan I pergi beli kereta, boleh?" tanya Nadia dalam nada manja. Siap dengan riak wajah comel lagi.
"That's better," komen Alan sebelum menyambung, "Boleh. Setakat nak keluar sekejap I boleh tinggal salun bila-bila pun asalkan tak ada appointment. I'll check my schedule."
"Okey, nanti I adjust masa I, ambil cuti ke, half day off ke tak kesahlah, janji I dapat kereta baharu."
Nadia senyum saja membayangkan diri sedang memandu kereta baharu. Minta-minta Ezuan tidak pasang lagi GPS tracker di kereta baharunya nanti.
"What are you guys talking about?" Clara datang menyapa mereka. Leka sangat berbual, Nadia dan Alan tidak perasan langsung bunyi detak kasut tinggi Clara yang menghampiri mereka. Dia yang baru sahaja turun dari tingkat atas terus bergerak ke arah sofa tempat Nadia dan Alan duduk. Dengan selamba dia duduk di tengah-tengah antara Nadia dan Alan yang sedang menghadap antara satu sama lain.
"Pasal..."
"This is p and c between me and her." Belum sempat Nadia bercerita Alan sudah memotong katanya.
"Tell me, tell me. I want to know too..."
"No... I don't want to tell you. Nadia jangan beritahu dia. You cuma boleh beritahu I." Alan memberi amaran kepada Nadia, dia memang suka mengusik adik bongsunya yang manja tu. Alan kemudian berdiri dari tempat duduknya, sofa itu sudah terasa sempit bila Clara duduk di situ juga.
"Not fair." Clara merengek geram. Alan hanya berlalu meninggalkan dua orang gadis itu sendiri.
"Ge, you are so mean!" Clara menjerit kegeraman bila Alan tidak melayannya, Nadia pula tergelak-gelak melihat gelagat mereka.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro