Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 1

"I nak vanila latte boleh?" Walaupun rasa meluat membuak-buak, Nadia tetap tidak dapat menahan diri daripada mengajuk suara manja Iryana tadi. Hati Nadia sudah menyampah sangat dengan Si Iryana tu.

"Eee... Gedik!" bentak Nadia sambil berjalan dengan tangan yang berpeluk tubuh. Kaki menghentak keras kaki lima kedai itu tanda geram, kuat bunyi tapak kasut kesan hentakan kakinya. Kalau boleh dijampi lantai kaki lima itu biar hentakan kakinya terasa pada muka Si Iryana, memang Nadia sudah buat.

Nasib baik dia tak reti sahaja, selamat wajah cantik putih mulus Iryana tu. Mulut Nadia tidak habis-habis terkumat-kamit menghambur kata-kata makian khas kepada Iryana bagai orang kurang siuman bercakap seorang diri.

"Nadia tolong belikan. Isy, mengada-ada. Ezuan pun satu, tahulah dia bos tapi bila masa pula aku ni jadi tukang beli air untuk tetamu dia? Suka-suka hati mengarah aku pergi beli vanila latte perempuan gedik tu. Eee... tolonglah, mengada-ada gila. Dahlah beli guna duit aku, sakitnya hati."

Ikutkan hati mahu sahaja tangan Nadia melayang ke wajah Iryana acah-acah polos itu. Malangnya tamparan itu hanya dapat dilayangkan di dalam mindanya sahaja. Berkasar di tempat kerja bukan cara Nadia, dia masih tahu apa yang patut dia buat dan apa yang tak patut dia buat.

Melayangkan satu tamparan pada pipi bakal menantu bos besar bersamaan dengan Nadia berkemungkinan perlu mencari pekerjaan lain. Tangan Nadia cepat-cepat naik ke atas kepala, mengetuk lembut sekali dua kepala kecilnya itu lalu menggelengkan kepalanya, menyingkir bayangan dirinya yang semakin menggila mengganyang Iryana daripada otaknya, daripada tampar ke tarik rambut, daripada tarik rambut kepada berguling, bergaduh sampaikan bertumbuk.

Sudah Nadia, sudah... Makin dilayan marah kau ni, makin naik hantu bayangan kau dalam otak ganyang Si Iryana tu. Kau tak mahu pergi cari kerja lain, kan?

Nadia menyabarkan diri, bukan senang nak dapat kerja sekarang. Dengan lambakan graduan menganggur sekarang, dia pasti kalah dalam persaingan merebut jawatan dengan graduan universiti yang ada ijazah, berbanding dia yang hanya ada sijil SPM. Bila otak berhenti membayangkan benda-benda merapu, bibir pula gatal hendak menyambung bebelan buat dua makhluk yang membuatkan dia menapak ke kafe berhampiran untuk memenuhi permintaan Iryana yang tidak mahu minuman lain selain vanila latte. Dasar budak loaded.

"Masa ofis tengah kelam-kabut macam inilah dia nak datang melawat tunang belum tentu jadi tu. Si Ezuan tu pun layan aje. Memang dasar tetamu tak diundang betul."

Nadia bernasib baik kerana kafe yang sesuai dengan standard tekak Si Iryana tidak jauh dari pejabat Nadia. Dia hanya perlu berjalan sedikit dan kemudian melintas jalan untuk sampai ke kafe itu.

Nadia mengeluh panjang bila dia berdiri di hadapan kafe yang hendak ditujui, sudah tidak terbilang berapa kali dia mengeluh. Mulutnya pun sudah letih membuat dosa memaki hamun Iryana dan Ezuan. Nak tak nak, walaupun terasa kaki berat macam mana pun, Nadia terpaksa juga melangkah masuk ke dalam kafe itu. Dah sampai pun, tak guna kalau dia hendak menukar fikiran sekarang dan berpatah balik dengan tangan kosong, rugi masa dan tenaga.

"Ice vanilla latte dua."

Jari Nadia secara automatik terangkat tanda 'peace', mudah untuk orang faham dan mengelakkan salah dengar pesanan.

Setelah membuat pembayaran, Nadia duduk di kerusi bulat di tepi dinding kaca kafe. Matanya terus sahaja memandang salun kecantikan di seberang lorong kecil di antara kafe dan salun itu. Salun yang juga berdinding kaca nampak sangat mewah lagi moden dan elegan.

Sudah lama Nadia teringin hendak menjejakkan kaki ke salun kecantikan itu, tetapi tak pernah sekali pun dia pergi. Memandang dari jauh pun sudah boleh membuatkan Nadia teruja. Tak dapat bayangkan bagaimana perasaannya kalau sudah berada di situ. Bibir Nadia mengukir senyuman, tak sangka dengan hanya memandang salun itu boleh buat Nadia lupa sebentar marahnya pada Ezuan dan Iryana.

Tutup pula salun ni, selalunya tak pernah pun tutup hari Jumaat, omel Nadia sendiri.

Bunyi guruh yang tiba-tiba sahaja berdentum mengejutkan Nadia, melatah Nadia dalam hati. Entah bila ada cahaya kilat pun dia tak perasan, tahu-tahu sahaja dah berdentum. Matanya terus membulat memandang ke langit. Panahan kilat di tengah jalan sangat terang cahayanya dan menakutkan. Cepat-cepat Nadia menutup mata dan menekup telinganya, siap sedia menunggu dentuman guruh yang lambat bunyinya kerana perbezaan kelajuan antara cahaya dan bunyi. Sebaik sahaja bunyi guruh kedua kedengaran hujan turun mencurah-curah ke bumi dengan lebatnya. Nadia mengalihkan tangannya.

Alamak, hujan. Aku tak bawa payung ni, rungut Nadia sebaik sahaja bunyi hujan menyapa telinga. Bukan tidak suka hujan yang penuh rahmat, tapi dalam keadaannya sekarang... Hujan memang tidak diperlukan. Kalaulah hujan ni lewat sepuluh minit sahaja, sempatlah Nadia berlari balik ke pejabat, selamat daripada terpaksa meredah hujan. Nadia mula susah hati. Matanya meliar melihat hujan yang turun selebat-lebatnya membuatkan hatinya makin tak senang.

Macam mana nak balik ni? Isy, macam mana aku boleh tak perasan langit gelap? Macam-macam masalah, benda kecil pun boleh stress!

Rintik-rintik hujan menghasilkan bunyi bising, pelayan kafe terpaksa menguatkan suara untuk memanggil Nadia, pesanannya sudah pun siap. Setelah mengambil pesanannya, Nadia keluar dari kafe itu, wajahnya berkerut risau memikirkan bagaimana dia hendak pulang ke pejabatnya tanpa payung. Pasti basah kuyup jadinya, tambahan pula hujan yang turun bukan hujan renyai-renyai, tetapi hujan lebat. Nadia sudah mula menggigil kedinginan, kaki seluarnya sudah basah dek tempias hujan walaupun dia berlindung di kaki lima kedai. Nak beli payung baru pun, mana ada kedai yang jual payung di deretan kedai-kedai ni.

Telefon bimbitnya di dalam poket dikeluarkan, ada panggilan masuk daripada Ezuan.

"Nadia, you pergi mana lama sangat hilang? Kata pergi beli kat kafe depan aje, kenapa lama sangat?"

Telinga Nadia disapa suara Ezuan. Suaranya kedengaran seperti risau, Nadia cepat-cepat meminta bantuan, S.O.S.

"Ez, hujan lebat sangatlah. Nadia tak boleh balik pejabat ni, macam mana? Ez boleh tolong tak?" balas Nadia.

Dia mengharapkan Ezuan akan datang menyelamatkan dirinya yang terkandas di hadapan kafe ini, dia buntu tidak tahu bagaimana hendak pulang ke pejabatnya.

"Nadia kat depan kafe depan ofis, boleh tak Ez datang?"

"Nadia, takkan Ez nak tinggal Yana sorang-sorang kat sini?"

"Habis tu?"

"Ala... Hujan tak lebat mana tu, redah ajelah. Bukan jauh pun, lintas jalan aje."

Ternganga Nadia mendengarnya, redah aje? Kalau hujan gerimis memang dah lama Nadia redah sahaja, tapi ini memang lebat dah macam hujan batu. Suara Ezuan di hujung talian pun sukar untuk dia dengar kerana bunyi hujan yang terlalu kuat. Tubuh Nadia menggigil lagi untuk bila ada angin sejuk menampar batang tubuhnya. Sejuknya...

"Tak lebat? Nadia nak dengar suara Ez pun payah. Sudahlah, kalau tak nak turun bawa payung tunggu ajelah sekejap, hujan lebat macam ni selalunya tak lama dia berhenti," balas Nadia geram.

Dia sedar siapa dia. Waktu pejabat Nadia cuma seorang kerani cabuk, pekerja bawahan Ezuan Rizal. Takkan nak suruh bos datang jemput, bawakan payung untuk dia balik ke pejabat, dia bukannya tuan puteri. Memang tak patut dia minta pertolongan Ezuan untuk keluarkan dia daripada kebuntuan ni.

"Tunggu hujan berhenti? Nadia, Yana dah tunggu lama dah..."

"Excuse me? Jadi, Ez telefon Nadia sebab Yana tunggu vanila latte dia lama sangatlah? Bukan sebab risaukan Nadia tak balik ofis lagi?!" tukas Nadia dengan nada tinggi. Sentap... Cukup terasa. Ezuan terus terdiam, dia terkedu dengan kata-kata Nadia.

"Takut sangat vanila latte dia tak sampai? Pasal Nadia memang tak penting, kan?" sambung Nadia. Dalam hati, dia sangat kecewa dengan Ezuan. Ezuan masih berdiam tidak menjawab.

Sampai hati Ez! jerit Nadia dalam hati. Dengan perasaan geram dia mematikan panggilan lalu dia menyumbat telefon bimbit ke dalam poket seluarnya semula. Nadia bertekad untuk meredah hujan lebat ini seperti yang dikehendaki Ezuan. Nadia membawa dua cawan vanila latte yang dibelinya tadi rapat ke dada, cuba memeluk untuk melindungi dua cawan vanila latte yang teramat penting itu. Nadia mundar-mandir di kaki lima kafe itu, dia sebenarnya malu kalau-kalau aksi dia berlari di bawah hujan bakal diperhatikan orang ramai. Mujur tiada orang lalu-lalang di situ, kebanyakan pejalan kaki tadi sudah berlindung daripada hujan dan sejuk di dalam premis-premis di situ.

Nadia menelan liur, kepalanya tertoleh ke kiri dan kanan memastikan tiada kereta di atas jalan itu. Hujan lebat mengaburkan penglihatannya. Nadia telan liur, bimbang juga kalau tiba-tiba ada kenderaan yang muncul, tak pasal-pasal kemalangan. Setelah pasti jalan di hadapannya selamat dan berdoa dalam hati, Nadia menapak laju untuk keluar dari teduhannya.

Baru memulakan dua langkah, guruh tiba-tiba berdentum kuat, terjerit Nadia terkejut. Malang tak berbau, kaki Nadia terpelecok lalu dia jatuh terduduk di atas jalan tar. Sakit kaki dan punggung gadis itu terhentak ke jalan. Malang sungguh nasibnya, ini semua angkara hendak belikan vanila latte untuk Iryana.

"Vanila latte!" jerit Nadia bila melihat vanila latte yang dibelinya sudah mewarnai baju kemeja merah jambu yang dipakainya. Hati Nadia bagai disagat-sagat melihat cawan vanila latte itu sudah tumpah ke tubuhnya dan jalan tar itu. Tubuh Nadia mulai lencun dek hujan yang turun dengan sangat lebat, air hujan yang mengalir ke longkang membawa pergi saki baki vanila latte yang tertumpah tadi.

Tak semena-mena Nadia terasa seperti ingin menangis. Ah, balasan Tuhan ke ni? Buat kerja tak ikhlas, sebab tu Allah turunkan bala. Melihat dua cawan vanila latte yang sudah kosong bersama penutupnya yang terbuka terus membuat Nadia menangis. Dia masih terduduk di atas jalan tar itu, tidak bergerak-gerak. Tak ada hati untuk bangun, dia cuma ingin menangis di dalam hujan lebat itu. Malu diperhatikan orang lain tadi juga sudah hilang pergi, sikit pun dia tak malu duduk di dalam hujan itu, dia sudah lupa yang dia berada di tempat awam.

Tiba-tiba hujan yang mencurah-curah terasa seperti sudah berhenti.

Bukan.

Hujan masih lebat, tetapi tubuhnya tidak terkena rintik air lagi. Nadia terlihat sepasang kaki sedang berdiri rapat di hadapannya, lantas dia mendongak. Dalam hati terdetik perasaan lega. Sangka Nadia, Ezuan datang 'menyelamatkan' dirinya daripada dibasahi hujan. Namun sangkaannya meleset. Ada seorang lelaki lain yang datang bersama payung di tangan, melindungi dirinya dan Nadia daripada rintik hujan lebat. Hati Nadia kembali dihambat rasa sedih, bukan Ezuan yang datang...

Melihat Nadia yang diam tidak bereaksi, lelaki tadi mencangkung.

"Kenapa you duduk sini?" Lelaki itu bertanya kepada Nadia. Nadia terpegun, diam. Tidak menjawab sebaliknya hanya memandang ke wajah 'putera di atas kuda putihnya' itu. Lelaki itu terus mencengkam lengan Nadia dan memaksanya berdiri, bagai dipukau Nadia mengikut sahaja bila lelaki itu menariknya pergi dari situ. 

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro