Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 11

TIBA di hadapan rumah, dia tidak terus keluar dari kereta. Masih termenung dan terbayang-terbayang pertemuan yang tak disangka-sangka dengan Humairah, seorang gadis yang perlahan-lahan menggantikan nama Jane di pentas hatinya.

Dia tidak menjangkakan pertemuan itu berlaku. Lebih-lebih lagi apabila Humairah sudi berbual dengannya.

Walaupun masih tidak berapa jelas kemesraan ditunjukkan gadis itu, ia sudah cukup buat permulaan.

Darren tersenyum angau. Mengaku cintanya sudah bertukar hak milik. Begitu cepat lukanya sembuh hanya dengan kemunculan Humairah.

Cuma dia sedikit sangsi dengan penerimaan Humairah. Gadis itu nampak alim dan cukup berjaga-jaga.

Segala gerak gerinya nampak terbatas dan tidak berlebihan. Pakaiannya besar, labuh dan bertutup.

Hanya wajah dan kedua-dua tangan dibiarkan terbuka. Selebihnya, seluruh tubuh gadis itu seolah-olah terkurung dalam gua.

Kalau sudah begitu penampilan luarannya, dalamannya pula bagaimana? Tentu lebih sempurna.

Sedangkan dia? Solat tidak pernah cukup.

Puasa?

Setengah hari saja dapat diselesaikan puasanya. Amat jarang dia mampu berpuasa penuh. Kalau dalam sebulan, adalah empat atau lima hari.

Dia melihat wajahnya melalui pantulan cermin pandang belakang. Seluruh isi wajahnya diperhatikan dan mula sedar diri. Dia dan Humairah, jauh panggang dari api.

Namun, hatinya bagaikan meronta-ronta ingin mengenali dan mendekati gadis itu.

Tersedar dari lamunan apabila cermin tingkap keretanya diketuk seseorang, dia menoleh dan melihat ibunya bercekak pinggang di luar. Segera dia membuka pintu, keluar dari kereta dan tersenyum.

"Kenapa ni? Termenung dalam kereta tu buat apa? Ingat kat siapa? Jane?" Puan Irma bertanya sedikit geram. Bertalu-talu soalan itu dilontakan bagai peluru.

Darren mencemik. Sebaris nama Jane tidak lagi menjadi minat untuk dia dengar. Pengganti nama itu adalah Humairah. Humairah!

"Mummy jangan sebut lagi nama tu. Saya tak suka..." Dia melangkah meninggalkan ibunya yang masih terkebil-kebil di belakang.

Puan Irma menggeleng melihat kelakuan pelik anaknya. Kalau tidak kerana Jane, perkara apa lagi yang menyebabkan Darren termenung?

"Darren, tunggu!" Langkah anaknya diekori. Darren tidak boleh dibiarkan berterusan seperti orang hilang arah sesudah putus cinta. Sebagai ibu, kebimbangan sentiasa mengawasi akal fikirannya.

Langkahnya mati apabila bahunya ditarik dari belakang. Cermin mata hitam segera dikenakan ketika berhadapan dengan ibunya. Cedera di bawah mata cuba disembunyikan. Tidak mahu ibunya bimbang.

Puan Irma beriak tidak puas hati. Kelakuan Darren menimbulkan tanda tanya. Tadi tersenyum seorang diri. Sekarang, tiba-tiba mengenakan cermin mata hitam pula. Takkan nak masuk dalam rumah pun, anaknya nak bergaya?

"Apa yang jadi hari ni? Darren pergi jumpa Jane?"

"Saya pergi memanah dengan Fazli. Mana ada pergi jumpa perempuan tu?" Dia tunduk. Langsung tidak mahu mengangkat muka.

"Tanggalkan cermin mata tu."

"Mummy..." Dia berkira-kira tidak mahu menurut.

"Mummy cakap tanggalkan!" Kesabarannya tergugat.

Tidak ada pilihan dan tidak mahu diasak berterusan, dia akur dengan permintaan ibunya. Perlahan-lahan cermin mata hitam diturunkan lalu diselitkan pada poket baju.

Mulutnya ternganga. Lebam sebesar penumbuk di sebelah mata kiri anaknya, memunculkan andaian yang bukan-bukan.

"Apa yang Darren dah buat? Hari tu tangan berbalut, hari ni mata pulak. Jangan sebab putus cinta, Darren bertindak macam ni. Tolong jangan seksa diri sendiri!"

Dia tercengang. Jauh benar telahan ibunya. "Saya tak buat perkara yang bukan-bukan. Tolong percayakan anak mummy, ya." Bahu ibunya ditepuk perlahan.

"Betul ke ni? Janganlah buat mummy bimbang. Mata tu kenapa? Beritahu perkara sebenar. Kalau Darren terus macam ni, mummy risau. Sudah-sudahlah ingatkan Jane tu. Cari aje perempuan lain. Tak perlu bercinta lagi. Kahwin aje!"

"Mummy..." Dia mendekatkan diri. Tubuh ibunya ditarik dalam pelukan. Didakap erat-erat supaya ibunya bertenang. Rambut ibunya diusap perlahan-lahan. Terasa bahu kanannya sedikit basah, dia tahu ibunya menangis.

"Saya tak apa-apa. Saya okay. Saya takkan buat perkara yang boleh lukakan hati mummy. Trust me." Dia terus memujuk ibunya.

"Kalau Darren tak seksa diri sendiri, kenapa mata tu boleh lebam? Cakaplah..." Dia melonggarkan pelukan Darren. Tidak mahu anaknya menyimpan rahsia.

Darren senyum nipis. Kejadian yang menimpanya hari itu segera diceritakan supaya tiada lagi kebimbangan di hati ibunya.

Hal perkenalannya dengan Humairah juga diberitahu. Terpancar sedikit keceriaan di wajah ibunya apabila mendengar berita baik itu.

"Siapa namanya?"

"Buat masa ni, secret. Lagipun, saya tak yakin gadis tu sukakan saya."

"Dengan mummy pun nak rahsia." Rungut Puan Irma.

"Tunggu masa yang sesuai. Nanti saya bawa dia terus jumpa mummy. Lepas tu, mummy tanyalah sendiri. Sekarang, saya nak rahsiakan dulu." Dia buat aksi zip mulut. Sengaja mahu bergurau dengan ibunya.

"Cantik ye orangnya?" Dia tidak puas mendengar cerita pendek yang dibawa anaknya.

"Cantik macam biadari. Bila tengok muka dia, hati saya tenang. Saya sendiri tak tahu kenapa."

"Mummy nak kenal sangat dengan dia. Boleh Darren bawak dia datang rumah secepat mungkin?"

Riak wajahnya berubah sedikit kelat. Permintaan ibunya terasa berat mahu ditunaikan. "Susah sikitlah..."

"Kenapa pulak?"

"Perempuan tu nampaknya macam ustazah. Kalau kami bercakap, dia langsung tak tengok muka saya."

Rungutan anaknya buat dia tertawa kecil. "Tak apalah. Mummy faham dan mummy tak nak paksa. Cuba perlahan-lahan kenal dengan gadis tu. Kenal hati budi dia macam mana. Bila Darren dah yakin, baru bawak dia datang jumpa mummy, okay?"

"Okay, mummy." Dia angkat sebelah tangan ke paras bahu. Seakan membuat sumpah. Lega melihat penerimaan positif ibunya.

"Oh ye... sebelum mummy lupa. Tadi nenek call. Suruh kita balik kampung hujung minggu ni. Festival peranakan dah dekat. Tahu ajelah nenek tu. Kalau kita tak balik, tentu dia bising dan marahkan daddy. Nanti dikatanya daddy tak ingat asal-usul."

"Malaslah nak balik. Saya kurang suka sambut festival tu. Bising laa..."

"Darren... walaupun nenek berlainan agama, kita tak boleh sisihkan dia. Kampung daddy bukan jauh sangat. Dua jam aje dari sini. Kita balik sekejap, ya." Pujuk Puan Irma.

Perlahan dia mengangguk. "Kita memang tak pernah sisihkan dia. Tapi, dia yang selalu sisihkan mummy. Okaylah... saya setuju balik sebab nak jumpa nenek. Bukan nak sambut perayaan tu."

"Ya, ya... kita balik jumpa nenek saja. Tak payah tidur kat sana. Kita balik terus." Kata Puan Irma sebagai mengakhiri perbualan mereka.

LAMPU-lampu perhiasan di setiap penjuru kampung menarik perhatian untuk dia mengambil gambar. Walaupun kurang gemar dengan perayaan peranakan yang akan disambut lagi dua hari, hiasan-hiasan menarik di sekeliling tetap mencuri tumpuannya.

Darren melangkah turun dari kereta. Diikuti ibu dan bapanya. Tiga langkah mereka masuk ke rumah, satu suara perempuan bising-bising sedang memarahi mereka. Darren memandang ibunya. Tahu suara itu milik siapa.

"Hah, lu balik jugak aaa... mama fikir lu dah lupa jalan nak balik sini!" Marah Shuchun pada Encik Tan. Dijelingnya Puan Irma bagai nak telan. Dia berpendapat, Puan Irma yang menghasut anak lelakinya supaya tidak pulang menziarahinya.

"Jangan cakap tu macam, mama. Saya tak pernah lupa jalan nak balik kampung ni. Mama saya masih hidup. Setiap masa saya ingat." Kata Encik Tan lalu menoleh ke arah Puan Irma. Berharap isterinya tidak mengambil hati dengan sindiran itu.

"Mama... apa khabar?" Puan Irma menyapa. Dia tahu Shuchun tidak menyukainya. Namun, dia cuba bersabar demi meraih hati mentua.

"Ada lu nampak aku sakit?" Sindir Shuchun. Melihat wajah Puan Irma, luka di hatinya bagai berdarah semula. Wanita itu bukan menantu pilihan. Wanita itu membawa anak lelakinya keluar dari agama nenek moyang. Itu punca utama kenapa dia membenci Puan Irma hingga sekarang.

Puan Irma tunduk. Tidak lagi bersuara selepas gagal meraih kemesraan Shuchun. Entah berapa tahun lagi keadaan itu akan berubah, dia tidak pasti. Namun, dia tidak putus asa untuk menarik perhatian dan kasih sayang Shuchun.

"Nenek..." Darren menyapa. Sengaja mengalih tumpuan Shuchun. Kasihan melihat ibunya diherdik.

Wajah Shuchun berubah ceria. Sekelip mata wataknya bertukar. Tadi bukan main bengis. Sekarang tersenyum lebar hingga menampakkan barisan gigi palsunya apabila cucu lelaki yang pernah dipelihara sewaktu kecil, berada di hadapannya.

"Haaa... cucu nenek. Penat tak pandu keleta? Mali-mali lehat sini dulu." Sebuah kerusi rehat diketuk-ketuk dengan hujung tongkatnya. Dia menggosok bahu Darren. Wajah cucunya itu diusap penuh kasih sayang. Dalam ramai cucu yang dia ada, Darren yang paling dia utamakan.

Puan Irma dan Encik Tan saling berpandangan. Mereka menggeleng melihat tingkah Shuchun. Jauh di sudut hati mereka tetap bersyukur. Sekurang-kurangnya Darren ada sebagai penyelamat keadaan.

"Nenek sihat?"

"Ehhh... mestilah sihat. Tengok ni..." Shuchun membaling perlahan tongkatnya ke lantai. Hal itu mengundang senyum di bibir Encik Tan dan isterinya. Kalau dengan cucu kesayangan, Shuchun akan kalah sendiri. Tiada lagi marah-marah.

Darren ketawa melihat telatah Shuchun. Marah-marah Shuchun pada ibunya, tetap ada kelembutan dan gurau senda.

"Kamu dah makan?" Nada Shuchun terus berubah lembut dan perlahan.

"Belum. Laparlah nek..." Darren menepuk perut. Sengaja tunjuk manja di hadapan Shuchun.

"Nenek ada tempah nasi dagang dengan jilan. Jom kita masuk dapur aaa..."

"Mummy tak ajak sekali?" Darren menduga.

Shuchun menjuih bibir. "Ah, tahulah dia makan sendili. Dia dah tua. Buat apa nak ajak-ajak... aiyyaaa..."

"Daddy? Nenek tak kesian daddy ke? Daddy belum makan lagi tu." Darren mengumpan mood neneknya.

"Buat apa nak kesian-kesian? Dia pun dah tua. Tahulah dia cali sendili kalau nak makan. Nenek tempah nasi dagang untuk kamu aje. Mana cukup?" Shuchun bergerak lemah menuju ke ruang dapur. Belakang pinggangnya dipukul-pukul perlahan. Tongkatnya diabaikan.

"Kamu pergilah temankan nenek. Daddy dan mummy boleh makan kat luar." Kata Encik Tan.

"Daddy... nanti saya cuba pujuk nenek. Sampai bila kita nak tengok nenek terus layan mummy macam ni? Saya tak sangguplah. Kesian mummy."

"Tak apalah. Mummy bukannya tak biasa dengan nenek kamu tu. Setiap kali balik sini, macam tulah layanan dia kat mummy. Nak buat macam mana lagi dah." Pasrah Puan Irma berkata-kata. Namun, besar harapannya agar Shuchun menerima kehadirannya.

Malam itu, seluruh ahli keluarga neneknya berkumpul. Bukan sedikit bilangannya. Masing-masing berbual dalam tiga atau empat kelompok.

Darren melihat sekeliling. Baru dia sedar Shuchun tiada dalam rumah. Entah ke mana neneknya pergi.

Dia melangkah ke beranda dan terpandang Shuchun duduk santai di kerusi rotan. Mungkin ini masa yang sesuai untuk dia memujuk dan memberi nasihat.

"Nenek..." Darren menyapa sambil menarik perlahan kerusi rotan di sebelah Shuchun.

Saat menyedari kehadiran cucunya, Shuchun menyeka air mata yang meleleh ke pipi. Sejak tadi dia duduk di situ mengenangkan sikapnya yang tidak adil terhadap Puan Irma.

Sebenarnya, sudah lama dia menerima kehadiran menantu sulungnya itu dalam keluarga. Tetapi, egonya sebagai mentua yang satu ketika dahulu pernah membangkang perkahwinan anak lelakinya, menghalang dia tunjuk kemesraan dengan Puan Irma.

"Nenek dah terlalu tua. Selalu sakit-sakit. Tak bagus duduk kat luar rumah waktu malam macam ni." Kata Darren sambil membuka jaketnya lalu dipakaikan pada Shuchun.

Shuchun mengubah kedudukan. Bergaya seperti orang sihat. Lemah-lemah badannya cuba disembunyikan. Tetapi cucunya bijak menilai. Tidak boleh dia berpura-pura.

"Pandai-pandai saja kamu kata nenek sulah tua. Nenek masih muda. Masih manyak tenaga. Apa, kamu nak suluh nenek cepat mati kaa... aiii.. ini macam olang pun ada."

Darren ketawa. "Takkanlah saya nak mintak macam tu. Saya, mummy dan daddy terlalu sayangkan nenek. Saya nak umur nenek lagi tambah panjang. Nanti sempatlah tengok saya kahwin dan ada anak. Nenek suka tak?"

"Kamu nak kahwin dengan Jane tu??"

Dia tersengih. Bayangan Humairah bagaikan hadir saat itu. Langsung tidak terlintas di fikirannya sebaris nama yang disebut Shuchun. "Saya dah putus dengan dia, nek."

Berdekah-dekah Shuchun ketawa. Dadanya ditepuk-tepuk menandakan hatinya gembira. "Bagus, bagus. Manyak bagus. Nenek suka kamu dan Jane tak jadi kahwin. Itu pelempuan aaa... manyak tak baik. Manyak sombong. Kamu pernah bawak dia datang sini tapi nenek tak berkenan. Hati pelempuan tu manyak tak bersih punya."

"Ya, ya. Saya tahu. Itu pelempuan aaa... tipu punya olang ooo..." Darren cuba mengajuk cara neneknya bercakap. Pelat Melayu neneknya agak pekat.

Ketawa Shuchun terhenti. Suasana jeda sebentar. Tongkatnya dinaikkan perlahan-lahan. "Ini cucu aaa... manyak nakal punya olang. Kenapa kamu ajuk cakap nenek?!" Bahu Darren dipukul-pukul dengan hujung tongkatnya yang panjang.

Darren ketawa besar sambil mengelak. Tongkat neneknya diambil lalu disandarkan ke dinding.

Shuchun berhenti kepenatan. Seketika, dia berfikir soal Puan Irma. "Mana pelempuan tu?"

"Siapa?"

"Pelempuan yang culi anak nenek."

"Curi?" Darren pura-pura tergamam. Dia tahu siapa yang dimaksudkan neneknya.

"Ya. Pelempuan Melayu tu..." Bibir Shuchun menjuih panjang. Masih menunjukkan rasa tidak suka walau di hati berbeza cerita. Kalau boleh, malam ini juga dia mahu berbaik-baik dengan Puan Irma.

"Perempuan Melayu tu, ibu kandung saya, nek. Janganlah panggil dia macam tu lagi." Darren menggeleng. Begitu banyakkah kebencian yang tertanam dalam diri Shuchun sampai begitu sekali panggilan yang digunakan pada ibunya?

"Nenek tak suka sama dia."

"Tapi, kenapa nenek sayangkan saya? Kenapa sukakan saya?"

"Sebab kamu cucu nenek."

Darren ketawa halus. Spontan memberi ciuman pada dahi Shuchun. "Saya cucu yang lahir dari rahim perempuan yang nenek katakan tu. Dia kandungkan saya selama sembilan bulan. Bila nenek bencikan dia, tak sukakan dia, saya pun terasa. Macam mana ni?" Dia pura-pura bingung dan berharap Shuchun dapat menimbal balik semua perkara.

Shuchun terdiam. Kata-kata Darren menakutkannya. Dia bimbang jika Darren membencinya pula. "Kamu jangan cakap itu macam laaa. Kamu lain, pelempuan tu lain. Nenek tak benci sama kamu."

"Tapi nenek bencikan mummy. Saya tak selesa dengan keadaan macam ni. Nenek letakkan saya dalam keadaan serba salah. Bila nenek marah mummy, saya pun kecik hati. Nenek kata sayang saya."

"Ya. Memang nenek sayang sama kamu!" Shuchun berasa tergugat. Bimbang kalau Darren salah faham.

"Kalau betul nenek sayangkan saya, tolong terima mummy seadanya. Nenek selalu bagi layanan buruk pada mummy. Saya sedih bila mummy sedih." Darren berusaha sungguh-sungguh kali ini. Dia tahu Shuchun tidak boleh kalau dia tidak gembira.

"Sulah, sulah... pergi panggil itu pelempuan."

"Tapi nenek kena janji. Jangan marah mummy saya lagi. Kalau nenek marah, saya takkan balik jumpa nenek lepas ni." Darren sengaja mengugut.

Shuchun bertingkah serba salah. Ugutan Darren benar-benar menakutkannya. Kebenciannya pada Puan Irma, cuba dibuang jauh-jauh. "Kamu memang cucu dan anak yang baik. Kita bukan satu agama, tapi kamu tetap tunjuk kasih sayang pada nenek. Pandai pelempuan tu didik kamu." Shuchun berjeda sebentar sambil menjenguk ke dalam rumah lalu memerhati setiap seorang dari cucunya yang ada. Sebilangan besar dari mereka kurang berbual dan memberi perhatian padanya.

Darren sembunyi senyum. Tahu misinya hampir-hampir berjaya. "Siapa perempuan tu?" Sengaja dia menyoal. Mahu mendengar sama ada Shuchun akan mengubah panggilan atau tidak.

"Mummy kamu."

"Mummy saya nama apa?"

Shuchun berjeda lagi.

"Nek... mummy saya nama apa?" Darren kembali menyedarkan Shuchun. Dia tahu Shuchun sukar hendak menjatuhkan sedikit ego.

"Irma." Spontan neneknya menyebut.

"Eh, eh? Elok pulak nenek sebut nama mummy. Tak bunyi pelat pun?" Usik Darren.

Shuchun cerlung mata lalu mengambil tongkat dan mahu mengetuk kepala cucunya. Darren pantas bangun sambil mengelak. Dia ketawa lagi kerana Shuchun gagal memukulnya. Bergegas dia masuk ke dalam rumah.

"Ada apa nenek kamu nak jumpa mummy?" Puan Irma gelisah di tempat duduk sebaik saja diberitahu oleh Darren mengenai hal itu.

"Saya fikir, dia nak berbaik dengan mummy." Darren menebak walau tidak diketahui tujuan sebenar Shuchun.

Dengan rasa berat hati, Puan Irma bangkit dan melangkah perlahan menuju ke beranda rumah. Di situ dia nampak Shuchun sedang memusat pandangan ke depan. Kedua-dua tangan berada di atas tongkat.

Menyedari kehadiran menantunya, mulut ringan menyapa terlebih dahulu. "Aku sulah tua. Aku sulah mau pigi dari dunia. Aku akan mati. Lu aaa... jaga baik-baik sama aku punya anak. Sama aku punya cucu. Nanti aku mati, hati aku tenang. Sulah tak fikir sama lu lagi. Sekalang aaa aku mau baik-baik sama lu." Shuchun meruntuhkan egonya sekelip mata. Hampir tiga puluh tahun dia menyimpan kebencian itu. Ini masa yang tepat untuk dia buang segala amarahnya.

Puan Irma pejam mata. Entah dari mana keajaiban datang sehingga hati Shuchun jadi lembut malam ini. Saat itu dia berpaling melihat Darren yang bersembunyi di belakang dinding. Dia yakin, pasti Darren yang mengatakan sesuatu di hadapan Shuchun.

"Terima kasih, mama. Terima kasih sebab mama sudi terima saya akhirnya. Saya janji akan jaga Tan sampai akhir hayat saya."

"Ingat aaa... jangan janji saja-saja. Lu mesti tunaikan."

"Ya, mama. Saya takkan sia-siakan Tan dan cucu kesayangan mama."

Shuchun menjatuhkan tongkat. Puan Irma cuba mengambil tetapi dihalang. Mahu tidak mahu, terpaksalah dia menunggu apa yang bakal dilakukan ibu mentuanya itu.

Perlahan Shuchun berdiri. Lututnya yang tidak kuat, menghalang untuk dia bergerak lebih pantas.

Puan Irma menanti penuh debar. Tidak tahu apa yang Shuchun mahu buat. Risau kalau Shuchun memarahinya lagi. Kini, Shuchun berdiri di hadapannya. Terkumat-kamit mulut wanita tua itu, barang kali mahu mengatakan sesuatu.

"Lu memang menantu yang aku boleh halap. Sulah lama aku telima lu dalam keluarga. Tapi aku talak pernah cakap sama lu dan Tan. Mulut aku saja yang bising tapi aku punya hati manyak baik sama lu." Luah Shuchun dengan air mata tuanya menitis satu per satu. "Aku mau minta maaf sama lu. Lu olang Islam mesti mau kasi maaf sama olang tua aaa..." Sambung Shuchun.

Tanpa sedar, air matanya meleleh saat Shuchun meraih sebuah kemaafan. Dan, tika itu tubuh Shuchun dirangkul perlahan.

DIA tersenyum memandang telefon bimbitnya. Berkira-kira mahu menghubungi Humairah sejurus berjaya mendapatkan nombor gadis itu melalui Umar.

Tak disangka-sangka, Umar sangat sporting. Dan, untuk mendapatkan nombor telefon Humairah, ia bukan mudah. Dia terpaksa meminta nombor telefon Umar melalui Fazli terlebih dahulu.

Untunglah Umar pernah membuat panggilan kepada Fazli mengenai iPhone yang mahu dihadiahkan pada Humairah sebelum ini.

Namun, senyumannya bertukar tawar apabila tidak yakin kalau Humairah mahu menjawab panggilan dari nombor yang tidak dikenali.

Akhirnya, dia membuat keputusan untuk mengirimkan pesanan melalui aplikasi whatsapp.

Hai..

Apabila double tick bertukar biru, dia tersenyum gembira. Tentu Humairah sudah membacanya.

Siapa ni?

Kepala yang tidak gatal digaru-garu perlahan. Berasa ragu mahu perkenalkan diri. Tapi, kalau tidak dipecahkan ruyung, mana nak dapat sagunya?

Dia pegang dada. Tiba-tiba jantungnya berdebar pula. Kalah orang perempuan bila jatuh cinta.

Darren..

Akhirnya dia memberanikan diri. Hampir sepuluh minit menanti balasan, dia berasa hampa. Walaupun double tick sudah membiru, tetapi skrin telefonnya tetap kosong. Gadis itu membaca pesanan ringkasnya tetapi langsung tidak membalas.

Nafas ditarik panjang-panjang. Susahnya mahu didekati gadis itu. Sukarnya mahu memulakan langkah.

Dia bangkit dari hujung katil. Tidak mahu menunggu lagi. Perlahan mencampakkan telefon bimbitnya ke atas bantal.

Dengan langkah malas, dia menuju ke ruang wardrobe. Pintu gelangsar almari dibuka lalu sehelai seluar pendek ditarik keluar.

Apabila Humairah tidak membalas, dia sedikit kecewa. Bagi menghilangkan kekecewaan itu, dia perlu berenang.

Seluarnya ditukar. Sehelai tuala kecil berwarna putih diletak atas bahu sambil melangkah keluar dari bilik.

Di kolam renang, dia terserempak Acik Maryam baru selesai mengemaskan meja makan di situ.

"Darren nak berenang?"

Senyum nipis diberikan pada Acik Maryam sejurus tuala kecil di bahu diletak atas kerusi rehat.

"Ya. Stress la malam ni." Perlahan dia duduk santai di hujung kerusi rehat tersebut.

Acik Maryam tersenyum dan berkira-kira mahu menyampaikan sesuatu secara berkias. "Nak ubat stress lebih mujarab selain berenang?"

Dia bingkas dari kerusi rehat lalu melakukan regangan dan senaman ringan. Sekilas menoleh pada orang gaji itu. "Ubat apa?" Naif dia menyoal tanpa berfikir jawapan bakal diterima pasti mengundang resah di dadanya.

"Solat. Lima waktu sehari semalam. Subuh, zuhur, asar, maghrib dan isyak. Lengkapkan semuanya. Insha-Allah, jiwa kita akan jadi lebih tenang dan tekanan pun boleh hilang." Jawab Acik Maryam tanpa rasa bersalah.

Sesama Islam, wajib menegur dan memberi peringatan walau dengan apa cara sekali pun. Dia tahu, jiwa anak muda itu sebenarnya kosong dan perlukan pengisian.

Darren membatu dan jawapan Acik Maryam cuba dihadam dalam diam.

Melihat penerimaan anak majikannya, dia bertingkah serba salah. "Maaf, kalau jawapan Acik menyinggung perasaan Darren."

"Tak apa. Saya tak marah. Acik pergilah masuk berehat."

"Yalah. Acik masuk dulu. Sebelum Acik tidur, nanti Acik buatkan minuman untuk Darren, ya."

"Terima kasih." Ucapnya ringkas sebelum bertindak terjun ke kolam.

Daripada gaya bebas, dia bertukar posisi dengan melakukan gaya kuak lentang sebelum tubuhnya berpusing dengan gaya kuak dada. Dia berenang sehingga ke hujung kolam sebelum berpatah balik.

Apabila kepalanya timbul di permukaan air, dia terkejut melihat sepasang kaki berkasut tumit tinggi sedang berdiri di tepi kolam. Dia mendongak. Jane tersenyum dan berpeluk tubuh sambil memerhatikannya.

"Apa you buat kat sini? Pergi balik." Dia merengus. Kemunculan Jane secara tiba-tiba agak memeranjatkan. Apatah lagi datang berpakaian seksi, dia faham gadis itu mahu mengumpan.

Jane mencemik. Dari awal dia bersedia menerima penolakan Darren. Langkah lelaki itu diekori sehingga ke kerusi rehat. Tidak sempat Darren mahu mengambil tuala untuk keringkan tubuh, terlebih dahulu dia mengambilnya dan bersedia memberi khidmat seperti biasa. Tetapi, Darren bertindak merampas tuala itu dari tangannya.

Dia tercengang dengan mata membulat. Kasar sekali cara Darren menyambutnya. Namun, tindak balas dingin lelaki itu tidak mahu diambil peduli.

"Mummy you tak cakap apa-apa ke?" Jane menyoal. Sejak bercakap dengan Puan Irma supaya memujuk Darren, sehingga ke hari ini langsung tiada khabar berita.

"Ada. Mummy cakap you datang rumah cari I." Dia senyum sinis. Faham maksud pertanyaan Jane.

"Itu aje?" Dia beriak tidak percaya. Beria-ia dia menangis di hadapan Puan Irma, mustahil itu saja yang disampaikan?

Muka dan lehernya dikesat dengan tuala. "Apa yang you harapkan? Nak hubungan kita jadi macam dulu?"

Jane angkat kepala. Sedikit mendongak memandang bekas kekasihnya yang memiliki sosok tubuh lebih tinggi. "Kenapa? Tak boleh? I menyesal. Dan... I masih sayangkan you." Tidak segan silu dia membuat pengakuan.

Darren menggeleng. Senangnya gadis itu berkata-kata. Sekelip mata menukar pendirian. "Dahlah. Jangan buang masa. I tetap dengan keputusan yang sama."

"Takkan sikit pun you tak sayang hubungan kita?" Dia menghampiri Darren. Berniat mahu terus memujuk. Dia tidak mahu putus asa dan mesti mendapatkan lelaki itu semula.

Tuala dicampak ke atas kerusi rehat. Dia benar-benar letih dengan karenah Jane. "Kenapa malam ni baru you nak sedar semua tu? Kenapa tak dari dulu? Selama 12 tahun, siapa yang banyak berkorban dan lebih hargai perhubungan? You atau I? Fikir sendiri..."

Jane tunduk. Cuba mengimbau kenangan-kenangan lama. Dia sendiri mengakui, Darren seorang kekasih yang setia. "You yang banyak berkorban. Baru sekarang I sedar."

Dia mendekati meja yang terhidang segelas jus epal dan sepiring puding kastard. Kedua-duanya dibawa Acik Maryam sebelum kemunculan Jane. Luahan hati gadis itu seakan tidak diambil kisah.

Segelas jus epal habis diteguk. Puding cuma dibiarkan tidak dijamah. Hilang seleranya. Kalau Humairah yang muncul, pasti puding kastard sepiring itu licin dimakannya.

Namun, ia cuma angan-angan kosong yang tidak memberi apa-apa erti selagi perasaan cintanya pada gadis itu tidak diluahkan.

Kini, Jane pula yang muncul. Sekali gus ia merosakkan segala-galanya. Angan-angannya terganggu seketika.

"I hargai penyesalan you. Tapi semua dah terlambat. I penat selama 12 tahun jadi penunggu..."

"Kita belum terlambat dan boleh berbaik semula." Jane merapatkan dirinya dengan Darren. Jejari runcingnya dilakar-lakar lembut ke dada lelaki itu.

Pantas dia menangkap tangan Jane yang mula bertindak nakal. "Stop it." Darren berpaling membelakangi Jane dan bertindak menjauhkan diri.

Jane mencuka. Begitu jelas penolakan Darren kali ini. Lelaki itu benar-benar sudah jauh berubah. "You nekad sangat ke?"

"Ye. Takkan sesekali I ubah keputusan. You dah kantoi tanpa sedar. I tak buta."

Jane cuak. "Apa maksud you? Kantoi apa?"

Tawa kecilnya terlepas. Terimbau ingatannya pada Jane dengan lelaki lain di restoran tempoh hari. "I nak tanya, mana pergi lelaki tu? Tiba-tiba you nak berbaik semula dengan I, apa cerita?"

"Le... lelaki mana?" Gugup Jane menyoal. Faham apa maksud pertanyaan Darren. Pasti lelaki itu ternampak dia bersama Michael di lokasi-lokasi tertentu.

"Jangan buat bodoh. You tahu lelaki mana I maksudkan."

Dia membisu. Tidak ada modal mahu menyangkal dakwaan itu. Tuduhan Darren bukan fitnah.

Cuma kali ini, dia tetap mahukan Darren dan sudah memutuskan hubungan dengan Michael atas kecurangan lelaki itu.

"I dah tak nak masuk campur urusan you. Buatlah apa yang you suka. Siapa pun lelaki tu, I doakan you bahagia. Dan I... akan cari kebahagiaan sendiri." Dia bersuara apabila Jane membisu.

"You serius ke ni? Takkan you tak rasa apa-apa? Atau... you sendiri dah ada kekasih baru?" Entah kenapa, dia benar-benar tewas mahu terus memujuk. Terasa begitu jauh kasih sayang Darren kali ini. Seolah-olah, ada perempuan lain telah berjaya mengisi ruang kosong di hati Darren yang ditinggalkannya.

Senyum di bibirnya mekar ketika Jane menyentuh soal itu. Apabila perkataan 'kekasih baru' menampar pendengaran, secara tidak langsung sebaris nama Humairah terlayar di fikiran.

"Kalau I ada kekasih baru, bukannya salah. I pun nak bahagia macam you dengan lelaki tu. Sampai bila I nak hidup bujang?"

"Jadi betullah you dah ada orang lain?" Geram dan bengang Jane menyoal. Kedua-dua tangannya dikepal lalu digenggam sehingga menggeletar.

Darren menyedari perubahan ketara pada gadis itu. Melihat tangan Jane menggeletar, dia hanya senyum sinis. "Kalau you nak marah, silakan. Tapi jangan lupa, you pernah cabar I untuk cari perempuan yang lebih baik. Sekarang I dah jumpa. Tak perlu I cari. Dia muncul dengan sendiri. Mungkin Tuhan yang hantar dia untuk I berubah. Berubah jadi manusia yang lebih tahu menilai erti hidup." 

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro