Bab 7
KUALA LUMPUR INTERNASIONAL AIRPORT. Raf duduk di kerusi menunggu sementara penerbangan ke Sabah tiba. Tudung hoodie menutup kepala, bersama kaca mata hitam dipakai melengkapkan gaya coolnya. Dia menunduk ke bawah, konon sedang tumpu pada telefon. Sebaliknya sekadar berlakon tenang apabila sedar ada mata-mata yang memandang ke arahnya.
Sejujurnya dia kurang selesa apabila menjadi perhatian orang. Kenapa? Tak pernah lihat manusiakah sampai hendak pandang serupa dia alien durjana jatuh terhempas ke bumi?
Bahkan dia dapat rasakan ada seseorang curi-curi merakam video dirinya. Terus kepala berpaling ke tepi. Memandang dua orang wanita yang duduk selang beberapa kerusi daripadanya. Konon-konon sedang berbalas mesej, tetapi kenapa camera telefon itu seolah-olah terhala ke arahnya?
Ah, ini dah melebih!
Tak tunggu lama, dia terus bangun menuju ke arah mereka. Lantas merampas telefon itu daripada pemiliknya.
"Hei, apa ni?!" Wanita itu menjerkah.
Raf tidak berkata apa. Skrin telefon itu dipusing ingin melihat. Rakaman video sedang terbuka. Benarlah, mereka sedang merakamnya. Bibir Raf mengetap geram. Pantang sungguh jika ada orang rakam tanpa kebenaran. Kalau nak diikutkan hati, hendak sahaja dihempas telefon ini ke lantai biar berkecai. Namun dia sedar tindakan itu melampau. Cukup dia memadam video itu dengan jarinya sendiri.
"Sekali lagi telefon ini ada gambar atau video aku. Telefon ni akan pecah. This is my last warning." Serius dia memberi amaran sebelum telefon itu diserahkan kembali kepada pemiliknya.
Wanita itu mencebik bibir. "Rakam sikit pun tak boleh. Abang tahu tak muka abang macam anime tu... Apa ek nama dia?" Dia memandang rakannya.
"Satoru Gojo."
"Ha! Yang itu. Kalau saya letak muka abang dekat TikTok, confirm viral punya! Bolehlah kita ambil gambar sikit, bang?" Pujuknya dengan membuat suara manja.
Malas hendak melayan permintaan karut itu. Raf langsung kembali ke tempat duduknya. Earphone dikeluarkan dari beg galas yang terletak di kerusi sebelah lalu dipasangkan ke telinga. Muzik lagu sengaja diperkuatkan. Menenggelamkan suara mereka yang masih merayu-rayu untuk mengambil sekeping gambar.
"Ceh, sombong! Jomlah pergi daripada sini."
Akhirnya, dua orang wanita itu pergi juga daripada tempat menunggu. Tenang sedikit jiwa rasa. Raf bersandar ke belakang, kepala dibiarkan melangut menghadap ke atas. Suasana di dalam KLIA yang agak sejuk, lalu diseluk kedua-dua belah tangan ke dalam poket hoodie. Merasakan sedikit haba pun dah cukup selesa.
Baru sahaja hendak melelapkan mata, tiba-tiba kaca matanya dirampas oleh seseorang. Terus kelopak matanya terbuka luas.
Siapa pula yang berani tanggalkan kaca mata hitamnya? Dan saat kepala menoleh ke sebelah, rupa-rupanya Nathan sudah muncul.
"Haish, budak ni..." rasa nak marah, tetapi kena sabar. Kaca mata yang berada ditangan Nathan dirampas kembali lalu dipakai. Nasib baik tiada mata-mata yang melihat.
"Relaxlah, benda kecil pun nak marah." Gumam Nathan. Ruang kosong disebelah abangnya menjadi tempat dia melabuh punggung.
"Apasal kau lambat?" Soal Raf, dingin.
"Aku jumpa kawan tadi selepas itu hantar mereka balik ke tempat kerja semula. Kau pun tiba-tiba nak balik awal ke Sabah kenapa? Tak sampai dua hari duduk KL dah nak balik."
"Aku dah cakap kampung tu perlukan aku." Balas Raf. Jawapan yang sama. Tubuh dipeluk.
Nathan menjeling menyampah. Sudah jemu dengar alasan itu berulang kali. Sekilas pandangan menoleh ke arah beg bagasi yang berada di sebelah. Rasa-rasanya lelaki itu bawa baju sedikit sahaja. Tapi beg bukan main lagi besar. Tak lain tak bukan, pasti dia sumbat makanan ringan dalam tu untuk dibawa pulang ke kampung.
"Setiap kali balik aje beg penuh makanan. Dah macam misi bagi bantuan dekat luar negara."
"Biasalah. Makanan ringan tulah makanan mahal bagi mereka. Kita ni aje yang tak pernah bersyukur apa yang ada dekat depan mata. Macam orang tulah... nak makan makanan dekat hotel 5 star aje." Ujar Raf. Sempat lagi dia menyelit sindiran. Siapa makan cili, dialah yang terasa pedas.
Dan ya, Nathanlah yang tergigit cili itu sekarang.
"Engkau mengejek aku ke?"
"Aku tak sebut nama kau pun." Laju sahaja Raf menjawab.
"Tapi yang selalu makan dekat hotel 5 star tu aku."
"Jadi engkaulah orangnya."
Nathan mengetap bibir. Geram. Kecil sahaja pandangannya saat ini. Nasib baiklah mereka di KLIA, kalau dekat tanah perkuburan silap-silap dia dah korek tanah untuk abangnya. Siap dengan pakej baca yasin!
Nathan gelang kepala. Malas hendak bertikam lidah dengan Raf. Kerana dia tahu,dia takkan pernah menang. Lelaki itu dahulu juara perbahasan di sekolah, berani nak lawan mulut dengan dia? Wanita pun dia pernah kalahkan.
Ceh!
"Sudahlah. Penerbangan aku lagi beberapa minit aje lagi. Aku kena pergi awal, takut terlepas." Kata Raf, langsung bangun dari kerusinya. Beg digalas pada belakang tubuh. Tatkala bagasi besar itu cuma diheret menggunakan sebelah tangan. Dia memusing menghadap Nathan yang turut berdiri.
"Apa-apa pun, terima kasih sebab datang sini sambut kepulangan aku. Walaupun aku tahu kau datang sebab papa suruh."
"Tahu tak apa." Desis Nathan. Kalau Tan Sri Raqib tidak memaksa, dia takkan berada disini.
"Jaga papa elok-elok. Perhatikan sama makan dan minum dia. Kita jumpa semula dekat Semporna nanti." Pesan Raf, ringkas.
Nathan sekadar mengangguk kepala. Macamlah dia tak tahu hendak buat semua itu.
"Aku gerak dulu, Assalamualaikum." Ucapnya, sempat bahu Nathan disapa sebelum dia menarik beg bagasi itu pergi bersama. Tatkala Nathan masih berdiri disitu, menunggu sehingga kelibat Raf hilang disebalik mata kasarnya.
"Waalaikumsalam..."
MATA fokus ke skrin monitor, tangan masih teragak-agak untuk menaip. Dikepala asyik terngiang-ngiangkan wajah lelaki itu. Susah untuk dia tumpu pada kerja sekarang. Apatah lagi pabila teringatkan kata terakhir Nathan yang tak sempat dihabiskan tadi. Dia kata... macam pernah?
Adakah maksud lelaki itu, memori itu pernah ada di dalam fikirannya? Tetapi mungkin ia sudah lama berlalu, jadi dia ingat-ingat lupa. Begitukah?
"Haish!" Husna mendengus. Terus tubuh disandarkan ke belakang. Tak jadi ingin menyambung kerja. Payah jika fikiran dan tangan tidak sekepala!
"Agaknya dia ke yang selamatkan aku dulu ek? Tapi kalau betul, kenapa aku seorang sahaja yang teringatkan dia selama bertahun-tahun. Kenapa dia tak ingat macam aku ya? Sampai termimpi-mimpi lagi." Husna bermonolog sendirian. Bermacam-macam persoalan bermain di fikirannya saat ini. Namun dia pasti semua persoalan itu tak akan terjawab, kerana jawapannya hanya ada pada lelaki itu.
"Takkan itu pun kau tak boleh nak fikir, Husna? Kau teringatkan dia sebab muka dia kacak aje! Bukannya kau jatuh cinta pun!" Seakan-akan ada jelmaan jahat sendiri tiba-tiba muncul di tepi meja memberi pendapat. Siap berpeluk tubuh dengan gaya selamba bersandar pada bucu meja.
Husna tergamam. Tubuh terus menegak. Sesekali kelopak mata digosok-gosok sebelum dilihat ke tempat yang sama. Bayangan itu masih ada disitu.
Dia dah gila ke sekarang?
"Ish! Mana ada. Itu cinta pandang pertamalah! Takkan kau tak pernah dengar? Lagipun, muka lelaki itu pun aku nampak samar-samar sahaja waktu tu. Macam mana kau boleh tuduh aku suka dia sebab kacak aje? Tak logik!" Bidas satu lagi jelmaan sendiri di sebelah kiri meja pula. Kali ni mungkin yang baik kerana dia berpakaian putih.
Sah!
Otak dia dah tak betul sekarang.
Namun Husna tetap angguk kepala tanda setuju kepada si jelmaan yang baik itu. Benar! Dia tidak pernah melihat dengan jelas wajah Mr Blue itu, bagaimana pula si jahat ini boleh menuduhnya suka semata-mata kerana terpikat dengan wajah?
Namun si jahat itu boleh pula menjuih bibir dengan muka mengejek. Tidak sependapat.
"Habis yang kau puji dia kacak macam bidadara syurga tu apa dia? Dan kalau betul pun dia tu Mr. Blue, kenapa dia tak ingat pasal kau? Nampak sangat dia tak berminat pun nak kenal kau dengan lebih mendalam. Kau aje yang terhegeh-hegeh! Macam perigi cari timba!"
"Mana ada aku jadi perigi!" Si baik membantah.
Wah! Wah! Dah macam sesi berdebat pula di hadapan mata.
"Kalau macam itu, kau janganlah tunjuk kau suka sangat dekat Encik Nathan tu. Berlagak sombonglah sikit. Baru kita boleh tahu sama ada dia betul-betul Mr. Blue atau tidak? Kalau dia macam cuba nak dekatkan diri dengan kau. Memang sahlah dia tu Mr.Blue!" Kata si jahat itu.
Dan saat ini, kepala terangguk menyokong pihak si jelmaan jahat pula. Ada betulnya juga kata dia. Kalau aku seorang sahaja yang terhegeh-hegeh mencari jawapan, tidak adillah!
"Mana boleh macam itu! Kalau kita sombongkan diri, makin menjauhlah Encik Nathan tu. Tak boleh! Tak boleh!" Protes si jelmaan baik itu.
"Ikut plan aku! Semua ni pasti berjaya punya!"
"Tak! Plan kau cuma akan hancurkan hubungan aku dengan Encik Nathan!"
"Habis? Kalau jadi terhegeh-hegeh macam kau akan dapat jawapan ke?"
"Aku tak terhegeh-hegehlah!"
Ah, sudah. Dua jelmaan di sebelah kiri dan kanan itu bertikam lidah pula. Makin kusut kepala otaknya, tak pasti mahu berpihak pada si baik ataupun si jahat. Kedua-duanya kedengaran masuk akal, tetapi si jahat nampak macam lebih pandai.
Mungkin benar, aku harus jadi sombong sedikit kepada lelaki itu. Biar dia yang nampak terkejar-kejarkan aku kerana dia tahu akulah yang pernah dia selamatkan dahulu.
Bijak!
Tok! Tok! Tok!
Kedengaran pintu diketuk dari luar mengalihkan perhatian Husna. Semerta dua bayangan yang bertikam lidah tadi lesap bagaikan hantu. 'Eh, laju betul mereka hilang.' Bisik hati Husna.
Melihat pintu itu ditolak oleh Datin Khadijah, langsung Husna mendekatkan diri ke meja. Buat-buat seperti sibuk menguruskan kerja. Entah kenapa mood tiba-tiba hilang sebaik sahaja terpandang wajah orang tua itu. Terus sebelah tangan naik memicit kepala, sambil sebelah lagi menari-nari di atas papan kekunci.
Tatkala Datin Khadijah tersenyum kecil. Tak tunggu lama, dia terus berjalan menuju ke meja. Tanpa sebarang arahan, kerusi yang berada disitu ditarik sebelum dia melabuh punggung.
"Husna sibuk ke?" Soalnya. Sesekali anak mata mengerling ke arah skrin monitor. Hendak tahu juga apa yang Husna sedang taip itu. Nampak serius benar muka.
"Ada nampak aku tengah duduk santai ke sekarang?" Balas Husna, acuh tak acuh. Rasanya baru sekejap tadi dia duduk bersantai.
Namun Datin Khadijah sekadar tersenyum kelat mendengar balasan wanita itu. Tak mengapa, dia dah biasa dengan layanan Husna.
"Maaflah kalau kehadiran mak mengganggu Husna kerja."
"Kalau dah tahu mengganggu balik ajelah."
"Tak boleh. Ada sesuatu yang mak nak kena bincang dengan Husna. Dan mak tak nak bawa balik hal ni ke rumah sebab tak mahu libatkan ayah sekali. Ini tentang kita berdua." Ujarnya.
Husna mendengus kecil.
"Fine." Husna menolak papan kekunci itu menjauh sedikit daripadanya sebelum dia berpaling memandang orang tua itu. Muka masih lagi tegang. Entah apa yang penting sangat nak dibincangkan sampai tak boleh nak berjumpa di rumah. Tapi, kalau dirumah sekalipun belum tentu dia mahu bertatapan dengan Datin Khadijah.
Lama juga orang tua itu mendiam sebelum berbicara. Ada keluhan berat kedengaran ditelinga. Riak wajah turut berubah.
"Mak nak Husna minta maaf kepada mak tentang hal pagi tadi depan ayah waktu balik rumah nanti." Arahnya.
Terus jatuh rahang Husna mendengar permintaan itu. Nak tergelak pun ada. Siapa dia mahu Husna meminta maaf?
"What?"
"Mak cuma tak nak ayah anggap Husna kurang ajar. Lagipun, lagi beberapa hari sahaja lagi kita akan bertolak ke Sabah sama-sama. Mak nak ayah nampak kita dah berbaik. Itu sahaja. Demi kerja dia juga, Husna. Mak tak nak ayah stress fikirkan tentang kita berdua."
Bibir Husna terjuih. "Oh, jadi kau nak nampakkan macam aku ni anak derhaka depan ayahlah sekarang ni? Macam itu?"
"Bukan macam itu maksud mak. Husna..."
Tanpa menunggu Datin Khadijah menghabiskan ayat, Husna sudah angkat tangan terlebih dahulu. Cukup. Dia tidak mahu dengar. Segala kata-kata yang bakal keluar dari bibir orang tua itu sekadar akan membakar amarahnya.
Datin Khadijah terdiam.
"Kau nak tahu sesuatu tak? Aku lebih rela kena campak ke laut, hidup seorang diri di sana daripada minta maaf dan berbaik dengan kau. Pernah tak mak cik macam kau cermin diri sebelum nak arahkan aku untuk buat benda hina macam itu?"
"Minta maaf bukan perkara yang susah. Mak cuma nak kita..."
"Apa? Berbaik? Walaupun sekadar lakonan aku tetap jijik lah nak ucapkan perkataan tu lebih-lebih lagi depan kau!" Sinis Husna.
Datin Khadijah terdiam. Jelas kata-kata Husna menghiris hatinya. Namun apa wanita muda itu kesah, tiada langsung riak bersalah terpapar diwajahnya. Malah dijeling lagi adalah. Ya Tuhan, sabarkanlah hati ini. Kalau bukan kerana dia cuma mak tiri, sudah tentu tangan ini naik menampar wajah Husna sebagai satu pengajaran. Namun dia sedar, dia tidak layak untuk bertindak sampai ke tahap itu.
Nafas kecil dihembus perlahan. Mata terpejam sesaat. Cuba mengorek sabar yang masih tersisa. Kemudian barulah dia kembali bersuara.
"Mak tahu Husna bencikan mak sebab kahwin dengan ayah. Tapi takkan sebab itu sahaja Husna tak boleh terima mak? Jijik sangat ke perbuatan mak sampai Husna berkelakuan macam ini? Mak bukannya rampas kebahagiaan ayah pun. Mak kahwin pun selepas kematian arwah. Apa alasan Husna nak cakap macam itu?"
Makin berdesing telinga Husna mendengarnya. Pantang sungguh jika Datin Khadijah mula mengungkit tentang hal itu. Limit kesabarannya sudah sampak ke kemuncak. Dan langsung...
PAP!!
Kedua belah tangan Husna menghentak meja dengan kuat. Terhinjut bahu orang tua itu dibuatnya. Terkejut. Merah padam wajah Husna saat ini. Geram. Nafas turun naik menahan amarah. Lihat muka wanita tua itu hanya buatkan api di dalam hatinya lebih marak. Lantas tangan diangkat tinggi menunding ke arah pintu keluar.
"Berambus kau dari office aku sekarang..." terketap-ketap gigi Husna menghalau.
Datin Khadijah menggeleng kepala. Tidak. Husna mungkin dah salah faham.
"Husna..."
"Aku cakap keluar, keluarlah! Sekuriti!"
Melopong mulut Datin Khadijah saat Husna mula memanggil Sekuriti. Sampai begitu sekali Husna menghalaunya serupa anjing kurap. Tidak sampai beberapa minit, muncul dua orang Sekuriti lelaki masuk ke dalam bilik kerjanya. Berdiri tegak di tepi meja sedia menunggu arahan.
"Bawa perempuan tua ni berambus. Lepas ni kalau engkau berdua nampak muka kerepot ni datang ofis aku, halau aje! Faham?!"
"Faham, Cik Husna." Balas mereka serentak. Akur.
"Tunggu apa lagi? Bawalah dia keluar! Itu pun nak aku ajar ke huh? Lembab sungguh korang berdua ni. Macam mana boleh jadi guard? Haish... pekerja semua tak boleh pakai langsung!" Bebel Husna. Sakit kepala dibuatnya. Dihentak fail yang berada diatas meja sekuat-kuatnya menunjukkan amarah.
Malas hendak mendengar bebelan wanita muda itu, dua orang Sekuriti itu segera bergerak mendapatkan Datin Husna. Mereka pun ada limit sabar juga. Karang ada juga tajuk berita bos dipukul Sekuriti di dada akhbar.
"Takpa, saya boleh keluar sendiri." Halang Datin Husna. Dia mengangkat tangan menunjukkan isyarat kepada dua orang Sekuriti itu. Mereka tak perlu susah payah mengheretnya pergi. Dia juga ada kaki yang masih elok berfungsi.
Kemudian Datin Khadijah bangun dari kerusi. Anak mata mencerun memandang Husna yang berpaling darinya. Tak ada kata-kata yang keluar, sebaliknya dia terus melangkah pergi dengan kepala menggeleng.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro