78
SUDAH lama dia tak rasa duduk di atas kerusi berjam-jam menyiapkan tugasan, bahu dan leher dah terasa lenguh. Jari-jemari hampir naik kebas dek kerana tak berhenti menaip di atas papan kekunci. Setelah kerjanya sudah siap, barulah Raf bersandar ke belakang. Merehatkan dirinya sebentar. Sesekali tangan kanan bergerak ke belakang leher, gosok-gosok sedikit agar lenguhnya hilang.
Kerusi dipusingkan ke belakang, menghadap ke arah cermin besar yang menampakkan pemandangan di luar yang sudah gelap. Bangunan-bangunan mencucuk langit hanya menampakkan cahaya disetiap tingkatnya sahaja. Kenderaan di jalan raya bawah sana pun tidak sesak seperti waktu petang.
Nyatanya memang dah lewat sangat. Dia pun seharusnya balik ke rumah sekarang.
Tok! Tok! Tok!
Kedengaran pintu diketuk beberapa kali sebelum dikuak. Seraya Raf kembali memusing kerusinya ke hadapan, memandang Mia yang berdiri di pintu.
Wanita itu terpempan sejenak tatkala mata mereka bertembung.
"Cantik mata bos." Puji Mia. Bibirnya tersengih-sengih.
Cepat-cepat Raf melarikan pandangannya ke lain apabila tersedar kaca matanya berada di atas meja. Kemudian, dia buat-buat berdehem membetulkan suara.
"Ada apa?" Tanya Raf, kertas-kertas kerja yang bersepah di atas meja dikumpulkan sebelum diletakkan di satu sudut. Kemas.
"Tak ada apa-apa. Sajalah saya nak beritahu bos yang saya dah nak balik. Bos tak nak balik ke? Sebab kalau bos nak stay sini, saya pun kena duduk sini. Manalah tahu nanti bos perlukan saya?"
"Eh, tak perlu. Saya pun dah nak balik ni. Tinggal nak kemas aje." Balasnya.
Kepala Mia mengangguk faham.
"Kalau macam itu... saya balik dulu ek? Selamat malam, bos!" Ucap Mia, setelah memastikan bosnya tidak berkata apa-apa dan sekadar anggukkan kepala. Lantas, Mia mengatur langkah pergi.
Kini tingkat 60 sunyi sepi. Suram, hanya ada beberapa lampu sahaja sengaja dibiarkan terbuka.
Raf langsung bangun daripada kerusi. Beg hitamnya dicapai, lampu yang berada di atas meja dimatikan sebelum langkah disusun keluar daripada bilik kerjanya. Terus menuju ke arah lif berhampiran.
Butang ditekan.
Sementara menunggu pintu terbuka, telefon canggih dikeluarkan daripada kocek seluarnya. Nama 'Ashraf' ditekan lalu didekatkan ke telinga.
"Ashraf, tunggu di lobi. Lagi lima minit sa sampai sana."
"Baik, Tuan." Suara di corong speaker itu menyahut. Kemudian, talian dimatikan. Serentak itu pintu lif terbuka. Tanpa menunggu lama, Raf terus melangkah masuk. Membawanya turun menuju ke tingkat lobi.
Ting!
Pintu terbuka.
Raf keluar. Dia berjalan sambil kepala tunduk melihat telefon. Periksa sama ada mesej-mesej penting daripada papa. Tiada. Telefon disimpan. Wajah diangkat, pintu kaca itu automatik bergerak membuka laluan apabila Raf tiba, sekilas anak mata ditebarkan ke tepi. Semerta langkah terpasung ditengah-tengah pintu apabila menangkap figura wanita beruniform cleaner biru di sebelah kanan sana.
Kening tebalnya berkerut pelik. Sekejap dia tunduk melihat jam di pergelangan tangan. Sepatutnya semua pekerja dah balik waktu ini. Apa pula dia buat sorang-sorang di situ?
Niat Raf yang tadinya mahu terus ke kereta dilupakan, malah beralih arah mendapatkan wanita yang sedang mengelap cermin besar itu. Apabila jarak semakin dekat, baru dia perasan susuk tubuh yang membelakanginya itu adalah...
"Husna?"
Bahu Husna terhinjut akibat terkejut. Tangan yang memegang kain kotor melekap ke dada. Terus dia memusing tubuh ke belakang. Tergamam sejenak melihat Raf berdiri di situ.
"Aw... awak tak balik lagi? Saya ingatkan awak dah pulang dulu."
Raf menggeleng. Kenapa Husna persoalkan jadual pulangnya pula, sedangkan Husna juga masih berada di sini.
"Aku ingatkan kau dah balik dengan Mia. Kenapa masih ada dekat sini? Kau tahukan pintu tu akan automatik kunci bila jam 12 malam?" Tegur Raf, serius. Ada nada kerisauan pada suaranya.
Sedangkan Husna menyimpul senyuman kecil. "Awak jangan risaulah. Saya dah beritahu sekuriti yang saya balik lewat hari ni. Nanti diaorang boleh bukakan pintu kecemasan kalau saya dah siap kerja."
"Tapi takkan kau seorang sahaja? Mana cleaner yang lain?" Soal Raf, sekilas anak matanya melilau ke sekeliling lobi. Mencari kelibat pekerja yang lain. Namun, tiada. Ruang lobi ini suram serupa mereka berdua sahaja yang ada.
Lantas Husna geleng kepala.
"Diaorang semua dah balik. Termasuk Cik Suria. Saya yang minta kebenaran untuk ambil kerja lebih masa." Ujar Husna. Tatkala Raf cuma diam merenungnya. Entah apa yang bermain di fikiran lelaki itu saat ini. Mukanya masih lagi serius. Mungkin risau jika dia berseorangan di dalam bangunan ini.
"Saya memang dah biasa kerja sampai lewat malam. Jadi awak tak perlu risau." Sengaja Husna beritahu jika itu yang Raf sedang fikirkan. Lagipun ada sekuriti yang berjaga di luar. Jadi dia pun tak takut sangat.
"Kau perlukan duit ke?" Tanya Raf secara tiba-tiba. Mana ada seseorang yang sanggup melakukan kerja lebih untuk saja-saja. Jika itu masalah yang Husna hadapi sekarang, dialah orang pertama yang akan menghulurkan tangan.
Perjanjian mereka di pulau masih lagi segar dalam ingatannya. Susah atau senang, mereka akan laluinya bersama-sama.
Husna berdecik kecil. Tergeleng-geleng kepalanya saat ini. Sampai ke situ pula Raf terfikir.
"Mana ada. Saya cuma nak gaji lebih, jadi saya buatlah kerja lebih. Lagipun, cermin dekat sini dah berhabuk." Balas Husna, tak mahu Raf memikirkan yang bukan-bukan.
"Tu, kereta awak dah sampai. Baliklah. Saya nak sambung kerja." Kata Husna, memuncung bibir menunjuk ke arah kereta Bentley Bentayga berwarna kelabu yang baru muncul di hadapan bangunan korporat. Pemandunya sudah keluar menunggu di tepi pintu. Sedia menyambut kedatangan tuannya.
Kemudian, Husna pusing menghadap cermin di belakang. Kembali menyambung kerja pembersihan cermin yang tergendala sebentar tadi. Tak pedulikan Raf yang masih tak berkutik daripada tempatnya.
Perlahan kepala Raf menggeleng. Dia tak boleh biarkan Husna seorang diri di dalam bangunan ini. Lantas telefon canggih dikeluarkan, kembali menghubungi Ashraf.
"Berapa lama kau ambil masa siapkan semua kerja ni?" Soal Raf, dia memandang Husna yang masih lincah melakukan kerja.
Kening Husna berkerut pelik. Kenapa pula Raf mahu tahu? Tapi dia jawab sahaja.
"Hmm... dalam 30 minit juga?"
Kepala Raf terangguk-angguk tanda faham. Sebaik sahaja Ashraf mengangkat panggilannya, terus Raf membuka mulut.
"Maaf, Ashraf. Sa ada kerja sedikit. Dalam 30 minit nanti siap. Tunggulah dalam kereta dahulu. Tak perlu berdiri di luar." Ucapnya, seraya talian dimatikan. Sekejap dia mengerling ke luar cermin kaca bangunan korporat, melihat pemandunya yang kembali masuk ke dalam perut kereta. Mengikut arahan.
Tak banyak cakap, beg hitamnya ditaruhkan ke lantai. Satu per satu butang kot ditanggalkan, lalu dibuka sebelum dilipat letak di atas beg. Cuma meninggalkan vest hitam dan kemeja putih pada tubuh maskulinnya. Kemudian, lengan panjang pula disenteng hingga ke siku.
Setelah siap, dia menuju ke arah bakul yang tersedia alat pengilap cermin dan botol spray berisi air sabun. Kedua-duanya diambil sebelum dia menapak menghampiri Husna. Berdiri disisi. Tanpa menunggu lama, air sabun terus disembur ke arah cermin kaca itu lalu dilap. Langsung tidak kekok. Seperti sudah terbiasa.
Husna tersentak. Sekejap dia toleh ke luar bangunan, bukankah pemandunya sedang menunggu di luar? Lantas, pandangan kembali beralih kepada Raf.
"Apa awak buat ni? Driver awak dah tunggu dekat luar. Kesian dia kena tunggu!"
"Kalau tak nak biar dia tunggu lama-lama, cepatlah siapkan kerja ni." Balas Raf begitu selamba.
Eh, macam itu pula... main ugut ke apa ni? Husna geleng kepala. Ini kerja dia, bukan kerja seorang berpangkat besar seperti Raf. Bahkan, uniform mahal yang dikenakan Raf sahaja sudah tidak sesuai melakukan kerja-kerja mudah kotor seperti ini.
"Ish, tak payahlah tolong saya. Awak pergilah balik, saya tahulah cara nak buat kerja..." Husna cuba merampas pengilap tingkap di tangan Raf, namun cepat-cepat Raf angkat tinggi.
Husna mendongak. Kecil sahaja pandangannya saat ini. Tahulah Raf tu tinggi dan dia takkan berjaya mencapainya!
"Kau buatlah kerja kau. Aku takkan ganggu." Dalih Raf lalu sambung mengelap cermin.
"Baju awak tu mahal tahu tak? Kotorlah nanti! Lagipun saya selesa buat kerja ni seorang diri. Awak tu bos, pangkat besar! Jadi tak sesuai untuk orang macam awak. Kerja ni, untuk orang macam saya yang dah tiada apa-apa." Bebel Husna dengan mata yang melirik tajam.
"Kalau kau nak aku berhentikan kau daripada kerja ni, cakaplah macam itu lagi." Tegas Raf. Sempat dia memberi isyarat mata sebagai tanda amaran. Sungguh, dia tak suka apabila Husna merendahkan dirinya hanya kerana kerja seperti ini. Baginya, kerja inilah yang paling diperlukan dalam mana-mana syarikat sekalipun. Siapa lagi yang akan bersihkan tempat ini selain orang-orang seperti mereka?
Husna terkedu seketika mendengar amaran Raf. Jujur, dia tak bermaksud untuk merendahkan dirinya. Dia cuma nak beritahu yang ini adalah kerjanya bukan kerja Raf. Itu sahaja.
"Kita pernah jual ikan, kita pernah jual kelapa, kita pernah uruskan kenduri sama-sama... dan sekarang, aku nak tolong kau bersihkan tempat ni sama-sama. Kalau dulu boleh, kenapa sekarang tak boleh? Hmm?"
Kerana... awak bukan Lanun lagi. Awak Tuan Andikha Rafael, pengarah Ocean Empire, dan kata-kata itu cuma terucap di hati Husna. Tak ada kekuatan untuk dia melemparkan ayat itu kepada Raf.
"Husna..." panggil Raf lembut.
Dia berhenti mengelap cermin, kini pusing menghadap Husna di sisi. Sepasang mata biru dan hazel itu merenungnya begitu dalam dan redup.
"Aku masih Lanun. Sampai bila-bila pun, aku mahu jadi Lanun. Aku tak ingin langsung jadi Andikha Rafael yang orang selalu sanjung tinggi. Tapi kerana aku fikirkan masa depan kau, masa depan kita... jadi setuju untuk ambil kerja ni semula." Tutur Raf penuh mencairkan hati Husna yang mendengarnya.
Rasa terharu pun ada juga apabila baru sedar apa yang lakukan oleh Raf saat ini adalah kerana memikirkan tentang dia. Walaupun sebenarnya dia tak pernah berharap Lanun akan berubah sampai ke tahap ini. Bagi Husna, dia dah cukup bahagia dengan kehidupan yang dahulu. Sekadar ala kadar tapi tetap sempurna.
Tapi, nyatanya ini masih dunia. Masih perlukan duit dalam segala hal. Kerana duit juga, mampu mengubah kehidupan seseorang.
"Jadi jangan rendahkan diri kau depan aku lagi, faham?"
Perlahan Husna angguk kepala. Dalam diam bibir ditahan daripada tersenyum.
Rasa bertuah sungguh kerana dia dapat berjumpa lelaki seperti Raf.
"Baiklah, Tuan Lanun." Akur Husna.
Tergelak kecil Raf mendengar panggilan itu.
Lantas mereka sama-sama menyambung kerja. Husna membersihkan cermin di sebelah kanan manakala Raf pula di sebelah kiri.
Tiba-tiba rasa sunyi pula apabila masing-masing fokus membuat kerja.
Dan-dan muncul idea nakal di fikiran Raf, seraya dia bergerak sedikit demi sedikit mendekati Husna sambil tangan mengilap cermin kaca itu. Langkah diberhentikan sebaik sahaja berdiri di tepi. Tak tunggu lama botol air sabun itu terus dihala ke arah Husna lalu disembur sedikit sehingga mengena tudung dan pipinya.
Mata Husna meluas. Tak menduga dengan tindakan Raf. Habis basah tudungnya!
"Awak ni daripada jual ikan sampai lap cermin asyik nak kacau saya. Kalau begini, sampai pukul 12 pun belum tentu siap!"
Raf tergelak.
"Yalah, yalah... aku takkan ganggu kau lagi."
Husna menjeling. Ada-ada sahaja si Raf ini hendak menyakat. Patutlah Odu cakap yang Raf ini budak nakal semasa di kampung. Kemudian, Husna menyambung kerjanya semula. Tidak sampai beberapa minit, terasa lagi ada percikan air ke muka.
Husna mengetap bibir. Mata dipejam sesaat. Memang nak kena betul si Lanun ni!
"Awak ni memang Lanun betullah!" Disebabkan geram yang amat, terus Husna sembur air sabun itu ke arah Raf semula. Banyak-banyak, biar basah kemeja mahal lelaki itu! Namun, belum sempat dia bertindak ke arah itu. Raf lebih pantas menyelamatkan diri dengan berlari sejauh mungkin.
Akan tetapi Husna tidak terus biarkan itu terjadi. Dia mengejar Raf daripada belakang. Suasana sunyi bangunan korporat itu kini dihiasi gelak tawa mereka berdua.
Tersenget-senget Raf mengimbangi dirinya saat cuba mengelak daripada terkena tembakan air sabun itu. Boleh tahan laju juga Husna mengejarnya. Tapi malang sekali, dia lebih pantas.
"Tak mengapa, awak tunggu kejap!" Jerit Husna penuh tidak puas hati apabila tidak berjaya mendapatkan Raf. Laju dia berlari menuju ke arah bilik stor berhampiran. Mengambil sesuatu.
Langkah Raf berhenti dengan nafas mencungap kepenatan. Namun bibir tetap tersenyum penuh bahagia.
"Apa pula dia nak ambil tu?"
Tak lama kemudian, Husna keluar daripada bilik stor itu sambil menaiki Ride on scrubber, serupa kereta kecil yang digunakan untuk mengelap lantai dan harus ada pemandu di atasnya.
Terbeliak biji mata Raf melihat.
"Ini tak adil! Kau nak langgar aku ke?" Apabila Husna memandu kereta itu ke arahnya, maka Raf pun cuba melarikan diri. Alat itu tidaklah boleh laju mana. Sengajalah Husna mahu kejar lelaki itu menggunakan kereta ini. Sambil-sambil itu bolehlah bersihkan lantai. Jimat masa.
Tak pernah Husna rasa seronok begini sepanjang melakukan kerja sebelum ini. Seakan waktu ini paling berharga dan dia akan simpan dalam memori buat selamanya. Benarlah orang kata, kebahagiaan itu boleh muncul dengan bermacam-macam cara. Bukan duit sahaja yang mampu buat manusia itu bahagia.
Tanpa sedar tindak-tanduk mereka berdua sepanjang berada di dalam bangunan itu diperhatikan oleh Tan Sri Raqib yang berada di dalam keretanya. Sengaja di parkir kereta di hadapan bangunan, cadangnya ingin menjenguk Raf yang masih belum pulang. Tapi lain pula yang dia nampak.
Tak terdetik pula dia mahu mengganggu masa kebahagiaan mereka. Maka Tan Sri Raqib cuma menjadi pemerhati daripada jauh. Bibir tak lekang daripada senyuman. Melihat anak lelakinya yang bergelak tawa daripada jauh, buatkan hati seorang bapa turut terasa keseronokan yang sama.
"Dah lama papa tak nampak kamu seronok begitu, Raf." Luahnya perlahan. Dia memandang Husna yang menaiki kereta kecil itu pula. Sudah pasti, wanita itulah yang buatkan hidup anak sulungnya bahagia. Sungguh, dia rasa terharu sangat-sangat.
Tan Sri Raqib tersenyum lagi.
"Terima kasih, Husna. Terima kasih kerana muncul dalam hidup Rafael. Mama dia tentu gembira kalau dapat tahu Raf dah ceria semula..." ucapnya penuh rasa bersyukur.
Melihat mereka bergurau senda seperti itu, mengingatkan dia pada kenangannya bersama arwah isteri. Begitulah mereka menciptakan memori indah. Dia memang suka menyakat arwah semasa hidup dahulu.
Nampak gaya, Raf memang ikut perangainya. Manakala rupa pula, lebih mengikut arwah Puan Thalia. Kedua-duanya sekali ada pada anak sulungnya.
SELESAI sahaja kerja, Raf pelawa Husna untuk menumpang keretanya. Pada mulanya Husna menolak dan ingin menempah grab car, tapi sudah tentulah dia tak benarkan. Setelah dipaksa, barulah Husna mengalah dan tumpang juga.
Sepanjang perjalanan, pelik pula apabila hanya suara dari radio sahaja yang kedengaran. Dan tatkala Raf menoleh ke sebelah, rupa-rupanya Husna sudah tertidur sambil kepala bersandar ke cermin kereta. Nampak penat sungguh wajah itu.
Lantas kot hitamnya dicapai lalu dijadikan selimut menutup tubuh Husna daripada kesejukan. Suhu penghawa dingin di bahagian belakang diturunkan sedikit.
"Ashraf, perlahankan sedikit radio." Arahnya.
Pemandunya mengangguk tanda menerima arahan. Lantas suara radio diperlahankan.
Raf melepaskan satu nafas. Tak dinafikan dia pun penat sebenarnya. Sekejap kepala menunduk memandang kulit jari-jemarinya yang mengecut gara-gara terkena air sabun. Adakala baju kemejanya dicium, pun bau sabun.
Tapi tetap rasa berbaloi.
"Pertama kali saya nampak tuan main air macam tadi. Tuan nampak bahagia sangat." Ashraf bersuara, sekilas anak mata memandang cermin pandang belakang. Melihat tuannya yang tersenyum lebar.
"Saya ni dah lama bekerja dengan orang-orang kaya, jadi saya selalu nampak yang sesetengah orang kaya selalu manjakan pasangan mereka dengan duit. Tapi Tuan nak tahu tak, bila mereka diuji dengan ketiadaan duit. Syarikat merosot. Mereka mula tak tahu mana nak cari kebahagiaan tu..." Ashraf mula bercerita apabila suasana kereta terasa sunyi. Malah tuannya juga kelihatan tertarik untuk mendengar.
"Mulalah bergaduh, saling salahkan antara satu sama lain. Cinta dah hilang macam itu aje dan akhirnya... ke mahkamah. Cerai. Jadi kadang-kala saya pelik, kebahagiaan ini terletak dekat mana sebenarnya? Nak kata miskin baru bahagia pun, tidaklah juga. Kaya pun tidak semestinya. Terletak pada rupa? Heh, bila hodoh hilang juga rasa sukanya. Kalau cantik, tetap saja manusia nak cari yang lagi cantik!" Ujar Ashraf.
Raf tersenyum kecil. Rasa-rasanya dia tahu jawapannya.
"Kebahagiaan tu... terletak pada rasa bersyukur. Kaya, miskin, atau ada rupa sekalipun... kalau tiada rasa bersyukur, tetap mereka takkan jumpa mana kebahagiaan sebenarnya. Itulah kunci yang tak semua orang tahu." Ucap Raf sambil pandangannya dilemparkan ke pemandangan di luar tingkap kereta.
Kepala Ashraf terangguk-angguk tanda setuju. Benar, dia juga sependapat dengan tuannya. Perasaan bersyukur itulah benda paling mahal yang tak semua orang mampu miliki.
Sedar-sedar sahaja, perjalanan mereka sudah sampai ke destinasi. Kereta diberhentikan di hadapan pagar rumah Mia.
"Dah sampai tuan." Katanya.
Raf mengangguk. Dia menoleh memandang Husna. Baru hendak mengejut Husna bangun daripada tidur, anak matanya tertancap pada beg duit yang berada di sebelah tempat duduknya. Sejenak wajah polos keletihan Husna ditatap.
"Saya cuma nak gaji lebih, jadi saya buatlah kerja lebih."
Kata-kata Husna kembali bermain di kepalanya. Raf tersenyum kecil. Lantas dia mengeluarkan beg duitnya. Tidaklah banyak mana wang yang dibawa. Dalam lima ratus sahaja. Semua dikeluarkan lalu dipindahkan ke dalam beg dompet milik Husna.
"Gaji kerana kerja lebih masa untuk malam ni." Katanya. Lantas, beg dompet itu diletakkan kembali ke tempat asalnya sebelum bahu Husna dicucuk-cucuk perlahan dengan jari terlunjuknya.
"Husna, kita dah sampai."
Perlahan-lahan Husna buka mata yang masih terasa berat. Sesekali dia menguap. Badan yang terasa lenguh menggeliat sebentar. Dengan pandangan masih sesat dia memandang sekeliling kawasan perumahan. Mata berkelip-kelip.
"Dekat mana ni?"
Raf meletuskan tawa. Haih, Husna yang suruh dia hantar sampai ke rumah Mia. Masih mengantuklah tu sampai tak sedar.
"Rumah Mialah. Kau yang suruh aku hantar sampai ke sini." Ujar Raf.
Apabila sudah teringat barulah kepala Husna terangguk-angguk. Bibir tersengih malu.
"Oh, saya lupa..."
Beg dompet disebelah pahanya dicapai, takut tertinggal pula di dalam kereta ini. Kemudian, Husna menoleh memandang Raf. Banyak sangat lelaki itu menolongnya hari ini.
"Terima kasihlah hantar saya balik. Dan terima kasih juga sebab tolong saya bersihkan bahagian lobi. Jumpa esok. Noinipi oku." Ucap Husna. Nasib baik dia masih ingat bahasa dusun yang diajar oleh Lanun semasa di kampung itu hari. Rindu pula nak belajar bahasan dusun lagi.
Sekilas anak mata mengerling ke arah cermin pandang belakang, kelihatan sepasang mata pemandu itu sedang memerhati mereka yang duduk di ruangan penumpang.
Manakala Raf pula tersenyum-senyum serupa sudah sampai ke awang-awangan. Setiap kali dapat ucapan itu, mimpinya tak pernah buruk. Biarlah Husna tak tahu maksud ayat itu sampai bila-bila pun tak apa. Tipu sunat.
"Sama-sama, noinipi oku juga." Balas Raf.
Husna angguk kepala. Kemudian, pandangan beralih ke arah pemandu di hadapan pula.
"Encik Ashraf pun sama juga, noinipi oku."
"Huh?!" Terkejut bukan kepalang Ashraf apabila Husna berkata begitu kepadanya. Terus tertoleh kepala itu ke belakang. Biar betul apa yang baru dia dengar tadi?
Raf tersentak. Mata membulat. Terus terjatuh dia daripada terbang ke awangan tadi. Tak pasal-pasal pemandu dia juga disuruh mimpikannya!
Raf mengetap bibir. Mata mencerlung tidak puas hati.
"Kenapa kau cakap macam itu?!"
Terhinjut bahu Husna apabila suara Raf tiba-tiba berubah sedikit dingin. Lah? Salahkah dia ucapkan selamat malam kepada pemandu itu juga.
"Salah ke saya sebut? Saya cakap selamat malam aje! Awak yang ajar, kan?" Husna mula mengungkit.
Terus pandangan Ashraf beralih ke arah tuannya. Tak percaya, Tuan Andikha yang ajar perkataan itu.
Terpinga-pinga Raf mahu menutup rasa malunya. Haih, kalau dia beritahu maksud sebenar, terkejut pula Husna nanti.
"Ah, tak kisahlah! Lepas ini jangan macam itu lagi pada sesiapa. Kau cuma boleh cakap ayat itu kepada aku sahaja! Jangan gunakan dekat orang lain. Faham?" Tegas Raf.
Husna menjuih bibir. "Saya tahulah awak kuat cemburu. Tapi takkan nak ucap selamat malam pun awak nak rasa cemburu? Ish, malaslah saya nak layan. Saya dah mengantuk. Nak masuk tidur. Bye!" Tanpa menunggu balasan Raf, Husna langsung berlalu keluar daripada perut kereta.
Mulut Raf ternganga. Macam mana dia tak cemburu kalau Husna suruh si Ashraf mimpikan dia? Melihat pemandunya yang tersengih serupa kerang busuk, lagilah buatkan dia rasa geram.
Terus bahu Ashraf ditampar daripada belakang. Tersentak lelaki itu dibuatnya.
"Lupakan apa yang dia cakap tadi!"
"Baik, Tuan." Balas Ashraf, bibirnya ditahan daripada melepaskan tawa. Itulah, ajar anak orang yang bukan-bukan lagi.
"Tunggu sekejap." Pamit Raf, cepat-cepat dia membuka pintu. Keluar daripada perut apabila Husna sudah membuka pagar rumah ingin masuk ke dalam.
"Husna!" Panggilnya.
Husna toleh ke belakang.
Raf langsung mendekat.
"Kenapa?" Soal Husna apabila melihat lelaki itu serupa ingin mengatakan sesuatu.
"Esok, tak perlu datang kerja."
"Huh?!" Terkejut Husna mendengar. Mata berkedip-kedip.
"Aku beri kau cuti sebab kerja lebih masa hari ini." Kata Raf. Ceh, alasan sahaja itu!
"Tapi saya tak minta cuti pun?" Kening Husna berkerut. Pelik.
"Tapi aku dah bagi. Jadi jangan banyak bunyi. Duduk rumah elok-elok. Rehatkan diri. Aku balik dulu." Terus Raf berlalu masuk ke dalam perut kereta tanpa menunggu Husna yang ingin membalas. Kemudian, pacuan empat roda itu terus meninggalkan kawasan perumahan taman ini.
Manakala Husna masih tercegat di hadapan pagar dengan riak penuh tanda tanya. Dia keluar kereta semata-mata nak bagi arahan untuk cuti?
Kepala Husna tergeleng-geleng. Lanun... Lanun...
Baru hendak pusing ke belakang, tiba-tiba muncul kereta Alphard hitam pula. Mematikan pergerakan Husna yang hampir masuk ke perkarangan rumah. Tiba-tiba jantung berdebar saat menyedari nombor plat kenderaan tersebut milik Dato Idris.
Namun, Husna tidak terus melarikan diri. Tetap berdiri, menunggu dengan riak wajah tegang sehingga pintu penumpang bahagian belakang terbuka secara automatik.
Dato Idris keluar daripada perut kereta. Turut memandangnya dengan pandangan yang sama. Muka ketat. Mungkin masih marahkan dia kerana pergaduhan beberapa minggu lalu.
Sesaat Dato Idris melepaskan satu nafas. Berat sekali.
"Ayah datang sini sebab nak jemput kamu balik."
Husna terkesima. Riak wajah terus berubah.
Kenapa tiba-tiba saja?
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro