Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

74

DUA MINGGU BERLALU...

"Dah berapa minggu Husna keluar daripada rumah ni. Puncanya sebab aku suruh dia kahwin dahulu kalau nakkan jawatan di hotel itu semula. Aku pun tak faham apa yang susah sangat dia hendak dengar cakap ayahnya ni. Apa yang dia fikir waktu itu pun tak tahulah..." bebel Dato Idris sambil menapak ke bawah gazebo berdekatan kolam ikan koi. Manakala Tan Sri Raqib hanya mengekor daripada belakang.

Lantas, mereka sama-sama melabuh punggung disitu. Segar sedikit duduk di luar. Angin sepoi-sepoi pun bertiupan dengan perlahan. Waktu itu juga Mak Timah muncul dengan dulang berisi dua cawan teh panas. Diletak kedua-dua cawan itu keatas meja batu sebelum pergi.

Menyedari Tan Sri Raqib yang cuma diam tidak memberi respon sepanjang bebelannya tadi, maka Dato Idris pilih untuk mengubah topik perbualan mereka.

"Kau balik Kuala Lumpur ni berapa lama? Siapa yang jaga resort di Semporna itu?" Soal Dato Idris, seraya cawan teh dicapai. Ditiup-tiup terlebih dahulu sebelum dicicip dengan perlahan dek kerana panas.

"Aku suruh anak aku si Rajuna jagakan Resort tu sekejap. Aku balik ke sini pun tak lama, nak tengok-tengokkkan Ocean Empire sementara Nathan ada urusan dekat luar negeri." Balas Tan Sri Raqib, baru kali ini dia buka mulut.

Sedangkan kepala Dato Idris cuma terangguk-angguk tanda faham.

"Tentang Husna tu... kau tak cuba cari dia dan pujuk untuk balik semula ke?" Giliran Tan Sri Raqib pula menyoal, kembali kepada topik tadi setelah lama dia berdiam. Bukannya apa, dia malas hendak masuk campur dalam masalah keluarga orang lain. Tapi dalam masa yang sama, tertanya-tanya juga sama ada Dato Idris pernah memujuk hati anak perempuannya semula atau tidak.

Pengalaman dia menjadi seorang bapa tunggal selama bertahun-tahun telah mengajar banyak benda. Dia pasti, jika hati anak-anak dipujuk dengan baik dan membetulkan semula kesilapan yang dibuat, hati kecil itu bakal tersentuh juga.

Tapi malangnya, tidak semua orang tua sanggup menurunkan ego mereka pada anak-anak.

Malahan Dato Idris menjuih bibir dengan muka mengejek.

"Ke manalah sangat si Husna tu boleh pergi? Tidak lain tidak bukan dia pergi ke rumah Mia. Jadi aku tak perlu risaukan sangat." Balasnya begitu selamba. Cawan teh diletak semula ke atas meja.

"Habis kau nak biarkan aje dia duduk di rumah Mia tu lama-lama huh?"

"Memang tidaklah!" Bidas Dato Idris laju. Mana mungkin dia akan biarkan sahaja Husna selamanya tinggal dirumah Mia. Bukan sahaja menyusahkan orang, malah memalukan nama gahnya juga.

"Jadi kau akan pujuk dia semula untuk balik?" Soal Tan Sri Raqib, sekadar ingin tahu. Namun, Dato Idris mengeleng kepala.

"Tak, aku takkan pujuk dia."

Tan Sri Raqib mula mengeluh perlahan. Sesaat dia pejam mata, mengumpul kesabaran di dada.Baru hendak buka mulut persoalkan mengapa Dato Idris masih lagi hendak keras kepala, malah rakannya terlebih dahulu memintas.

"Tapi aku tetap akan paksa dia balik dan kahwinkan dia dengan calon pilihan aku sendiri. Aku tahu, dia tolak cadangan berkahwin dengan pilihan aku kerana masih berharap pada lelaki di Sabah tu! Jadi sebelum dia buat benda yang lebih gila, lebih baik aku paksa dia berkahwin juga walau suka atau tidak."

Mengucap Tan Sri Raqib mendengarnya. Mengapa sampai begitu sekali Dato Idris mahu menyekat kebebasan Husna? Perempuan itu sudah dewasa, tahulah dia hendak buat keputusan pada dirinya sendiri.

"Kenapa sampai macam itu sekali kau nak seksa dia? Apa salahnya kalau kau kenal dahulu siapa lelaki itu sebelum nak putuskan hubungan diaorang."

"Kau sendiri tahu perbezaan taraf mereka, kan? Buatnya lelaki tu ambil kesempatan kikis harta anak aku macam mana? Aku tak nak benda tu berlaku!" Bentak Dato Idris, siap menghentak tangan kanannya di atas meja tanda tidak berpuas hati dengan cadangan Tan Sri Raqib. Bergegar cawan teh di atas meja, mujur tidak tumpah.

"Tapi kau pasti ke pilihan kau tu takkan salah? Tak semua pilihan kita ni betul, Idris. Buatnya calon yang kita nak satukan dengan anak kita tu lebih teruk daripada pilihan mereka, tak ke kita sendiri yang akan rasa bersalah?"

Dato Idris geleng kepala. Masih lagi angkuh.

"Tak, aku pasti calon yang aku pilih ni sesuai dengan Husna." Tekannya dengan yakin. Tiada keraguan terpapar pada raut wajahnya. Kali ini, dia akan pastikan Husna bersama lelaki yang tepat. Lebih baik, lebih bagus dan lebih hebat daripada lelaki kampung yang Husna tergila-gilakan itu!

"Dengan siapa?" Terpacul soalan itu dibibir Tan Sri Raqib sendiri. Hendak tahu juga siapa yang menjadi calon pilihan Dato Idris. Manalah tahu jika dia juga kenal.

"Anak kau, Nathan."

Semerta Tan Sri Raqib tergamam. Mata tak berkelip. Jelas terkejut mendengar nama yang baru disebut. Tak tahu reaksi apa yang perlu dibuat. Patutkah dia gembira atau sebaliknya?

"Aku tahu cara kau didik anak kau semuanya baik-baik. Jadi aku takkan ragu-ragu untuk satukan Husna dengan anak kau." Sambung Dato Idris, mengenangkan persahabatan mereka yang sudah lama, dia yakin... hasil didikan Tan Sri Raqib kepada anaknya sudah cukup sempurna untuk dijadikan suami buat Husna.

Lagipun, dia lihat Nathan seorang yang peramah dan baik hati juga. Pernah dia mengajak Nathan berbual seketika semasa di Ocean Resort dahulu, orangnya sangat lembut bila berkata-kata.

Jika dia sahaja sudah suka dengan cara layanan Nathan, Husna pasti akan rasa perasaan yang sama.

"Jadi kau setuju tak kalau Nathan berkahwin dengan Husna? Kau pun... dah lama tunggu nak ada menantukan?"
Dato Idris bersuara lagi, dia menyoal apabila Tan Sri Raqib diam daripada tadi. Langsung tiada respon walau sepatah kata.

Terkulat-kulat Tan Sri Raqib hendak menjawab. Adakala jari terlunjuknya mengetuk meja berkali-kali, kepala menunduk seolah-olah sedang menyusun ayat. Takut-takut andai ayatnya bakal mengguris hati Dato Idris yang penuh harapan kepadanya.

"Aku rasa tak boleh..." Perlahan Tan Sri Raqib membantah. Dia mengangkat wajah memandang Dato Idris semula. Jelas, rakannya tampak tertanya-tanya tanda tidak faham.

"Tapi kenapa? Kau tak sudi ke jika kita berbesan?"

Tan Sri pantas menggeleng menafikannya. Bukan begitu dia maksudkan.

"Bukan. Tapi setahu aku, Nathan sekarang sedang ada hubungan dengan pembantu peribadi ditempat kerja dia. Aku tak sanggup untuk paksa dia putuskan hubungan semata-mata nak kahwinkan dia dengan Husna. Jadi sebab itu aku tak boleh setuju dengan cadangan kau..."

"Oh ya ke..." Dato Idris kehilangan kata. Entah kenapa dia rasa kecewa. Mungkin kerana dia meletakkan harapan terlalu tinggi dan fikir bahawa Tan Sri Raqib akan setuju sahaja dengan cadangan yang keluar daripada mulutnya. Malang sekali, ia berbeza.

Haih, siapa lagi yang dia mampu percaya menjadi pembimbing Husna selain keluarga Tan Sri Raqib? Rakan-rakan Dato yang lain pun ada juga anak lelaki, tapi jarak umur terlalu jauh pula dengan Husna. Ada yang terlalu tua bahkan ada juga yang terlebih muda.

Aduh, pening kepala memikirkannya. Lantas sebelah tangan naik memicit kepala. Nampak gaya dia perlu tukar rancangan lain.

"Tapi..." Tan Sri Raqib kembali bersuara, menarik perhatian Dato Idris memandangnya semula. Rasa-rasanya, dia ada calon yang lebih sesuai untuk disatukan dengan Husna.

Tiba-tiba bibirnya tersenyum penuh makna. Buatkan kening Dato Idris berkerut, pelik.

"Alang-alang kau cakap nak satukan Husna dengan salah seorang anak aku, apa kata kalau...." Sengaja Tan Sri Raqib melambatkan ayat. Ditahan bibir daripada menyengih. Melihat Dato Idris yang masih tertunggu-tunggu, langsung dia sambung semula.

"Kau satukan dia dengan anak sulung aku?" Cadangnya.

"Anak sulung?" Makin berkerut kening Dato Idris dibuatnya. Siapa pula anak sulung Tan Sri Raqib? Pernahkah mereka berjumpa?

Dengan penuh semangat Tan Sri Raqib mengangguk kepala mengiyakannya. Dalam hati sudah berkompang penuh gembira. Hehe, inilah masa dia nak kenakan si Idris semula!

Jenuh disabarkan diri ini selama Dato Idris mengutuk dan menghina anak lelakinya yang dikatakan miskin dan tiada pendirian. Jadi, sekarang peluang dia untuk buka mata Dato Idris luas-luas.

Bijak! Bapak siapalah ini?

"Ya, anak sulung aku. Kau ingat tak cerita aku dahulu? Sewaktu isteri aku bersalin anak pertama tu."

"Yang semua orang dalam bilik bersalin jadi terdiam?" Dato Idris cuba meneka, dia pun ingat-ingat lupa sudah tentang cerita itu. Lagipun, ia sudah lama bertahun lamanya.

Tan Sri Raqib angguk kepala.

"Ya, yang itulah. Dia satu-satunya anak aku yang paling istimewa. Satu hospital masa itu cakap anak aku comel, siap nak bergambar lagi. Sekarang dia dah dewasa, makin bertambah handsome pulak tu! Aku jamin, kalau Husna tengok, dia takkan fikir panjang lagi. Dia akan terus setuju punya nak kahwin. Paling penting..."

Bibir Tan Sri Raqib menjuih berlagak. Amboi, melambung tinggi benar pujiannya. Tahulah hendak yakinkan si Idris supaya percaya pada kata-katanya.

"Dia lupakan lelaki kampung tu."

Spontan terangkat sepasang kening Dato Idris. Wow, lain macam sungguh aura si anak sulung itu.

"Kalau dia kacak sangat, mesti dia dah ada pilihan hati seperti Nathan juga?"

"Eh, mana ada! Yang si sulung ni lain sedikit. Dia tak banyak bergaul dengan perempuan macam adik-beradik dia yang lain. Jadi dia masih single available." Ujarnya.

Dato Idris diam sejenak. Wajah Tan Sri Raqib direnung mencari kebohongan, namun tidak jumpa dimana-mana celah sekalipun. Bermakna, dia tidak main-main dengan apa yang baru diucapkan tadi. Tapi entah mengapa, hatinya merasakan ada sesuatu yang pelik.

Apa ya?

Seolah-olah Tan Sri Raqib sengaja mahu mengenakan dia. Tapi, tak mungkinlah...

"Dia... akan setuju ke kalau kau paksa dia kahwin?" Soal Dato Idris, entah mengapa payah benar dia nak setuju tika ini.

"Ish, tentulah. Dia sentiasa ikut cakap bapaknya. Tak pernah bantah walau sekali." Balas Tan Sri Raqib. Ceh! Nak suruh bekerja di resort semula pun harus dipaksa bermacam-macam cara.

Lama Dato Idris diam memikirkan keputusan. Daripada apa yang dia dengar, macam sesuai calon itu untuk disatukan dengan Husna. Malah, Tan Sri Raqib siap meyakinkan dia lagi bahawa Husna akan terus setuju dengan pilihan dia yang ini. Jika benar bagai dikata, jadi apa lagi yang harus diragu-ragu?

Perlaham bibirnya menguntum senyuman. Wajah Tan Sri Raqib dipandang sambil kepala diangguk-angguk.

"Kalau kau dah berkata macam itu, bila agaknya kau boleh hantar rombongan pinangan untuk Husna?"









KESAN tumpahan air coklat di lantai lobi dimop oleh Husna. Baru berapa minit tadi dia sudah bersihkan kawasan ini, tiba-tiba ada seorang budak kecil tidak sengaja terjatuhkan air minumannya. Maka terpaksalah Husna bersihkan sekali lagi.

Biarpun sekeliling bangunan korporat ini dikelilingi penghawa dingin, tetap sahaja cecair peluh mengalir di dahi. Setiap kali ia mengalir, cepat-cepat Husna capai kain yang tergantung dibahunya lalu mengelap peluh tadi. Tak dinafikan, kerja ini lebih memenatkan daripada kerjanya yang dahulu.

Namun, sedikit pun dia tidak rasa menyesal dengan pilihannya yang satu ini. Lebih baik penat bekerja daripada penat menanggung emosi sahaja di sana.

"Husna! Husna!" Terjerit-Jerit suara wanita itu menyeru nama dia.

Terhinjut bahu Husna dibuatnya. Terkial-kial dia pandang sekeliling, tercari-cari pemilik suara itu. Apabila dia berpaling ke belakang, rupa-rupanya Cik Suria yang sedang berlari ke arahnya dalam keadaan tergesa-gesa.

Kening Husna berkerut pelik. Dia berhenti mengelap lantai seketika, memandang Cik Suria yang berhenti dihadapannya sambil memegang perut. Kaki tak duduk diam, asyik bergerak ke kiri dan ke kanan. Bahkan wajah wanita yang usianya 40 tahun itu berkerut penuh resah.

"Husna, ka... kalau Cik Suria nak minta tolong sekejap boleh tak? Tak banyak pun, sikit aje. Nanti Cik Suria belanja kamu makanan! Janji!" Katanya, masih lagi dengan nada tergesa-gesa. Adakala dia membongkokkan tubuh apabila perutnya bergetar sakit. Dah tak boleh tahan sangat ni!

Gelabah Husna jadinya apabila melihat Cik Suria yang tak tentu arah seperti itu. Macam emergency yang tidak dapat ditangguhkan! Lantas, cepat-cepat Husna anggukkan kepala tanda boleh.

"Cik nak minta saya tolong buat ap..." Tak sempat habiskan soalan, tiba-tiba tangan kananya ditarik oleh Cik Suria sebelum satu kertas kecil diletakkan di atas telapak tangannya. Berlapis dahi Husna memandang kertas yang dipegang.

Baru hendak buka mulut menyoal, Cik Suria terlebih dahulu mencelah.

"Itu nombor pin bilik rehat Encik Nathan. Dalam bilik office dia, sebelah kanan! Kamu tolong vacum lantainya sahaja, yang lain Cik Suria dah tolong kemaskan. Jangan tinggalkan sedikit habuk atau kotor sekalipun! Hari ni... ada bos baru nak masuk ambil alih tempat Encik Nathan." Ujar Cik Suria. Bibirnya mengetap menahan senak di perut.

"Bos baru? Siapa?" Punya panjang lebar Cik Suria memberi arahan, namun soalan lain pula yang keluar dibibir Husna. Tahu-tahu sahaja hari ini ada bos baru. Terkejut juga.

Siapa?

"Aduhai, waktu-waktu begini jugalah kamu nak tahu siapa? Sekejap nanti sajalah acik jawab! Yang penting... bersihkan bilik itu ya. Ingat, jangan bagi bersepah! Kemas elok-elok tau!
Selamat tinggal!"

Tak tunggu lama, Cik Suria terus berlari menuju ke arah tandas yang tidak jauh daripada situ. Meninggalkan Husna yang masih lagi tercegat ditempat yang sama. Menunduk memandang pelik pada kertas nombor pin di tangan.

Tak mengapakah jika dia masuk bilik rehat Encik Nathan? Setahu dia... hanya orang-orang tertentu sahaja yang boleh masuk.

Ah, mungkin Cik Suria dah tiada pilihan lain selain meminta pertolongan daripadanya. Tidak mahu membazir masa, lantas batang mop dan baldi mop diangkut ingin disimpan ke dalam stor semula.

"Husna!" Panggil Mia, automatik menghentikan langkah Husna yang baru sahaja sampai di hadapan pintu lift. Dia memusing ke belakang. Memandang Mia yang tersenyum-senyum menghampiri dia bersama beg dompet ditangan.

"Jom, pergi makan sama-sama nak tak? Lapar gila dah ni." Ajak Mia.

Aduh, serba-salah pula Husna mahu menolak ajakan Mia kali ini. Tapi dia ada tanggungjawab yang harus diselesaikan terlebih dahulu.

"Maaflah, Mia. Tapi aku rasa tak boleh nak teman kaulah. Aku ada kerja dekat tingkat atas."

"Kerja? Kerja apa? Bukan tingkat atas tu Cik Suria ke yang kena buat? Kenapa kau pula?" Soal Mia, nada suaranya jelas tidak puas hati. Siap mencekak pinggang lagi. Mentang-mentanglah Husna baru beberapa minggu bekerja disini, ada pekerja lain yang mahu membulinya.

Kalau dia dapat tahu siapa buat kerja jahat, memang dia akan report pada pihak atasan biar mereka dipecat.

"Jangan salah faham, Cik Suria sakit perut. Jadi dia minta tolong aku bersihkan bilik rehat Encik Nathan sekejap. Aku pun baru sahaja siap kerja, jadi tak ada masalah pun nak tolong dia."

"Betul ni? Bukan dia ambil kesempatan suruh kau buat kerja dia?" Soal Mia sekali lagi, siap mengecilkan mata merenung Husna, memastikan Husna tidak cuba menyembunyikan apa-apa daripadanya.

Malahan Husna angguk kepala meyakinkan Mia. "Iya, betul. Aku tak tipu. Kau pergilah makan."

"Hmm... kalau macam itu, kau nak pesan apa-apa tak? Aku tolong belikan."
Kesian pula melihat Husna harus melakukan banyak kerja, jadi apa salahnya jika dia bantu belikan makanan dan minuman diluar sana. Nanti boleh dia bungkus dan bawa balik ke sini untuk makan sama-sama di kafe.

"Belikan aku mi goreng dengan air sirap aje." Pesan Husna.

"Okay, nanti aku cari kau ditingkat atas. Aku pergi dulu ya?" Pamit Mia, kemudian terus melangkah pergi daripada situ.

Sebaik sahaja kelibat Mia menghilang apabila keluar daripada pintu kaca automatik itu, lantas butang lift ditekan. Tidak sampai beberapa minit, ia akhirnya terbuka. Lantas Husna melangkah masuk bersama barangan ditangan.

Tingkat 60 ditekan. Pintu tertutup.

Sementara menunggu, Husna menyandarkan tubuh ke dinding. Lipatan kertas ditangan dibuka. Tertera nombor 31535. Menarik. Selalunya, orang akan letak nombor pin daripada nombor telefon atau tarikh lahir. Akan tetapi yang ini lain sedikit. Mungkin ada maksud tersirat di sebaliknya.

"Apa maksud nombor ni agaknya?"

Ting!

Pintu automatik terbuka apabila tiba ditingkat yang dipilih. Langsung Husna mengusung peralatan mopnya keluar. Terus menuju ke arah bilik kerja bos yang berada disebelah kanan.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro