72
SAMBIL meletakkan dua cawan teh di atas meja bulat yang berada ditengah ruangan, sesekali anak mata Mak Timah melingas mencari kelibat Husna. Kata Dato Idris, si Husna balik ke Kuala Lumpur bersama mereka hari ini,
akan tetapi tidak pula dia lihat Husna keluar daripada kereta tadi. Bahkan sampai sekarang tidak muncul-muncul.
Pelik.
"Mana Cik Husna, Dato?" Soal Mak Timah, selesai meletakkan cawan. Dulang itu dipeluk ke dada. Memandang Dato Idris yang duduk di sofa sedang menonton berita.
"Dia keluar sekejap dengan Mia. Kenapa?"
"Tak ada apalah, saja Mak Timah nak tahu sebab Dato kata dia balik sekali. Macam mana keadaan dia? Baik-baik saja ke?" Mak Timah bertanya lagi.
Dato Idris mengangguk kepala. Cawan teh di atas meja dicapai, dititup-tiup dahulu sebelum dihirup sedikit lalu diletakkan semula ke tempat asal.
"Kalau keadaan dia tak okay tak adalah saya izinkan dia keluar dengan Mia." Balasnya.
Ya tak ya juga. Tak terfikir pula dibenak fikiran Mak Timah tentang itu. Bibirnya tersengih-sengih. Dan tiba-tiba suasana menjadi sepi seketika. Hanya bunyi suara penyampai berita di televisyen sahaja yang kedengaran memenuhi kesunyian. Manakala Mak Timah masih lagi tercegat berdiri di tepi sofa, seakan hendak bertanya satu lagi soalan.
Tetapi takut pula dia nak tanya. Almaklumlah, diakan cuma orang gaji sahaja di dalam rumah ini. Apa hak dia untuk bertanya lebih-lebih.
"Mak Timah ada nak cakap apa-apa lagi ke dengan saya?" Tegur Dato Idris apabila melihat Mak Timah yang tidak berkutik daripada tempatnya.
Perlahan-lahan Mak Timah angguk kepala.
"Nak cakap apa? Cakaplah." Alat kawalan jauh dicapai, suara di televisyen direndahkan agar dia boleh mendengar suara Mak Timah dengan jelas.
Alang-Alang Dato Idris sedia memasang telinga mendengar pertanyaan dia, terus Mak Timah mendongak sekilas ke tingkat atas. Memastikan tiada tanda-tanda Datin Khadijah sedang turun ke bawah, kerana setiap kali dia hendak bertanyakan tentang Husna, pasti majikannya itu menjadi penghalang dan menghalau dia ke dapur menguruskan kerja.
Nampak gaya Datin Khadijah masih berada di dalam biliknya. Tadi dia naik ke atas kerana ingin bersihkan diri. Mungkin lama lagi.
Lantas Mak Timah kembali tunduk memandang Dato Idris yang masih sabar menunggu.
"Tentang lelaki rambut putih yang Dato tengok dalam gambar tu... Dato dah tahu ke siapa dia?" Soal Mak Timah, sengaja dia perlahankan sedikit suara. Takut ada telinga yang cuba-cuba curi dengar daripada jauh.
Dato Idris angguk kepala. Riak wajahnya nampak kurang mesra apabila Mak Timah ungkit tentang lelaki tidak dikenali itu.
"Tahu, dia cuma lelaki kampung biasa yang sukakan Husna." Ujar Dato Idris. Ada kedengaran menyampah pada suaranya.
Kening Mak Timah automatik berkerut.
"Lelaki kampung?" Terkejut bukan kepalang dia apabila Dato Idris berkata begitu. Sejujurnya, bukan itu jawapan yang dia mahu dengar. Pelik. Apa yang buatkan pandangan Dato Idris cuma nampak lelaki muda itu cumalah orang kampung biasa?
"Dato dah tanya nama dia ke? Anak siapa? Tinggal dekat mana?" Tanya Mak Timah lagi. Ingatkan Dato Idris bakal mengenali pemuda berambut putih itu. Namun sangkaannya salah.
"Kenapa saya nak kena tanya semua tu? Saya tak ingin pun nak berkenalan dengan lelaki yang dah bawa lari anak saya."
Mak Timah terdiam.
Bawa lari? Aduh, dia rasa Dato Idris dah banyak salah faham.
"Dato, Dato ingat tak mengapa saya tiba-tiba bekerja disini?" Soal Mak Timah secara tiba-tiba. Jauh daripada topiknya tentang lelaki kampung itu. Entah kenapa pula banyak sangat soalan dia hari ini, itupun mujur sahaja Dato Idris layan kan sahaja.
Tatkala kening Dato Idris saling bercantum pelik apabila Mak Timah mula bangkitkan pertanyaan tentang benda yang dah lepas.
"Apa kena mengena topik tadi dengan soalan Mak Timah sekarang?"
"Kalau Dato nak tahu, sebelum Mak Timah kerja disini sebenarnya saya kerja dirumah Tuan muda Andikha Rafael. Dia tu baik sangat, Dato. Semua pekerja dia dapat layanan sama adil. Tapi nak dipendekkan cerita, selepas arwah mak dia meninggal... terus Tuan Muda hilang semangat untuk bekerja. Dia tinggalkan rumah, dia berhentikan semua pekerja, dan selepas itu pergi menghilangkan diri."
Dato Idris cuma diam memasang telinga biarpun dia masih belum dapat menangkap maksud. Dalam masa yang sama, tertanya-tanya juga mengapa si Tuan Muda itu tiba-tiba berubah 180 darjah.
"Dan Mak Timah salah seorang yang dipecat. Jadi sebab itulah Mak Timah pindah bekerja disini."
"Jadi kenapa dengan majikan lama Mak Timah dengan topik tadi?" Dato Idris masih lagi bingung.
"Tuan Andikha Rafael itulah yang sebenarnya lelaki kam..."
"Mak Timah dah habis kerja di dapur ke sampai boleh berborak dengan suami saya?" Suara Datin Khadijah mencelah, semerta memotong ayatnya. Langsung Mak Timah toleh ke belakang, tahu-tahu sahaja perempuan tua itu sudah menapak ke ruang tamu. Raut wajahnya nampak kurang senang apabila Mak Timah cuba masuk campur dalam urusan keluarga mereka.
Seraya Mak Timah tunduk menekur ke bawah saat Datin Khadijah berhenti di hadapannya.
"Belum, Datin." Balasnya perlahan.
"Dah tu? Pergilah kerja. Datokan baru balik, takkan tak tahu yang dia penat nak jawab setiap soalan Mak Timah?"
"Maaf, Datin. Mak Timah pergi sambung kerja di dapur semula."
Datin Khadijah cuma menjeling meluat. Ada dengusan kecil jelas sedang menahan geram. Tanpa pedulikan Mak Timah yang terus melangkah ke dapur, dia terus mengambil tempat duduk di sebelah kiri suaminya.
Lengan Dato Idris ditepuk perlahan, menarik pandangan suami menoleh ke arahnya.
"Apa yang Mak Timah tu cakap dengan abang?" Soal Datin Khadijah, agak tidak puas hati kerana dia tidak sempat mendengar penuh perbualan mereka berdua tadi.
Malahan Dato Idris menjongket bahu. Dia pun kurang faham dengan cerita Mak Timah. Sekejap A, sekejap B. Pening kepala.
"Entah. Dia cerita pasal majikan lama dia, Tuan Andikha Rafael katanya."
"Siapa lelaki tu? Abang kenal ke?"
Dato Idris menggeleng.
"Tak tahulah. Mak Timah tiba-tiba sahaja buka cerita tentang tu. Agaknya, dia teringat kut?"
Datin Khadijah tidak berkata apa-apa. Sesaat dia menjeling ke arah dapur, benarkah Mak Timah cuma cerita tentang majikan lamanya sahaja? Tapi mengapa secara tiba-tiba? Fikirannya penuh dengan tanda tanya.
Ah, malas dia mahu serabutkan kepala tentang itu!
Datin Khadijah menggeleng kepala. Melupakan hal remeh tadi sebelum kembali memandang suaminya semula. Tangan Dato Idris diraih lembut. Siap berdehem membetulkan suara sebelum membuka mulut.
"Abang..." panggilnya meleret dengan nada manja.
"Hmm..." Respon Dato Idris. Matanya masih melekat di kaca televisyen.
"Husnakan dah balik ke sini semula, jadi jawatan dekat hotel tu... siapa yang akan pegang nanti?" Soalnya, siap berkedip-kedip mata mengharapkan jawapan suaminya akan berpihak kepada dia. Namun...
"Siapa lagi kalau bukan Husna? Itukan memang tempat dia sebelum ini? Dijah cakap dengan abang, Dijah cuma nak uruskan semasa Husna tiada sahajakan? Sekarang dia dah balik jadi dialah yang akan uruskan."
Dalam tak sedar anak mata Datin Khadijah menjuling ke atas penuh meluat. Ergh, kenapalah orang tua ni asyik nak beri jawatan besar tu kepada anak dia?
Walau bagaimanapun dia tidak boleh cepat melenting dengan keputusan suaminya. Tetap sahaja bibir dipaksa tersenyum lebar. Akan tetapi cuma sekejap sebelum riak bertukar risau.
"Tapikan bang... abang tak takut ke beri Husna pegang jawatan tu balik?"
Kening Dato Idris berkerut tidak faham. Dia berpaling memandang isterinya disisi.
"Maksud Dijah?"
"Yalah, Abang pun tahu dia ada hubungan dengan lelaki kampung tu. Nanti buatnya lelaki tu datang sini dan ajak Husna kahwin lari macam mana? Selepas tu... dia bawa lari card company untuk beri pada lelaki tak bekerja tu. Abang tak risau ke?" Sipi-sipi bibirnya menyenget tatkala melihat perubahan riak wajah Dato Idris. Heh, orang tua bodoh ini sahaja yang mudah terjatuh ke dalam lubang jeratnya.
Lama Dato Idris diam. Seolah-olah sedang berfikir. Husna bukanlah wanita yang mudah merendahkan dirinya dengan berkahwin di luar negara, akan tetapi... cinta itu mampu membutakan seseorang. Jadi tak mustahil jika Husna tiba-tiba bertindak luar dari jangkaannya.
"Tapi jawatan tukan milik Husna? Kalau dia tahu abang serahkan jawatan tu pada Dijah, nanti dia akan..."
"Alah, Dijah bukan nak sangat pun pegang hotel Paredise tu. Dijah cuma risau kalau Husna tu buat bukan-bukan." Cantasnya laju.
"Habis tu Dijah nak abang buat apa?" Soal Dato Idris.
Tersenyum Datin Khadijah mendengar pertanyaan itu. Inilah masanya dia mahu balas dendam atas perbuatan Husna semalam!
"Abang kahwinkanlah dia dengan calon pilihan abang. Selepas dia dah kahwin, baru dia boleh pegang jawatan tu. Barulah Husna tak boleh lari, sebab calon pilihan abang sudah tentu akan lebih ikut cakap abang. Betul tak?"
"Habis kalau dia tak nak kahwin macam mana?"
"Ish, kalau dia tak nak kahwin. Sah-sahlah dia masih menanti lelaki kampung tu untuk ambil dia! Lebih baik mencegah daripada tunggu nasi jadi bubur,kan? Nanti abang juga yang menyesal. Tapi sementara tu biarlah Dijah pegang hotel Paredise abang." Ujar Datin Khadijah. Puas hatinya dapat meracun fikiran si suami. Dalam masa yang sama, dapat juga dia menyeksa mental Husna.
Dia tahu, Husna takkan setuju untuk berkahwin dengan pilihan Dato Idris. Perempuan itukan keras kepala? Sudah tentu dia akan bantah habis-habisan dengan keputusan bapanya. Apatah lagi jika Husna ada pilihannya sendiri. Dalam tak sedar, jawatan itu akan jatuh ke tangannya apabila Husna lebih memilih tidak mahu berkahwin.
Bijakkan?
Datin Khadijah tersenyum sinis.
"Abang rasa..."
GEDEGANG!
Terhinjut bahu mereka tatkala mendengar pintu utama tiba-tiba sahaja dihempas kuat oleh seseorang. Automatik Datin Khadijah dan Dato Idris bangun daripada sofa, menjenguk ke arah pintu melihat siapa yang baru pulang. Rupa-rupanya Husna. Namun entah mengapa muka wanita itu nampak tegang lain macam.
Dalam diam Datin Khadijah menyembunyikan senyuman. Bagus! Tepat pada waktunya kau sampai! Bisik hatinya.
Dengan langkah menderu penuh amarah Husna menuju ke arah Datin Khadijah. Mata mencerlung penuh tajam. Manakala tangannya daripada tadi menggigil menahan perasaan amukan di dada. Sungguh, dia tak boleh tahan lagi!
"Kau ni makin mencabar kesabaran aku!!!"
PANG!
Tanpa sebarang isyarat, penampar dilayang ke pipi Datin Khadijah tanpa rasa bersalah. Kuat juga sehingga jatuh terduduk perempuan tua itu ke atas sofa. Malah, dia dapat menangkap jeritan kecil dari mulut penuh penipuan itu. Namun, hatinya masih belum cukup puas.
Setelah penat menjadi patung selama perempuan tua ini menyeksa hidupnya, kini Husna tidak akan berdiam diri lagi. Tak kiralah umurnya tua atau muda, yang dia tahu sekarang dia nak tampar muka kerepot itu sampai hatinya puas!
Namun belum sempat dia mengangkat tangan, Dato Idris terlebih dahulu mencengkam pergelangan tangannya. Ketat.
"Husna, kamu ni dah gila ke huh? Apahal kamu tampar mak sendiri?!"
"Mak?!" Tangan Dato Idris ditepis kasar. Tak pedulikan lagi reaksi ayahnya yang jelas terkejut dengan tindakannya. Berdesing telinga Husna mendengar gelaran itu disebut.
"Siapa yang cakap dia Mak Husna? Daripada dulu lagi Husna tak pernah anggap dia Mak! Malah dia tak layak pun!" Bentak Husna, langsung tidak boleh mengawal nada suaranya daripada meninggi saat ini. Darah diseluruh tubuhnya rasa berderau. Panas.
"Kenapa? Kenapa bagi jawatan tu dekat perempuan ni? Husna dah pesan dekat ayahkan, walau apa pun yang terjadi jangan bagi perempuan tua ni sentuh harta kita!!!" Jerkah Husna.
Dato Idris terdiam. Sekilas dia menoleh memandang isterinya. Wanita itu juga terkejut dengan apa yang baru di dengar. Macam mana Husna sudah tahu tentang itu? Siapa yang beritahu?
Kemudian Dato Idris meraut wajah bersama keluhan dibibir.
"Husna..."
"Ayah memang selalu menangkan dia, kan? Waktu arwah mak masih hidup tak ada pula terfikir nak bagi mak uruskan harta ayah! Tapi untuk perampas ni boleh pula?! Apa beza arwah mak dengan perempuan ni?! Cakap!!!"
Dato Idris kehilangan kata. Lidah terasa keras. Merenung ke mata Husna yang mula berkaca buatkan hatinya rasa dihenyak rasa bersalah. Sedar yang dahulunya dia tidak adil.
Dalam masa yang sama Datin Khadijah hanya mampu tersenyum puas mendengarnya. Berbaloi rasa sakit di pipi, kerana penyeksaan emosi Husna berjaya.
"Hei, perempuan!" Baju Datin Khadijah ditarik dan dipaksa kembali berdiri.
"Cakap dengan ayah aku apa yang kau dah buat! Cakap yang kau tak pernah ikhlas pun kahwin dengan dia! Cakap yang kau dah bunuh mak aku, rosakkan hidup aku dan hampir bunuh aku! Cakap sekarang!!!" Desak Husna, dijerit kuat-kuat di hadapan muka orang tua itu biar sakit telinganya. Bahkan tubuh itu juga digoyang-goyang kuat.
Malahan Datin Khadijah sedikit pun tidak buka mulutnya. Boleh lagi tayang muka tak bersalah seolah-olah mahu memprovok amarah Husna.
"Cakaplah, perempuan!!!"
"Cukup, Husna!" Suara Dato Idris mula naik satu oktaf. Sabarnya semakin hilang apabila Husna bertindak kurang ajar dengan orang yang lebih tua.
Namun, Husna langsung tak peduli. Dia akan paksa juga perempuan tua ini buka mulut!
"Kenapa kau tak nak cakap? Cakaplah! Beritahu semua orang yang kau ni siapa? Tunjukkan perangai iblis kau depan ayah aku! Supaya ayah aku boleh ceraikan kau sekarang juga!!!"
"Enough, Husna!"
Bahu Husna ditarik kasar hingga berpaling ke tepi, tanpa semena-mena pipinya menerima bahana tamparan daripada Dato Idris. Cukup kuat sehingga kepalanya tertoleh ke sebelah kiri.
Tubuh Husna langsung tak berkutik. Terasa denyutan dipipi, sama panas dengan hatinya saat ini. Malah, dia juga tak sangka dia akan terima tamparan daripada ayah sendiri. Dunia terasa seakan-akan berhenti buat seketika waktu. Suasana yang riuh terpekik tadi hilang serta-merta.
"Ya Allah, Dato! Apa Dato buat ni?" Mak Timah yang terkejut mendengar bunyi pelik daripada dapur langsung berlari mendapatkan Husna. Membuntang matanya melihat kesan merah di pipi kanan Husna.
Apa yang telah terjadi sebenarnya?
Kesan merah dipipi Husna digosok-gosoknya penuh lembut. Macamlah dengan cara itu Mak Timah boleh hilangkan rasa sakit yang telah pun berbekas di hati. Dia tahu, tiada siapa yang akan membela Husna selain dia di dalam rumah ini.
"Kenapa Dato? Husna inikan anak Dato, kenapa tampar dia?" Soal Mak Timah, sungguh dia tidak setuju dengan tindakan majikannya.
Sedangkan bibir Dato Idris terjuih.
"Kenapa saya tampar dia? Hei, Mak Timah tanya sendiri si Husna ni perangainya macam mana?! Daripada dulu sampai sekarang tak pernah berubah! Tiada langsung hormat dia kepada orang yang lebih tua! Tidak lain tidak bukan kerana arwah selalu manjakan dia, itulah yang jadi kurang ajar macam sekarang!" Tempelak Dato Idris begitu geram.
Terus terangkat wajah Husna memandang Dato Idris apabila arwah emaknya disalahkan. Bibir diketap. Tanpa sedar kedua-dua belah tangan dibawah sudah mengepal dengan kuat.
Apatah lagi melihat Datin Khadijah yang tersenyum menang disisi suaminya lagilah mencabar amarah di dada Husna. Nafas berombak turun dan naik. Dia rasa mahu koyak mulut perempuan tua itu, itupun mujur Mak Timah menahan bahunya.
"Ya, memang betul ayah beri jawatan tu kepada mak kamu. Tapi apa salahnya? Itu hotel ayah, suka hati ayahlah nak beri jawatan tu kepada sesiapa sekalipun! Apa? Kamu ingat, kamu anak ayah... kamu boleh tentukan siapa yang layak duduk situ huh?!"
"Abang... kenapa cakap macam itu, tak baiklah..." Datin Khadijah bersuara lembut kononnya sedang memujuk. Lengan kanan suaminya digosok-gosok agar terus bersabar.
"Baik, kalau betul kamu tak nak ayah serahkan jawatan pada mak. Ayah boleh beri semula. Tapi dengan syarat..."
Husna cuma pasang telinga luas-luas. Seakan tahu apa yang akan diucapkan.
"Kamu kena kahwin dengan pilihan ayah! Barulah ayah akan beri kamu pegang hotel Paredise tu balik!" Tekan Dato Idris.
Bibir Husna mengetap. Dia tahu Dato Idris ada kuasa di dalam rumah ini, tetapi untuk menentukan pilihan hidupnya... tidak sama sekali!
"Kamu pilih, nak ikut cakap ayah... atau kamu masih nak ikut kepala batu kamu tu? Dan minta maaf semula pada mak kamu dengan apa yang kamu dah buat! Sekarang!" Kata Dato Idris, jelas sekali memaksa.
Manakala Husna masih lagi diam. Kecil sahaja dia merenung Dato Idris yang banyak perubahannya. Ingatkan, dia seorang sahaja yang berubah. Namun, tidak. Apalah yang perempuan tua itu dah buat semasa ketiadaan dia disini...
"Husna, minta maaf sajalah ya? Kamu anak yang baik, kan? Mak Timah tahu kamu baik..." Bisik Mak Timah, bukannya dia mahu berdiri di pihak majikannya. Akan tetapi dia tidak sanggup untuk melihat Husna dimarahi oleh Dato Idris lagi. Sudahlah Husna baru sahaja pulang daripada pulau. Masih banyak lagi tekanan yang berada di dalam fikiran.
Ada baiknya, jika semua ini dihentikan dengan segera.
Dan sekonyong-konyong bibir Husna terjuih penuh sinis. Tangan Mak Timah yang menahan bahunya ditepis perlahan. Tersentak Mak Timah dibuatnya.
Selangkah demi selangkah Husna mendekati Dato Idris. Dia berhenti apabila tiba betul-betul di hadapannya. Dengan mengadah muka yang tidak lagi ada perasaan, serius. Riak wajahnya sudah cukup jelas menunjukkan dia benar-benar kecewa dengan sikap ayahnya.
"Husna pilih..."
Jantung Dato Idris berdebar tiba-tiba. Namun masih lagi angkuh menunjukkan sikap bapa yang kononnya paling berkuasa.
"Keluar daripada keluarga ni." Tekan Husna.
Semua terdiam.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro