
65
SEPANJANG perjalanan di atas bot, Husna hanya diam menatap pulau yang gelap itu. Betapa beratnya hati untuk meninggalkan tempat ini, seakan dunianya telah pun sebati di Semporna. Dan pada waktu itu jugalah, segala memori yang tercipta semasa dikampung muncul satu persatu pada kotak fikirannya. Lagilah buatkan dia rasa rindu yang tiada pengubatnya.
Kemudian, Husna tunduk ke bawah. Membelek gelang hiasan cangkerang yang masih kekal dipergelangan tangan kanannya. Automatik wajah Lanun muncul dimata. Mereka sudah berjanji untuk sama-sama pulang ke darat, tetapi...
Kenapa cuma dia sahaja yang pergi?
Adakah Lanun akan mencarinya semula? Atau, mereka akan dipisahkan lagi dengan darat dan lautan.
"Ayah tak mahu Husna teringatkan tentang lelaki tu lagi. Pulang sahaja ke Kuala Lumpur nanti, ayah nak Husna lupakan segala-galanya tentang dia. Dekat bandar tu, ada banyak lagi lelaki yang lebih bagus daripada dia." Dato Idris bersuara, entah apa lagi yang dia masih belum puas hati dengan lelaki kampung tadi. Apa sahaja yang dibebelkan, Husna cuma diam. Tidak mengiyakan, tidak juga menidakkan.
"Ayah tak faham macam mana Husna boleh ikut dia balik ke kampung tu? Kalau tidak kerana kawan Mak yang hantar gambar tu, mungkin sampai bila-bila dia sorok Husna dekat sana! Entah apa pula yang dia akan buat dekat kamu selepas itu..."
"Idris, kau tak patut fikir buruk tentang lelaki tu walaupun kau tak suka dia." Sampuk Tan Sri Raqib yang berhadapan dengan Dato Idris. Setiap cemuhan yang keluar daripada bibir rakannya kepada lelaki tadi buatkan dia terkena bahang yang sama. Panas. Biarpun angin laut bertiupan tanpa henti.
Namun, Tan Sri Raqib cuba menahan diri daripada menunjukkan emosi. Kekal tenang kerana mereka masih berada di atas bot yang sedang melaju. Macam-macam perkara buruk yang boleh berlaku tanpa sedar.
Dato Idris tersenyum sumbing.
"Macam mana aku tak fikir buruk kalau dia bawa lari anak aku?" Tak semena-mena Dato Idris menuduh tanpa bukti.
"Kalau itu niat dia, Husna takkan selamat disisi kau sekarang. Kau langsung tak beri dia peluang untuk jelaskan apa yang berlaku." Kata Tan Sri Raqib, tegas.
"Untuk apa aku beri dia pulang kalau sedikit pun aku takkan percayakan kata-kata dia? Kau pun lihat sendiri kehidupan dan pakaian lelaki itu macam mana? Tak terurus! Apa lagi yang dia fikir melainkan ambil anak aku untuk minta duit?"
Tan Sri Raqib mengetap bibir. Geram. Tak sangka, rakannya cuma menilai daripada sudut pandangan sahaja. Andai Dato Idris tahu siapa lelaki yang dikatakan tidak terurus itu, pasti persepsinya berubah 190 darjah.
Baru sekarang Tan Sri Raqib faham mengapa Raf menyuruhnya kekal diam tanpa memberitahu status sebenarnya. Nyatanya, Raf cuma mahu Dato Idris menerima dia seadanya tanpa sebab dia adalah anak kepada beliau.
"Kau pun sama Raqib, kenapa kau macam nak pertahankan dia? Semasa dikampung tadi pun, kau pandang dia macam sesuatu." Dato Idris bersuara lagi.
"Kau kenal siapa lelaki kampung tu?" Soalnya.
Tan Sri Raqib terdiam. Sekejap anak matanya teralih ke arah Husna yang duduk disisi ayahnya. Turut memandang dia seakan ingin tahu juga. Hati berbolak-balik memikirkan sama ada dia patut berterus-terang atau menunggu Raf beritahu sendiri.
Tapi lambat-laung dua beranak itu akan tahu juga. Jadi, apa salahnya jika dia beritahu hal yang sebenar. Namun, baru sahaja Tan Sri Raqib hendak membuka mulut, ada suara yang mencelah.
"Tuan, ke sini sekejap. Ada sesuatu yang saya nak tunjuk!" Kata lelaki beruniform serba hitam itu, memanggil ketua mereka yang berjaga di belakang bot.
Tak pasti kerana apa, tetapi mereka sama-sama melangkah ke arah tempat pemandu. Disitu, ada satu alatan canggih yang boleh mengesan objek misteri disekeliling mereka biarpun daripada jarak yang jauh.
Sedangkan Husna cuba menjenguk kepala. Hendak mengintai apa yang mereka sedang lihat. Dia cuma nampak ada titik merah yang berkelip-kelip pada skrin canggih itu. Laju ia bergerak. Seakan sedang mengejar titik berwarna hijau yang dimaksudkan bot ini.
Apa benda pula itu?
"Kenapa ni?"
"Saya rasa ada yang sedang mengekor bot kita. Tadi isyarat merah ni tiada pun. Tiba-tiba sahaja muncul, Tuan."
"Saya rasa ada kemungkinan lelaki tadi ikut bot kita daripada belakang."
Husna sekadar memasang telinga daripada jauh. Mendengar perbualan mereka yang kedengaran serius. Sesaat kening Husna berkerut. Lanunkah yang sedang mengekori bot mereka? Bibirnya hampir sahaja tersenyum. Namun apabila tersedar Dato Idris memandangnya, cepat-cepat dia buat muka masam semula.
"Tapi Tuan, kalau lelaki tadi yang ikut. Dah lama titik merah ni muncul. Masalahnya laju juga dia bawa bot tu!" Kata lelaki yang berdiri di sebelah kanan ketuanya.
Kemudian, lelaki disebelah kiri pula yang menunding jari ke arah skrin.
"Tu... Tuan, tiba-tiba ada dua titik merah. Saya tak rasa, dia cuma seorang." Tergagap-gagap dia memberitahu.
Melihat dua titik merah itu semakin menghampiri. Langsung si ketua mengeluarkan arahan.
"Semua, tolong berjaga-jaga! Lindungi mangsa kita! Todak, jerung, bergerak ke belakang bot! Perhatikan kalau ada bot yang dekat dengan kita. Beri tembakan amaran supaya mereka menjauh dengan segera!" Lantang dia bersuara dengan garang.
Suasana diatas bot tiba-tiba berubah tegang. Ada yang bergerak ke hujung belakang bot, bahkan di kiri dan kanan juga anggota maritim sudah sedia berjaga-jaga dengan sekeliling mereka.
Manakala Husna, Tan Sri Raqib dan Dato Idris diminta bangun dan berdiri ditengah ruang bot. Melindungi mereka daripada menjadi target musuh.
"Kenapa ni? Apa yang berlaku?" Soal Dato Idris, mula cemas. Jantungnya berdegup dengan pantas. Apatah lagi melihat mereka yang masing-masing sudah mengangkat senjata api, seolah-olah bersedia jika ada serangan.
"Kami ada kesan sesuatu yang mengekori bot. Kalau ada apa-apa yang terjadi, terus tunduk dan jangan bangun! Faham?!" Garang anggota maritim itu bersuara memberi amaran.
Husna sudah telan air liur. Tangannya yang menggigil digenggam kuat. Kenapa dia rasa tak senang duduk saat ini? Pada mulanya ingatkan Lanun yang mengekori bot, tetapi... dia tak rasa itu Lanun.
Mungkin dia adalah...
"PIRATE ATTACK! DOWN!!!" Jerit suara garau itu.
Mata Husna terbeliak saat mendengarnya. Dengan pantas, dia, Dato Idris dan Tan Sri Raqib ditarik oleh beberapa lelaki bersuit hitam meniarap bersama di atas bot. Dalam masa yang sama, kedengaran berdas-das peluru menyasar ke arah bot maritim tanpa henti.
Malah, pasukan maritim tidak mengalah begitu sahaja. Mereka juga membalas tembakan yang sama. Menyasar ke arah dua bot yang berpusing-pusing mengelilingi mereka. Bunyi peluru yang tersasar ke besi bot terdengar kuat. Jelas sekali sasaran peluru tidak mengena tepat pada tubuh si musuh.
"Minamatai diolo'!" (Bunuh mereka) Jerkah suara garau itu, kedengaran tidak puas hati apabila pihak maritim membalas serangan mereka. Makin kuat, bahkan makin banyak peluru yang dilepaskan ke arah bot maritim tanpa henti.
Husna tergamam sejenak. Berderau darahnya saat ini. Dia cam suara itu!
"Arghh!" Tanpa semena-mena seorang anggota maritim tumbang ke atas bot apabila peluru mengena tepat ke dadanya. Membuntang mata Husna melihat darah yang mengalir keluar dengan banyak. Ya Allah, selamatkanlah kami semua!
Tsuk!
Tsuk!
Tsuk!
Laju peluru kalis bunyi itu menembusi satu demi satu tubuh anggota maritim yang berjaga di bahagian tepi kiri dan kanan bot. Seorang demi seorang tumbang, mengerang kesakitan. Ada yang cuba bangkit ingin melawan semula, namun sekali lagi dia terkena tembakan dan akhirnya terbaring.
"Jangan biarkan mereka masuk ke dalam bot! Argh!" Suara ketua anggota maritim itu terjerit kecil. Bunyi dentuman kuat jatuh ke bot seakan tubuhnya rebah.
Tika ini, tiada kedengaran lagi peluru yang dilepaskan secara rambang. Bahkan, suara desahan menahan sakit yang menyapa telinga Husna. Perlahan-lahan Husna angkat kepala, seluruh tubuhnya menggigil ketakutan tatkala melihat semua anggota terbaring di atas bot. Ada yang menghempap sesama sendiri. Darah terpercik ke merata-rata tempat.
Dum!
Bunyi hentakan kaki seseorang yang melompat masuk ke dalam bot maritim. Dalam cahaya lampu biru yang samar-samar menyuluh wajah bengis itu, sedang tersenyum jahat pabila bertentangan mata dengannya.
Mondu.
"Huh?!" Husna terkejut. Langsung dia mengundur ke belakang. Begitu juga dengan Tan Sri Raqib dan Dato Idris. Tiada siapa lagi disini yang mereka boleh minta pertolongan. Semuanya sudah terbaring. Entah hidup atau pun sudah mati.
"Si... siapa kau?! Apa kau nak?!" Bentak Dato Idris, bergetar suaranya. Berderau darah tatkala melihat rifle M4 carbine ditangan lelaki jahat itu.
Sekonyong-konyong Mondu tersenyum senget. "Apa aku nak? Mungkin bunuh ko dulu."
Rifle itu dihala ke arah Dato Idris.
"Jangan!" Husna menjerit.
Klik! Klik!
Mondu ketawa. Rifle yang kehabisan peluru itu diangkat. Seronok betul dia melihat muka pucat orang tua itu saat ajalnya hampir dijemput. Takut.
Ah, dia memang suka bila buat orang takut. Terasa dialah yang paling berkuasa disini.
"Nasib baiklah peluru sudah habis. Kalo tidak, memang aku bunuh semua yang ada di dalam bot ini." Kata Mondu, kemudian anak matanya beralih ke arah Husna. Anak mata itu tampak berkaca. Mukanya pucat membiru.
"Koupusan Lanun, sudah lama kita endak berjumpa. Sa rindu bah sama ko." Tegur Mondu. Siap melemparkan senyuman penuh makna buat Husna.
Setapak dia mendekat.
Dato Idris sudah menggeleng kepala. Tubuh Husna terus ditarik ke dalam pelukannya erat. Semerta, langkah Mondu terhenti disitu.
"Jangan ambil anak aku! Cakap sahaja apa yang kau nak, aku akan bagi! Tapi jangan apa-apakan dia..." rayu Dato Idris penuh pasrah.
Mondu menghembus satu nafas. "Lanun pun endak boleh halang apa yang aku mau ambil, siapa pula kau?"
DUSH!
"Ayah!" Jerit Husna, terkejut apabila kepala ayahnya ditetak dengan belakang rifle yang tajam hingga berdarah. Spontan pelukan mereka terlerai. Dato Idris rebah ke tepi. Ada erengan kesakitan menjengah ke telinga Mondu.
Kemudian, Mondu menoleh pula ke arah Tan Sri Raqib. Tanpa sebarang isyarat, kepalanya juga dihentak dengan hujung riflenya. Takkan sesekali biarkan sesiapa pun yang menjadi penghalangnya lagi.
"Tan Sri! Ya Allah..." Husna tidak dapat menahan air matanya daripada terus mengalir. Dia terlalu takut. Hanya mampu berserah kepada Tuhan sahaja saat ini.
"Semua ini endak akan jadi kalo Lanun pilih harta tu semula. Tapi dia yang degil. Jadi ko patut salahkan dia."
"Tak cukup lagi ke harta yang kau dah dapat?! Lanun dah berikan semua yang kau nak, apalagi yang tak cukup?!" Bentak Husna, kesabarannya sudah mencapai limit. Ketakutan dan amarah saling bercampur. Air mata yang mengalir membasahi pipinya langsung tidak menyentuh hati Mondu yang telah pun mati rasa manusia.
Sekonyong-konyong Mondu tersenyum senget. "Memang lanun kasi apa yang aku mau. Tapi kalo aku tahu ko siapa, aku endak akan terima harta yang dia beri. Kononnya pekerja... tapi ko sebenarnya lebih daripada itu."
Husna telan air liur. Kesat. Nyatanya Mondu sudah tahu semuanya.
Mondu kembali menyambung langkah yang tergendala tadi mendekati Husna. Selangkah demi selangkah. Sengaja diperlahankan untuk melihat ketakutan yang terpapar pada seraut wajah cantik itu. Dalam masa yang sama, Husna turut mengundur ke belakang.
"Tapi endak apalah, koupusan... aku maafkan ko. Aku tahu ko tipu kerana terlalu takut dengan aku. Dengan Mondu. Endak hairanlah, kerana semua perempuan yang aku jumpa gunakan alasan yang sama."
Husna semakin gelisah tatkala melihat Mondu yang kembali bermain-main dengan senjata ditangannya. Dibelek-belek kesan darah yang melekat dihujung rifle, seakan mahu menakut-nakutkan Husna.
"Tapi aku datang ke sini sekadar mau tunaikan janji aku kepada Lanun. Aku mau buat dia menyesal. Menyesal sehingga dia bersujud di kaki aku sendiri. Dan aku tahu, tiada benda yang lain dia akan menyesal selain satu-satunya harta yang paling dia sayang..."
Mondu menghentikan langkah. Betul-betul dihadapan Husna yang turut sama berhenti apabila belakangnya ada penghalang. Sekali lagi Husna telan air liur. Kepala terdongak ke atas saat merenung Mondu yang tersenyum penuh jahat.
Tika ini tubuh Husna kembali menggigil apabila senjata ditangan Mondu mula diangkat tinggi secara perlahan.
Ya Tuhan, selamatkanlah aku. Husna hanya mampu berdoa di dalam hati. Air matanya jatuh buat kesekian kali. Seakan tahu apa nasibnya nanti.
"Jadi aku akan seksa ko di hadapan mata dia sampai puas!" Terus dahi Husna ditetak dengan hujung riflenya. Kuat bunyi yang terhasil. Cukup membuktikan hayunanya kuat sehingga buatkan tubuh Husna terus rebah. Ada darah yang mengalir dari celahan tudung itu.
Mondu tersenyum puas.
Aku tunggu kau, Lanun. Datanglah, ambil koupusan kau dari aku. Katanya di dalam hati.
"ABANG, abang biar betul nak pergi Ocean Resort waktu sekarang? Bahayalah!" Tegur Ratna yang berdiri di muka pintu, memerhati Lanun yang sedang mencari kunci botnya yang berada di dalam laci. Habis dipunggah segala isi barang yang ada di dalam itu. Tak ubah seperti orang yang pecah masuk rumah.
Rajuna dan Arjuna yang turut berada disitu mengangguk kepala tanda menyokong.
"Betul tu, bang. Esok ajelah balik ke Resort. Husna takkan apa-apa. Poliskan ada sekali." Arjuna bersuara.
Namun, Lanun tetap menggeleng. Tak! Hatinya tetap rasa sesuatu yang tak kena. Dia harus pastikan sendiri bahawa Husna balik dengan selamat.
"Abang tetap nak balik malam ni. Abang cuma nak pastikan dia selamat aje! Ada polis atau tak, tetap tak menjaminkan dia akan selamat!" Ujar Lanun, sebaik sahaja menjumpai kunci terus laci terakhir itu ditutup. Tanpa mengemas barangan yang bersepah di lantai, Lanun terus berlari keluar daripada rumah.
Usai menyarung kasut, dia berpaling ke belakang. Lanun tergamam sejenak tatkala orang kampung berkumpul di halaman rumahnya. Masing-masing tampak risau. Jelas, mereka juga tidak mahu Lanun keluar malam ini.
Namun, anak mata hazelnya lebih tertumpu pada Odu yang mendekatinya. Ada air mata yang berlinang dibawah kelopak mata Odu. Sampai sahaja di hadapan Lanun, terus tangan kerepot itu naik menyentuh wajah Lanun. Melekap disitu.
"Biar betul ko mau pergi, Lanun? Hati Odu rasa endak sedap daripada tadi. Endak boleh ka ko pergi esok hari sija?" Soal Odu, terlalu merisaukan tentang keselamatan Lanun. Sudahlah dia anggap Lanun tak ubah seperti anak kandungnya, jika ada apa-apa terjadi... sakitnya tak ubah seperti seorang ibu yang terluka apabila anaknya ditimpa musibah.
Lanun tersenyum kelat. Tangan Odu digenggam, perlahan-lahan ditarik turun ke bawah. Ditatap mata Odu dengan penuh mendalam.
"Habis macam mana dengan Husna, Odu? Sa lebih risaukan dia berbanding nyawa sendiri. Dia pernah bilang sama Lanun, tiada siapa pernah kisah tentang apa yang terjadi kepada dia. Tapi dia lupa, Lanun sentiasa risaukan tentang dia. Sa endak boleh bayang kalo apa-apa terjadi kepada Husna." Luah Lanun, suaranya bergetar saat ini. Sejak Husna pergi membawa diri, dia langsung tak tenang. Fikirannya tak habis-habis dihasut perkara buruk. Bagaimana dia mahu terus berdiam diri?
"Habis macam mana dengan ko, Lanun? Odu juga endak boleh bayang kalo apa-apa terjadi kepada ko. Odu juga sayangkan Husna... tapi..."
"Odu jangan risau, sa pandai jaga diri. Sa janji, selepas sahaja lihat Husna pulang dengan selamat. Sa akan balik sini semula."
Odu diam. Kalau ikutkan hati, dia tetap tidak mahu Lanun pergi. Tetapi jika itu yang telah dijanjikan, maka dia akan pegang janji itu.
"Janji ko akan pulang semula?" Soal Odu, memandang Lanun dengan mata yang berkaca-kaca.
Lanun angguk kepala dengan yakin. Tangan Odu digenggam erat.
"Ya, sa janji. Odu pun tahu, Lanun endak pernah mungkir janji." Katanya.
Odu tersenyum. Kepala diangguk-angguk. Memang benar, Lanun tidak pernah sekalipun mungkir janji dengannya. Lantas, mereka berpelukan buat seketika. Pelukan Odu erat, seakan tidak mahu melepas pergi.
"Lanun sayangkan Odu." Bisik Lanun, dekat ditelinga Odu.
"Odu juga sayangkan ko." Balasnya.
Melebar senyuman dibibir Lanun. Dan kemudian pelukan terlerai. Sekali lagi wajah Odu ditatap buat sesaat. Perlahan-lahan genggaman tangan dilepaskan. Baru selangkah Lanun ingin berpaling, tiba-tiba ada suara yang terpekik-terlolong memanggil namanya.
Serentak pandangan mereka beralih ke arah seorang lelaki yang berlari serupa dikejar hantu. Sampai sahaja di hadapan rumah Lanun, dia berhenti. Mengambil nafas yang termengah-mengah dek kerana kelihatan.
Setelah puas menarik nafas, dia kembali menegak. Memandang Lanun dengan muka pucat lesu. Sambil tangan terketar-ketar menunding ke arah pantai sana.
"La... Lanun, ak... aku nampak bot polis kena serang dengan Mondu."
Hampir terjojol biji mata Lanun mendengarnya. Jantung automatik diserang debaran. Langsung dia berlari ke arah lelaki itu. Kedua belah bahunya dicengkam kasar.
"Macam mana keadaan semua orang dalam tu? Husna... kau ada nampak Husna?!"
Dia menggeleng.
"Ak... aku tak nampak pun ada perempuan dalam bot tu. Tapi semua orang dalam tu dah terbaring kena peluru. Ada yang masih hidup, mereka suruh aku minta bantuan. Cu... cuma aku tak tahu nak minta bantuan dekat mana?"
Lanun semakin gelisah. Kalau Husna tiada di dalam bot itu, tidak lain tidak bukan Mondu sudah menculiknya. Dia tidak boleh berlengah lagi!
Terus Lanun pusing ke belakang. Memandang Rajuna dan Arjuna yang berdiri di beranda.
"Arjuna, Rajuna! Korang tolong pergi tengok-tengokkan bot maritim tu dan minta bantuan! Abang kena cari Mondu sekarang!"
"Habis takkan abang pergi seorang?" Soal Rajuna, namun tak terjawab. Lanun terus pergi tanpa menoleh. Meninggalkan mereka yang terkulat-kulat tidak tahu untuk bertindak.
Cari bantuan!
Ya, mereka harus cari bantuan dari pihak maritim dengan segera!
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro