63
"TAN SRI, mereka dah sampai." Ujar staff yang memakai uniform serba coklat itu. Mendengar perkataan 'mereka', cukup buat Tan Sri Raqib faham akan maksudnya. Langsung fail ditutup. Bingkas dia bangun dari kusyen mahal itu lalu berlalu keluar daripada bilik pejabatnya.
Manakala staff tadi berjalan di hadapan, menunjukkan jalan dimana mereka sedang berada. Sampai sahaja di bahagian ruangan utama tempat pelancong duduk beristirahat berdekatan kaunter, langkahnya tergendala sebentar.
"Raqib?" Tegur Dato Idris sebaik sahaja dia menyedari kelibat rakannya berada disitu. Tak tunggu lama, terus dia mendekati Tan Sri Raqib.
"Aw... awalnya kau sampai sini?"
"Aku tak boleh lengahkan masa lagi, Raqib. Anak aku sekarang berada dengan lelaki pulau, aku kena selamatkan dia! Aku dah beritahu hal ini kepada pihak polis, mereka setuju untuk redah ke kawasan Red Zone." Ujar Dato Idris. Suaranya kedengaran begitu cemas. Pasti hati tak tenteram selepas mengetahui Husna masih hidup dan berada di dalam jagaan seseorang tak dikenali.
"Astaghfirullah hal Azim..." mengucap Tan Sri Raqib mendengarnya. Tidakkah tindakan itu terlalu terburu-buru? Bukannya Dato Idris tidak tahu kawasan Red Zone itu berbahaya.
"Biar betul kau ni, Idris? Bahayalah Red Zone tu. Tak boleh ke kau tunggu masa yang sesuai?" Soal Tan Sri Raqib buatkan Dato Idris mengeluh.
Sesaat Dato Idris meraup wajahnya. Cuba untuk menenangkan hati sendiri.
"Bila lagi masa yang sesuai, Raqib? Aku kena bawa dia balik daripada duduk dengan jantan tu! Kau nak anak aku kena sentuh dengan lelaki tu baru aku kena ambil tindakan huh?"
Tan Sri Raqib terdiam.
Dan secara tiba-tiba lengan Tan Sri Raqib dicengkam agak kuat. Dia sedikit tersentak. Mata Dato Idris yang lebam akibat tidak cukup tidur itu dipandang. Sungguh, ini bukanlah rakannya yang dia kenal. Wajahnya tampak pucat sehingga tidak sama lagi dengan sebelum ini.
"Aku perlukan pertolongan kau kali ni! Kau pernah cakap yang kau ada anak yang tahu selok belok Pulau ni, kan? Bawa aku jumpa dia! Suruh dia bawa aku dan pihak polis pergi ke mana-mana perkampungan kecil yang ada disini! Aku Pasti... anak aku ada dekat sana." Rayu Dato Idris, jelas dia terdesak sekarang. Selagi tidak lihat Husna di hadapan matanya, dia makin jadi tak keruan.
Namun Tan Sri Raqib menggeleng. Perlahan tangan rakannya yang mencengkam lengan ditolak ke bawah.
"Anak aku tiada disini sekarang. Dia ada dekat..."
"Kalau anak kau tiada, pasti kau juga tahu ada perkampungan dekat sini, kan? Kau pun asal daripada sini dahulu." Cantas Dato Idris. Langsung tidak memberi peluang untuk rakannya menghabiskan kata.
Tan Sri Raqib mengeluh kecil.
"Memanglah aku pernah membesar disini, tapi kawasan ni dah tak macam dulu. Ada banyak lanun-lanun yang berkeliaran dekat pulau sana. Bahaya untuk kita pergi, Idris! Kau tu bukan orang biasa-biasa, kalau Lanun tahu kau seorang Dato, memang mereka akan ambil kau untuk dijadikan tebusan!" Ujarnya. Sekadar mahu mengingatkan Dato Idris tentang ancaman yang menantinya di pulau sana.
Namun, teguran itu seolah-olah tidak masuk ke telinganya. Kepala tetap menggeleng tidak setuju. Langsung tak peduli dengan bahaya yang akan datang, apa yang terpaku di kepala saat ini cuma mahu bawa Husna pulang.
Dia...
Takkan biarkan Husna bersama dengan lelaki tak dikenali itu.
"Habis macam mana dengan Husna? Kau nak biarkan dia selamanya dekat sana? Aku tak nak dia duduk dengan lelaki tu!" Bentak Dato Idris, tidak puas hati. Pelik. Mengapa Tan Sri Raqib seakan tidak menyebelahinya saat ini. Kalau dahulu, bukan main lagi dia yang mencadangkan mahu buat report polis untuk redah ke kawasan Red Zone.
Sebelah tangan Tan Sri Raqib naik memicit kepala. Pening dia hendak menjawab.
"Siapa lelaki tu? Cuba kau beritahu aku?" Soal Tan Sri Raqib. Kini dia mencekak pinggang, sedia mendengar cerita.
"Aku tak kenal dia. Tapi pakaian dia macam orang pulau ni! Rambut dia warna putih, tinggi, lepastu sebelah mata dia tertutup. Dia nampak macam lanun. Kawan Dijah yang nampak lelaki itu paksa anak aku menjual untuk dapat keuntungan!" Luah Dato Idris.
Kening Tan Sri Raqib berkerut sejenak. Rambut putih, tinggi, sebelas mata tertutup... kenapa macam kenal ya? Sekonyong-konyong muncul wajah Raf di bayangannya. Tetapi benarkah Raf yang dimaksudkan Dato Idris tika ini?
Tak hairanlah jika Dato Idris tidak mengenali Raf, kerana dia juga tidak sempat memperkenalkan anak sulungnya kepada Dato Idris. Oleh sebab Raf terlalu sibuk dipulau, jarang sekali balik ke bandar.
"Boleh aku tengok gambar yang kau dapat tu?" Pinta Tan Sri Raqib. Dia mahu buat kepastian.
Dato Idris pantas mengangguk. Telefon canggih dikeluarkan dari poket seluar, lalu ditayangkan gambar itu kepadanya. Lambat-lambat tangan Tan Sri mengambil telefon itu, ingin melihat dengan lebih dekat.
Haih,
Memang tidak salah lagi. Perasaan seorang bapa tak pernah salah.
'Raf, dah kenapa pula kau menjual air kelapa disitu? Papa suruh kau kerja dekat sini tak nak pula! Memang nak kena budak ni!' Omel Tan Sri Raqib di dalam hati. Sakit hati pula dengan perangai anak sulungnya ini. Lama gambar itu ditenung, dalam hati bertubi-tubi kata-kata geram yang keluar.
Sekarang, dah berlaku salah faham. Siapa yang nak kena hadap? Dia juga.
"Lama kau tenung gambar tu, kau kenal ke dia siapa?" Tegur Dato Idris tatkala melihat rakannya yang senyap daripada tadi.
Tan Sri Raqib menangkat wajah, ada sengihan kekok dibibir. Kemudian telefon diserahkan kepada Dato Idris semula.
"Sebenarnya, lelaki dalam gambar tu..."
"Abang. Maaf Dijah lambat. Sakit perut tadi." Sampuk Datin Khadijah yang baru muncul. Dia berhenti disisi suaminya. Senyuman penuh ramah dilemparkan kepada Tan Sri Raqib yang berdiri di hadapan mereka.
Namun, tidak pula Tan Sri Raqib membalas. Pandangan kembali tumpu ke arah Dato Idris. Cuba untuk lari daripada bertentangan wajah dengan wanita itu. Takut amarahnya tak terkawal apabila teringatkan cerita Zaim.
"Kau tak nak rehat dulu ke? Aku dah suruh staff sediakan bilik." Soalnya, lihat pada laman wajah Dato Idris sahaja dia sudah tahu lelaki itu sedang penat.
"Kau masih belum jawab soalan aku tadi. Boleh tak kau tolong bawa aku pergi ke perkampungan yang ada disini? Kalau kau tak nak, aku akan pergi sendiri dengan pihak polis." Dato Idris mengulangi soalannya.
Berat hati pula Tan Sri Raqib mahu menolak. Ada keluhan berat dibibir. Demi rakan baiknya, dia relakan diri untuk membantu. Lantas, kepala diangguk perlahan.
"Baiklah, aku akan tolong. Kita cari dia malam ni." Kata Tan Sri Raqib.
"Kalau saya nak ikut juga boleh?" Sampuk Datin Khadijah, wajah Tan Sri Raqib dipandang.
"Ini bukan rombongan sekolah. Ada baiknya kalau Datin duduk sahaja disini sampai kami pulang. Biar saya dan Idris sahaja yang pergi." Balasnya acuh tak acuh.
Terdiam terus Datin Khadijah mendengarnya. Mata tak berkelip. Terkejut dengan cara lelaki itu membalas jawapannya serupa tidak ramah.
Kemudian, Tan Sri Raqib menoleh ke arah staff yang berdiri di tepi.
"Ana, tolong bawa mereka ke bilik premium. Saya ada kerja sedikit nak diuruskan." Katanya, siap memberi arahan. Staff wanita itu mengangguk tanda menerima tugas. Tak tunggu lama, dia terus mendekat ke arah Dato Idris dan Datin Khadijah. Mengajak mereka mengekor langkahnya ke bilik yang disediakan.
SIAP mengacau teh, lantas cawan itu diangkat. Dititup-tiup terlebih dahulu agar sedikit suam sebelum dihirup. Husna pejam mata. Menikmati kesegaran saat menelannya. Hilang sedikit dahaga buatnya hari ini. Tadi, dia pergi jalan-jalan dengan Orkid, pusing satu kampung ini. Walaupun tak luas mana, tetapi tetap penat. Itu yang tiba sahaja di rumah, dia terus bancuh air.
Tapi pelik juga, semasa dia pulang tadi Lanun masih tiada. Daripada subuh lelaki itu turun ke laut bersama dua beradiknya, sampai nak dekat petang kelibat mereka tidak muncul-muncul. Harap-harap mereka selamat sahaja di laut sana.
"Langadon dika." (Rindu kau) bisik suara Lanun, dekat dengan cuping telinganya. Terhinjut bahu Husna akibat terkejut. Mujur tak dibaling teh yang masih panas ini ke arah Lanun yang kini bersandar pada kabinet dapurnya. Sedang ketawa.
Husna mengetap bibir. Cawan itu diletakkan ke tepi. "Kot iya pun bagilah salam. Awak buat saya terkejut aje. Nasib tak dibaling cawan ni!"
Aw, garangnya. Bukan buatkan dia takut, malah makin angau adalah. Kalau begini cara kena marah, hari-hari dia mahu buat Husna marah.
Lanun peluk tubuh. Wajah Husna yang masih berkerut marah itu ditatap dengan bibir tersengih-sengih.
"Assalamualaikum, koupusanku Husna. Lama ke tunggu aku balik?" Ceh, dah masuk rumah baru beri salam.
Husna menjeling. "Waalaikumsalam! Mana ada saya tunggu awak. Saya pun baru balik daripada jalan-jalan dengan Orkid. Yang awak tu pula, pergi mana sampai dah nak petang baru balik? Cari jalan atau buat jalan?" Perli Husna.
Ceh, kata tak tunggu, tapi boleh pula persoalkan kenapa Lanun balik lewat? Sudah terang lagikan bersuluh, Husna menunggu kepulangannya.
Lanun menahan bibirnya daripada tersenyum. Lantas dia berdiri tegak daripada bersandar, lalu melangkah mendekati Husna. Berdiri rapat disisinya, manakala sebelah tangan ditongkat pada kabinet.
Mata hazel dan birunya melekat pada wajah Husna yang menunduk melihat cawan teh.
"Maaflah buat kau tunggu lama. Jauh aku pergi berlayar hari ni semata-mata nak cari jalan yang selamat. Sudahlah aku terlupa nak bawa air sekali, panas tau dekat sana. Dahaga aku jadinya." Ujar Lanun, sengajalah dia cerita nak minta simpati Husna. Manalah tahu nak tolong buatkan air ke?
Husna melangut memandang Lanun. Mata dikecilkan. Cuba mencari penipuan diwajah lelaki itu. Akan tetapi, tidak pula nampak bahawa Lanun sedang mempermainkan dia. Bahkan, muka kacak itu tampak begitu lelah. Menjentikkan rasa kasihan dengan mudah.
"Awak nak saya tolong buatkan air ke?"
"Tak perlu. Sebab aku dah nampak air depan mata." Katanya, dengan selamba cawan teh milik Husna dicuri lalu diminum.
Mata Husna terbeliak. Melopong mulutnya tatkala melihat air teh yang cuma tinggal separuh. Kurang asam punya Lanun!
"Ah, barulah segar sikit tekak ni. Betullah kata orang, kongsi air lebih sedap berbanding minum sendiri." Ujar Lanun dengan senyuman nakal dibibirnya.
Kecil sahaja Lanun dimata Husna saat ini. Rasa nak potong sahaja mulut yang pandai bercakap itu! Lantas cawan ditangan Lanun terus dirampas semula.
"Banyaklah awak punya kongsi! Tengok, saya dah nak kena buat yang baru!" Herdik Husna, dengan rasa geram dia mencapai balang gula dan uncang teh yang berada berdekatan. Ingin bancuh yang baru. Sedangkan Lanun hanya tersenyum-senyum apabila dimarahi.
Lanun memeluk tubuh. Cuma memerhati Husna yang ligat mengacau air tanpa menganggu. Lama dia merenung, tiba-tiba dia teringatkan ugutan Mondu semasa di laut tadi. Tak dapat bayangkan perasaannya jika Husna berada ditangan lelaki bengis itu sekali lagi.
Patutkah dia bawa Husna pulang dengan segera? Atau... lebih baik rancangan untuk balik ke resort itu ditukar ke hari lain? Kerana ada kemungkinan si Mondu itu akan mengelilingi sekitar pulau Semporna bersama lanun-lanun yang lain.
Dia risau jika Husna tertangkap.
"Husna..." Lanun bersuara. Pandangan bertukar lebuh redup.
"Hmm..." Itu sahaja responnya. Mata Husna masih melekat pada cawan teh yang sedang dikacau.
"Boleh tak kalau kita tunda sekejap untuk balik ke Ocean Resort?" Soal Lanun.
Automatik tangan Husna berhenti. Dia langsung berpaling memandang Lanun, menayang riak wajah tanda tanya.
"Kenapa pula?" Soal Husna, ada sedikit kecewa kerana dia betul-betul sudah semangat ingin pulang.
Lanun mengeluh berat. Ya, dia tahu Husna rindu untuk berada di darat semula. Tapi, apa yang dilakukan sekarang demi keselamatan wanita itu juga. Kedua-dua belah tangan yang memeluk tubuh dijatuhkan ke bawah semula.
"Aku terserempak dengan Mondu tadi." Ujar Lanun, berterus-terang tanpa selindung apa-apa.
Husna tergamam. Matanya membulat. Terus cawan itu ditolak menjauh, lantas dia mendekati Lanun. Berdiri betul-betul di hadapan lelaki itu sambil anak mata melilau ke seluruh wajahnya. Tercari-cari jika ada kesan lebam atau luka, manalah tahu si Mondu itu ada mengapa-apakan Lanun.
"Dia ada buat apa-apa ke pada awak?" Tanya Husna, jelas kerisauan.
Lanun tersenyum kecil. Kepala digeleng.
"Tak ada. Dia datang sebab ingat kau ada dengan aku masa atas bot tadi. Dan kau nak tahu tak, dia ada tawarkan aku harta arwah mama." Katanya.
Husna terdiam sejenak.
"Habis tu? Awak tak ambil balik?"
Lanun berdecik kecil. "Kenapa pula aku kena ambil balik? Kalau aku ambil, aku kena serahkan kau. Lagipun harta tu aku boleh cari semula, tapi kau... aku nak cari dekat mana?"
Tersentuh hati Husna mendengarnya. Tak sangka, Lanun sanggup menolak harta pusaka milik arwah semata-mata kerana inginkannya. Bibir Husna menguntum senyuman. Andai Lanun berkata begitu, dia terima sahaja keputusan Lanun untuk menandakan perancangan mereka.
"Saya tak kesah bila pun awak akan hantar saya balik. Saya faham. Tapi saya cuma risau kalau tunda lama-lama, ayah saya akan buat sesuatu." Kata Husna, ada riak kegelisahan terpapar diwajahnya. Entah mengapa, hati ini rasa gusar sejak beberapa hari.
"Saya takut kalau dia ingat awak culik saya. Buat benda yang bukan-bukan. Padahal awak bukan jenis yang macam itu." Sambung Husna. Anak mata Lanun ditenung dalam-dalam.
Lanun tersenyum kelat. Jika tangan ini boleh menyentuh Husna, mahu sahaja tangan ini melekap dipipi kiri dan kanannya. Mengusap dengan lembut dengan jari-jemarinya sambil menatap Husna untuk lebih meyakinkan wanita dengan dengan janjinya.
Namun, Lanun sedar. Masa itu belum tiba lagi.
"Kau janganlah risau. Bila aku jumpa ayah kau nanti, aku akan perkenalkan diri. Dia takkan salah faham." Ujar Lanun, cuba memujuk hati Husna agar kekal tenang dan tidak memikirkan yang bukan-bukan.
Sedangkan Husna hanya mengangguk. Percayakan Lanun.
"Jadi awak dah jumpa ke jalan yang sesuai untuk kita balik nanti?" Soal Husna, menukar topik. Tiba-tiba rasa ingin tahu jalan yang mereka akan lalui nanti.
Tatkala Lanun mengangguk. Langsung dia mengeluarkan buku kecil yang dibawa bersama tadi. Menayangkan lakaran peta yang dibuat sendiri. Husna terpanar seketika. Buku itu diambil. Tangannya yang terasa gatal ingin menyentuh perlahan-lahan mengusap lakaran pada helaian itu.
Cantik juga lakaran Lanun biarpun dia tidak faham cara mahu membacanya. Tapi, sekali pandang nampak macam jauh sahaja perjalanan nak sampai ke Ocean Resort.
"Aku guna jalan yang jauh sedikit. Hanya jalan tu sahaja yang aku, Rajuna dan Arjuna rasa selamat. Sebab dekat situ jauh daripada kawasan Mondu. Tapi, tak mustahil juga kalau Mondu boleh lalu kawasan itu nanti. Sebab dia betul-betul cari jalan untuk terserempak dengan kau. Jadi terpaksalah tunda sekejap."
Kepala Husna terangguk-angguk tanda faham.
"Alang-alang kita masih ada dekat sini, apa kata kita buat sesuatu? Nak tak, kalau kita makan malam dekat tepi pantai malam ni?" Soal Lanun, memberi cadangan.
Kepala Husna terus terdongak memandangnya. Kening terjongket. Makan malam? Maksud Lanun... candle light dinner?
Dalam tak sedar, kepala Husna mengangguk dengan sendirinya.
Lanun tersenyum lebar. "Kalau macam itu, aku akan pergi pasar belikan makanan yang kau teringin. Cakap sahaja apa yang kau nak, aku akan beli."
Husna diam memikir sebentar. Sebelah tangan naik mengetuk dagu. Apa ya yang dia teringin? Hmm...
Seminit juga Husna ambil masa untuk menjawab. Kemudian, barulah bibirnya terbuka.
"Belikan saya ikan." Pinta Husna. Siap melemparkan senyuman.
Lanun tergamam sejenak. Kening berkerut. Dia tak salah dengarkah?
"Huh?"
"Saya cakap, saya teringin nak makan ikan. Jadi belikan ikan. Jenis apa pun saya tak kesah, asalkan ikan." Ulang Husna, tetapi kali ini lebih panjang lebar agar Lanun mendengarnya dengan jelas.
Sedangkan Lanun masih lagi terdiam. Kaku. Permintaan Husna... benar-benar buat dia hilang suara.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro