58
SUASANA bangunan korporat paling tinggi itu agak bingit tika ini dengan bunyi alat gerudi. Semua staff tidak dapat melakukan kerja dengan tenang. Fokus mereka terganggu. Asyik tertarik ke arah bilik pejabat milik Datin Khadijah yang sedang dikawal oleh pihak bomba. Agak terkejut juga apabila tiada angin, tiada ribut, tiba-tiba bomba datang ke sini.
Sangkakan ada insiden buruk yang berlaku, rupa-rupanya Datin Khadijah yang menghubungi mereka untuk memecah peti berkunci itu kononnya kerana terlupa password.
"Ini ke kad yang Datin maksudkan?" Soal lelaki memakai T shirt bomba itu, sambil menayang sekeping kad bank berwarna hitam kepada Datin Khadijah. Setelah penat menggerudi peti berkunci itu sehingga terbelah, akhirnya berjaya juga dikeluarkan.
Bersinar matanya tatkala melihat kad yang ditangan pemuda itu. Kotak fikiran automatik terbayang macam-macam. Dengan kad itu, dia boleh beli apa sahaja!
"Betul. Inilah kadnya." Terus kad itu diambil. Dilekapkan ke dada sambil mata dipejam.
"Ya Tuhan, nasib baiklah ada bomba yang boleh tolong bukakan. Kalau tidak, tak tahulah cara apa lagi yang saya ada." Keluh Datin Khadijah, bergetar suaranya seakan hendak menangis. Tapi sebab apa? Sebab lega atau sebaliknya?
Dalam diam, dia tersenyum sinis.
"Saya sarankan Datin boleh simpan kad tu di tempat yang lebih selamat dan senang untuk dibuka. Atau lebih baik, Datin pegang sahaja. Tak adalah nanti terlupa password lagi." Ujar bomba itu, sekadar memberi pendapat.
Kepala Datin Khadijah mengangguk. Buat-buat faham. Sudah semestinya kad ini akan berada di dalam genggamannya.
"Terima kasih sangat sudi bantu saya. Maaflah kerana menyusahkan tuan pada hal remeh macam ini."
"Tak apa, Datin. Memang tugas kami pun untuk bantu, tak kesahlah hal kecil ataupun besar. Kalau dah tiada apa-apa, kami minta diri dulu." Pamitnya selaku ketua, sebelum mengarahkan ahli bomba yang lain mengemas peralatan mereka yang bersepah di lantai. Setelah selesai, barulah mereka melangkah pergi.
Pintu automatik tertutup rapat. Hilang sahaja kelibat bomba daripada pandangan matanya, langsung dia mengoyak senyuman jahat. Kad ditangan ditatap semula.
"Akhirnya..." Dia melabuh punggung di atas kusyen mahal itu. Sebelah kaki kanan disilang ke atas paha kirinya. Penuh angkuh.
"Dapat juga aku pegang kad ni. Harap aje berkahwin dengan lelaki kaya, tapi nak beri aku pegang kad ni pun payah. Tengok. Terpaksa juga aku cari sendiri."
Bicaranya sendirian.
"Apa aku nak buat lepas ni ya?" Datin Khadijah bersandar ke belakang. Kepala terdongak ke atas. Sedang memikirkan rencana yang seterusnya. Kalau Husna tiba-tiba dijumpai, pasti kad ini akan kembali ke tangan wanita kolot itu.
Dia perlukan jerat yang bagus untuk mengumpan Husna. Atau lebib baik... suami sendiri? Bibirnya mengherot sinis.
Tok! Tok! Tok!
Kedengaran pintu diketuk semerta mematikan bayangan difikirkannya. Kelam-kabut kad milik syarikat itu disorok ke dalam beg mahal yang terletak di atas meja. Jantung tiba-tiba berdebar dek keresahan. Takut pula jika yang datang itu adalah Dato Idris. Apa dia nak jawab kalau orang tua itu tanya mengapa peti besi itu rosak?
"Masuk!" Arah Datin Khadijah, langsung berlakon seperti seorang yang profesional menguruskan kerja. Fail paling dekat dicapai, buat-buat menyelak walaupun satu benda pun tidak masuk ke kepala.
"Maaf kalau saya menganggu masa Datin." Rayu Mei. Dia menunduk hormat apabila tiba ditengah ruang bilik sebelum mendekati meja.
"Ini proposal tentang makanan yang Datin suruh saya siapkan. Semuanya dah lengkap. Tapi lebih baik kalau Datin check dulu. Takut ada yang saya tersilap." Ujarnya, kemudian proposal itu dihulur.
Namun, tidak pula Datin Khadijah mengambilnya.
"Hmm, nanti-nanti saja saya tengok. Letak sahaja dekat situ dulu." Balasnya acuh tak acuh, mata masih melekat pada fail ditangan. Seakan tak berminat.
Mei cuma mengangguk. Tanpa banyak soal, dia meletakkan proposal itu dihujung meja. Harap-harap petang nanti Datin Khadijah ada masa untuk periksa failnya.
"Saya minta diri dulu ya?"
"Sekejap, Mei!" Halang Datinn Khadijah ketika melihat Mei yang mahu pergi. Fail ditutup. Ada lagi yang dia hendak minta tolong sebenarnya.
"Ya, Datin?"
"Tolong siapkan yang ini pula. Tapi kali ni banyak sikit sebab tertangguh dari minggu lepas. Awak pandai-pandailah agih pada staff yang lain. Saya ada banyak kerja nak buat. Nanti dah siap, beri saja pada saya." Katanya, lantas fail yang bertimbun di sebelah kanan meja itu ditolak ke hadapan. Entah bila punya kerja pun tak pasti. Janji mereka siapkan secepat mungkin.
Mei kehilangan kata. Rasa nak tergelak pun ada, tetapi sinis. Kenapa pula mereka kena siapkan kerja yang sepatutnya Datin Khadijah sendiri harus uruskan?
"Tapi Datin, itu semua..."
"Awak nak gaji ke tidak?" Laju sahaja Datin Khadijah memotong. Terus terdiam wanita itu apabila dia diugut dengan gaji. Kalau potong 10% pun, dah rugi. Gaji pekerja bawahan sepertinya bukanlah banyak mana untuk ditanggung dalam masa sebulan.
Mei mengetap bibir. Secara tak langsung, dia teringatkan bos lamanya. Cik Husna. Sebingit mana pun mulut wanita itu memarahi pekerja, tak pernah pula berniat nak potong gaji.
Mei tarik nafas.
"Datin... walaupun Datin bos, tak bermakna Datin boleh potong gaji pekerja sesuka hati kerana tak ikut cakap Datin. Kami pun ada kerja yang perlu disiapkan..."
"Eh, tentulah saya ada hak untuk potong. Saya yang pegang duit dalam company ni sekarang, jadi saya boleh buat apa yang saya nak? Awak pekerja, memang tugas awak ikut cakap ketua."
Balas Datin Khadijah.
"Tapi duit tu..."
Sebelah tangan diangkat. Memberi isyarat untuk Mei mendiamkan dirinya. Dia tak mahu dengar apa-apa. Bingit. Automatik lidah Mei terkelu.
Kedua belah tangan ditopang di atas meja sambil matanya merenung Mei penuh tersirat, tajam. "Kalau awak nak duit, lebih baik buat sahaja kerja yang saya suruh. Pangkat awak... tiada hak nak cakap dengan saya." Sindirnya.
Hati Mei rasa tertusuk. Pedih sekali apabila pangkatnya mudah-mudahan saja dipijak oleh Datin Khadijah. Bibir diketap. Tanpa sedar, kedua-dua belah tangannya sudah mengepal kuat di bawah.
"Ambil fail tu dan sila keluar. Kalau saya dapat tahu awak dan staff yang lain tak buat kerja saya, semuanya saya akan potong 30%. Faham?" Dia memberi amaran.
Mei diam. Namun, sebelah otaknya seakan menghasut dia untuk pergi menampar wanita berlagak yang menghina pekerja bawahan sepertinya. Manakala sebelah lagi menasihatinya untuk memikir lebih panjang sebelum bertindak melulu dan akhirnya akan memakan diri sendiri.
Dan dia tiada pilihan, selain ikut nasihat yang kedua. Iaitu fikir sebelum bertindak. Tanpa banyak bicara, langsung fail-faik itu diangkut pergi dengan langkah amarah.
Datin Khadijah mendecik kecil. "Ada hati nak bersuara depan aku. Dia ingat dia siapa?"
USAI mengikat tali kasut, seraya Lanun bangun daripada duduk ditangga. Sesekali ikatan pada penutup matanya diperbetulkan agar tidak melerot ke bawah. Siap. Topi jerami yang tergantung pada tiang kayu itu dicapai. Dia akan lama sedikit hari ni di laut, jadi kenalah pakai topi agar selamat daripada strok haba.
"Awak nak pergi mana?" Tegur Husna yang baru muncul di belakang. Pagi-pagi lagi dia lihat lelaki itu seperti tergesa-gesa ingin ke suatu tempat. Adakala pemakaian Lanun ditilik daripada atas sampai bawah. Cuma T shirt hitam dan seluar tracksuit. Biasa. Tapi tetap menarik dimatanya.
Lanun berpaling memandang Husna. Bibirnya menguntum senyuman kecil sambil topi jerami itu diletakkan ke atas kepala.
"Aku nak pergi jual buah kelapa Odu. Ingat tak, hari itu kita cuma jual ikan sahaja? Tapi tak sempat jual buah kelapa sebab diganggu dengan orang-orang Mondu tu. Jadi aku nak habiskan semuanya hari ni." Ujar Lanun.
"Awak pergi seorang aje ke?" Tanya Husna lagi, sekilas anak matanya menebar ke arah bot yang terdampar di pantai. Tak nampak pula ada orang lain disitu sedang menunggu Lanun.
Lanun angguk kepala. "Ya. Aku pergi seorang saja. Lagipun, aku memang dah biasa buat kerja sorang-sorang sebelum ni. Adik-adik aku pun ada kerja mereka sendiri, jadi aku tak nak ganggu." Jawab Lanun, sengajalah dia beritahu. Manalah tahu Husna tertanya kenapa dia tak ajak tiga beradik kembar itu tolong jual sama.
Hmm, macam ada peluang!
Husna tersenyum penuh makna. Tak tunggu lama, dia lansung mendekati lelaki itu.
"Kalau macam tu, saya nak ikut sekali boleh?" Tanya Husna seakan merayu. Wajah Lanun dipandang siap menayang gigi putihnya. Bosanlah asyik duduk rumah tak buat apa-apa.
Namun, Lanun menggeleng. Mukanya tampak berubah serius tika ini. Jelas sekali tidak setuju.
"Tak boleh. Duduk aje dekat rumah. Dah ada kipaskan? Mainlah dengan kipas tu puas-puas."
"Alaa, saya nak ikut!"
"Aku cakap tak boleh, tak bolehlah." Tegas Lanun bersuara.
Husna mencebik. Takkanlah setiap masa nak tengok kipas berputar sahaja?
"Kenapa tak boleh pula? Sebelum ni awak yang asyik beria paksa saya teman pergi pasar jual ikan. Saya tak nak pun, awak akan desak saya sampai nak! Sekarang bila saya rela hati dengan ikhlas nak tolong, awak pula yang menolak. Awak sepatutnya terima kalau saya dah tawarkan diri nak bantu!" Ungkit Husna. Memang tak lari daripada sifat seorang wanita yang suka mengungkit hal beberapa hari yang lepas.
Lanun melepaskan nafas kecil. Bukan saja-saja dia menolak kali ini. Sejujurnya, dia suka bila Husna menawarkan diri untuk menolong. Tapi buat masa sekarang, hatinya pula yang rasa tak senang. Bahkan, semasa turun ke laut seorang diri pun, dirinya terasa seperti diperhatikan.
Jadi, lebih baik Husna duduk sahaja disini. Dah tentu akan selamat kerana dikelilingi orang kampung yang prihatin.
"Janganlah salah anggap. Aku bukan sengaja tak benarkan kau ikut. Tapi tempat kali ini bukan di pasar. Aku akan singgah ke beberapa resort yang jauh sedikit daripada sini. Nak jual buah kelapa tu dekat pelancong disana. Kena bertahan bawah terik matahari selama berjam-jam. Sambil-sambil tu, aku nak cari jalan baru untuk hantar kita balik ke Ocean Resort dengan selamat." Kata Lanun. Menceritakan serba sedikit kerja yang dia akan lakukan nanti. Renyah sekali. Tidak lain tidak bukan, akan memenatkan Husna sendiri.
"Dan lagi satu sebab..." Mata Husna ditatap penuh risau.
"Aku takut ada apa-apa benda buruk berlaku pada kau jika ikut aku nanti. Dekat pulau sana, lanun-lanun Mondu sentiasa ada. Mereka pasti tengah cari mangsa baru sekarang. Dan aku tak nak kau jadi mangsa diaorang lagi." Sambung Lanun.
Husna mendengus kecil. Anak mata dijulingkan ke atas penuh meluat tatkala nama Mondu dipetik menjadi penyebab dia terpaksa tinggal disini.
"Tapikan awak dah beri semua harta dekat Mondu tu supaya tak ganggu saya? Jadi kenapa nak takut pula?" Rungut Husna, masih tak puas hati apabila tidak dapat ikut. Betul-betul bosan! Kalau nak seronok sikit pun, duduk ditepi pantai mengamati pemandangan laut.
Tapi, kalau hari-hari tengok laut pun akan bosan juga. Sesekali kenalah keluar melihat dunia baru.
Sedangkan Lanun mengeluh perlahan. Anak mata dipejam sesaat sambil sebelah tangan naik memicit kepala. Perangai degil si Husna masih ada rupanya.
"Sebab..." tangan dijatuhkan ke bawah, kemudian Lanun mara setapak mendekati Husna. Berdiri betul-betul di hadapan wanita itu. Menatap Husna dengan lama. Anak mata hazelnya bergerak ke seraut wajah cantik itu yang sedang memanggung muka. Jiwanya rasa tenang buat seketika. Debaran didada membuktikan bahawa dia benar-benar mencintai wanita ini.
Mustahillah dia akan biarkan Mondu merampasnya. Husna... cuma milik dia.
"Mupus oku dika." (Teramat sayangkan kau)
Husna tergamam. Jujur, dia tak faham luahan Lanun secara tiba-tiba. Namun, pandangan matanya yang redup itu seakan menyentuh tangkai hatinya. Meninggalkan kesan disitu. Muka meruap menahan malu. Lantas, Husna tundukkan pandangan. Ada senyuman yang cuba disembunyikan.
"Awak sendiri tahu saya tak faham bahasa dusun." Perlahan Husna berkata.
"Tapi muka kau merah, menandakan yang hati kau faham." Tegur Lanun, menunding jari ke arah pipi Husna yang serupa pakai memerah semula jadi. Husna terpanar buat sesaat. Laju sahaja tangannya naik menyentuh pipi.
Merah sangatkah? Sempat lagi dia menyoal di dalam hati. Kalau ada cermin, memang dah lama dikeluarkan!
Ah, itu semua tak penting buat masa sekarang. Husna menggeleng. Menepis kata-kata Lanun itu buat sementara. Tak dibuang, namun disimpan di dalam hati. Kemudian, langsung melangut merenung Lanun dengan pandangan serius. Konon tetap dengan keputusannya. Iaitu, dia. Mahu. Ikut.
"Kalau saya keluar daripada sini ada bahaya, habis macam mana pula dengan awak?" Soal Husna. Lanun juga manusia, cuma dia lelaki. Tetapi lelaki pun tak terkecuali dengan nasib malang bukan?
"Aku lain, Husna. Kau lain." Keluh Lanun.
"Apa yang lain? Awak pun manusia juga!"Bidas Husna.
Lanun diam sejenak. Haih, susah dia mahu terangkan. Walau macam mana dia terangkan ada bahaya pun Husna akan tetap mencari alasan untuk ikut dia turun ke laut.
Kepala Lanun tergeleng-geleng. Satu lagi topi jerami yang tersangkut pada tiang kayu rumahnya dicapai. Sedangkan Husna pula sudah tersenyum menang. Fikiran Lanun seolah-olah dapat dibaca. Buat pertama kali, dia menang lawan mulut dengan Lanun!
Husna tahan bibir daripada tersenyum saat Lanun kembali berpaling menghadapnya. Tak cakap banyak, topi jerami itu terus dipakaikan ke kepala Husna.
"Kau memang degil."Lanun bertutur senada.
Tatkala bibir Husna mengulum senyuman. Memang pun. Baru tahukah? Husna peluk tubuh dengan gaya berlagak.
"Awak patut sedar saya memang degil daripada dulu." Jawab Husna, berani.
Bibir Lanun menyenget.
"Nasib baik kita belum kahwin, kalau tidak..." anak mata hazel Lanun bergerak sekilas ke atas dan bawah memandangnya.
"Tahulah aku nak ajar kau." Sambung Lanun. Ada senyuman nakal beraja dibibir sebelum dia melangkah pergi begitu sahaja. Tak pedulikan reaksi Husna yang sedang terpinga-pinga di belakang.
Gulp!
Husna telan air liur. Apa maksud Lanun? Dan apabila dia dapat menangkap maksud daripada senyuman yang dilemparkan, bibir diketap. Kecil sahaja Lanun dimatanya sekarang.
"Kalau awak nak tahu, awak lagi menyeramkan daripada Mondu." Ejek Husna. Entahlah Lanun dengar atau tidak. Dia pergi tanpa menoleh. Melihat lelaki itu sudah jauh ke hadapan, dengan pantas Husna mengejar. Setelah tiba disisi, barulah langkah diperlahankan. Sama-sama berjalan menuju ke bot.
"Saya nak kena buat apa aje nanti?" Soal Husna, agak teruja. Tak sabar pula nak dapat pengalaman baru.
"Adalah. Nanti dah sampai sana, baru aku beritahu."
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro