43
SUASANA di atas pasar terapung ini tak pernah sunyi daripada pekikan suara penjual-penjual. Masing-masing mempunyai cara tersendiri memanggil pembeli untuk singgah ke tempat mereka. Manakala gerai yang dijaga oleh Husna pula sepi tiada suara. Hendak dekat setengah jam dia dan Lanun berdiri di sini menunggu pembeli datang singgah, namun tiada seorang pun yang berhenti walau cuma beberapa saat. Jeling sekejap selepas itu pergi.
Haih...
Takkanlah gerai mereka diselindung dengan bunian pula sampaikan pengunjung tak nampak?
Husna mengeluh penuh penat. Macam mana Odu boleh bersabar menunggu pembeli datang ke gerai? Dengan cuaca panas terik yang hangat daripada tadi, buatkan peluh tak henti-henti mengalir daripada tadi biarpun angin juga turut bertiupan perlahan. Nasib dia pakai topi, kalau tidak memang dah terbakar kulit muka.
"Ish, bila ada orang nak beli ikan-ikan ni? Kalau tak ada, baik kita balik sahaja. Membazir masa berdiri tercegat ditengah panas! Tengok gerai lain, ikan mereka pun dah hampir habis terjual. Kita ni? Satu pun tak terjual lagi!" Bibir Husna sudah mula membebel sambil tangan mengibas-ngibas hujung tudung khimar dek kerana kepanasan.
Dia berpaling memandang Lanun disisi, sedang meneguk air botol mineral bagi menghilangkan rasa dahaga. Ada keringat peluh dileher yang turut mengalir. Jelas, Lanun juga tak terkecuali merasai panas sepertinya.
Bila pandang lama-lama, nampak comel pula Lanun apabila mengenakan topi jerami itu, dengan kain tuala kecil yang tergantung dileher. Bibir Husna tersenyum buat seketika. Namun apabila lelaki itu menoleh memandangnya, cepat-cepat Husna mematikan senyuman. Kepala digeleng.
Apa kena dengan aku ni? Gerutu hati Husna.
"Nak air?" Botol air mineral ditayangkan kepada Husna. Bebelan wanita itu seolah-olah sengaja diendahkan.
Husna kecilkan mata. Ada juga yang kena sumbat dengan ikan-ikan ni nanti! Hujung Botol air itu ditepis perlahan. Cukup untuk menjauhkan huluran itu daripadanya.
"Saya tak nak air. Awak sengaja buat-buat tak dengarkan?"
"Habis kau nak aku buat apa? Grip leher orang lepastu heret ke sini dan paksa diaorang beli ikan-ikan ni?" Soal Lanun, sinis. Botol air ditutup lalu diletakkan ke tepi. Dia menopang kedua-dua belah tangan ke atas meja yang disusun ikan, ketam dan udang itu, sambil merenung Husna yang sedang berpeluk tubuh disisinya.
"Bukannya macam itu..."
"Habis nak yang macam mana?" Laju sahaja Lanun menyampuk.
Husna jongket bahu. Manalah dia tahu. Dia mana arif bab-bab jual ikan di pasar. Sepatutnya Lanunlah yang memberi cadangan.
"Aku ada satu idea." Kata Lanun, dia kembali menegakkan tubuh sebelum pusing menghadap Husna. Kening wanita itu tampak berkerut.
"Apa dia?"
"Tektik ni mesti menjadi punya. Tapi kalau aku buat, kau pun kena ikut buat juga." Kata Lanun, siap meletakkan syarat lagi. Bibirnya tersenyum penuh makna. Buatkan Husna jadi was-was untuk percaya.
"Tipulah!"
Lanun menjuling anak mata ke atas. Bila orang nak tolong selesaikan masalah, dia pula tidak mahu percaya. Kepit telinga dengan ketam baru tau!
"Betul. Aku tak tipu. Tapi benda ni perlukan keyakinan dan keberanian. Tak boleh malu-malu. Dan kalau kau berjaya tarik orang beli ikan-ikan ni, aku akan tunaikan permintaan kau. Apa-apa sahaja." Ujar Lanun.
Kening Husna sedikit terangkat. Wow. Siap ada tawaran lagi. Rugilah kalau dia tolak. Namun, Husna tetap tak percaya. Entah-entah, Lanun sengaja cakap begitu supaya dia buat apa yang Lanun mahukan. Dan pada akhirnya, permintaan itu tak berguna dibuat sekalipun!
Tidak mahu tidak, dia pun kena main tarik tali juga.
Husna melangut kepala membalas renungan Lanun dengan lagak yakin.
"Apa yang boleh buat saya yakin yang awak akan tunaikan setiap permintaannya saya?" Soal Husna.
Lanun dongak memandang ke langit seketika, memikirkan cara. Hmm... apa ya? Dia tunduk pula memandang kedua belah tapak tangannya. Sumpah. Ya, sumpah adalah perkataan yang tidak boleh dibuat main. Jadi dengan sumpah yang dilafazkan, mungkin Husna akan mempercayainya. Lantas sebelah tangan kanan diangkat tinggi sampai ke paras bahunya. Mata Husna ditenung dalam-dalam.
Nafas ditarik sebelum dia bersuara.
"Aku janji dan aku bersumpah... akan tunaikan apa sahaja yang kau mahukan. Tak kira benda tu berat atau ringan, aku akan cuba buat demi kau. Dan aku takkan sesekali cari alasan untuk tolak permintaan tu." Ucap Lanun penuh bersungguh-sungguh dan serius. Jelas dia tidak bermain dengan sumpahan yang baru dilafazkan. Selagi permintaan Husna tidak melebihi batasan agama dan hilang akal, dia akan cuba untuk tunaikan.
Husna tersenyum senget. Menarik! Dia percaya sekarang. Tapi, apa yang nak diminta nanti ya? Ah, nanti-nanti sahaja fikir! Sekarang, dia mahu dengar pula apa yang Lanun ingin dia lakukan.
"Okay, awak nak saya buat apa?"
Lanun tersenyum. Tangan dijatuhkan ke bawah semula.
"Senang sahaja. Tak susah mana pun. Kau tengok dulu aku buat." Topi jerami diperbetulkan dahulu. Dia berdehem beberapa kali membetulkan anak tekak sebelum berpaling ke hadapan. Memandang pengunjung di pasar yang lalu-lalang di laluan mereka.
Baiklah, dia dah bersedia. Nafas ditarik dalam-dalam lalu dihembus. Lantas kedua belah tangan naik ke mulut sebelum dia menjerit.
"IKAN! IKAN! MURAH! MURAH! MARI BELI! BELI DUA PERCUMA SATU!"
Mata Husna terbeliak. Jatuh rahangnya apabila melihat cara Lanun menarik pembeli. Terpinga-pinga Husna pandang sekeliling. Ya Allah, malunya apabila ada yang menoleh memandang gerai mereka. Terus topi jerami yang dipakai ditarik sedikit menutup separuh wajahnya.
"Lanun, cukuplah tu! Malulah orang tengok!" Bisik Husna perlahan, cukup untuk dia dan Lanun sahaja yang dengar. Lengan baju lelaki itu ditarik berkali-kali, meminta Lanun untuk hentikan tindakan memalukan itu.
Lanun menghembus nafas. Satu kelegaan dapat menjerit. Dia dah buat, kini giliran Husna.
"Sekarang, kau pula."
"Huh?!" Terkejut bukan kepalang, terus kepala Husna melangut memandang Lanun. Matanya membulat. Terketar-ketar jari diangkat menunding ke arah diri sendiri.
"Sa... saya?" Dan-dan pula Husna jadi gagap. Ah, sudah. Husna pandang sekeliling. Ada mata-mata yang memandang ke arahnya, seolah-olah menanti giliran dia pula untuk melakukan perkara yang sama.
Langsung saja Husna geleng kepala. Memang tidaklah dia hendak lakukan seperti tadi.
"Tak nak! Saya takkan buat benda memalukan macam itu!"
"Inilah namanya kerja. Kalau malu, macam mana nak kerja dengan yakin? Kau patut cuba."
Husna tetap geleng kepala. "Awak sajalah yang jerit."
"Kitakan dah deal tadi, kau tak boleh tarik balik. Cepat buat." Kali ini pandangan Lanun bertukar tajam. Mata dikecilkan merenung Husna. Tadi bukan main setuju, sekarang mahu tarik balik pula? Jangan harap dia akan benarkan.
Husna cuba tayang muka seposen, mengharapkan Lanun melepaskan dia. Malang sekali, lelaki itu tetap memandangnya dengan serius. Menanti giliran Husna pula untuk bersuara lantang.
Tidak mahu tidak, terpaksa jugalah Husna mengalah. Siapa suruh setuju awal sangat?
Mata dipejam sesaat. 'Nasib baiklah Mia tiada disini. Kalau tidak, pasti dia ketawakan aku.' Bisik hati Husna. Nafas dihembus perlahan. Mata kembali dibuka, memandang manusia yang lalu-lalang di hadapan mereka. Jantung tak henti berdegup daripada tadi. Gugup benar.
Mak, tolong jangan tengok apa yang Husna nak buat sekarang.
Topi jerami bahagian hadapan ditarik sedikit ke bawah menutup muka. Kepala ditunduk.
"Ikan... ikan... murah..." Husna berbisik. Tak berani untuk menjerit seperti mana Lanun lakukan. Itupu mukanya sudah meruap menahan malu.
"Kau cakap apa? Jangan kata pembeli, aku pun tak dengar. Kuat sedikit." Selamba Lanun mengarahkan dia menguatkan suara.
Husna ketap bibir. Ish, nak kena betullah si Lanun ini!
Kepala dilanjutkan semula. Walaupun dia masih tak yakin, namun kena juga kuatkan semangat dan mencari keberanian di dalam diri. Kedua-dua belah tangannya digenggam dengan kuat. Baiklah, dia akan buktikan kepada Lanun yang dia boleh lakukan.
Nafas ditarik sedalam yang mungkin lalu...
"IKAN! IKAN! MURAH! BELI DUA PERCUMA SATU! MARI BELI!" Jerit Husna sekuat hatinya. Turun naik nafasnya setelah ayat itu berjaya juga dilemparkan. Dan saat terpandang ada mata-mata yang menoleh ke arahnya, terus Husna tekup kedua belah tangannya ke wajah. Biru muka saat ini.
Ya Allah, malunya! Malunya!
Makin panas hati ini apabila mendengar suara Lanun yang mengertawakan dia disebelah. Nampak benar lelaki itu sengaja hendak membulinya disini. Dia sudah lakukan apa yang Lanun suruh, tetapi mana? Mana pembeli? Kenapa tetap tiada orang datang singgah?
Husna ketap bibir. Sah! Dia telah ditipu.
"Kurang ajar awak, Lanun! Benci! Benci! Saya benci awak! Awak sengaja nak malukan saya!" Herdik Husna, siap menampar lengan Lanun berkali-kali hingga dia puas. Geram sungguh!
Namun lelaki itu tetap sahaja ketawa seolah-olah tidak menerima kesan apa-apa. Makin kuat ditampar, makin kuat juga dia ketawa. Ish, tak boleh jadi ni! Anak mata Husna melilau diatas meja yang penuh haiwan laut itu, salah satu ikan kembung diambil lalu dihalakan ke mulut Lanun yang masih ketawa.
"Eh, apa ni? Puih!" Lanun tersentak saat bibirnya terasa sejuk. Tahu-tahu sahaja muncung ikan sudah mencium mulutnya. Pantas tangan Husna yang memegang ikan itu digenggam, ditahan daripada menyumbat ikan kembung itu masuk ke dalam mulut dia.
"Nak gelak sangatkan? Nah, makan ikan ni!"
"Kotorlah, Husna! Oh, kau nak main kasar dengan aku ek? Kau tunggu kejap..." sebelah tangan Lanun meraba-raba diatas meja penuh ikan itu. Terus dia mencapai seekor ikan tongkol yang berada berdekatannya lalu diacukan ke bibir Husna sama.
Maka mulalah perang lawan ikan diantara mereka berdua. Sedaya upaya Husna mengelak bibirnya daripada tersentuh muncung ikan itu, dan begitu juga dengan Lanun. Nasib lah kalau masuk betul-betul. Dapat makan shashimi fresh dari laut.
Pergaduhan manja mereka menanamkan satu rasa dijiwa. Peliknya, ia membahagiakan. Tak pedulikan lagi ada mata-mata yang memandang kearah mereka. Malah pengunjung di pasar itu juga turut tersenyum melihat mereka berdua. Tidak pula ingin menyampuk atau cuba untuk hentikan.
"Dik, akak nak beli ikan." Tegur suara wanita tua yang berhenti di hadapan gerai mereka. Semerta menghentikan perbuatan Lanun dan Husna. Mereka terkaku sejenak. Mata berkelip memandang sesama sendiri.
Lupa sebentar niat mereka ke sini untuk jual ikan, bukan untuk main sumbat-sumbat ikan ke dalam mulut. Terus Husna meletakkan ikan yang dipegang ke tepi, begitu juga dengan Lanun.
Husna berdehem seketika sebelum bersuara. Cuba untuk berlakon tenang.
"Ya, Cik? Nak ikan apa?" Soal Husna, sambil menayang satu senyuman penuh mesra.
"Bagi akak ikan kembung lima ekor. Letak sahaja dalam ni." Wanita tua itu menyerahkan bakul rotan miliknya, Husna langsung angguk kepala. Tangan bergerak pantas memasukkan lima ekor ikan kembung ke dalam bakul yang diberi.
Selesai. Bakul itu diserahkan semula kepada pembeli. Duit yang dihulur dicapai. Cukup-cukup sahaja.
"Terima kasih, Cik." Husna tunduk kepala tanda hormat.
Wanita tua itu tersenyum. Sesekali anak matanya beralih ke arah lelaki yang berdiri disebelah Husna. Sedang meneguk air.
"Kamu berdua suami isteri ke?" Soalnya, terus sahaja membuatkan Lanun tersedak. Tersembur air mineral yang penuh di dalam mulut. Mujur tak terkena kepada sesiapa. Dada ditumbuk-tumbuk perlahan, cuba menghilangkan rasa pedih disitu.
Kan dah cakap, orang disini pasti akan ingat mereka suami isteri kerana pakaian sama.
Husna tersenyum, kekok. Dia menoleh memandang Lanun, suami? Lambat lagi!
"Tak adalah, Mak Cik. Kami tak adalah sampai ke status itu lagi." Kata Husna, malu-malu. Jawapannya tidak menidakkan, tidak juga mengiyakan soalan wanita tua itu tadi.
"Oh, jadi kamu berdua tengah bercintalah sekarang?"
"Hu...huh?" Husna kebingungan. Dia dan Lanun berpandangan seketika. Bercinta? Sesuaikah ayat itu untuk mereka sebelah perang ikan sebentar tadi?
"Eh, tak. Saya rasa mak cik salah faham. Maksud saya..."
"Tak apalah, mak cik faham. Orang muda memang malu nak mengaku benda-benda macam ni. Kamu berdua pun nampak sepadan. Semoga berbahagia sampai ke syurga." Ucapnya, siap melemparkan senyuman lebar buat mereka berdua sebelum berlalu pergi. Tak sempat Husna hendak bersuara, wanita tua itu sudah menghilang.
Ish, mak cik patut doakan saya dan Mr Blue! Bukan dengan Mr Pirate!
Husna mendengus. Tubuh dipeluk.
"Sampai ke syurga katanya..." Bisik Lanun hampir ditelinga Husna.
Husna terpempan lantas dia berpaling. Tegak anak matanya membalas pandangan Lanun yang memandangnya dengan kening dijongket berkali-kali. Ada senyuman nakal dibibir. Husna kaku. Apatah lagi saat ini kedudukan Lanun begitu hampir dengannya. Langsung dia bergerak sedikit ke tepi mengambil ruang.
"Awak jangan berharap benda tu akan terjadi. Ayat tu, cuma sesuai untuk saya dan Mr Blue." Kata Husna, yakin. Bersama senyuman sinis dibibir konon hendak buat Lanun kecil hati.
Namun, tetap saja lelaki itu tersenyum serupa baru mendapat pujian.
"Kau nak hidup dengan dia... sampai ke syurga?" Soal Lanun, mata Husna ditenung lama.
Husna angguk.
"Mengharungi setiap waktu bersama-sama?"
Angguk lagi.
"Selama-lamanya?"
Kening Husna sedikit berkerut. Tidak faham mengapa Lanun harus menyoal dia begitu. Namun, Husna angguk sahaja kepala mengiyakannya. Ya, dia memang nak hidup dengan Mr Blue buat selama-lamanya. Apa kena mengena dengan Lanun?
Hidung mancung yang memerah itu digosok oleh Lanun dengan hujung jarinya. Muka dipalingkan ke lain. Menyorok reaksi yang tak boleh dikawal. Dia mahu kekal tersenyum kalau boleh.
"BUSUK BETUL BAU IKAN DISINI!" Jerit satu suara penuh sinis. Serentak itu juga kedengaran suara wanita menjerit, ketakutan. Sebaik sahaja melihat beberapa orang lelaki bertatoo tengkorak naik ke atas pasar terapung, terus mereka berlari bertempiaran menyorok dibelakang lelaki-lelaki yang menjadi pelindung mereka.
Suara gelak tawa jahat itu mengalihkan pandangan Lanun. Dia cam suara itu. Sebaik sahaja terpandang sekumpulan muka lelaki jahat itu, terus riak wajah Lanun berubah tegang. Lelaki yang berjalan angkuh di hadapan itu adalah Orlu. Salah seorang kuncu-kuncu Mondu.
Apa mereka buat disini?
Husna terus diserbu rasa takut. Automatik bayangan wanita ditembak malam itu bermain semula dikepalanya. Dia trauma. Buatkan dia semakin sukar untuk bernafas seperti normal saat degupan jantung mengepam dengan sangat laju.
"La... Lanun, itukan..."
"Jangan risau. Aku ada. Berdiri disini." Perlahan Lanun menarik pergelangan tangan Husna yang berlapik, membawa wanita itu berdiri rapat disisinya. Dia cuba buat-buat tak nampak saat Orlu dan beberapa orang lelaki dibelakangnya berjalan mengelilingi pasar yang kecil ini. Topi jerami ditarik lebih ke bawah, sambil tangan bergerak konon sedang menyusun ikan-ikan diatas meja itu.
Husna cuma ikut sahaja apa yang Lanun lakukan. Mungkin dengan cara ini, Orlu dan geng jahat itu tidak perasan kehadiran mereka.
Malang sekali, ia tidak semudah itu untuk mengaburi mata mereka.
"Eh, sa macam kenal sija muka kau ni." Orlu berhenti dihadapan gerai mereka. Kepala menunduk sedikit, ingin melihat muka Husna yang menunduk daripada tadi. Mengelaklah seboleh mana sekalipun, tetap sahaja Orlu dapat menangkap seraut wajah cantik yang pernah menjadi tahanan ketuanya.
Bibir Orlu terus tersenyum. Dengan selamba topi jerami yang dipakai Husna diselak ke atas. "Wah, endak sangka kita boleh berjumpa lagi. Tinguklah siapa yang sa baru jumpa. Koupusan si Lanun, bah."
"Jauhkan tangan kau daripada dia. Kami disini cuma mau jual ikan dengan aman. Kau dan Mondu, sudah dapat semuanya, bukan?" Sampuk Lanun. Tangan Orlu yang menyentuh topi jerami Husna terus ditepis kasar. Tajam renungan Lanun membelah bebola mata Orlu yang nampak menyindirnya.
Orlu mendecik kecil. Lanun pun ada disini rupanya.
"Aishh... Lanun. Ko macam endak tahu sija. Orang seperti kita mana kenal apa itu erti cukup? Harta yang ko kasi itu sekejap sija sudah habis. Lainlah koupusan ko ini..." Sekali lagi tangan Orlu berani ingin menyentuh kulit wajah Husna. Namun, tangan Lanun lebih pantas menghalang. Menggenggam pergelangan tangan Orlu dengan kuat. Sipi-sipi sahaja hampir mengena kulit wanitanya.
"Jangan biar aku beri kau amaran yang ketiga. Jauhkan tangan kau, atau kau takkan dapat guna tangan ini lagi." Lanun mengancing gigi dengan amaran. Terus tangan Orlu ditolak dengan kasar. Kuat sehingga tubuh lelaki itu sedikit terundur ke belakang.
Orlu ketawa penuh sinis. Dia memandang kuncu-kuncunya yang lain. Turut memberi pandangan penuh makna. Nampak gaya, Lanun mula berani mengugut mereka. Konon jika sekali lagi Orlu bertindak menyentuh wanita itu, dia bakal terkena padahnya.
Tapi apa yang dilarang, itulah yang mahu dibuat. Orlu tetap mahu mencuit harimau yang sedang tidur, tanpa memikirkan malang yang bakal menimpa dirinya sendiri.
"Uina... garang betul Koruhang kusai (suami) dia ni. Kalo sa cabar juga, kau mau buat apa Lanun? Ini tempat Mondu. Semua yang berdiri di atas air ni, semuanya milik Mondu. Meja kau ni..." Tanpa sebarang isyarat terus meja yang disusun hasil laut itu dilemparkan ke tepi sehingga bertaburan dilantai.
Lanun memejamkan mata beberapa saat. Jenuh disabarkan hati, tak mahu menunjukkan sikap ganas di hadapan Husna. Tapi semakin cuba ditahan, semakin marak pula api yang dibakar oleh Orlu. Apatah lagi terbayangkan reaksi Odu apabila dapat tahu segala hasil tangkapan yang hendak dijual punah, lagilah buat dia bertambah berang.
"Kalo kau endak bayar duit pampasan disini, jangan kau berani jual hasil laut di atas pulau ni. Kalo endak ada duit sekalipun, koupusan kau boleh jadi pilihan kedua..." setiap bait yang keluar dari bibir Orlu sengaja memprovokasinya.
Lanun semakin hilang sabar. Dan saat melihat jari-jemari Orlu nakal menyentuh pergelangan Husna yang sedaya upaya cuba menepis, buatkan gunung berapi dikepala terus meletus.
Tanpa diduga, tangan Lanun terus merentap pergelangan tangan Orlu. Dicengkam dengan kuat bersama pandangan penuh tikaman.
Giginya mengacip kegeraman sebelum berkata...
"Oku sudah bilangkan, jangan sampai oku kasi tau kau amaran yang ketiga!" Dengan loghat Sabah dia menjerkah garang, bergema ke seluruh pasar yang kecil ini.
Mata Husna terbeliak luas. Mulutnya melopong. Terkejut apabila Lanun terus mematahkan sendi tulang pada pergelangan tangan Orlu yang menyentuh dia tadi. Bunyi retakan tulang bersama jeritan penuh kesakitan jelas menandakan ia benar-benar menyeksakan. Tidak cukup dengan itu, penumbuk yang telah lama disimpan terus dihayun ke rahang Orlu dengan kuat. Terpusing lelaki itu jatuh tersembam ke bawah.
"Lanun, belakang!" Jerit Husna apabila menyedari dua lagi kuncu itu mula bertindak menyerang dari arah belakang. Suasana diatas pasar haru-biru jadinya. Tiada siapa yang berani untuk masuk campur. Hanya menjadi penonton menyaksi aksi ganas yang berlaku di hadapan mata.
Tak berkelip mata Husna melihat Lanun dengan mudah mematahkan setiap serangan dua orang lelaki itu. Setiap tumbukan berjaya ditepis, sepakan mudah dihalang, malah dihadiahkan pula tendangan kuat ke perut musuh. Sehinggakan ada yang tercampak ke dalam air laut yang agak dalam.
Melihat rakannya jatuh ke dalam air laut, buatkan dia takut untuk teruskan berlawan. Sudahlah cuma tinggal dia seorang saja yang masih gagah berdiri. Yang lain sudah habis dikerjakan dengan tangan dan kaki Lanun. Lelaki itu cuba mengundur untuk beralah, sangkakan Lanun akan melepaskannya dengan mudah. Malang sekali tidak.
"Kau... mari sini!" Terus tangan Lanun mencengkam bahagian leher baju lelaki itu dengan kasar. Ditarik merapat menghadap si dia. Cerlungan tajam mata Lanun buatkan dia semakin gentar.
"Husna!"
Husna sedikit tersentak apabila namanya diseru secara tiba-tiba. Dia memandang Lanun. Anak mata hazel itu seolah-olah bergerak menunjuk ke satu arah.
"Seluk poket dia. Ambil duit sebagai ganti rugi ikan-ikan Odu."
"Sa... saya?" Ah, sudah. Kenapa Lanun suruh dia pula yang ambil duit? Tertelan air liur Husna saat ini. Tak berani dia hendak mendekat. Kalau lelaki itu tiba-tiba sepak mukanya nanti macam mana? Tak pasal-pasal jatuh ke laut sama.
"Ambil sahaja Husna, dia takkan berani apa-apakan kau. Betul, kan?!" Gertak Lanun betul-betul dihadapan muka lelaki itu. Pantas sahaja dia mengangguk kepala dek kerana takut.
"O... Okay." Husna beranikan diri untuk bergerak merapat. Menggigil tangannya saat meraba poket seluar lelaki itu mencari keberadaan dompet. Sebaik sahaja merasakan objek keras di bahagian poket kiri, terus Husna menyeluk tangan mengeluarkan dompet lusuh milik lelaki itu.
"Nak ambil berapa?" Soal Husna, nanti ambil terlebih pula. Dia memandang Lanun.
"Ambil semua." Arah Lanun. Husna hanya angguk kepala. Menurut arahan. Kesemua duit lelaki itu diambil lalu dimasukkan ke dalam poket seluar tracksuit yang dipakainya. Dompet tadi disimpan semula ke poket kiri lelaki itu.
"Sudah?" Lanun menyoal.
Husna mengangguk.
Lantas cengkaman pada leher terus dilepaskan. Ditolak menjauh daripadanya. Lelaki itu pantas menghembus nafas lega apabila dia tidak diapa-apakan. Malang sekali, duit pula sudah dirampas.
"Dah, jom. Kita balik." Lengan Husna ditarik mengikut langkahnya pergi. Namun, Husna menahan.
"Sekejap!"
Langkah Lanun berhenti di sekerat jalan. Dia menoleh memandang Husna dengan kening berkerut.
"Kenapa?"
"Boleh tak awak pegang lelaki itu sekejap?" Soal Husna, dia menunding jari ke arah Orlu yang masih mengerang kesakitan sambil memegang tangan sebelah yang sudah patah.
"Kau nak buat apa?"
"Adalah." Ringkas Husna membalas.
Lanun tidak menyoal apa lagi. Dia terus melangkah ke arah Orlu. Melutut di sebelah lelaki itu sebelum belakang rambut dia dicengkam dengan kasar hingga terdongak ke langit. Lebih kuat Orlu mengerang sakit.
"Jangan berani buat apa-apa pada dia." Lanun memberi amaran, tepat merenung garang ke wajah Orlu. Kemudian, barulah dia memberi isyarat mata kearah Husna sebagai tanda selamat jika wanita itu mahu bergerak merapat. Orlu takkan berani bertindak apa-apa. Jika berani pun, hanya akan mencederakan dirinya sendiri.
Husna tersengih. Tak tunggu lama, dia terus berlari ke arah Orlu. Duduk mencangkung disebelah lelaki itu sebelum...
PAP!
Wajah Orlu ditampar dengan kuat. Ha, baru puas hati ini! Tadi bukan main sentuh dia lagi, kan? Tak termasuk lagi dendamnya semasa di gua itu hari. Si Orlu inilah yang berkasar dengan dia. Kalau nak diikutkan perasaan, mahu sahaja dia membelasah Orlu seperti mana Lanun lakukan. Cuma bernasib baik, dia tidak sekuat itu.
Lanun terpanar buat seketika. Agak terkejut melihat tindakan Husna secara tiba-tiba. Tanpa sedar, bibirnya turut tersenyum kagum. Pandai Husna membela maruah diri.
That's my girl.
"Puas sikit hati saya." Kata Husna. Buat pertama kali dia dapat menampar wajah seorang lelaki. Atas bantuan Lanun juga.
"Itu sahaja kau nak buat?" Soal Lanun, manalah tahu ada lagi yang belum selesai. Dia sudi saja menahan tubuh si Orlu ini untuk Husna melepaskan segala yang terbuku di hati. Namun, wanita itu menggeleng.
"Cukuplah. Tangan saya dah sakit. Kita boleh balik sekarang."
Lanun angguk kepala. Kemudian, kepala Orlu ditolaknya kuat sehingga terhantuk ke lantai kayu itu. Geramnya masih tersisa. Dia langsung berdiri, begitu juga dengan Husna sebelum mereka berdua sama-sama mengatur langkah pergi daripada pasar itu.
Orlu mengetap giginya dengan kuat. Segala kesakitan yang dirasai terasa ke segenap tubuhnya hingga ke dalam anggota hati. Apatah lagi melihat Husna yang berani bertindak menamparnya kerana ada Lanun disebelah lagilah buat dia rasa tercabar. Perempuan itu... cari pasal dengan orang yang salah.
"Tunggulah kau berdua nanti..."
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro