Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

42

AWAL pagi subuh lagi Husna dan Lanun bertolak ke rumah Odu. Mengangkat kesemua bakul haiwan laut yang hendak dijual dan pindahkan ke bot. Buat seketika, Lanun berdiri sambil mencekak pinggang. Memerhati setiap bakul yang sudah diangkut masuk ke dalam bot miliknya. Adakala dia mengira, takut-takut ada yang tertinggal.

Hmm...

Rasa macam ada kurang satu bakul. Iaitu bakul berisi buah kelapa. Tak silap, bakul itu dia serahkan kepada Husna sahaja yang bawa. Kepala Lanun mendongak, anak mata melilau mencari kelibat wanita itu.
Ke mana pula dia pergi? Sepatutnya Husna yang sampai di atas bot ini dulu.

"Erghh... beratnya!"

Gedebuk!

Bakul berisi buah kelapa itu terhentak ke tanah. Tubuh Husna membongkok, nafasnya kedengaran lelah dek mengusung bakul yang agak berat ini. Setelah berpuluh minit, barulah dia sampai. Itupun seluruh tenaganya sudah habis diperah. Dia dah tak larat nak angkat lagi.

Selesai mengambil nafas penat, Husna mendongak kepala memandang Lanun yang sudah menunggu di atas bot. Lelaki berbaju putih berlengan panjang itu sedang mencekak pinggang melihat dia sambil kepala menggeleng.

"Kalau begini gayanya, sampai esok pun belum tentu kita sampai pasar. Beri kerja ringan pun kau tak boleh nak buat! Tinggalkan dekat situ, biar aku yang bawa." Tak tunggu lama, Lanun terus melompat turun daripada bot. Lengan bajunya disenteng hingga ke siku, memudahkan dia untuk melakukan kerja. Sampai sahaja di hadapan Husna, terus bakul kelapa itu diangkut bawa masuk ke dalam bot.

Husna menjeling sambil bibirnya mengolok-olok mengikut bebelan Lanun dari belakang. Mengejek. Ceh, memanglah kerja itu ringan bagi Lanun. Tengoklah badan dia macam mana, tegap, maskulin dan gagah. Nak dibandingkan dengan wanita sepertinya yang cuma membekalkan lemak pada perut memang jauh beza.

Tak terdayalah nak angkat!

"Ringan bagi awak, bukan bagi saya. Kerja-kerja macam ni selalunya lelaki yang buat, bukan perempuan!" Balas Husna. Petah menjawab sungguh.

Lanun tidak berkata apa. Siap menyusun bakul buah kelapa bersama bakul ikan yang lain, dia kembali turun daripada bot. Melangkah menghampiri Husna yang masih tercegat ditempat tadi. Topi jeraminya yang senget sedikit diperbetulkan. Dia memerhati pemakaian Husna dari bawah sampailah ke atas. Memakai T shirt putih sama sepertinya dan juga seluar tracksuit hitam juga sama. Bibir Lanun menyenget.

Mereka berdua tak ubah seperti pasangan suami isteri yang hendak turun ke laut menjual ikan.

"Kau memang plan nak pakai baju sama macam aku ke?" Soal Lanun, mula mengusik.

Husna tayang mimik muka menyampah. Tiada masa dia nak buat plan bagai. Wajah Lanun yang tersenyum-senyum itu dipandang.

"Jangan nak perasanlah. Semua ni kebetulan. Ini sahaja satu-satunya T shirt yang tinggal, yang lain masih lagi lembab dekat atas ampaian. Kalau ada baju yang lain, dah lama saya tukar."

"Aku tak kesah pun kalau pemakaian kita sama..." Lanun mara setapak mendekati Husna.

"Susah sedikit orang dekat pasar nanti nak goda kita. Pasti mereka ingat, aku suami kau. Selalunya orang kampung dekat sini akan pakai baju sama warna dengan pasangan mereka supaya tiada siapa cuba untuk mengorat."

"Kalau macam tu, saya nak tukar baju balik!" Cepat-cepat Husna mahu menukar pakaian yang dipakainya sekarang. Baju lembab pun lembablah, asalkan orang kampung tak fikir mereka suami isteri. Malulah!

Namun, tak sempat Husna ingin melangkah pergi. Tangan Lanun lebih laju menarik belakang baju putih itu. Menghalang Husna daripada pergi ke rumah dan menukar pakaian.

"Tak payahlah. Kita dah lambat ni." Kata Lanun.

Husna cebik bibir. Yalah tu! Entah-entah dia memang sengaja nak orang kampung ingat mereka pasangan sejati. Tak jadi dia ingin menukar pakaian, akhirnya berdiri sahaja membelakangi Lanun.

"Sini, aku rasa kau lupa pakai sesuatu..."
Baju Husna ditarik perlahan, cukup untuk membuat wanita itu pusing ke belakang menghadapnya.

Husna pegun seketika. Tak bergerak. Kepala sedikit melangut memandang Lanun yang berdiri betul-betul di hadapannya. Agak rapat. Panas rasa wajah apabila anak mata sebelah lelaki itu melilau ke seluruh wajahnya seakan mencari sesuatu. Mulalah si jantung ini hendak bermain kompang di dalam.
Namun tetap saja Husna cuba berlagak tenang.

Dia lihat Lanun tarik nafas panjang-panjang sebelum topi jerami yang dipakai ditanggalkan lalu dipindahkan ke atas kepalanya yang berbalut tudung Khimar. Husna tergamam. Mata berkelip-kelip.

"Dekat sana nanti panas. Tak ada bumbung. Kena pakai topi..." Lanun bersuara, kepalanya sedikit tertunduk mengikat tali topi jerami dibawah dagu Husna agar tidak longgar dan terjatuh semasa ditiup angin nanti. Tanpa sedar, Husna pula sudah mengeras seperti patung. Hujung baju T shirt digenggam kuat-kuat. Manakala nafas terasa tersekat saat muka lelaki itu sangat hampir dengannya.

Lanun tolong jauh sikit, tak boleh bernafas! Jerit Husna, hanya mampu di dalam hati. Mukanya sudah memerah dek kerana tahan nafas daripada tadi. Ada juga yang tiba-tiba pengsan sekejap lagi.

"Kalau tak pakai nanti boleh terkena strok haba. Bahaya. Jadi jangan kau pandai-pandai buka pula? Faham?"

Perlahan Husna angguk kepala.

Selesai mengikat tali itu, Lanun kembali menjauhkan jarak. Sebelah tangan diseluk ke dalam poket seluar, sekali lagi pemakaian Husna diperhatikan dari bawah hingga ke atas. Dah macam anak nelayan. Comel. Bibirnya tersenyum.

"Sudah, jom kita naik bot!" Ajak Lanun, terus dia melangkah ke arah bot yang sudah dihidupkan enjin.

Sebaik sahaja lelaki itu membelakanginya, Husna hembus nafas kuat-kuat. Sebelah tangan naik mengurut dada.

Fuh!

Lega.

Tatkala melihat lelaki itu sudah naik ke atas bot, terhegeh-hegeh Husna berlari ke sana. Tidak mahu ketinggalan. Dia mengambil tempat duduk sementara menunggu Lanun menarik sauh.

"Awak suruh saya pakai topi, awak tu pula? Tak pakai ke?" Soal Husna saat dia menyedari lelaki itu tidak memakai apa-apa dikepala sebagai pelindung dari cahaya matahari. Karang kalau terkena strok haba, siapa yang nak hantar dia balik?

"Ada satu lagi dekat belakang. Kejap lagi aku pakai. Apa-apa pun, terima kasih sebab ambil berat."

Husna terkulat-kulat. Nada suaranya nampak sangatkah sedang ambil berat? Wajahnya membahang rasa malu.

"Mana ada saya ambil berat. Saya tanya aje!" Bidas Husna, ada dengusan dihujung kata. Dia terus memeluk tubuh lalu berpaling ke lain. Malas hendak tengok muka Lanun. Pasti lelaki itu sedang tersengih serupa kerang busuk.

Menyampah!

Usai mengangkat sauh dan meletakkan di tempatnya, kemudian Lanun melangkah ke arah enjin bot. Duduk disitu. Perjalanan mereka sudah hendak bermula. Moga-moga misi jual ikan hari ini berjaya.

"Bismillahirahmannirrahim..." dengan ucapan doa terlebih dahulu sebagai pelindung mereka sepanjang melalui laut nanti. Perlahan-lahan bot bergerak mengundur ke belakang sebelum ia memecut pergi menjauhi kampung itu.











"KAMU janganlah risau, Idris. Balik sahaja kerja seperti biasa, biar aku yang teruskan pencarian Husna. Dia baik-baik sahaja. Percayalah." Ujar Tan Sri Raqib, siap menepuk-nepuk bahu Dato Idris sebagai tanda memberi semangat. Hari ini adalah hari dimana mereka akan pulang ke Kuala Lumpur semula. Bot-bot untuk membawa pelancong ke darat pun sudah tersedia, tunggu masa sahaja hendak bertolak.

Dibiarkan pekerja-pekerja dahulu masuk ke dalam bot yang agak besar itu. Manakala Dato Idris, Datin Khadijah, Mia dan Nathan masih lagi berdiri di titi jeti.

Dato Idris hanya mampu mengangguk. Pasrah. Sayu anak matanya saat memandang ke air laut. Dia juga harap Husna baik-baik sahaja.

"Terima kasihlah, Raqib. Kau dah banyak bantu aku. Kalau jumpa Husna, pastikan kau terus bagitahu aku ya? Aku akan terus booking flight ke Sabah waktu itu juga dan datang ke sini." Kata Dato Idris.

Tan Sri Raqib mengangguk. Sudah tentulah dia akan beritahu.

"Baiklah. Kau tu... jangan lupa makan ubat. Harap-harap Datin boleh jaga kawan saya ni baik-baik. Jangan biar dia makin tertekan." Ujar Tan Sri Raqib, sempat lagi menitip pesanan sambil memandang Datin Khadijah yang berdiri disisi suaminya. Wanita itu tersenyum lebar. Lengan Dato Idris dipaut dengan erat.

"Tentulah saya jaga suami saya elok-elok. Siapa tak sayang suamikan?" Katanya manja, siap lentok kepala ke bahu Dato Idris menunjukkan kasih sayang diantara mereka berdua.

Tersenyum Tan Sri Raqib melihat kemesraan mereka. Dia pasti, Datin Khadijah akan menjaga kawannya baik-baik sahaja di bandar nanti. Sudah nama pun isteri, kenalah jaga suami sepenuh masa. Kemudian, pandangan dihalakan ke arah Nathan pula. Anaknya pun akan pulang bersama mereka. Lantas, lengan Nathan ditarik merapat sebelum tubuh itu dipeluk.

Rasa berat pula untuk berpisah demi kerja. Waktu yang ada untuk mereka meluangkan masa bersama tidak banyak. Selalu sahaja ada halangan. Bila lagi mereka dapat berkumpul sebagai satu keluarga?

"Jaga diri ya, Nathan. Tolong tengokkan company papa. Kalau ada apa-apa masalah, bagitahu sahaja. Papa akan ke sana."

Nathan angguk kepala. Tangannya turut membalas pelukan Tan Sri Raqib. Kemudian, tak sampai seminit pelukan mereka terlerai. Kini pandangan Tan Sri Raqib tumpu kepada Mia pula.

"Mia."

"Ya, Tan Sri!" Sahut Mia. Berdiri tegak serupa dapat arahan daripada ketua askar.

"Mulai hari ni, kamu bukan lagi jadi pembantu peribadi saya. Tapi Nathan. Jadi, tolong tengokkan kerja dia ya? Kalau ada apa-apa yang dia tak faham, kamu tolonglah ajarkan dia. Saya tahu kamu dah biasakan."

Mia terus angkat tangan ke dahi. Menerima arahan. "Jangan kata tengok waktu kerja, Tan Sri. Tengokkan anak Tan Sri luar waktu kerja pun saya sanggup tanpa gaji."

Tergelak Tan Sri Raqib mendengar gurauan si Mia. Ceh, dalam gurau pun ada makna. Bak kata pepatah, sambil menyelam minum air.

Merah hidung mancung Nathan apabila Mia berkata begitu. Tertunduk-tunduk kepala dia menyembunyikan mukanya yang sedang malu. Aish, rasa macam nak terjun ke laut sebelah jeti ni.

"Luar waktu kerja tu, saya takut bukan awak yang tengok dia. Tapi anak saya yang tengok awak nanti. Dia pun dah lama single sama macam abangnya. Takut-takut nanti bawa diri macam si Raf juga." Usik Tan Sri Raqib. Sengaja hendak buat Nathan makin bertambah malu.

Nathan buat-buat gelak. Kekok bunyinya. Sampai hati papa cakap macam itu!

"Mana ada. Papa ni..." hidungnya yang terasa gatal digosok. Dia berpaling ke lain, malu hendak menatap wajah Mia saat ini.

Mia turut tersenyum-senyum. Tubuhnya pun dah meliuk lentuk serupa ulat bulu naik daun. Cara Tan Sri Raqib bercakap, seolah-olah bagi lampu hijau sahaja. Tak boleh tunggu lama-lama, kena jalan terus kalau palang dah dibuka! Mia menekup mulut. Menahan diri daripada ketawa.

"Sudahlah. Korang kena pergi cepat. Nanti terlepas naik bot yang kedua pula. Tak pasal-pasal kena bermalam disini lagi." Tegur Tan Sri Raqib, semerta mematikan topik mereka. Masa tak banyak untuk mereka beramah mesra. Bahkan Nathan mengangguk kepala saat anak mata tertoleh ke jam tangan yang dipakai. Tinggal lagi beberapa minit bot yang menunggu mereka dijeti itu hendak bertolak pergi.

"Baiklah, pa. Nathan pergi dulu. Assalamualaikum." Buat sesaat Nathan tunduk menyalami tangan ayahnya. Mereka berpelukan buat kali terakhir sebelum dia dan Mia sama-sama melangkah masuk ke dalam bot.

Setelah pemandu memastikan semua pelancong sudah naik dan duduk ditempat masing-masing, maka bot itu pun dipandu pergi. Semakin lama semakin menjauh daripada jeti. Hingga hilang figura Tan Sri Raqib dimata kasar Nathan.

Tamatlah sudah lawatan di Ocean Resort. Kini dia harus tumpu pula pada syarikat di bandar. Satu tanggungjawab yang agak besar baginya, tetapi dia harus sahut dengan berani.

Buat kali terakhir, pemandangan laut sini ditatap sepanjang perjalanan. Ada juga bot-bot lain yang turut sama membelah lautan. Mungkin para nelayan yang baru habis menangkap haiwan laut untuk dibawa ke pasar.

Sedang asyik dia mengamati pemandangan laut Semporna, tiba-tiba suara Dato Idris mencelah. Mematikan lamunannya sebelum Nathan berpaling.

"Itu tempat apa ya?" Soal Dato Idris, jarinya menunding ke arah suatu tempat yang terbina diatas pulau jauh disana. Kelihatan ada banyak bot yang berhenti di situ dan ramai juga manusia yang turun membawa beg bakul berisi sesuatu untuk dibawa pulang. Tempat perhentian untuk beli cenderamatakah?

Dia memandang Nathan menanti jawapan. Kelihatan lelaki muda itu turut menoleh ke arah tempat yang ditunjuk.

"Entah. Saya pun tak tahu. Ramai betul orang." Balas Nathan, dia pun bukannya kenal sangat tempat ini. Lainlah Raf. Hampir seluruh pulau Semporna sudah diteroka dengan bot kesayangannya itu.

"Oh, itu pasar Poinhabu." Sampuk pemandu bot di belakang. Mengalihkan pandangan mereka kearahnya.

"Poin... habu?" Kening Nathan sedikit berkerut.

Pemandu bot itu angguk kepala. "Haah, atau bahasa kita... pasar terapung. nelayan dan juga penduduk kampung berdekatan disini akan jual hasil laut yang ditangkap dekat pasar terapung itulah. Kadang ada juga pelancong luar yang datang. Katanya haiwan laut dekat situ murah-murah. Ada yang jual lobster harga bawah tiga ratus ringgit." Ujar Pemandu bot itu, berkongsi cerita tentang apa yang didengar oleh khabar mulut orang selama ini. Tetapi memang tak dinafikan, sebahagian pasar di kepulauan Sabah dan Sarawak ada menjual haiwan laut dengan harga yang murah.

Adakala, sesetengah pelancong semenanjung datang kesini cuma untuk membeli seafood sahaja. Untuk melihat sendiri sama ada betul atau tidak tentang khabar angin itu.

"Wah, murah betul! Saya tak pernah makan lobster. Kalau singgah, boleh beli banyak-banyak." Ujar Mia. Mengalihkan pandangan Nathan ke arah dia.

"Awak nak singgah ke?" Soalnya.

Mia tersenyum gembira. Baru sahaja nak angguk kepala, suara Datin Khadijah terlebih dahulu menyampuk.

"Tak payahlah. Kita dah lambat. Dekat KL pun ada aje pasar yang jual haiwan laut murah-murah. Baik beli dekat sana sahaja. Pasar tu pun nampak macam kotor sahaja." Kata Datin Khadijah. Hanya menilai dari pandangan jarak jauh. Sejujurnya, dia jijik untuk turun ke tempat-tempat seperti itu. Kalau di bandar, dibiarkan Mak Timah sahaja yang pergi. Bau hanyir haiwan laut itu tak tahan, hendak muntah apabila menusuk ke hidung.

"Kan, bang?" Datin Khadijah memandang suaminya disebelah. Berharap agar Dato Idris menyokong kata-katanya.

Dan kemudian, Dato Idris angguk kepala. Buatkan bibir isterinya terus tersenyum menang. Bagus!

"Betul juga. Baik kita teruskan perjalanan sahaja. Masa tak banyak, nak kena kejar flight lagi." Ujar Dato Idris.

"Betul tu, bang. Lain kalilah ya, Mia?" Sokong Datin Khadijah, dia menoleh memandang Mia yang duduk di seat sebelah kanan mereka. Menayang senyuman penuh mengejek. Puas, melihat riak muka Mia yang berubah sedikit kecewa apabila Dato Idris lebih menyokongnya.

Datin Khadijah kembali melemparkan pandangannya ke hadapan.

Nathan yang menyedari perubahan riak wajah Mia mendetikkan rasa kasihan dihatinya. Dia tahu, wanita itu pasti teringin untuk jejakkan kaki ke pasar terapung itu. Merasai sendiri pengalaman berada di atas pasar atas air. Buat seketika Nathan berdehem membetulkan suara. Kepala ditunduk sedikit memandang Mia.

"Tak apa, nanti kalau ada rezeki kita datang sini. Saya ajak awak tumpang bot abang saya. Mesti dia sudi bawa kita pergi situ." Ujar Nathan, pandai dia menyusun ayat memujuk Mia.

Sedikit demi sedikit bibir mungil itu tersenyum. Dia membalas pandangan Nathan.

"Terima kasih, Encik Nathan. Tapi bila agaknya kita akan singgah ke sini lagi?"

"Mungkin selepas dapat jumpa Husna semula? Waktu itu, kita boleh pergi beramai-ramai." Kata Nathan. Entah dimana silap ayatnya membuatkan Mia ketawa sinis.

Kepala Mia tergeleng-geleng sambil anak mata merenung pasar terapung yang semakin mengecil pada pandangannya. Entah mengapa, dia terbayangkan Husna berada disana. Tapi tak mungkinlah.

"Saya rasa mungkin Encik Nathan lupa, Husna tak suka tempat-tempat macam itu. Mana mungkin kita boleh pergi bersama-sama."

"Nope!" Nathan menafikannya. Mengalihkan perhatian Mia.

"Saya rasa... dia sanggup pergi kalau ada orang yang dia sayang dekat situ." Kata Nathan, kemudian wajah Mia dipandang. Bebola mata wanita itu ditenung sedalam-dalamnya.

"Sebab saya pun sanggup turun, kalau awak nak ke situ." Sambung Nathan bersama satu senyuman mekar. Terus membuatkan wajah Mia diserbu warna kemerahan dek kerana malu. Kedua-dua tangan Mia spontan naik menekup muka. Tak boleh nak balas renungan Encik Nathan saat ini, hatinya sudah bergendang irama di dalam badan.

Sejak bila pula Encik Nathan ni pandai bagi kata-kata manis?

"Ish, Encik Nathan ni... janganlah cakap macam itu. Malulah saya." Bahu Nathan dilanggar dengan bahunya. Tak kuat. Manja-manja sahaja. Tergelak lelaki itu dengan gelagatnya.

"Kalau awak malu, saya lagilah malu." Terus Nathan tekup muka dan palingkan ke lain.

Haih, cinta jenis apakah ini? Malu tapi mahu kah? Ini kalau abang tengok, mesti dia mengejek kaw kaw punya!

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro