Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

34

                "HEY, Lanun! Nunu habar nu baino? (Apa khabar kau hari ni?) Lama sudah kita tak berjumpa. Mana ko pigi selama ini?" Sambut Mondu sebaik sahaja keluar dari gua, dengan mendepakan tangan penuh bangga. Dari jauh lagi dia boleh lihat wajah tegang Lanun yang menanti dia keluar. Rindu sungguh dia mahu lihat muka ketat itu. Akhirnya, Lanun datang juga ke sini setelah sekian lama dia menanti.

Malah, kuncu-kuncunya juga melakukan kerja dengan baik. Masing-masing mengacukan senjata ke arah Lanun supaya lelaki itu tidak bertindak menyerang bos mereka. Setiap penjuru dikawal ketat. Rajuna, Ratna dan Arjuna sudah kecut perut bersembunyi dibelakang Lanun apabila mereka dikepong. Tiada celahan kecil sekalipun untuk mereka melarikan diri. Bahkan, satu senjata pun tiada ditangan mereka untuk dijadikan alat membela diri.

Ini semua idea tak masuk akal! Mereka boleh mati bila-bila masa sahaja.

Namun, Lanun tetap tenang tanpa riak. Mukanya tak menunjukkan sebarang reaksi ketakutan. Melibat senyuman mengejek si Mondu, buatkan dalam hatinya berbahang panas. Mahu koyak mulut itu dengan tangannya sendiri. Namun, dia perlu kawal semua amarah itu sekarang. Tidak mahu situasi menjadi lebih teruk.

"Janganlah pandang aku macam itu. Muka kau serupa mau telan aku sudah. Apa yang kau marah sangat? Kitakan baru jumpa?" Tegur Mondu, dia ketawa dihujung kata. Membalas pandangan Lanun dengan lagak berani walaupun ada sedikit gementar pabila terkenangkan kejadian dahulu. Dimana dia pernah dibelasah teruk oleh lelaki itu kerana menyerang kampung kesayangannya. Tapi itu tidak menjadi sebab, dia akan berhenti menganggu Lanun. Dia masih seronok dengan permainan lelaki itu.

"Mana dia?" Soal Lanun setelah memastikan lelaki itu sudah habis berkata-kata. Sebelah anak matanya mencerlung dengan tajam. Penuh serius. Adakala ia bergerak memerhati sekeliling, tercari-cari dimana Husna disorokkan. Mungkin di dalam gua itu.

Sedangkan Mondu buat-buat muka berkerut serupa tidak faham. Dia memandang kuncu-kuncu yang berada berdekatannya.  Sedang tersenyum sama mengejek seperti dia.

"Dia? Siapa dia yang kau maksudkan?"

"Perempuan itu. Aku tahu dia ada dengan kau." Tekan Lanun.

Mondu diam seketika. Tidak sampai beberapa saat, dia meletuskan tawa. Kepala terangguk-angguk.  Dia faham maksud Lanun, sengaja buat-buat tidak tahu.

"Aishh... kau ni memang tahu sija, kan?  Aku memang suka kumpul perempuan untuk dijadikan hamba. Tapi aku tetap endak faham sumandak mana yang kau maksudkan. Aku ada banyak. Mau tinguk?" Dia memusing memandang Orlu yang berdiri disisi. Ibu jari dipetik memberi satu isyarat. Dengan pantas Orlu mengangguk kepala, menangkap maksud.

Tanpa menunggu lama, dia terus berlari masuk ke dalam gua. Tidak sampai beberapa minit, ada terdengar beberapa jeritan wanita. Mereka dipaksa bangun dalam keadaan tangan terikat, melangkah keluar dari gua untuk tunjukkan diri. Sebaik sahaja tiba di hadapan gua, terus tubuh mereka ditolak agar melutut dipasir. Masing-masing dalam keadaan takut apabila senjata api dihalakan ke mereka. Mengugut supaya kekal berdiam diri.

"Cakaplah mana satu sumandak yang kau cari? Aku bagi kau percuma sija. Pilihlah."

Dari hujung kanan sehinggalah ke hujung kiri anak mata Lanun bergerak memerhati satu demi satu wajah pucat itu. Mereka semua memandangnya dengan penuh hadapan agar menjadi pilihan Lanun untuk dibawa pulang.  Malang sekali, dia datang ke sini cuma untuk ambil seorang sahaja. Dan dia tahu permainan Mondu, Husna tiada disitu.

Lantas, dia kembali berpaling memandang Mondu yang sedang berpeluk tubuh menanti pilihannya.

"Aku tak maksudkan perempuan-perempuan yang ini. Itu semua pelacur kau. Aku tahu ada lagi seorang perempuan yang kau baru culik baru-baru ini."

"Culik?" Bibir Mondu terjuih pabila mendengarnya.

"Siapa kata aku Culik dia? Dia yang masuk ke kawasan aku. Kau sendiri tahu, apa-apa sija yang berharga yang aku nampak. Itulah yang aku akan ambil. Tak kiralah milik siapa pun, aku tak peduli. Memang itu tindakan seorang Lanun bukan? Mengambil barang berharga yang dijumpai?"

"Tapi barang berharga yang kau baru jumpa itu milik aku. Aku yang jumpa dia dahulu sebelum kau. Jadi pulangkan apa yang kau dah ambil daripada aku." Suara Lanun masih lagi tenang. Namun di dalam hatinya sudah mengaruk. Kalau diikutkan amarahnya, mahu sahaja dia terus menerjah masuk ke dalam gua itu mencari Husna sendiri.  Siapa Mondu, hendak mengatakan Husna itu adalah miliknya?

Malahan lelaki itu ketawa. Sinis sekali bunyinya.

"Kau fikir sesenang itu sija ka kalo kau mau dia semula? Endak begitu bah... melainkan kalo barang itu sudah diguna pakai. Jangan kata beri, aku siap sedekah lagi." Sindirnya.

Bibir Lanun terketap. Terasa urat disegenap tubuh sudah berdenyut-denyut menahan kemarahan. 
Setiap bait kata yang keluar, buatkan dia rasa hendak memukul lelaki itu sehingga lumat. Akan tetapi, dia terdetik sesuatu. Bagaimana jika tindakan melulu ini akan menyebabkan Husna terpalit sama. Dia tidak akan biarkan wanita itu diapa-apakan!

"Secalit pun jangan kau berani sentuh dia..." Gigi Lanun sudah mengancing bersama tikaman mata yang tajam. Tanpa sedar buku lima sudah dikepal dengan kuat. Tunggu masa untuk dilayang ke wajah berlagak sombong itu.

Malahan Mondu boleh pula tersenyum senget. Makin tertarik dengan permainannya sendiri. Nampak gaya, ada orang dah nak mengamuk. Inilah masa yang sesuai untuk dia menaruh umpan. Lantas dia menjeling ke arah Orlu, memberi isyarat lagi.

"Bawa dia keluar."

"Eye! Eye! Mondu!" Orlu akur pada arahan. Langsung dia berlari masuk ke dalam gua sekali lagi. Dan kemudian, kembali munculkan diri bersama seorang lagi tahanan.

"Husna!" Mata Lanun meluas. Kakinya hendak bergerak mendapatkan wanita itu serta-merta. Namun, baru setapak dia mara ke hadapan. Mondu terlebih dahulu menarik wanita itu ke dalam cekupannya. Pasti kasar, sehingga Husna menjerit kesakitan. Terdongak kepala Husna ke atas. Pistol yang berada dibelakang seluarnya terus dicapai, lalu diacu tepat ke kepala wanita itu. Cukup untuk menghentikan tindakan Lanun yang hampir mendapatkan barangan miliknya.

Dia tersenyum lagi. Sayang benar Lanun kepada wanita ini. Makin buat dia tertarik ingin tahu.

"Siapa perempuan ni?" Soal Mondu. Pemicu sudah siap ditarik. Cuma tunggu masa untuk lepaskan peluru.

Lanun telan air liur. Buat pertama kali, dia takut dengan ugutan Mondu. Jantung berdebar-debar, takut jika tersilap kata, Husna yang akan terkena padahnya.

"Mondu..."

"Aku tanya kau... siapa perempuan ni?! Kenapa kau sanggup datang sini semata-mata untuk dia seorang? Pasti dia anak orang kaya, kan? Kalo tidak, endak adanya kau mau muncul disini. Lebih baik kau beritahu siapa dia, sebelum kita berdua sama-sama rugi." Ugut Mondu. Dia menekan hujung pistol ke dahi Husna.

Wanita itu sudah menangis. Yang pasti, tangisan itu menghiris hati Lanun sendiri. Dia memandang Husna, wanita itu juga sedang merenungnya dengan mata yang sembab. Seakan merayu kepadanya agar hentikan semua ini dengan segera.

Lanun pejam mata seketika. Nafas ditarik dalam-dalam lalu dihembus dengan perlahan. Kini, kelopak mata kembali terbuka. Tetapi lebih garang sebelum naik merenung Mondu dengan cerlungan harimau mahu melapah manusia.

"Dia..." Suara Lanun bergetar. Husna dan Mondu dipandang silih berganti. Lanun tiada pilihan lain, dia harus buat pengakuan untuk meyakinkan lelaki itu. 

"Dia siapa?!" Jerkah Mondu, tidak suka persoalannya dilambatkan. Dia mahukan jawapan. Lantas, jari-jemari yang menggenggam sepucuk pistol itu diperkemaskan. Sekali lagi pemicu ditarik, bersedia untuk untuk lepaskan tembakan.

Mata Lanun sudah terbeliak. Dan secara spontan bibirnya bersuara.

"Koupusan (isteri) ! Dia koupusanku!" Jerit Lanun.

Semerta menghentikan tindakan Mondu. Terus sepasang kening lelaki itu berkerut. Apa telinganya salah dengarkah? Bahkan, pistol yang diangkat tinggi itu juga sudah mula jatuh perlahan-lahan ke bawah. Jangan dikatakan dia terkejut, tiga beradik kembar itu juga turut terkesima saat mendengar pengakuan Lanun. Masing-masing rahang jatuh ke bawah.

Biar betul abang aku ni? Dia dah gilakah?! Jerit Ratna di dalam hati. Rasa mahu diketuk sahaja kepala lelaki itu dari belakang. 

Manakala Husna pula rasa terasing. Dia seorang sahaja yang terdiam kerana tidak faham akan maksud yang disebut oleh Lanun. Mata hazel lelaki itu dipandang, dia nampak serius saat menyatakan ayat itu. Hebat sangatkah perkataan itu sehingga menyebabkan si Mondu ini hilang kata?

Dan tiba-tiba Mondu melepaskan tawa. Kepala tergeleng-geleng.  Tak mungkin. Dia tak percaya. Kemudian, wajah Husna yang masih dalam ketakutan itu dipandang.

"Betul ka apa yang dia cakap? Kau koupusan dia?" Soal Mondu.

Husna terpinga-pinga.  Dia tidak tahu hendak mengangguk atau menggeleng. Namun, sesaat terpandang ke arah Lanun. Lelaki itu seakan menyuruh dia untuk mengangguk.  Tanpa memikir panjang, Husna langsung menggerakkan kepala ke atas dan ke bawah secara teragak-agak.

Mondu menjuih bibir. Sungguh. Dia tak percaya lelaki itu sudah mempunyai isteri. Tetapi, wanita ini juga mengiyakan kenyataan Lanun.

"Kau sendiri lihatkan apa yang dia balas? Dia angguk. Maknanya apa yang aku cakap tadi adalah benar. Jadi, lepaskan dia!"

"Tak! Aku endak percaya!" Mondu masih lagi keras kepala.

Lanun mendengus keras. "Apalagi yang kau endak percaya?! Kau fikir aku akan sanggup datang ke sini semata-mata untuk seorang manusia biasa? Sudah tentu tidak! Kau sendiri kenal aku seorang yang bagaimana, bukan?"

Mondu diam. Ada benarnya juga kata Lanun. Lelaki itu takkan mudah jejakkan kaki ke sini tanpa sebab. Tapi, jika benar sekalipun wanita ini adalah isterinya. Tak semudah itu juga Lanun boleh membawa dia pergi. Seperti biasa,  bila mana tahanan itu berada di dalam genggaman Mondu, pasti ada pengeras dahulu.

Cekupan dikuatkan kembali. Husna tersentak.

"Baiklah. Aku percaya... tapi, kau faham-faham sija apa yang aku mau dulu. Atau... Pounsikou kau ni..." sebelah tangan Mondu nakal menyentuh pipi Husna. Dia mengacah-acah mendekatkan wajah, cukup untuk Lanun tahu apa yang akan jadi jika dia tidak membawa apa-apa bersama semasa menuju ke sini.

"Mungkin aku akan merasa terlebih dahulu sebelum pulangkan kepada kau semula. Dia nampak cumil. Nafsu aku endak boleh tahan bah bila tinguk dia daripada tadi. Boleh ka kalau sa sentuh sikit?"

"Jauhkan tangan kau dari kulit dia kalo kau betul mahukan sesuatu daripada aku!"  Lanun memberi amaran. Tercabar amarahnya apabila melihat tangan Mondu yang galak menyentuh wajah Husna.

Lantas, Mondu mengangkat sebelah tangannya. Menjauhi tangan itu daripada menyentuh kulit Husna seperti yang dikatakan tadi. Manakala, sebelah tangan lagi masih kuat mencekup leher wanita itu daripada terlepas.

"Mana barangnya?" Dia menyoal bersama senyuman sinis.

Lanun terdiam sejenak. Hatinya mula terasa berat untuk mengeluarkan arahan. Namun, dikala anak mata teralih ke arah Husna, terus perasaan itu ditolak jauh-jauh. Dia perlu utamakan nyawa wanita itu terlebih dahulu! Lantas, Lanun berpaling ke belakang. Memandang Rajuna yang sedang memegang kotak besi berkarat yang agak berat itu.

"Rajuna, bawa peti tu ke sini!" Arah Lanun.

Teragak-agak Rajuna mengangguk kepala. Tak tunggu lama, terus dia membawa kotak itu ke hadapan. Meletakkan ke tanah sebelum kembali berlari menyorok di belakang abangnya.

"Ini untuk kau..." Terus kaki Lanun menolak kotak itu terbalik, sehingga ia memuntahkan isi barang kemas yang berkilau-kilau saat terkena panahan cahaya api obor-obor. Banyak. Sungguh banyak. Putih mata Mondu dan kuncu-kuncunya saat melihat barang kemas bersaiz besar itu. Kalau dijual, entah berapa puluh ribu harga yang mereka akan dapat.  Atau mungkin mencecah ratusan ribu ringgit untuk seutas gelang!

Husna turut tergamam saat melihatnya.  Dia pun tidak ada barang kemas sebanyak itu. Dari mana Lanun dapat?

Namun,

Tidak semudah itu Mondu mahu percaya. Dia berpaling memandang Orlu disisi. 

"Orlu, tolong periksa dahulu sama ada itu emas ori atau bukan. Aku tak mahu tertipu bulat-bulat sama si Lanun."

"Baik, bos!" Dia langsung bergerak ke arah barang kemas yang terdampar dipasir itu. Alat  Gold selector yang berada dibelakang seluarnya terus dikeluarkan, kemudian seutas rantai dicapai lalu dihalakan kepada alat itu. Tidak sampai sesaat, tiba-tiba...

Bip! Bip!

Mendengar bunyi isyarat itu keluar. Bibir Mondu senyum melebar. Apatah lagi melihat pandangan Orlu yang berubah gembira saat berpaling kearahnya, jelas menandakan yang semua emas itu adalah original.

"Emas betul, bos! Kita boleh jadi kaya tak lama lagi!" Kata Orlu. Dia ketawa seperti manusia yang tenggelam dalam kemewahan. Lupa terus bahawa semua itu cuma sementara apabila berada di dunia.

Mondu turut ketawa jahat. Tak sangka Lanun sekaya ini. Tidak sia-sia dia menculik Husna, ada juga lumayan yang dia dapat. Dan kini, Husna dapat merasakan cekupan dileher dilonggarkan sebelum tubuhnya ditolak kasar ke hadapan. Dia hampir tersungkur, mujur sahaja dia dapat mengimbangi diri sendiri.

Husna terkulat-kulat. Dia patut berlari ke arah Lanun, kah?

"Pergilah sama ginawo (cinta hati) kau disana. Jangan sampai sa tukar fikiran." Dia memberi amaran.

Husna telan air liur. Tanpa menunggu lama, dia terus berlari ke arah Lanun. Tidak mahu lelaki itu menukar fikiran dan memaksa dia untuk tinggal disini lagi. Sampai sahaja dihadapan Lanun, Husna menunduk kepala. Tidak berani untuk berbalas pandangan. Sedar akan kesalahan yang dia telah lakukan. Hujung Bibirnya masih tersisa sedu-sedan akibat menangis. Tidak tahu mengapa, ia susah sangat untuk berhenti. Dan tatkala melihat lelaki itu ada dihadapan mata, lagilah hatinya terasa sebak dan mahu menangis sekuat yang mungkin.

Kenapa perasaan ini perlu hadir? Ini tangisan terharu kerana Lanum muncul atau tangisan takut kerana akan dijerkah tak lama lagi? Husna tak pasti.

Dan tatkala merasa tangan kasar naik menyeka air mata dipipinya, buatkan Husna tersentak dan terus melangut kepala. Dia terkesima. Tidak pula bertindak untuk menepis, mungkin kerana terlampau terkejut dengan tindakan Lanun. Kelopak mata langsung tak berkelip merenung wajah lelaki itu. Muka Lanun masih lagi tegang. Namun, mata redup milik Lanun tetap tidak dapat menyembunyikan keresahan yang dipendam.

Dia lega. Apabila Husna berada dekat dengannya semula.

"Bagi tudung tu, Ratna." Pinta Lanun, dia menghulur tangan. Matanya masih tetap pegun memandang Husna. Sedikit pun tidak teralih ke lain. Sebaik sahaja merasakan ada sesuatu yang diletakkan di atas telapak tangannya, Lanun terus menariknya. Lantas menyarung tudung khimar berwarna hitam ke kepala Husna yang mendedahkan rambut hitam pekat cantik itu.

Husna tergamam. Dia lupa yang kain batik tadi sudah ditanggalkan oleh Mondu semasa di dalam gua tadi.

Selesai mengikat tali tudung itu dengan kemas. Lanun mengundur sedikit ke belakang. Jari menunding ke arah bot yang terparkir tidak jauh daripada mereka.

"Naik bot sekarang. Kita balik kampung tu semula. Dan ada perkara yang aku perlu selesaikan dengan kau."

Husna tersentak. Ayat Lanun seolah hendak memakan dirinya. Dia takut. Namun, tiada pilihan lain. Sama ada duduk disini atau ikut Lanun pulang. Ya Tuhan, harap sangat lelaki ini berlembut hati dengan aku dan maafkan sahaja apa yang aku telah buat.

"Sa... saya minta maaf..."

"Aku cakap naik, naik Husna!" Suara Lanun mula meninggi apabila Husna masih tidak bergerak dari tempatnya. Permohonan maaf dari Husna langsung tak diendahkan. Jelas. Lanun masih marahkan dia.

"Husna... mari naik bot. Kita kena pergi daripada sini sekarang."pujuk Ratna, lembut. Bahu Husna disapa perlahan. Mengalihkan perhatian wanita itu kepadanya. Kepala Ratna asyik menggeleng kecil, seakan memberi isyarat bahawa mood Lanun tidak berapa baik untuk diajak berbincang sekarang. Lebih baik, ikut sahaja arahan yang diberi sebelum abangnya mengamuk tidak tentu pasal.

Lantas, Husna mengangguk kepala dengan perlahan. Faham akan maksud Ratna. Tanpa berkata apa lagi, dia mengekor sahaja langkah wanita muda itu naik ke atas bot. Sempat dia menjeling memandang wajah Lanun, buatkan buku romanya tercacak tatkala mata lelaki itu menikamnya dengan tajam. Cepat-cepat Husna berpaling ke hadapan semula. Air liur tak berhenti ditelan daripada tadi.

Apalah nasib dia agaknya nanti?

"Lanun!" Suara Mondu memanggil menghentikan langkah Lanun yang mahu menuju ke bot. Namun dia tidak menoleh. Masih pegun menanti apa yang Mondu ingin katakan.

"Jaga koupusan kau baik-baik. Kalo selepas ini aku jumpa dia lagi, tahulah apa yang aku mau buat. Aku endak akan sia-siakan peluang kedua itu. Malah aku akan guna sehabis baik apa yang ada pada dia." Katanya sebelum melepaskan tawa jahat. Disertai dengan suara gelak tawa kuncu-kuncunya. 

Sengaja betul buat si Mondu itu memprovokasinya. Jenuh disabarkan hati ini daripada meletus gunung berapi yang ditahan daripada tadi. Mahu sahaja dia pusing ke belakang lalu terus berlari ke arah Mondu dan menyerang, memukul, mematah-matahkan segala sendi tulang yang ada sehingga puas.
Namun, belum sempat dia berbuat demikian, suara Arjuna diatas bot terlebih dahulu mematikan niatnya.

"Abang, sudahlah. Jom kita balik." Ajak Arjuna. Lihat riak wajah Lanun, dia sudah tahu apa yang bermain difikiran lelaki itu. Tolonglah, mereka baru sahaja selesai membawa Husna pulang. Tidak mahu ada hal lain yang timbul pula.

Mujurlah Lanun mendengar katanya. Lelaki itu langsung bergerak ke bot tanpa mempedulikan suara-suara yang menyindirnya. Sehabis baik, Lanun cuba pekakkan telinga. Naik sahaja ke atas bot dan mengambil tempat duduk, terus Lanun mengeluarkan arahan.

"Dah, jalan!" Arahnya begitu dingin. Cepat bot itu dipandu pergi, cepatlah suara itu hilang dari menerjah ke telinganya. 

Suasana diatas bot sunyi tanpa ada satu pun yang bersuara. Rajuna fokus kepada pemanduan, manakala Ratna dan Arjuna buat-buat menyuluh sekeliling tempat supaya tidak bersemuka dengan Lanun. Cuak. Abangnya mengambil tempat duduk di hujung kanan bot, manakala Husna pula duduk di hujung kiri bot. Serupa ada tembok besar yang memisahkan jarak mereka berdua daripada duduk rapat. Sengaja biarkan kekosongan ditengah ruang.

Drama apa pula kali ni? Ratna dan Arjuna berpandangan seketika. Hendak tegur pun tak berani. Muka Lanun serupa nak baham manusia. Mungkin masih geramkan Husna kerana mengendahkan larangan dia sebelum ini. Atau mungkin... kerana peti berisi emas tadi terpaksa diberi kepada Mondu yang membuatkan lelaki itu berang sampai sekarang.

Dan tanpa semena-mena...

PAP!

Tangan Lanun menghentak besi bot dengan kuat. Terhinjut bahu mereka semua akibat terkejut. Hampir sahaja Rajuna terpusing stereng ke kiri, cepat-cepat dia betulkan kedudukan semula. Kurus semangat! Nasib bot tak terbalik.

"Kau memang nak kena dengan akukan perempuan!!!" Suara Lanun menjerkah garang.  Terus tubuhnya berdiri, pusing memandang Husna.

Ah, sudah... gila si Lanun sudah mari.

Tiga beradik itu telan air liur. Habislah!

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro