Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

25

                    "ADA nampak apa-apa?" Soal Tan Sri Raqib, dia memandang Nathan yang masih menoropong sekeliling laut dari atas bot. Mencari objek yang kelihatan misteri timbul diatas permukaan air. Boleh jadi itu adalah Husna atau sebaliknya. Namun, kepala Nathan menggeleng buat ke sekian kalinya. Teropong dijatuhkan ke bawah, dibiarkan tergantung dilehernya.

Helaian nafas pendek kedengaran penuh penat. Sudah 3 jam mereka di atas bot, masih tak jumpa apa-apa yang berkaitan dengan Husna. Ya Tuhan, ke manalah wanita itu agaknya? Tolonglah permudahkan urusan kami untuk menemukan Husna. Sesungguhnya, hanya padaMu sahaja makhluk kecil ini mampu berserah.

"Tak ada. Peliklah, semua kawasan kita dah cari tapi tanda-tanda dari Husna sedikit pun kita tak jumpa melainkan jaket keselamatan semalam. Papa rasa, betul ke Datin Khadijah itu bawa Husna ke tempat yang selamat?" Dia menoleh memandang Tan Sri Raqib. 

Orang tua itu diam tidak punya jawapan.

"Macam mana kalau Datin Khadijah bawa Husna ke kawasan Red Zone? Cuma dekat situ sahaja kita tak check lagi. Itupun sebab Raf larang."

"Mustahillah. Rasanya Datin Khadijah ada ikut sekali masa lawatan turun ke laut. Pemandu bot dah beritahu staff yang terlibat, tempat mana yang dilarang dan tempat mana yang boleh bawa pelancong. Takkanlah dia sengaja bawa Husna ke kawasan Red Zone?"

Nathan cuma jongket bahu. Entahlah mengapa dia tiba-tiba terfikir kearah itu. Ada betulnya juga kata Tan Sri Raqib,  untuk apa emak Husna mahu membawa dia ke kawasan yang jelas berbahaya? Bahkan, Datin Khadijah itu bukannya orang sebarangan. Dan sudah tentu, dia tidak akan melakukan perkara yang bakal memburukkan imejnya sebagai seorang wanita berpangkat Datin.

"Bagaimana kalau kita minta tolong Raf?" Soal Nathan, sekadar memberi cadangan. Alang-alang abangnya seorang yang suka berlayar dengan bot kesayangannya. Mungkin boleh minta pertolongan dia untuk turut serta dalam misi mencari Husna. Malah, Raf juga sudah terbiasa dengan tempat ini. Dia pernah teroka hampir ke seluruh kawasan.

"Kamu rasa dia nak tolong ke? Lagipun, Raf bukannya ada dekat sini. Dia ada dekat kampung. Kamu sanggup nak redah pulau pergi ke tempat tu?"

"Habis macam mana lagi? Nyawa Husna takkan boleh tunggu kita. Dia hidup atau mati sekalipun tiada siapa yang tahu sekaran! Siapa aje yang boleh hidup ditengah-tengah lautan tanpa makan dan minum? Kalau campak haiwan sekalipun, mereka pun tak boleh bertahan. Inikan pula Husna?" Ujar Nathan. Nada suaranya kedengaran tak terkawal saat ini. Kejap naik, kejap rendah. Emosinya bercelaru. Dia tidak tahu bagaimana untuk berfikir secara rasional sekarang. Hari semakin lama semakin berlalu, dan Husna pula masih belum jumpa. Tidakkah buat hati ini sentiasa risau akan nasib di sana?

Apatah lagi ia melibatkan kesihatan Dato Idris juga. Darah tinggi makin naik. Jika berterusan, mungkin boleh membawa maut. Disini pun tiada hospital terdekat untuk merawat. Mereka tidak boleh bertangguh lagi.

Tan Sri Raqib mengeluh kecil.  Sebelah tangan naik memicit kepala. Dia pun pening sebenarnya.  Tidak tahu bagaimana untuk bertindak. Insiden begini pun pertama kali terjadi. Terlalu mengejut.

"Beginilah..." tangan yang sedang mengurut kepala kembali jatuh ke bawah. Kini sedang mencekak pinggang. 

"Kita tunggu Raf balik ke Ocean Resort dalam minggu ini, selepas itu kita minta bantuan dia. Sementara tunggu tu, kita teruskan pencarian Husna seperti biasa. Tetapi, kalau Raf tak datang ke sini. Tidak mahu tidak, kita terpaksa libatkan hal ini dengan pihak polis."

Terus terangkat wajah Nathan saat ayahnya berkata begitu.  Dia tidak nampak yang orang tua itu sedang bermain dengan kata-katanya. Kali ini, memang serius.

Jika pihak polis sudah masuk campur, bermakna hal ini semakin besar. Berkemungkinan pihak media juga akan dapat tahu tentang khabar kehilangan Husna. Dan jelas sekali, nama gah Ocean Resort akan punah serta-merta. Pelancong pasti akan berfikiran bahawa kawasan ini berbahaya. Maka tiada siapa yang berani untuk jejakkan kaki ke resort mereka.

"Itu sahaja pilihan yang kita ada sekarang." Sambung Tan Sri Raqib.







                  
                     BEBERAPA jam sudah berlalu, dengan cahaya matahari yang memancar terik ke bumi. Panasnya hingga terserlah kesan peluh melekat di belakang baju T shirt yang dipakai Husna. Berkali-Kali tangannya mengesat peluh yang turun dari dahi. Kulit putihnya pun sudah terbakar dek kerana dijemur panas daripada tadi. Bibir asyik mengeluh. Adakala membebel apabila tiada satu pun haiwan laut yang terperangkap pada jorannya.

"Haih, ketam ni tak lapar ke? Apahal daripada tadi umpan aku tak mengena ni?" Gumam Husna, geram. Sudahlah panas, selepas itu kena sabar menunggu jorannya bergoyang. Dan tatkala dia menoleh ke sebelah, makin buatkan hatinya rasa panas apabila melihat baldi biru milik Lanun yang sudah separuh dipenuhi ikan. Makin meluap rasa cemburu apabila melihat kulit muka lelaki itu putih bersih terlindung dari terkena sinaran matahari kerana mengenakan topi nelayan.

Haih...

Tenang sungguh lelaki itu memancing.  Adakala terlihat peluh mengalir pada batang lehernya, tentu dia juga turut rasa panas seperti Husna. Akan tetapi langsung tak merungut apa-apa. Husna sahaja yang melebih-lebih, serba tak kena. Dan Lanun siap boleh berpeluk tubuh sambil anak mata memerhati ke segenap kawasan yang luas itu penuh serius. Tak ubah seperti pihak polis yang sedang memastikan setiap penjuru kawasan mereka duduki selamat daripada ancaman.

"Ikan makan umpan aku lagi!" Lihat sahaja pelampung pancing itu bergoyang, terus Lanun bangun daripada duduk di atas fish box. Pantas tangannya mencapai joran yang disandarkan pada bot, ditarik dan direntap tali pancing itu sekuat tenaga agar ikan itu tidak terlepas. Sebelah tangan lagi lincah memutar tali pancing dengan laju.

Berdebar-debar jantung Husna saat menonton aksi tarik-menarik joran itu. Rasa-rasanya ikan yang dapat kali ini besar, lihat muka Lanun berkerut semasa menarik pun sudah tentu ikan itu berat dan kuat melawan arus.

Kuat lagi tarik! You can do it! Jerit Husna di dalam hati.

Eh sekejap, mengapa dia pula yang excited apabila Lanun dapat ikan? Husna geleng kepala. Ikan aje pun, bukannya dapat tangkap udang galah!

"Sikit lagi... Yes!" Lanun bersorak gembira. Sekali tarik dengan menggunakan seluruh kudrat yang ada, terus ikan yang tersangkut pada mata kailnya itu meloncat masuk ke dalam bot. Husna sedikit terkejut saat ikan kerapu bersaiz besar itu jatuh hampir-hampir mengena kakinya. Langsung dia bangkit lalu bergerak ke tepi, menyaksikan ikan yang masih hidup itu bergerak-gerak dengan mulut terlopong.

Wah, ikan kerapu itu lagi besar daripada kaki aku! Bisik Husna di dalam hati.

Lanun tersenyum gembira. Hilang penat apabila melihat usahanya membuahkan hasil yang lumayan. Jarang sekali dia dapat ikan bersaiz sebesar itu. Ikan kerapu pula tu! Bukannya murah jika hendak mendapatkannya di pasar. Bersyukur sangat kepada Tuhan. Tanpa menunggu lama, Lanun duduk mencangkung mencapai ikan yang masih hidup itu dengan tangannya yang memakai sarung tangan. Ada bahagian sirip yang tajam, jadi dia perlu lebih berhati-hati.

"Rezeki kita hari ini dapat ikan kerapu. Sedap ni kalau buat bakar berempah." Ujar Lanun.
                
Dengan secara lembut, dia menanggalkan muncung ikan kerapu yang tersangkut pada mata kailnya sebelum diletakkan ke dalam baldi biru bersama ikan-ikan kecil yang lain.

"Dah terlebih cukup ikan yang kita dapat hari ini. Eloklah kalau kita balik sekarang." Kata Lanun, bersiap sedia mengemas peralatan yang telah digunakan tadi. Sarung tangan dibuka, kotak umpan ditutup, dan joran pancingnya disimpan ke tepi. Malahan Husna langsung tidak bergerak, memeluk tubuh dengan gaya berlagak.

"Siapa kata rezeki kita?" Soal Husna, sinis. Sengaja perkataan rezeki itu ditekan kuat. Mengalihkan perhatian Lanun yang sibuk mengemas ke arahnya.

"Itu rezeki awak seorang sahaja. Bukan kita. Awak dah lupa ke yang saya tak suka makan ikan? Selagi saya tak dapat ketam, kita tak boleh balik!" Bentak Husna.

Haih...

Lanun mengeluh penat. Sesekali anak matanya menjuling keatas apabila dia rasakan perangai wanita itu tak ubah seperti budak kecil yang memberontak apabila tidak dapat mainan. Meluat.  Dah tua bangka pun tak faham bahasa lagi. Ada juga yang kena ketuk dengan joran pancingnya nanti.

Baldi biru berisi ikan itu dimasukkan ke dalam fish box. Kemudian dihempas penutup kotak yang agak berat itu sehingga menghasilkan bunyi kuat. Tersentak Husna dibuatnya.

"Kau takkan dapat ketam. Percayalah cakap aku. Makan sahaja apa yang dah dapat hari ini, jangan nak merungut macam budak kecil." Tegas Lanun berkata-kata.

Ternganga Mulut Husna kali ini. Apa? Macam budak kecil? Hendak tergelak pun ada.

"Kalau saya merungut macam budak kecil, awak itu pula apa? Macam parents yang kedekut nak tunaikan permintaan budak-budak huh?" Soal Husna, tidak puas hati.

"Bukan kedekut, tapi ada beza kehendak dan keperluan. Tak semua benda yang kita mahukan ikut akal, tapi lebih kepada nafsu. Jadi tak boleh tunaikan semua permintaan mengarut itu. Tak kesahlah mampu atau tidak, sebaiknya mengelak daripada ikutkan kata nafsu yang akhirnya akan buat kita menyesal." Ujar Lanun, membetulkan tanggapan Husna semula.

Husna terdiam. Setiap kata yang keluar dari bibir lelaki itu tak ubah seperti peluru kecil yang berbisa. Kalaulah boleh dilihat dengan mata kasar, mungkin dah berdas-das peluru mengena tepat ke lubuk hatinya. Ya. Dia akui. Memang dia selalu ikut nafsu daripada ikut akal itu.

"Sudahlah, mari balik."

Terpinga-pinga Husna tatkala melihat lelaki itu sudah melangkah ke hujung bot untuk menghidupkan enjin.

"Sepuluh minit!" Jerit Husna.

Langkah Lanun terhenti. Dia menoleh ke belakang dengan kening berkerut. Apa yang sepuluh minit? Dia diam, menantikan sambungan Husna.

"Beri saya sepuluh minit lagi, kalau tak dapat ketam juga. Kita balik." Ujar Husna.

Sekali lagi Lanun mengeluh. "Berapa kali aku nak kena ulang? Kau takkan dapat ketam."

"Mana awak tahu? Rezeki itukan Tuhan yang bagi, bukannya awak!"

Memang. Memang bukan rezeki itu dia yang tentukan.  Tapi haruslah ikut logik akal juga, mana ada orang pancing ketam guna joran. Sengaja dia tidak memberitahu Husna tentang hal itu, kerana dari kata-katanya di kampung tadi nampak seperti profesional semacam sahaja dalam bab memancing.

Namun disebabkan Husna yang masih keras kepala, terpaksa juga dia menurut.   Kepala diangguk.

"Okay. Sepuluh minit sahaja."

Husna tersenyum menang. Yes! Tidak mahu membazir masa, Husna kembali ke tempat duduknya. Merenung pelampung pancing itu sehingga dia muncul tanda-tanda ada haiwan laut yang mengena pada umpannya.

Sudah dua minit berlalu. Tiada apa-apa berlaku. Ah, Sabar Husna. Memancing ini memang perlukan kesabaran yang tinggi. Buktikan kepada lelaki yang kononnya pandai sangat itu, bahawa kau boleh lakukannya!

Lanun menghembus nafas kecil. Kasihan pula dia lihat setiap peluh yang mengalir keluar dari celahan dahi Husna. Tak dinafikan, cuaca hari ini memang panas yang amat. Lantas topi nelayan itu ditanggalkan sambil kaki meluru ke arah Husna yang masih duduk melihat joran pancingnya.

"Pakai ni." Terus topi itu diletakkan ke atas kepala Husna.

Terasa lega sedikit apabila mukanya terlindung dari cahaya matahari. Kenapa daripada awal sahaja mamat ni tak bagi? Tidak gantleman langsung!  Aku dah separuh masak, baru dia hulurkan topi. Omel Husna di dalam hati.

Sekejap Lanun tunduk melihat ke bawah bot. Hmm, tidak nampak ada landak laut. Bibirnya menyenget.  Lantas dia mengundur beberapa tapak ke belakang.

"Aduh, cepatlah ketam! Aku taruh umpan bukannya sedikit. Kalau tak dapat, memang si Mr.Pirate itu akan mengejek aku sebab tak percayakan cakap dia..." Bebel Husna, perlahan. Menunggu pun buat dia rasa penat dan hampir beralah. Tetapi tidak sesenang itu. Dia mahu membuktikan kepada Lanun yang dia boleh!

Tetapi...

Kening Husna berkerut. Mengapa senyap sahaja suasana di atas bot ini? Hanya suara dia sahaja yang kedengaran membebel daripada tadi. Ke mana Lanun? Dia menoleh ke belakang.

Tiba-tiba rasa nak terkena serangan jantung. Longlai. Ternganga sesaat. Kalau boleh, hendak terjojol keluar mata coklatnya apabila melihat lelaki itu sedang menanggalkan baju T shirt kelabunya.

Gugup Husna saat ini. Namun anak mata tetap bergerak dari bawah hingga ke atas. Cuma seluar hitamnya sahaja masih melekat pada tubuh, manakala bajunya sudah ditanggalkan. Mendedahkan dada bidang dan otot tubuhnya yang mengalirkan cecair peluh.

GULP!

Air liur ditelan. Seksi bertambah seksa mata melihat.

"Kau tengok apa?" Tegur Lanun.

Terus anak mata Husna naik ke atas semula. Bila mata saling berlaga, terasa seperti terkena renjatan elektrik. Otak baru dapat berfungsi semula. Terus Husna menjerit sebelum menutup sepasang matanya dengan tangan.

"Ap... apa awak buat ni?!" Soal Husna, tergagap-gagap. Antonasi suaranya sedikit meninggi. Adakala dia membuka sedikit celahan jari. Mengintai, manalah tahu dia pakai baju semula.

Alamak, dia masih tak berbaju lagi!

Tutup balik.

Amboi, tengok dua kali nampak. Lanun tunduk memandang tubuhnya. Mengapa dia pula yang dimarah? Bukannya dia suruh toleh ke belakang pun.

"Kenapa? Seksi ek?" Sempat lagi Lanun menyakat. Bibir menyenget penuh nakal.

Husna ketap bibir. Merah mukanya saat ini. Tak perlu pakai make up lagi. Jantung juga turut berdegup dengan pantas. Tak dinafikan, dia memang seksi. Eh, astaghfirullah hal azim! Apa aku cakap tadi?

"Kenapa tiba-tiba buka baju dekat tengah-tengah laut ni? Kalau ada orang nampak, mereka akan fikir yang bukan-bukan!" Marah Husna.

Lanun menjuih bibir. "Siapa aje yang ada dekat sini selain aku dengan kau?"

Betul juga. Mereka dekat tengah laut. Mana ada manusia yang lain.  Apalah kau ni Husna!

"Kalau aku buat yang bukan-bukan pun, tetap tiada siapa yang tahu juga." Sambung Lanun.

Ah, sudah! Husna mula tak keruan. Apa maksud lelaki itu? Mentang-mentanglah mereka berdua sahaja disini. Dan Lanun pula akan mengambil kesempatan kepadanya? Jangan mimpi! Dia takkan sesekali biarkan maruahnya tergadai begitu sahaja.

"Awak jangan berani nak sentuh saya! Saya boleh saman awak berpuluh-puluh ribu kalau awak cuba ambil kesempatan!" Bentak Husna. Memberi amaran.

Malahan boleh pula Lanun tersenyum sinis. 

"Samanlah." Cabarnya sebelum baju T shirt kelabu yang berada ditangannya dicampak ke atas kepala Husna. Terus dunia menjadi gelap seketika. Dia tidak nampak apa-apa. Makin membuatkan jantungnya berdegup laju memikirkan apa yang lelaki itu sedang lakukan.

Sedang buka pakaian yang seterusnya kah? Jangan!

Terus Husna menarik baju yang menutup kepalanya. Dicampak ke tepi jauh-jauh. Dan disaat anak matanya terkalih ke arah Lanun, lelaki itu sudah berada dihujung bot. Kening Husna masih berkerut.

"Hino ko po." Ucapnya.

Sekejap. Rasanya dia pernah dengar perkataan itu keluar dari mulut Encik Nathan. Maksudnya selamat tinggal, bukan? Tetapi dia hendak ke mana?

Husna masih lagi memandang. Ada senyuman bermakna dibibir lelaki itu.  Dan tanpa sebarang isyarat, dia terus melompat, memusing tubuh 360 darjah serupa gaya penerjun hebat.

Debush!

Bunyi percikan air kuat kedengaran. Ada yang terpercik mengena kulit wajah Husna. Buat sesaat dia memejam mata, dan apabila kembali terbuka. Kelibat Lanun tidak lagi kelihatan. Cepat-cepat Husna bangun dari tempat duduk, berlari ke hujung bot.

Kepala menunduk ke bawah. Air laut yang biru jernih itu langsung tidak menampakkan bayangan lelaki itu daripada atas.

Ke mana dia pergi?

Seminit.

Dua minit.

Lanun masih belum timbul.

Hati mula rasa resah. Husna cemas. Dia sudah jauh tenggelam ke dasar sanakah?

"Awak?" Husna memanggil. Tiada yang merespon. Ah, sudah! Jangan tinggalkan dia seorang diri diatas bot. Husna pandang sekeliling.  Tiada pula manusia lain yang lalu disini untuk dia meminta pertolongan.

"Lanun! Awak jangan nak takutkan sayalah!"

Tetap senyap.

"Aduh, apa aku nak buat ni? Nama lanun, tapi takkan tak pandai berenang? Tolong! Ada orang lemas!" Jerit Husna. Cuba meminta pertolongan biarpun kedengaran mustahil. Husna tunduk ke bawah lagi. Kenapa lelaki itu masih belum timbul?

Ya Tuhan. Apa yang dia perlu lakukan sekarang?

"Gah!!!" Tak semena-mena, kepala Lanun keluar dari bawah bot. Ingatkan hantu air rambut putih, rupanya bukan! Dek kerana terkejut punya pasal, Husna spontan terundur ke belakang. Entah dimana silap pada langkahnya, dia tergelincir sehingga jatuh terlentang ke belakang. Akan tetapi bukan diatas bot, tetapi ke air laut.

"Tolong! Saya tak pandai berenang!" Jerit Husna, tenggelam timbul suaranya.

Mata hazel Lanun terus terbeliak. Dia tidak sangka akan jadi sampai begini sekali.

"Ya Allah, Husna! Tunggu!" Pantas Lanun menolak air dengan tangannya, berenang menghampiri Husna yang tenggelam timbul di dalam air.

Sebaik sahaja tiba disitu, terus dia menarik Husna rapat ke tubuh. Dan Husna juga pantas berpaut tangan pada batang lehernya. Sebelah tangan Lanun memeluk erat belakang pinggangnya, menahan dia daripada tenggelam ke dasar yang dalam sana. Manakala sebelah lagi menahan pada bot, agar mereka berdua sama-sama dapat timbul diatas air dan mencuri oksigen yang hilang buat beberapa minit tadi.

"Uhuk! Uhuk" Husna terbatuk-batuk oleh kerana tersedak air laut. Hidung dan matanya sama-sama merah. Pedih.

"Bernafas! Tarik nafas lagi!" Arah Lanun, dia mahu Husna terus bernafas agar tidak memberi kejutan pada jantung. Kali ini Husna tidak melawan. Malah akur dengan setiap arahan.

Nafas ditarik lalu dihembus.  Diulang sehingga jantungnya berdegup seperti normal.

"Pandang aku."

Husna mendongak. Memandang wajahnya. Merenung ke anak mata Hazel lelaki itu yang sedang berlari ke seluruh wajahnya. Jelas, dia nampak risau. Nafas Lanun juga tidak teratur. Mungkin dia pun penat semasa berenang tadi.

"Kau tak apa-apa?" Dia menyoal. Buat kali pertama, suara lelaki itu tidak sedingin sebelum ini. Lebih mendatar.

Husna sekadar angguk kepala sebagai jawapan dia tidak apa-apa. Entah mengapa, Husna tak mampu hendak bersuara sekarang. Jika tadi jantung berdegup laju dek kerana tindakan refleksi yang dihantar ke otaknya, kini ia berdegup lebih pantas oleh sebab lain. Jarak mereka terlalu rapat. Tangan kiri milik lelaki itu juga masih kuat merangkul pinggangnya. Tidak akan sesekali biarkan dia terlepas. 

Dan apabila mata mereka berlaga sekali lagi. Husna terpanar. Kuat disudut hatinya mengatakan bahawa ini bukan kali pertama mereka bertentangan mata sebegini. Ibarat deja vu daripada mimpi yang terjadi ke realiti. Mengingatkan dia kepada Mr.Blue yang sama pernah menjadi penyelamat seperti sekarang.

Patutkah aku tanya dia, sama ada dia Mr Blue atau bukan? Ah, tak mungkin. Husna melupuskan fikirannya sendirinya. Sudah terang lagi bersuluh, lelaki yang ditatapnya sekarang tiada ciri-ciri Mr.Blue itu sendiri.

"Berapa lama kau nak pandang aku macam itu?" Soal Lanun.

Terlalu leka mengamati wajah lelaki itu, sehingga tidak sedar yang dia pun turut dipandang. Pipinya kembali memerah menahan malu. Cepat-cepat Husna melarikan anak katanya ke lain.

"Mana ada! Saya tak pandang awak pun! Jangan nak perasanlah." Degus Husna. Ceh, sudah kantoi pun masih mahu berselindung. 

"Tadi kau kata, kau akan saman aku kalau aku ambil kesempatan bukan?" Soal Lanun lagi, mengalihkan perhatian Husna memandangnya kembali dengan kening berkerut.

"Aku rasa, aku yang akan saman kau nanti." Sambungnya.

Terus mata Husna membulat. Eh, kenapa pula?

"Apahal pula? Saya tak buat apa-apa pun! Awak yang sentuh saya sekarang ni!"

"Aku terpaksa pegang kau supaya kau tak tenggelam. Tapi tangan kau... yang ke lain sekarang." Ujar Lanun, kepalanya menunduk ke bawah. Melihat sebelah tangan Husna yang melekap di dada bidangnya.

Sekali lagi mata Husna terbeliak. Cepat-cepat dia menarik tangannya semula. Malu dua kali ganda menyelubungi diri. Tidak tahulah bagaimana merah mukanya sekarang. Buatkan dia mahu lari sejauh yang mungkin daripada terpandang wajah Lanun.

"Yang itu bukan sengaja, saya pun tak sedar! Ah, tak kesahlah. Sampai bila kita nak macam ni? Saya nak naik atas bot! Saya nak balik!"

"Yalah. Sabarlah, aku pun nak naik."













Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro