Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 3

"KE mana kita ni?" Nadia bersuara setelah mereka bertiga berjaya mengharungi lautan manusia yang mengunjungi PC Fair itu. Semput rasanya terpaksa bersesak-sesak dengan pelbagai manusia di dalam dewan yang sederhana besar itu.

"Starbucks, jom. Dahaga tahap gaban ni," usul Iman. Peluh di dahi dilap dengan belakang tangan. Sesekali berkerut menahan panas yang belum hilang biarpun mereka bertiga berada di dalam pusat membeli-belah yang dipasang penyaman udara.

Iman, Nadia dan Karmila mengambil tempat di satu sudut yang lengang. Pesanan dibuat. Masing-masing melepaskan lelah. Aktiviti pada hujung minggu yang agak memenatkan. Kalau tidak sibuk dengan urusan, bolehlah berkumpul.

Kalau tak, sorang ke hulu, sorang ke hilir. Komitmen Nadia sebagai jurutera memerlukan dia untuk ke luar daerah dan Karmila selaku guru sekolah persendirian kadang-kadang menuntut pengorbanan hujung minggunya demi kejayaan anak murid. Maka pertemuan best friend forever (BFF) hanya berlangsung apabila ada kelapangan.

"Eh... Cuba tengok sana tu." Karmila memuncungkan mulutnya ke suatu sudut.

Iman dan Nadia serentak menghalakan pandangan ke arah yang dimaksudkan oleh Karmila. Nampak teruja menunjuk. Kelihatan seorang wanita jelita yang agak seksi dengan skirt sendat paras lutut dengan baju T tanpa lengan.

"Perempuan seksi tu ke? Siapa?" Bertubi-tubi soalan Nadia. Pandangannya tetap kepada wanita jelita yang tiba-tiba menjadi topik perbualan mereka waktu itu.

"Artis ke?" Iman menyampuk. Anak matanya membulat apabila terpandangkan susuk tubuh tegap yang mendekati wanita tersebut. Macam kenal?

Jejaka yang baru melangkah masuk menjadi halwa mata mereka bertiga. Lebih melopong apabila melihatkan gaya pasangan tersebut yang agak kebaratan. Selamba wanita itu memeluk leher lelaki yang menghampirinya lalu dicium pipi jejaka tersebut. Ternyata lelaki itu merelakan. Ah, mana-mana lelaki pun kalau dah disondol dengan wanita cantik, siapa yang menolak?

"Kacak, weh!" Nadia memuji. Matanya masih lagi tertumpu kepada gelagat merpati dua sejoli di hadapannya.

Iman masih lagi berkerut. Otaknya cuba memproses data. Mengingati gerangan jejaka yang macam pernah dilihatnya itu. Artis juga ke? Rupa dah ada iras-iras Daniel Henney dah sikit.

"Haaa... Kacak, kan? Itulah anak Dato Ariff." Karmila memberi sedikit info.

Mmm... Cikgu ni memang begitu mengambil tahu hal-hal gosip artis.

"Orang kalau dah lawa mestilah pasangannya yang lawa juga. Barulah secocok."

"Amboi, cikgu. Bukan main kau. Bab macam ni tau aje. Luas betul ilmu pengetahuan kau," sindir Nadia.

Karmila tersengih.

"Rajin membaca luas pengetahuan."

"Masalahnya kau baca bab gosip aje."

"Haaa... Itu pasallah aku tahu." Karmila tidak mahu kalah.

"Siapa tu? Artis baru ke? Aku kenal Fasha Sandha dengan Fazura aje." Iman mencelah. Otaknya masih kabur. Sejak bila pula dia hilang ingatan ni?.

"Minah tu model toplah. Selalu keluar dalam Marie Claire, Elle. Itulah kau, tak ambil tahu pasal dunia luar." Karmila saja mengenakan Iman.

Iman mencebik.

"Kalau aku baca sendiri, kau dah tak ada topik nak bercerita."

"Dia kan kepochi!" Nadia menempelak selamba. Serentak dia dengan Iman ketawa mengekek.

Karmila sekadar menjeling. Tidak terasa hati dengan gurauan kawan-kawannya itu.

"Pakwenya tu artis mana pula? Mesti selalu keluar majalah Playboy, kan? Sebab tu kau tahu." Nadia menyoal dengan ketawa yang bersisa.

Iman tersedak Caramel Macchiatonya. Tidak tercapai dek akal Cikgu Karmila membaca majalah 'orang dewasa' tu. Ketawanya kembali terletus.

"Gurau kasar ni, weh. Agak-agaklah sikit aku nak baca majalah tu. Hilanglah kredibiliti aku sebagai cikgu nanti."

"Manalah tahu. Dah kata serba-serbi tahu pasal dunia artis ni."

"Mamat tu pewaris syarikat bapanya. Pernah keluar dalam Forbes sekali kut kalau tak silap aku."

"Nampak macam muda lagi. Entah-entah baru habis U. Entahkan grad entahkan tidak. Orang kaya. Belajar tak habis pun tak apa. Harta yang ada pun makan tak luak." Nadia berseloroh seraya meneguk minumannya.

"Hesy... Kau ni. Bersangka baik ajelah. Kalau betul pun, itu urusan dia. Tak jadi kudis pun kat kita. Tapi kalau salah, dah berdosa kita mengata dia." Iman bersuara.

"Aku sokong!" Karmila menaikkan ibu jari kepada Iman. Matanya menjeling Nadia yang berwajah selamba.

"Mmm... Yalah."

Suasana bertukar sunyi apabila pasangan tadi melintasi mereka. Mata-mata lain juga memerhati pasangan secocok itu. Mungkin kagum. Mungkin juga cemburu.

Iman terpaku apabila matanya bertembung dengan anak mata jejaka tersebut.

Riak lelaki itu sedikit berubah. Terkejut mungkin. Namun tetap melemparkan senyuman seraya menundukkan sedikit kepala ke arah Iman sebelum berlalu pergi.

Zariel Imran! Nah, otak Iman kembali berfungsi. Agaknya dia banyak tertelan semut kut. Kena makan kismis lepas ni nampak gayanya.

"Bertuahnya badan dapat pakwe kacak tahap gaban macam tu." Karmila mula berangan. Tangan kanannya menongkat dagu. Matanya masih lagi memandang kelibat pasangan yang makin menghilang dari pandangan mata.

"Cair, weh!"

Nadia dan Iman saling berpandangan. Ah, sudah!

"Berangan lagi! Esok bangun kepala putih dengan uban!" tempelak Nadia.

"Entah kau ni. Angankan laki orang buat apa? Cikgu Faizal kan dah ada depan mata." Iman menokok.

Apa yang menarik perhatian sangat dengan Zariel Imran tu? Setakat kacak ajelah. Dekat publik selamba berpeluk cium bagai tanpa memikirkan sensitiviti masyarakat. Melayu Malaysia kut?! Aku yang tengok ni pula naik segan. Di belakang macam mana agaknya? Hesy... Bersangka baik, Iman! Hatinya berdetik.

"Buat apa cari yang kacak sangat? Susah jaga nanti. Hati pun tak tenang. Asyik fikir orang lain mengurat aje. Kita makan hati! Nanti satu kerja pun tak jadi. Cikgu Faizal tu pun dah sedap mata memandang. Janji tak jelik. Okeylah tu. Apa lagi kau nak?" sambung Nadia.

"Eh... Cikgu Faizal tak ada kena-mengena, ek. Tolong sikit!"

Iman dan Nadia tergelak kecil. Karmila pantang kalau dikaitkan dengan Cikgu Faizal. Lelaki yang memang tergila-gilakannya sejak dia mula berpindah masuk ke sekolah tu beberapa tahun yang lepas.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro

Tags: