Bab 2
DERAP tapak kasut kedengaran berhenti di depan meja. Iman masih tekun dengan kerjanya. Dia sudah maklum gerangan yang berdiri di hadapannya. Siapa lagi kalau bukan bos kecik, Hafiz Ammar, adik kepada Hariz Akmal? Wangian Ck One tu sudah sebati dengannya.
"Ya, Encik Hafiz, boleh saya bantu?" Pandangannya dihalakan kepada jejaka berkulit cerah tersebut. Ops! Ada teman rupa-rupanya. Macam kenal? Bukan ke mamat yang dalam lif tadi?
Mmm... Very good looking man. Tinggi, tegap berkulit cerah walaupun tidak secerah bos keciknya. Gaya? Well... Nampak sungguh berkarisma dengan kemeja biru dengan kot kelabu gelap tu. Macam kena aje dengan warna kulitnya tu. Nampak macam muda lagi orangnya. Isy! Sempat lagi menilai profil mamat ni, hati kecilnya bersuara.
Hafiz tersengih.
"Lewat masuk hari ni?"
Huh! Ni lagi sorang. Tadi Si Zurainah tegur. Begitu prihatin dia orang kat aku rupa-rupanya. Bersangka baik sentiasa.
"Kereta buat hal." Hafiz dijeling sekilas.
Makin lebar sengihan Hafiz.
"Tak cun la kalau muncung-muncung macam tu. Tak jadi member I nak mengurat you."
Wajah Iman membahang. Tahu itu sekadar gurauan, tapi naluri wanitanya tetap terpalit rasa segan melihatkan senyuman nipis terukir di bibir merah lelaki tersebut. Jelas dia bukan seorang perokok.
"Pandai aje you! Tengok, member you pun dah segan dengan I." Iman bersahaja. Sekadar menutup rasa malu yang bermukim dalam hati.
"Hehehe... By the way, kenalkan Zariel Imran."
Pandangan bersatu. Salam bersambut.
"Iman."
"Iman ni orang kanan bos. Single lagi. Kalau kau nak cuba boleh kut. Itu pun kalau kau beranilah." Hafiz masih galak mengusik sambil menepuk bahu kawannya.
Terletus ketawa kecil dari mulut Zariel Imran. Geli hatinya melihat Iman tiba-tiba membulatkan mata ke arah Hafiz. Tampak comel dengan mulut kecilnya yang sengaja diherot.
"Kenapa kena berani baru boleh mengurat dia?"
Anak mata Iman terjengil keluar. Terkejut dengan respons daripada tetamu di hadapannya. Suara macho tu! Sedap aje menjadi halwa telinganya.
"Encik Zariel tak payah layan Hafiz ni. Dia memang suka cari pasal." Buk! Laju tangan Iman menghempuk lengan Hafiz dengan fail keras yang kebetulan ada di depannya. Nasib baik ada tetamu. Kalau tak, memang dah lama disekehnya mamat ni.
Hafiz berkerut. Tangannya laju menggosok lengan yang baru dihempuk oleh Iman. Bukan sakit sangat pun sebenarnya.
"Haaa... Tengok? Sebab inilah aku cakap kau kena berani dulu kalau nak mengurat dia. Bukan calang-calang awek dia ni. Ada tali pinggang hitam. Ni baru sikit. Belum dia buka jurus-jurus tae kwan do lagi tu."
"Ooo... Really? Wow, I am impressed!"
Perli ke apa ni? Takkan hempuk dengan fail tu pun dah teruja kut?
"Haaa... Memang. Dia dah selalu merasa jurus-jurus tae kwan do I tu. Sebab tu dia tahu."
Zariel Imran tersenyum.
"Mujur I tak usik you dalam lif tadi. Kalau tak, agaknya I pun merasa juga penangan you," usiknya.
Suka pula dia tengok wajah gadis di depannya kemerah-merahan. Sesuatu yang tiada pada Aalia. Mmm... Dia mengeluh. Suri hatinya sejak enam tahun lalu. Dia cuba menarik buah hatinya ke fasa yang lebih serius namun kerjaya wanita itu tetap menjadi penghalang. Dunia Aalia cuma modeling. Selagi belum tercapai cita-cita sebagai supermodel, maka tiada istilah perkahwinan dalam hidup. Demi cintanya yang utuh, Zariel Imran setia menunggu.
"Eh, kalau sengaja cari pasal memang mendapatlah. Kalau duduk diam-diam tak ada buat apa, I pun relaks aje." Iman tersenyum sumbing.
"Ada apa sebenarnya ni, Encik Hafiz? Tiba-tiba bertangga depan I pagi ni." Pandangan Iman beralih ke arah bos kecik kesayangan ramai yang berpangkat adik dengannya.
"Oh, lupa I. Tengok you aje I terus lupa apa yang I nak buat sebenarnya." Usik lagi! Mengekek dia ketawa.
"Mengada-ada betul! Jangan you mengigaukan I dah."
"Dalam mimpi pun mesti kena pukul. Tak naklah I. Bangun pagi aje badan lebam-lebam macam kena gigit hantu."
"Bongok! Betul-betul kena kacau dengan hantu baru tahu." Hati Iman berdongkol geram.
Pagi-pagi dah kena main-main dengan mangkuk tingkat ni! Kalau Encik Hariz ada, tiada siapa berani kacau dia. Apatah lagi nak ketawa mengilai macam langsuir di depan mejanya yang berhadapan dengan bilik bos besar. Semua tahu Encik Hariz tak suka suasana bising. Kalau boleh bercakap pun kena berbisik. Masa itulah dia aman. Boleh buat kerja dengan tenang. Ni pantang bos besar tak ada, masing-masing tunjuk belang. Buli dia pula tu!
Ketawa Hafiz dan Zariel Imran berpadu. Tegang urat perut rasanya.
"Okey... Okey..." Hafiz menahan tawa. Semput dadanya.
"I nak keluar dengan Zariel. Mungkin tak masuk ofis dah kut sebab petang nanti I terus ke site dekat Kuala Selangor. Nak minta tolong Kak Iman uruskan janji temu I dengan engineer Jitu Berhad lusa boleh?"
"I PA abang you. Bukan you." Sengaja dia mengusik Hafiz.
"Ala tolonglah, kak. Abang belum balik, apa salahnya akak tukar bos kejap." Hafiz memujuk. Dia tahu Iman tidak akan menolak.
"Banyak cantik muka you! I setia kepada abang you aje tau." Iman pura-pura menyambung kerjanya.
"I memang tak cantik tapi I kacak." Hafiz berseloroh seraya tergelak.
"For your info Zariel, Kak Iman will be my future sister in law."
Iman menjengilkan mata. Ini sudah lebih!
"Gurau kasar nampak?"
Hafiz menjarakkan badannya dari kedudukan Iman. Takut kena hempuk lagi. Bibirnya mengukir senyum.
"Maaf... Maaf... I gurau aje." Kedua-dua tangannya diangkat seumpama menyerah kalah.
Zariel Imran yang menjadi pemerhati sekadar tersenyum sumbing. PA dengan bos memang tidak dapat dipisahkan. Patutlah ramai isteri yang berjaga-jaga dan mengambil tahu siapa setiausaha suami. Takut setiausaha naik pangkat jadi isteri kedua. Monolognya dalam hati.
"Tolong ya, Kak Iman? Sekali dengan dokumen yang I perlukan nanti. I really appreciate that." Cepat-cepat Hafiz buat isyarat beredar kepada Zariel.
Iman ternganga. Belum sempat dia cakap ya atau tak. Huh... Budak tak makan saman! Dia tidak kesah untuk menolong walaupun kadang-kadang mengganggu perjalanan kerjanya. Tapi kalau tidak ditolong rasa kesian pula. Suruh ambil PA tak mahu. Takut tak boleh buat kerja katanya. Macam-macam alasan.
"You owe me once!"
"I will pay double for that." Hafiz mengenyit mata dari jauh. Tersengih dia melihat wajah Iman mencuka.
"And I love you too!" laungnya sebelum hilang dari pandangan.
Kurang asam punya budak! Menggeleng kepala Iman dibuatnya.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro