Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 13

KURANG sebulan dia bakal bertukar status. Dia masih tidak faham kenapa majlis perlu dibuat tergesa-gesa. Banyak yang nak kena selesai kut? Belum selesai masalah Zariel yang diam membisu, sekarang dia terpaksa melayan kerenah bakal mentuanya yang begitu bersungguh-sungguh membuat persiapan. Dari barang hantaran sampailah ke fitting baju pengantin!

Dia sebenarnya tiada sebarang perasaan dengan aturan majlis itu. Semua urusan diserahkan kepada keluarganya dan juga Mommy Sue. Waima segala bentuk borang nikah kahwin. Dia sekadar menurunkan tandatangan mana yang perlu. Mujur keluarga seakan-akan memahami. Cukup dengan penerimaan dia terhadap perkahwinan ini. Dia korbankan masa depannya demi orang-orang yang dia sayang.

"Yang ini okey? Iman suka tak?" Suara Datin Sue Ann mematikan lamunan Iman. Segera anak matanya beralih pada beberapa lakaran baju pengantin di depannya.

"Cantik, mommy." Hanya itu yang terluah. Semangat pengantin baru tiada dalam diri. Pelawaan Datin Sue Ann untuk ke butik pengantin diturut tanpa rela. Aktiviti hujung minggu yang dirancang bersama BFFnya terpaksa dibatalkan pada saat-saat akhir.

"Iman lagi suka yang mana? Beritahu mommy. Ke Iman nak alter lagi design ni?" Telapak tangan bakal menantunya ditepuk perlahan. Wajah mendung gadis itu ditatap. Seawal mereka masuk ke butik tersebut, tiada apa menarik perhatian gadis itu. Dia tabahkan hati melayan kerenah anak menantunya ni. Masing-masing buat hal. Jenuh dipujuk Zariel ikut serta tapi ditolak mentah-mentah.

Iman juga memberi pelbagai alasan sebelum dia berjaya memujuk gadis itu keluar. Itu pun selepas diberitahu yang Zariel tidak ikut serta. Hesy... Memang patut disegerakan majlis perkahwinan ni!

"Eh... Tak perlu, mommy. Ni dah cantik sangat sampai Iman tak tahu nak pilih yang mana." Iman berbahasa. Kesian apabila tengok kesungguhan Datin Sue Ann dilayan ala kadar aje.

"Mommy pilihkan untuk Iman boleh? Iman failed kalau bab pilih baju ni." Senyuman terukir.

"Takut orang kata pilihan Iman ni outdated," bisiknya ke telinga Datin Sue Ann.

Terletus ketawa dari mulut Datin Sue Ann. Geli hati dengan bicara bakal menantunya. Mana mungkin butik pengantin terkenal ni mengeluarkan design yang ketinggalan zaman. Semuanya ikut peredaran masa sampai dia sendiri pun rambang mata. Semuanya cantik-cantik, bukan seperti zamannya dulu.

"Betul nak mommy pilihkan ni?"

Iman mengangguk. Dia pasti akan buat pilihan yang terbaik sekiranya itu majlis impiannya. Tapi situasi sekarang bukan seperti apa yang dia angankan. Bakal disatukan dengan orang yang dia tak cinta, bukan memori manis yang perlu tulis di dalam diarinya tiap-tiap malam.

"Iman tak kesah majlis ni tak disambut besar-besaran macam orang lain?" Datin Sue Ann menyoal lembut.

Pandangan bakal menantunya perlu diambil kira juga. Dalam bahagian ini dia terpaksa mengalah dengan kehendak Zariel yang tidak mahu majlis gah seperti yang diimpikan selama ni. Bukan kerana tidak mampu, malah keluarganya lebih daripada berkemampuan. Kaum kerabat dan sahabat handai mereka ramai. Berpangkat lagi.

Tapi syarat dari anak terunanya yang tidak mahu sebarang publisiti membuatkan dia terpaksa melupakan majlis gah impiannya. Zariel dah akur dengan permintaannya untuk berkahwin, jadi pendekatan sama juga harus dia ambil. Akur dengan syarat yang dikemukakan oleh Zariel!

"Iman tak kesah pun, mommy. Iman bukan artis nak buat majlis grand macam tu. Penting yang wajib aje." Sekurang-kurang dia bersyukur dengan syarat yang dikemukakan oleh Zariel. Kalau boleh disorokkan majlis ni, lagi dia suka. Biar semua orang tak tahu dia dah kahwin. Rakan sepejabatnya pun tidak terlintas untuk diajak ke majlisnya nanti. Cukuplah orang terdekat aje yang tahu.

"Mommy kadang-kadang tak faham dengan perangai Zariel tu. Orang lain kalau boleh nak buat majlis tujuh hari tujuh malam. Tapi dia tak. Mmm... Entahlah." Keluhan dilepaskan.

Mujurlah besannya memahami. Majlis akad nikah tetap diadakan di sebelah pihak perempuan. Itupun tanpa majlis persandingan, sekadar akad nikah dan membatalkan air sembahyang aje yang dipohon oleh Iman. Resepsi belah lelaki juga tidak diadakan. Cuma majlis kesyukuran yang akan dibuat di kediaman Dato Ariff dengan kehadiran keluarga terdekat sahaja.

"Iman bukan pilihan dia, mommy." Entah kenapa itu yang terluah dari mulut Iman. Pasrah aje bunyinya.

Kepala Iman diusap perlahan.

"Mommy yakin dia akan sedar Iman ialah yang terbaik untuk dia. Iman pun mommy harap dapat menerima Zariel seikhlas hati."

"Insya-Allah, mommy. Apa yang telah direncanakan Allah untuk Iman adalah sebaik-baik perancangan dariada-Nya dan Iman reda dengan perjalanan hidup yang telah tersurat untuk Iman."

Senyuman terukir di bibir Datin Sue Ann. Terharu dia dengan jawapan yang keluar dari mulut comel tu. Dia tahu pilihannya tidak salah.

"Mommy nak pilih yang mana ni untuk Iman?" Iman cuba menceriakan suasana. Pandangan kembali dihalakan pada beberapa lakaran baju untuk majlis akad nikahnya.

"Ooo... Sorry... Sorry... Mommy rasa yang ini sesuai untuk Iman." Tangannya dihalakan pada salah satu design yang tertera di depannya.

"Cantik, mommy!" Kali ini pujiannya memang ikhlas.

Semua urusan majlis diserahkan kepada wedding planner walaupun cuma majlis sederhana saja. Dari katering, gubahan hantaran, baju nikah dan lain-lainnya semua di bawah tanggungan Datin Sue Ann dan Dato Ariff. Kiranya keluarga Iman perlu sediakan badan sahaja. Permintaan Datin Sue Ann sendiri sebagai menebus keengganan anak terunanya mengadakan majlis bagi pihak lelaki. Apa-apa sajalah!

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro

Tags: