Bab 12
BETAPA leganya hati Iman apabila pembentangan proposal tender tersebut tamat setelah lebih dua jam dia berada dalam situasi yang menyesakkan nafas. Arghhh... Zariel Imran! Geramnya kepada anak muda tersebut menjengah. Tak pasal-pasal dia yang kena.
Terbayang di ruang mata wajah Zariel yang mencuka apabila memandangnya. Cuma dengan dia! Senyuman jejaka itu hanya untuk orang lain, bukan aku, tunang terpaksanya ini! Jelingan tajam lagi ada! Huh... Apalah nasib kau, Iman!
Iman mengunyah makanannya dengan tenang. Sesekali matanya menjeling Hariz yang tekun menyuap makanan. Penuh sopan. Usai mesyuarat tadi, lelaki itu membawanya makan tengah hari di Mandarin Oriental. Sepanjang perjalanan sehinggalah mereka menikmati hidangan, Hariz langsung tidak bersuara. Tidak seperti kebiasaanya. Iman mati kata. Ni dah kenapa pula?
"Encik Hariz risau pasal tender tadi ke?" Iman bersuara. Tidak betah rasanya terusan membisu.
Hariz mengangkat muka. Wajah polos yang mula mengetuk pintu hatinya ditenung. Hatinya dipagut rasa cemburu melihatkan pandangan Zariel kepada pembantunya. Memang dia sedar dari awal lagi, cuma diabaikan saja. Namun apabila kelakuan anak muda itu turut menarik perhatian Tan Sri Aziz, dia mula merasakan sesuatu yang tidak kena dengan renungan jejaka tersebut. Diakui dia tercabar.
Dengan pakej yang ada pada lelaki itu, wajar dia rasa tergugat! Tapi untuk apa? Dia hanya bertepuk sebelah tangan. Lagipun kekurangan jelas berpihak kepadanya. Dia duda. Anak tiga lagi. Umur tak perlu cakaplah. Dah setengah abad. Tak layak hendak digandingkan dengan wanita muda seperti Iman. Dia patut berpijak di bumi yang nyata!
"Encik Hariz!" Iman melambaikan tangannya beberapa kali. Dipanggil dua, tiga kali tidak menyahut. Kena sampuk ke apa orang tua ni? Jangan macam-macam!
Hariz tersedar.
"Maaf, awak tanya apa tadi?" Dia cuba berlagak selamba. Minuman diteguk bagi meredakan rasa gemuruhnya.
Iman tersengih melihatkan aksi bosnya yang tak tentu hala tu.
"Saya tanya, bos risau pasal tender tadi ke? Dari tadi senyap aje. Risau saya."
Hariz tergelak kecil seraya menggelengkan kepala.
"Taklah. Saya yakin dengan rezeki Allah. As I said before, kita kena reda dengan apa pun ketentuan yang penting kita dah usaha and do our best. In fact, saya yakin dengan proposal kita tadi. Kita tunggu aje keputusan Tan Sri seminggu lagi."
"Jadi, kenapa dari ofis Tan Sri sampai ke sini Encik Hariz diam aje?"
"Tak ada apa-apa. I just wondering..." Ayatnya tergantung. Sekali lagi mata Hariz memandang anak mata PAnya.
Iman membalas pandangan. Tak sabar pula dia nak dengar butiran selanjutnya.
"What?" Kening dijongket.
Hariz teragak-agak untuk berkata. Perlukah dia mempersoalkan kejadian tadi sedangkan hakikatnya dia bukan sesiapa kepada wanita itu?
"I just wondering, apa yang patut saya hadiahkan untuk staf Hariz Holding seandainya kita dapat tender tu?"
Jawapan yang keluar dari mulut Hariz mengundang ketawa Iman. Itu aje ke?
"Well, nampaknya Encik Hariz yakin dengan projek ni." Alahai bos aku ni! Kepala digelengkan beberapa kali. Buat penat aje dia risau.
Hariz ikut ketawa. Dia tidak pasti kenapa jawapan itu yang terkeluar dari mulutnya. Spontan!
"Tapi saya akan pastikan awak dapat yang spesial nanti."
Iman melopong. Hati berbunga. Terbayang bonus berganda. Ni yang buatnya rasa nak solat hajat tiap-tiap malam. Mohon agar kejayaan berpihak kepada Hariz Holding! Nanti semua dapat merasa keuntungannya.
"Haaa... Itulah yang saya nak dengar. Ni yang buat saya sayang bos ketat-ketat ni. I love you la, bos!" Iman berseloroh sambil mengekek ketawa.
I love you too, Iman! Tapi kata keramat itu sekadar bergema dalam hati. Dia mungkin dikenali sebagai ahli perniagaan yang berjaya, yang berani mengambil sebarang risiko dalam semua tindakan, tapi tidak dalam soal hati dan perasaan. Dia kalah dengan yang satu itu.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro