Bab 1
KAKINYA laju mengayun langkah menuju ke lobi lif. Sesekali matanya melirik ke arah jam tangan Solvil et Titus putih pemberian abangnya sempena hadiah hari kelahirannya yang ke-32 yang lalu. Pukul sembilan empat puluh lima pagi. Lewat empat puluh lima minit! Tentu punch cardnya merah. Huh! Ini semua gara-gara Honda Jazznya tiba-tiba meragam tengah jalan tadi. Boleh pula tiba-tiba mati enjin dekat lampu isyarat. Tanpa sebab yang kukuh pula tu. Ceh! Tak pasal-pasal dia menjadi pencetus fenomena jem hari ini.
Nasib baik ada abang polis trafik kacak yang tolong alihkan Honda Jazz merahnya ke tepi sebelum diangkut oleh penarik kereta untuk dibawa ke bengkel. Sudahnya dia terpaksa menggunakan khidmat pak cik teksi untuk ke ofis.
"Tunggu!"
Nafasnya tercungap-cungap menahan pintu lif yang hampir tertutup.
"Terima kasih," ucapnya ringkas kepada penghuni lif yang sedia menunggunya. Cuma anggukkan yang diterima.
Butang angka 7 ditekan sebelum pintu lif tertutup rapat. Penghuni di dalam lif itu sekadar dijelingnya sekilas. Dahi berkerut, mulut diherot. Lambat pula lif ni, getus hatinya.
Laju kaki Iman melangkah keluar dari lif menuju ke mejanya yang terletak berhampiran dengan bilik Managing Director. Arah penghuni lif tadi juga tidak diambil tahu. Tiada kena-mengena!
"Amboi PA big boss ni, lewat nampak?"
Iman mendongak. Cam benar dia dengan pemilik suara halus tu.
"Mmm... Masa bos kau orang tak ada inilah aku boleh bersenang-lenang sikit," balasnya seraya membetulkan skaf di kolar bajunya. PC on. Bersedia untuk memulakan tugas.
Zurainah mencebik.
"Bos kesayangan akak tu bila balik?"
"Kenapa? Dah rindu ke?" Soalan dijawab dengan soalan. Jarinya laju menekan papan kekunci. Janji temu bosnya perlu dijadualkan semula sebelum lelaki itu kembali dari fasa percutiannya nanti. Wajah Zurainah dijeling sekilas.
"Bukan akak ke yang rindukan bos? Maklumlah, bos cuti panjang. Selalunya ada aje depan mata," usik Zurainah sambil ketawa kecil. Suka dia apabila melihat wajah kakak PA bertukar warna apabila diusik. Blushing!
"Amboi, mulut!" Terbayang di ruang matanya wajah Encik Hariz, duda anak tiga yang masih lagi kelihatan muda walaupun umur sudah mencecah 45 tahun.
Enam tahun dia bekerja dengan Hariz, bermula dari jawatan pegawai biasa sehinggalah diberikan kepercayaan untuk dilantik sebagai personal assistant, dia memang sudah sedia maklum dengan kehendak dan keperluan bosnya yang sentiasa ingin nampak sempurna dalam segenap hal. Kematian isterinya, Puan Rose Maria dua tahun lepas disebabkan oleh kanser payudara, banyak mengubah dunia lelaki itu.
Dunianya hanya tertumpu pada kerja dan anak-anak yang membesar. Kagum dengan ketabahan bosnya dalam mengharungi hidup sebagai bapa tunggal.
"Hoi! Beranganlah tu. Dah sampai London ke?" Mengekek-ngekek Zurainah ketawa.
Iman mencebik. Tersentap dengan sergahan Zurainah. Mukanya rasa berbahang. Kantoi!
"Bos kita tu dah tualah. Pengsan mak aku kalau dapat menantu sebaya dia." Iman cuba berlagak biasa. Sungguh, tak pernah dia menyimpan perasaan kepada bosnya walaupun saban hari diusik. Malu setahun kalau sampai ke pengetahuan lelaki tu nanti. Memandai aje!
"Eleh, apa salahnya? Bos kita tu pun dah lama menduda. Lagipun, akak yang lebih memahami dia."
"Tak ada maknanya! Jangan nak buat cerita pagi-pagi ni," bidas Iman. Budak ni kalau dilayan makin ke laut jadinya. Silap hari bulan jadi gosip. PA dengan bos besar? Huh, simpang malaikat 44!
Dia pun ada taste juga. Bukan main hentam aje. Calon suami pilihan mestilah sesuai untuk digandingkan bersama. Berwajah maskulin, berbadan tegap dan pendengar yang baik. Pakej kaya dengan kerjaya yang hebat, itu boleh dikira sebagai bonus berganda. Mmm... Tinggi betul angan-angan!
"Yang kau ni, tak ada kerja ke apa? Repot kat bos karang!" gertak Iman seraya menjengilkan biji matanya.
"Yalah, Cik Iman. Saya pergi sambung kerja, ya?" Bersama sengihan meleret, Zurainah berlalu.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro