Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 12

Bala ni...

Memang bala.

Aku ingat selama ni, dia syok-syok saja suka menyakat aku. Tak ada pula aku nak masuk dalam hati. Selalu masuk telinga kanan, keluar ikut telinga kiri. Kadang-kadang tak masuk langsung pun. Yalah, sebab dengan Jannah pun kadang-kadang Abang Ham acah lagu tu.

Memanglah tanggungjawab...

Memanglah amanah...

Memanglah tak harap balasan...

Tapi...

Bertahun dia suka, berkali dia ucap. Takkan sepuluh tahun punya harapan, aku musnahkan dengan dua patah perkataan dalam tempoh satu saat saja.

Tak nak!

Hang gila? Balik nanti, mak sunat aku beralaskan batang pokok pisang! Tak boleh lagu tu. Kalau tak mau pun, kena berlapik juga. Kalau susah, siapa lagi nak minta tolong? Dahlah yang paling dekat dengan mak pun, Abang Ham! Mak Jah dengan Pak Lan memanglah dekat tapi susahlah kan, kudrat orang tua tu berbeza.

"Lagu ni, Abang Ham..."

Abang Ham pandang aku.

"Nisa tak tau selama ni Abang Ham ada niat lain dengan Nisa. Nisa anggap abang bergurau. Sebab abang pun suka kata lagu tu dengan Jannah."

"Dengan Jannah tu abang saja nak test Nisa, kotlah Nisa cemburu..."

"Hesy, abang ni. Abang pun tau, Nisa ni kalau bab hati dan perasaan ni, Nisa kategori siput khinzir."

"Manalah abang tau. Dah akil baligh... Hati pun baligh jugalah!"

Choih...

Sebab tak ambil port...

Tak adalah aku nak fikir.

Lagipun, dalam hidup aku... Aku ada misi, visi dan la ni Digi!

"Nisa faham niat baik Abang Ham tu. Nisa bukan tak suka dengan rancangan abang tu semua. Nisa suka. Siapalah tak suka, ada lelaki prihatin dengan masa depan macam abang."

Dahinya berkerut memandang aku.

"Tapi, semua itu adalah rancangan abang, bukan rancangan Nisa. Cuba kalau Nisa ajak abang dok sini, tak payah fikir kebun pisang abang tu atau tanaman herba yang abang nak buat tu. Abang kerjalah tanam pokok kat tepi jalan nu... Apa abang rasa? Abang mesti tak suka, kan?"

Abang Ham sikit mengeluh.

"Abang faham tu, tapi..."

"Nisa baru nak syok kerja kat sini. Abang pun, tak mula lagi. Bukan Nisa nak tolak, Nisa pun tak dak suka sesiapa. Nisa punya fokus la ni, nak kerja elok-elok, nak dapatkan ijazah. Lambat macam mana pun, kalau jodoh Nisa dengan abang... Akan jadi juga, kan? Cepat macam manapun, kalau bukan jodoh abang dengan Nisa, tak akan jadi juga, kan?"

"Yalah..."

"Abang marah ka?"

"Taklah. Takkanlah abang nak marah. Betullah apa yang Nisa cakap tu. Abang sepatutnya tak bolehlah terus pi buat kesimpulan. Hubungan ni, hubungan dua hala. Kalau ikut kepala abang saja, mana nak bahagia."

"Sempoi!"

"Tapi, Nisa tak kesah, kan?

"Kesah apa?"

"Kalau Nisa bersedia, Nisa habaq dengan abang. Sebab abang seganlah nak tanya banyak kali. Ni pun, ketaq kepala lutut, Nisa oi!"

Aku tergelak...

Kalau bagi kuasa tu kat aku...

No hal punyalah!

Aku ni tak dak simpan dalam hati. Tak suka, habaq. Suka pun, habaq. Jenis tak suka nak menipu orang ataupun diri sendiri. Sesuai sangat makna nama Nisa Ardina tu dengan aku... Perempuan suci.

Sucilah sangat!

"Kalau abang jumpa dengan orang yang lebih baik daripada Nisa, abang terimalah dia. Sebab perempuan yang baik, susah nak cari, payah nak dapat!"

Yalah kan...

Kalau kita lepaskan yang baik, demi yang terbaik. Satu hari nanti, kita akan menyesal pula, yang kita lepaskan itu sebenarnya yang terbaik. Jadi, kalau jumpa yang baik...

Terima sajalah!

"Abang ni Nisa, susah nak curang. Kalau dari dulu Nisa, selamanyalah Nisa. Tak dak orang lain, tak boleh nak kat orang lain."

Bukan tak boleh...

Saja tak mau buka hati tu pada orang lain.

Cuba kalau buka?

"Itu dah jatuh harap tu dah, bang. Nisa tak maulah abang berharap pada Nisa, sebaliknya, berharaplah pada Allah."

Pergh!

Ayat aku!

Patut Bahasa Melayu dapat markah meletup-letup habaq hang!

"Okeylah, ustazah. Dah, cepat habiskan teh O ais tu, nanti kena marah pula dengan bos Nisa sebab lewat masuk kerja."

"Relakslah, bang. Mr. Grey dengan Kak Ain tu, pi Putrajaya. Jauh! Bukannya mereka nampak pun kalau Nisa masuk lewat sikit."

"Allah tak nampak? Lagu mana gaji nak berkat ni? Dahlah tadi keluaq awai, tak habaq kat bos. Ni, nak masuk lewat pula! Jangan Nisa, nanti kena bungkus beg balik kampung karang... Tak pasal-pasal kena kahwin dengan abang."

"Yalah, ustoz!!!"

Bab kahwin, terus bangun. Air pun tak lalu nak habiskan. Kembung perut!

Akhirnya...

Abang Ham terima juga penjelasan aku. Itulah cara yang paling baik untuk aku tolak lamarannya elok-elok. Bukannya tolak secara terang-terangan. Tolak secara berhemah. Dia pun tak nampak rasa kecewa atau sakit hati dengan aku. Aku juga tak menolak, kalau akhirnya jodoh aku dengan Abang Ham. Maknanya, bukanlah aku menolak secara total. Aku akan buka hati ini, kalau dah dia memang jodoh aku. Bak kata Jannah, lelaki yang baik, susah nak dapat. Dia kategori itulah. Kategori yang sehidup semati.

Selesailah sudah bab hati dan perasaan dengan Abang Ham. Kalaulah Jannah tau, memang aku kena maki selori la. Jannah dah cakap banyak kali, aku yang buat tak faham. Sekarang, baru ada akai!

Baik tak payah habaq!

Bila aku masuk pejabat, lengang. Tak ada orang. Manalah nak ada orang, aku masuk awal setengah jam. Yalah, dah keluar setengah jam awal. Baru aku nak menuju ke tempat aku, aku perlahankan langkah setelah aku ternampak seperti ada kelibat di tempat Kak Ain. Nasib baik aku tak terus terjah saja. Cepat-cepat aku menyorok di tempat Nadine.

Siot!

Siapa pula yang berani masuk kat tempat aku dan Kak Ain sedangkan aku dan Kak Ain tak ada? Lagipun, bilik Mr. Grey mesti dikunci setiap kali dia keluar sebab semua dokumen penting ada dalam bilik Mr. Grey. Kunci pun, bukan kunci biasa. Siap kunci ada password. Boleh berbunyi alarm kalau salah tekan!

Meja Kak Ain?

Memanglah banyak benda. Orang dah kerja berbelas tahun. Lepas jaga tok, jaga pak... Lepas jaga pak, jaga anak pula! Memang beranak-anaklah barang kat atas meja Kak Ain tu.

Meja aku?

Bekas makanan nasi goreng yang aku bawa pagi tadi, adalah dengan pen dua batang. Apalah yang nak ada atas meja, orang baru masuk kerja tiga hari!

Siapa eh? Apa yang dia buat kat meja Kak Ain? Tidakkah orang tu tahu, ada CCTV dalam tu? Apa ke bangang orang yang masuk tu? Tak perasan ke ada CCTV betul-betul ada hujung penjuru tu? Atau CCTV tu nampak CPCP? Dok tala kat aku, bukan kat Kak Ain. Tu sebab aku saja yang kena dengan Mr. Grey?

Cepat-cepat aku keluarkan telefon bimbit. Cuba untuk rakam apa yang berlaku di dalam. Yalah, kalau sembang kencang tapi tak ada bukti, payah juga. Nasib baiklah aku dah belajar dengan Jannah cara-cara menggunakan telefon ni. Kalau tak pandai lagi, aku tak tahulah.

"Helo... Saya dah letakkan pakej tu atas almari seperti yang bos suruh. Janganlah risau, CCTV tu tak nampak saya. Kalau nampak pun, mereka ingat saya betul-betul servis air cond. Saya bukan buat kerja macam ni sekalilah, Mr. Red. Jangan lupa, masukkan baki dalam akaun saya. Okey, roger!"

Kalau orang tu tak sebut pun, aku tahu ini kerja Mr. Red!

Lelaki itu turun dari tangga. Bergegas aku menukar posisi dengan menyorok di sebalik pintu pantri dengan pokok tu sekali. Menyusahkan betul bila spy dengan belalai gajah ni. Haih, pokok. Kenapalah kau pokok? Kenapalah kau bukan betul-betul belalai gajah? Bolehlah aku pinjam belalai kau, jerit macam gajah. Mahu lari lintang-pukang lelaki tu. Ni tak guna sesen pun spy dengan belalai tu.

Dan...

Lelaki yang bertopi dan beruniform maintenance itu keluar dari tempat aku dan Kak Ain dengan membawa tangga dan alatan pembaikan seakan-akan baru sudah servis pendingin hawa. Sempat aku tangkap gambarnya.

Ambik hang!

Apabila hilang saja lelaki itu daripada pandangan aku, terus aku masuk ke dalam dan menarik kerusi. Aku panjat dan aku ambil sesuatu atas almari itu. Sampul surat. Berat juga.

Aku buka...

Dan aku menelan air liur.

Duit!

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro