Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 10

Hari ketiga bekerja di Puncak Angkasa, aku dah semakin boleh faham dengan apa yang aku kena buat. Kerja aku, kalau Kak Ain jerit saja, aku dah kena ada kat depan dia. Baru tiga hari kerja, aku rasa memang kerja Kak Ain nampak beban. Kalaulah Mr. Grey tak nak jadi CEO, aku rasa Kak Ain boleh jadi CEO sebab kerja dia pun dah macam kerja CEO. Lama-lama aku pun boleh jadi CEO juga, sebab aku buat kerja Kak Ain yang macam kerja CEO tu. Heh...

Berangan!

Berangan kan free!

Ada ke CEO pakai baju kain kapas yang macam kain uniform taska kanak-kanak ni?

Aku ingat Jannah sorang saja yang berani tegur baju aku macam tu. Rupanya, ramai yang tegur aku hal yang sama. Baju petak-petak warna merah putih, macam uniform taska ke? Maklumlah, lama dah tinggal zaman tu. Tapi, corak macam ni, comel apa?

"Kenapa kau tak tocangkan sekali rambut kau?"

"Hesy, Kak Ain ni. Saya kan bertudung. Celah mana nak bertocang pula? Perli sayalah tu!"

Kak Ain ketawa.

"Ingat dulu anak Kak Ain, pakai baju macam ni. Bertahun-tahun sudah. Setiap pagi sebelum pergi sekolah, Kak Ain tocangkan rambut dia. Dua tocang. Kalau tidak, pagi-pagi tak nak pergi sekolah, sebab tak comel katanya!"

Aku tersengih.

"Anak Kak Ain berapa orang?"

"Dua orang saja. Yang sulung lelaki, sekarang 12 tahun. Nak UPSR. Yang kecil tu, perempuanlah, sepuluh tahun. Kak Ain kahwin lambat dulu."

"Ohhh... Mesti comel."

"Mestilah, Nisa. Tengok siapa mak dia?"

Aku ketawa.

"Orang utara memang semua meletup!"

"Tau tak apa!"

"Apa yang meletup? Telur?"

Mr. Grey muncul. Lambat hari ni dia masuk pejabat. Dah dekat tengah hari, baru masuk. Pergi ke mana, aku tak tahu. Tapi, Nadine kata tadi, Mr. Grey time off!

"Hesy, apa pula telur yang meletup? Hospital Sultanah Aminah tu yang meletup, Mr. Grey!"

"Ohhh..."

Aku menggaru kepala.

Tak habis lagi cerita pasal telur semalam ke?

"So, ada apa untuk saya hari ni, Ain?"

"Meeting dengan TC1 over lunch."

"Kat mana?"

"Putrajaya."

"Bawa Nisa sekali. So that, dia boleh belajar macam mana nak handle meeting with our top client."

Alamak!

Aku dah janji dengan Abang Ham nak jumpa dia masa rehat tengah hari nanti. Makan bersama dan ambil pokok belalai gajah tu. Kalau aku pergi ke Putrajaya, takkan Abang Ham nak patah balik ke rumah Jannah pula? Kasihanlah dia. Penat dia bawakan pokok tu untuk aku!

Lagipun...

Dia dah rancang nak ke pejabat pertanian tu dulu sebelum jumpa aku kat sini. Lepas tu terus balik ke Pendang. Takkanlah aku nak suruh dia ubah rancangan? Sekarang dah nak masuk tengah hari! Mesti sekarang dia dah dalam perjalanan ke sini.

"Nisa tak boleh ikut, Mr. Grey."

"Kenapa?"

"Boyfriend dia nak datang kejap lagi. Jauh tu datang, dari Pendang. Tu dok minta kat saya keluar awal. Saya suruh dia semak minit mesyuarat yang Nadine taip tu."

Choih sangat, Kak Ain ni.

Tadi aku ada cakap dengan Kak Ain yang Abang Ham nak hantar pokok belalai gajah yang dikatakan boleh mencegah kanser tu, ke sini. Aku nak bagi pokok tu kat Kak Ain dan suruh Kak Ain bagi kat Mr. Grey.

Ada ke pula...

Dia kata Abang Ham tu boyfriend aku?

Kena tarik balik pula telefon bimbit aku tu karang!

"Oh, patutlah!"

Dahi aku berkerut.

"Patut apa, Mr. Grey?"

"Pakai baju uniform taska hari ni."

Kak Ain ketawa besar. Hampeh!

Mr. Grey senyum.

"Too cute..."

Heh...

Cute tak apa.

Tak marah sangat.

"So, nak ajak Nadine?"

"Tak apalah. Kita dating dua sajalah, Ain. Awak ambil minitnya. Please inform Nabil, suruh dia siapkan kereta kejap lagi."

"Okey, Mr. Grey."

Mr. Grey berjalan perlahan ke biliknya. Tetapi langkahnya terhenti dan menghampiri semula ke meja Kak Ain.

"Oh, Ain..."

"Yes, Mr. Grey..."

"Kalau ada Dr. Herlan call, terus pass pada saya. Lepas tu, baru kita keluar. Kalau dia tak call lagi, masa tu awak tak keluar lagi Nisa, minta dia call nombor telefon peribadi saya. Awak ada nombor telefon peribadi saya, kan?"

Aku mengangguk-angguk.

"Ada, Mr. Grey."

"Thank you. Setengah jam lagi, Ain. Lepas tu kita jalan."

Mr. Grey terus masuk ke dalam biliknya. Kak Ain dah gelabah.

"Confirmlah... Confirmlah, Nisa!"

Dahi aku berkerut.

"Confirm apa, Kak Ain?"

"Mr. Grey tu... Kena kanser hati."

"Errr... Kenapa Kak Ain kata macam tu?"

"Pasal... Dr. Herlan tu oncologist. Doktor yang merawat kanser. Dr. Herlan tu kawan baik Mr. Grey. Kak Ain tau sebab seingat Kak Ain, ayah Dr. Herlan tu pernah merawat Tuan Grey dulu. Ayah dia pun oncologist juga. Dr. Herlan pun ada masa merawat Tuan Grey dulu. Kalau tak silap Kak Ainlah. Benda dah tujuh tahun berlalu bukannya Kak Ain ingat sangat!"

"Kak Ain mungkin silap kot."

"Harap-harapnya begitulah."

Tiba-tiba telefon di meja Kak Ain berbunyi...

"Dr. Herlan. Dari mana? Oncologist Department? Ada. Sebentar ya, doktor."

Kak Ain menyambung panggilan itu ke bilik Mr. Grey dan memandang aku.

"Kan betul Kak Ain cakap. Dr. Herlan tu oncologist, Nisa!"

Terus Kak Ain terduduk.

Aku memeluk badan Kak Ain.

"Tak payah dok teriaklah, Kak Ain..."

"Lagu mana tak teriak. Semua bos Kak Ain pi dulu daripada Kak Ain. Awatlah kena kanser hati juga, Nisa? Awat tak kena benda lain? Adakah Kak Ain ni punca depa dapat kanser hati?"

"Hesy, Kak Ain ni..."

Aku menelan air liur. Kalau dah jumpa dengan doktor kanser, sahihlah dah ada kanser. Mak kata, kalau dah ada kanser, tak boleh makan daun tu, takut nanti lagi merebak.

"Harap-haraplah boyfriend hang bawa daun tu cepat. Kak Ain sanggup rebus subuh-subuh gajah, bagi minum daun belalai gajah tu, sampai sendawa macam gajah."

"Tak boleh."

"Hah?"

"Kalau betui dah kena kanser, tak boleh makan daun pokok belalai gajah, Kak Ain!"

"La ni nak makan pokok belalai apa pula ni?"

"Rama-ramalah!"

"Pula!"

"Ikhtiar sajalah... Tak ada pun kata boleh baikkan kanser. Tapi, cuba sajalah."

Masalahnya, pokok rama-rama ni payah pula nak hidup kalau orang tak pandai nak menyemai. Tangan aku? Tangan aku kalau campak benih, bukannya bertukar jadi pokok. Bertukar jadi batu lagi ada. Itu sebab Abang Ham bising kalau aku pegang pokok dia. Automatik, dia suruh cabut. Tak pasal-pasal jadi arang katanya!

Sebut saja nama Abang Ham...

Telefon bimbit aku berbunyi. Cepat-cepat aku angkat.

"Helo..."

"Abang kat bawah ni."

"Awainya abang mai. Sat, eh? Nisa ada kerja sikit."

"Tak apa. Abang habaq saja kat Nisa. Nisa tak payah susah hati, abang tunggu saja dalam kereta. Abang pun ada paper work nak baca."

"Okey... Okey!"

Hmmm...

Sia-sialah bawa pokok tu. Tapi tak apalah, boleh bagi kat sesiapa yang nak. Boleh juga simpan, pokok ubat, kan. Pokok belalai gajah tu senang tanam. Cucuk batang saja dan boleh hidup. Aku ni? Apa batang cucuk pun tak jadi, termasuk batang hidung aku.

Penyek!

Macam kena gelek steamroller.

"Kak Ain nak tak pokok tu?"

"Pokok apa?"

"Belalai gajah tu la... Manalah tau kalau betui Kak Ain tu la punca kan..."

"Hang ni... Mulut capoi!"

Aku tergelak.

"Pecat baru tau..."

"Kak Ain ni... Gurau pun tak boleh. Dia yang kata tak sat..."

"Haip... Office hour, mana boleh cakap utara. Minit mesyuarat BOD tu mana? Siap dah ke belum? Dah bagi Nadine betulkan ke? Suruh semak kerja Nadine saja pun, macam semak teks ucapan PM!"

Ceh...

Dan-dan tanya minit mesyuarat. Tadi tak nak tanya pun. Bergosiplah, berdramalah.

"Belalai gajah tu bukan ke pokok ubat yang boleh mencegah kanser? Saya nak benihnya. Saya cari dah lama pokok tu."

Sekali lagi...

Mr. Grey muncul. Dia ni kan... Macam ikan koi, tak hoi pun, tup-tup hai.

Aku dan Kak Ain tercengang!

Takkan nak cakap orang kalau dah kena kanser, tak boleh makan... Nanti lagi bahaya! Payah betul nak jaga hati orang sakit ni, takut terasa. Nak kata lagu mana ni tak tau?

"Errr... Bukan cakap pasal pokok belalai gajah tu la, Mr. Grey. Kami cakap pasal belalai lain. Errr... Boleh eh, saya minta rehat awal, Kak Ain? Belalai saya dah datang. Soalnya nanti dia nak balik Pendang hari ni juga. Minta diri!"

Cepat-cepat aku cabut!

Kak Ain menepuk dahi.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro