Bab 1
Prolog
"What is your favourite colour?"
"Grey."
"Who is your favourite person?"
"Mr. Grey."
"What is your first word when you woke up in the morning?"
"Where is my husband?"
"Where is he now?"
Aku terdiam.
Bab 1
Meloncat aku apabila dapat panggilan kerja. Bagai nak mampus hari-hari aku tunggu tepi telefon awam depan rumah sewa Jannah, tunggu syarikat tu telefon. Akhirnya... Alhamdulillah, dapat pun aku khabar berita tu.
Aku ni, tak kesahlah kerja apa pun. Asalkan lepas duit bulan-bulan aku ni, cukup. Yang penting, makan. Sebab makan untuk hidup. Kalau tak makan, macam mana nak hidup?
"Berkat doa mak, kak dapat kerja dah mak."
"Kerja apa yang kak dapat tu?"
"Kerja opis!"
"Jadi pegawai ka?"
"Haaa... Pegawai!"
Pegawai hatttuihhh!
Apalah yang boleh aku dapat dengan sijil STPM aku tu? Lainlah kalau ada ijazah. Mula-mula jadi pembantu kepada pembantu pegawai. Lepas tu, jadi pembantu pegawai. Lama-lama jadilah pegawai. Kan?
"Ada duit sikit tu, simpan. Jangan pi hora tak tentu hala."
"Ya, mak... Ya." Aku mengangguk-angguk seakan-akan mak nampak aku sedang bercakap depan dia. Walhal dalam telefon!
"Tak payah bagi kat mak. Kak simpan untuk habuan kak. Kak kumpui duit, lepaih tu ambil kelaih malam... Belajaq balik. Kak ingat ni pesan mak. Kak janji nak pi KL pasai tu, kan?"
"Ya, mak... Ya. Kak dah pi tengok kelaih malam tu. Dekat dengan rumah. Nanti kak dah masuk kelaih, kak habaq kat mak."
"Jaga diri baik-baik, kak... Mak sayang kak..."
Lepas tu, teriaklah anak-beranak tepi pondok telefon awam tu. Mak sensitif, anak pun ikut sensitif. Nasib baiklah rumah Mak Ja jiran sebelah tu ada telefon. Kalau tak ada, susah juga aku nak telefon mak. Gaji pertama nanti, aku kena beli telefon bimbitlah. Satu untuk aku, satu untuk mak.
Dan...
Daftar untuk kelas malam.
Dua benda penting yang perlu aku buat. Pelajaran sangat penting, kalau tak ada ilmu, tak maju. Lagipun, mati aku tak berilmu, salah aku. Bukan salah mak ayah aku. Jadi, aku kena juga dapatkan ijazah sebab aku dah ada STPM. Sekarang ni, nak jadi cikgu tadika pun dah kena ada diploma.
"Jannah!"
"Haaa..."
"Aku dapat kerja dah. Esok aku mula. Nanti aku bayaq duit sewa bilik hang ni, eh..."
"Tak payahlah pikiaq soal duit tu. Hang kerja elok-elok sudah."
"Huih, mana boleh lagu tu, Jannah. Aku kenalah bayaq, mana boleh duduk free!"
"Hang ni... Hang kena panggil aku Jane. Berapa kali aku nak habaq? Dahlah... Tak payah nak pikiaq soal duit tu. Hang kerja elok-elok, dapat duit tu hang simpan. Aku tak perlukan duit hang. Hang ada kat sini teman aku pun dah cukup bagus."
Jannah atau Jane, hesy... Tak dak pasai aku nak panggil dia Jane. Jannah ialah kawan baik aku sejak kecil. Dia anak perempuan Mak Jah, tua daripada aku tiga tahun. Walaupun dia tua aku tiga tahun, kami berkawan baik sebab aku dan dia berjiran. Dia satu-satunya anak perempuan dalam keluarga dia, samalah dengan aku. Sebab itu aku dan dia rapat. Dia satu-satunya kawan baik aku yang duduk di Kuala Lumpur ni. Mujurlah ada dia, bolehlah aku tumpang tinggal rumah sewa dia ni.
Walaupun Jannah baik, aku tak berapa suka dengan kerja yang dia dok buat malam-malam tu. Dok jadi escort girl orang kelas atasan ni. Memanglah lumayan tapi... Haih, entahlah. Nak cakap lebih pun tak boleh, sebab dia dah banyak tolong aku. Diam dan berdoa sajalah agar Jannah kembali ke pangkal jalan dan berubah. Itulah sebab aku dok panggil dia Jannah... Suruh dia ingat syurga sikit. Kalau aku panggil Jane, dah serupa Tarzan pula!
Pak Lan dan Mak Jah tu bukan tau pun Jannah kerja apa. Yang dia tau, anak dia bagi duit beribu-ribu tiap-tiap bulan. Itu yang merata boleh buat homestay. Kalaulah Pak Lan dan Mak Jah tau, aku rasa... Memang kena tabuh Si Jannah tu! Pak Lan tu dahlah orang masjid, tok siak pula tu. Mak Jah tu pula ustazah, ajar mengaji. Nasib depalah. Doa sajalah baik-baik. Mana tau, Jannah jumpa balik jalan yang lurus. Bukan semua orang dapat hidayah Allah, kan?
"Hang ada ka baju nak pi kerja nanti?"
"Adaaa..."
"Jangan cakap baju kurung kain cotton buruk hang tu eh!"
Aku terdiam.
Memang yang itulah... Yang mana lagi?
"Aku dah kata dah. Hang bagi aku tidoq sat, nanti petang aku bawa hang pi shopping office attire."
"Hesy, tak payahlah. Aku kerja biasa-biasa saja. Bukannya pegawai ka apa ka..."
"Nis, hang sekarang kat KL. Orang tak kesah dengan apa kerja yang hang buat, tapi orang kesah dengan penampilan hang. Hang tu ada rupa, baru nak masuk 20 tahun. Nanti orang ingat, hang tu mak cik umoq 40 tahun! Siapa nak naikkan pangkat hang kalau penampilan macam mak cik juai sayoq?"
Aku terdiam.
Haih...
Kalau penampilan dijadikan ukuran, buat apa nak belajar tinggi-tinggi? Sibuk nak bergaya, habiskan duit saja! Datang Kuala Lumpur nak cari duit, bukannya nak habiskan duit.
"Tak payah. Mak cik juai sayoq ka, mak cik balik bendang ka... Tak apalah. Tak payah baziaq! Pi la tidoq, malam sat lagi hang nak kerja lagi! Siang ni hang tak dak modeling ka?"
"Tak dak. La ni job tak berapa nak ada. Nasib baik ada kerja lain. Anyway, Nis... Ikut suka hati hanglah... Apa-apa pun, tolong beli telefon dulu. Tak ada orang gila tunggu orang call kat public phone tu. Nasib baik public phone tu depan rumah aku dan tak dak siapa nak pakai kecuali hang!"
"Yaaa... Itu memang dalam senarai benda yang aku nak beli dulu nanti."
"Aku nak belikan, hang tak mau. Semua hang tak mau. Apaaa? Ingat duit aku tu semua duit haram ka?"
Jannah membebel-bebel sambil menghilang masuk ke dalam bilik.
Haih...
Tu satu hal jugalah.
Kalau dah tahu punca tu mai dari mana... Takkan nak sebat juga? Tak mahulah, jadi darah daging kot. Baki duit yang aku ada pun, aku beli barang basah. Nasib baiklah aku ni pandai berjimat.
Lagipun, sebelum aku ke Kuala Lumpur, siang malam mak aku jahitkan baju ni. Duit upah menjahitnya, habis dia gunakan untuk beli kain kapas tu. Lagi berkat aku pakai baju yang mak jahit daripada nak jaga penampilan yang tak menjamin apa-apa.
Malam itu, aku siap gosok baju untuk seminggu. Berkobar-kobar nak pergi kerja esok, hanya Tuhan yang tahu. Teruja gila. Tak tahu lagi nak kena buat kerja apa, tapi dah teruja membayangkan bulan-bulan nanti aku akan dapat hasil. Walaupun basic gaji cuma RM1,200.00, jadilah... Siapa nak bagi sekupang dua pun!
"Nisaaa..."
"Awat?"
"Kalau ada orang hon tu, hang tolong angkat tangan, suruh dia tunggu sat. Aku nak makeup."
"Haaa okey."
Siapalah agaknya yang Jannah nak teman malam ni? Kelmarin dulu, datang pakai kereta Ferrari tu. Memang kuat enjinnya, berkuda-kuda sampai dengar satu taman. Tak payah hon... Memang dah tau orang mai.
Jannah kata, dia iring saja. Ada juga yang gatal, nak raba-raba. Ada juga yang ajak ke hotel. Tapi, Jannah kata... Dia tak buatlah benda macam tu. Ringan-ringan nak dapat duit lebih, bolehlah.
Hesy...
Geli pula anak tekak aku!
Ikut suka kaulah, Jannah, aku... Kedai runcit pun aku boleh kerja lagi. Asalkan halal. Bila teringat arwah abah, tak naklah aku buat apa-apa yang buatkan arwah abah kena seksa dalam kubur tu. Nauzubillah!
Elok aku habis gosok baju, loceng pintu berbunyi. Cepat-cepat aku sarungkan kepala aku dengan tudung dan bukakan pintu. Sampailah tu agaknya pelanggan Si Jannah!
"Assalamualaikum, mak cik... Saya datang nak ambil Jane. Jane ada?"
Aku menoleh ke belakang. Siapa yang dia panggil mak cik? Tapi, tak ada orang kat belakang aku. Jadi, akulah yang dia panggil mak cik...
Mak cik pungkoq dia!
"Mak cik pungkoq hang. Ada nampak saya ni macam mak cik ka? Sakit pula hati kita. Tunggu sat dia dok tengah makeup!"
Ada ke panggil aku mak cik? Tak pasal muka lelaki yang putih tu bertukar jadi merah. Tak pasal kena marah. Mula-mula geram, lama-lama ketawa sendiri. Tak apalah mak cik pun mak ciklah... Lebih baik daripada hangpa yang dok buat maksiat tu. Haih, astaghfirullahalazim... Minta simpang malaikat 44.
Minta-mintalah gaji aku up cepat sikit, supaya aku boleh sewa rumah lain dan tak nak bersubahat!
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro