Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 1

SEJAK aku dan Althaf tinggal kat kawasan ni, nak kata seronok sangat taklah juga. Tapi, lebih kepada rasa terasing sikit. Aku tak tahu nak cakap macam mana. Tempat tinggal kami bukan macam perumahan elit seperti rumah keluarga Althaf. Tapi, ia seakan sebuah perkampungan yang tak nampak macam kampung.

Alah, susah betul aku nak terangkan. Perkampungan moden la maksud aku. Lebih kurang macam tu. Althaf belikan tanah dan dirikan rumah kami kat sini. Termasuklah beberapa buah rumah sewa.

Aku rasa terasing sebab jarak antara sebuah rumah ke rumah yang lain agak jauh. Kalau ada jenayah yang berlaku, mungkin jiran terdekat tak sedar.

Paling dekat adalah rumah seorang pengusaha produk makanan. Kalau di rumah keluarga Althaf, bolehlah juga aku nampak rumah-rumah berdekatan. Tapi kat sini, sayup mata memandang rumah masing-masing. Paling okey bolehlah nampak bumbung.

Erm... sebut pasal pengusaha tu, dia ada mengusahakan produk makanan home made. Paling terkenal tauhu bergedil. Dia selalu claim makanan dia sedap.

Aku pernah beli sekali tapi tak kena dengan tekak aku. Rasa tengit semacam. Bila aku terus terang, dia marah aku pula. Katanya lidah aku macam orang tua.

Masalahnya, bukan lidah aku je yang rasa macam tu. Lidah Althaf pun sama. Tak terkecuali lidah pekerja-pekerja kami. Pernah sekali aku bawa tauhu bergedil itu ke pejabat.

Aku nak mereka makan dan bagi pendapat. Niat aku bukannya jahat dan nak orang cakap makanan dia tak sedap. Tapi, aku dan Althaf ada rancangan nak bantu dia.

Sebenarnya, kami nak tolong dia pasarkan tauhu bergedil secara meluas, tapi dia pula langsung tak boleh ditegur. Patutlah produk makanan dia tak boleh pergi jauh. Setakat tu ajelah. Bisnes syok sendiri orang kata.

Entah kenapa pula aku teringat pada pengusaha produk makanan yang selalu menyakitkan hati tu? Baik aku mop lantai dapur yang dah lama aku tak buat.

Sedang elok aku selesai mop, mama dan abah datang ke rumah. ku mop lantai dapur yang dah lama aku tak buat. Sedang elok aku selesai mop, mama dan abah datang ke rumah.

"Yani buat apa sampai berpeluh-peluh?" tanya mama lalu duduk di sofa.

Tersenyum aku tengok beg tangan yang dia letak atas meja kopi. Beg tangan itu hadiah daripada Althaf. Beg berjenama yang harganya puluhan ribu ringgit.

Suka benar mama dapat beg mahal tu. Walaupun mama mampu beli sendiri, tapi ia nampak lebih bernilai kalau anaknya yang hadiahkan. Apatah lagi anak yang selalu kena bebel sebab tak bekerja.

Itu dululah... sebelum Althaf menunjukkan kekayaan yang sebenar pada mama dan abahnya walaupun dia hanya duduk di rumah.

"Takkan awak baru kenal menantu kita sorang ni? Berpeluh sebab naik turun tanggalah tu. Bawak naik makanan dan minuman untuk anak kesayangan awak." Abah tersengih. Sajalah tu dia mengusik mama.

"Bukanlah, abah. Yani kat dapur tadi. Baru siap mop lantai. Tu yang berpeluh."

"Betul ke?" Mama kelihatan ragu-ragu. "Yani jangan bela dan sokong Al pulak dan jangan sorok apa-apa dari kami. Kalau betullah apa yang abah cakap tu, teruk Al kena bebel dengan mama nanti." Mama pandang aku semacam.

Mungkin dia masih berfikir cara layanan aku sama macam mak layan Althaf ketika Althaf belum kahwin dengan aku.

Laju aku mengangguk. Menafikan kata-kata mama. Kalaulah Althaf masih macam tu, aku nak duduk diam saja ke? Sorry to say laa... ini Yani, tau.

Kalau dulu aku boleh melawan Althaf yang dilayan macam anak raja oleh mak, takkanlah sekarang aku nak berdiam diri kalau diri aku dijadikan hamba abdi?

No, no, no... aku bukan mak yang lembut hatinya. Aku Yani... keras sikit. Sebab tulah dulu aku selalu bergaduh je dengan Althaf.

"Abang dah tak macam dululah, mama. Dia okey dan baik sangat layan Yani dengan Ariq."

"Tak apalah kalau macam tu. Lega sikit hati mama ni. Risau juga kan, kalau orang lain mengutuk cara anak mama uruskan keluarga. Mujurlah mama dapat menantu yang baik. Boleh juga bertolak ansur dalam rumah tangga. Alhamdulillah kan, bang?" Mama tepuk bahu abah yang duduk di sebelahnya.

Abah mengangguk dan dia pandang sekeliling. "Erm. Kita ni cakap, cakap juga. Mana Al? Ariq?"

"Haah laa... sunyi betul rumah kamu ni." Mama juga meninjau di semua sudut.

"Rumah dahlah besar, duduk pula cuma bertiga. Bila kami sampai, tengok-tengok kamu saja yang ada kat bawah. Haiii..." Abah mengeluh. Cermin matanya ditanggalkan lalu diletak bersebelahan beg tangan mama.

"Itulah, bang. Saya dah cakap awal-awal dulu. Belum masanya lagi Al perlu bawa Yani dengan cucu kita keluar dari rumah dan duduk sendiri macam ni. Abang tengoklah sekarang, Yani saja ada kat bawah. Anak kita..." Mulut mama muncung ke tingkat atas. "Tengah main game laa tu," sambung mama. Tergeleng-geleng kepalanya.

"Al tu kalau bini dia kena culik, rasanya dia tak sedar." Abah garu kepala.

"Betul sangat tu, bang. Tengoklah sekarang... kita datang pun dia tak tahu."

"Abang tak dengar tu, ma."

"Manalah nak dengar kalau headphone 24 jam melekat kat kepala," bebel mama lagi.

Aku hampir tergelak dan tak tahu nak cakap apa. Perasaan kecewa tak ada langsung apabila mereka berleter. Geli hati adalah bila tengok mama dengan abah saling berbalas cakap pasal Althaf.

"Dahlah tu, ma... abah. Abang tahu jadual dia. Memang time macam ni, dia main game. Alah, tak lama pun. Sekejap lagi habislah tu. Dah lama dia start. Pukul 9 tadi."

"Erm... kalau dah namanya suami isteri, mestilah kena sokong antara satu sama lain, ye tak?" Mama sengih tengok aku.

"Taklah. Mana ada Yani sokong abang? Kalau dia leka sangat, Yani pun ada jugak tegur dia."

Ketika itu Althaf turun.

"Hah, baru nampak batang hidung," sindir mama.

Althaf tersengih-sengih lalu bersalam dengan mama, diikuti dengan abah. "Sorry, ma... abah... tadi Al tidur."

Tidur? Aku hairan. Bila masa dia tidur? Setahu aku, baru satu jam dia main PUBG. Kalau kurang daripada dua tiga jam, itu bukan Althaf namanya. Itu Ahmad Albab.

"Betul ke abang tidur?"

"Betullah, sayang. Kan, sayang sendiri yang tolong selimutkan abang."

Aik? Bila masa pulak aku selimutkan dia? Dah dekat sejam lebih aku kat bawah ni.

Aku pandang Althaf lama. Dia kenyit-kenyit mata macam tengah buat isyarat. Aku angkat bahu. Tak faham.

"Aii... dah pukul berapa ni masih tidur lagi?" Abah tengok jam kat tangan dia.

"Al ngantuk. Malam tadi Ariq tak tidur. Dia ajak Al main." Sekali lagi Althaf kenyit mata kat aku.

Aku makin pelik. Bila masa entah Ariq tidur lewat. Setiap malam Ariq tidur awal. Apa hal Althaf menipu? Sampai melibatkan anak segala. Nak kena dia ni.

Jaga dia ek. Tunggulah bila mama dan abah balik. Tahulah macam mana aku nak membebel. Biar telinga dia keluar asap nitrogen.

"Betul ke tidur? Ke leka sangat main game, sampai tak sedar kami datang?" tanya abah serius. Dia macam tak percaya dengan alasan Althaf. Memang patut pun abah tak percaya. Althaf tengah menipu tu.

"Betul, bah..." Althaf duduk di sisi mama. Kepalanya digaru-garu. Mungkin dia kehabisan idea macam mana nak berbohong.

Eee... suami aku ni. Sanggup dia menipu abah? Sampai hati betul. Bertuah punya anak.

Aku pandang mama. Dia kecilkan mata tengok Althaf. Agaknya dia juga ragu-ragu dengan alasan tu.

"Tak kisahlah Al tidur ke apa ke, ni mama nak pesan. Sekarang Al dah berkeluarga, ada anak dan isteri. Kurangkan sikit main game tu. Fokus lebih pada keluarga. Ingat... Ariq tu tengah membesar. Jangan tunjuk contoh yang tak baik pada dia."

"Tunjuk contoh tak baik apa pulak? Al main game je, kut. Al pun bukan main saja-saja. Ada jugak hasilnya."

"Itu kami faham. Tapi, Al dengan Yani kan, dah ada bisnes. Tak cukup lagi ke?" tanya abah.

"Bukan tak cukup. Lebih dari cukup."

"Kalau cukup, kenapa sampai sekarang tak boleh tinggalkan game tu?" tanya mama pula.

"Dah hobi, nak buat macam mana." Selamba Althaf menjawab.

"Eyy... budak ni. Orang lain pun ada hobi juga tapi taklah kemaruk sangat." Mama geleng kepala.

"Err... Abang tak bawa turun Ariq sekali ke?" Aku mencelah. Kalau aku tak menyampuk kang, jadi medan peperangan pula kat ruang tamu ni. Sorang baling bom nuklear, dua orang lagi tembak guna senapang patah.

"Dia tengah tidur. Abang tak sampai hati nak kejutkan dia."

"Hei!" Tak semena-mena mama tepuk kuat paha Althaf. Tinggi pula tu suaranya. Terkejut aku.

"Apa, ma?" Althaf terpinga-pinga. Mungkin dia tak faham kenapa dia kena marah tiba-tiba. Aku pun hairan.

"Ariq tu kecik lagi! Kenapa tinggalkan dia sorang-sorang kat atas?!" marah mama. Tak lupa lengan bajunya disinsing hingga ke siku. Gayanya macam nak ketuk kepala Althaf.

"Alah... tinggal sekejap aje. Nanti mama dengan abah naiklah tengok dia."

"Ada je dia menjawab. Mama bawak balik Ariq tu, baru tau. Pergi ambik Ariq sekarang." Mama halakan jari telunjuknya ke tingkat atas.

Altahaf pandang aku. "Sayang, tolong ambik Ariq."

Baru saja aku nak bangun, terus mama halang.

"Yani, duduk." Jari telunjuk mama menghala ke sofa pula.

Aku teragak-agak. Nak bangun ke nak duduk ni?

"Seronok sungguh Al mengarah, ya. Mama suruh Al, Al suruh Yani? Bagus sangatlah tu. Pergi ambik sendiri!"

"Err... mama dengan abah pukul berapa nak balik?" Althaf tersengih-sengih. Dia macam sengaja tukar topik.

"Hamboi... kami baru sampai. Punggung tak panas lagi. Dah tak sabar sangat nak suruh kami balik." Abah pakai semula cermin matanya.

"Tak adalah macam tu... Al tanya aje."

"Tak ada balik, balik. Kami tidur kat sini seminggu." Mama buat muka bengang.

Aku happy dan rasa seronok. Bolehlah aku borak panjang dengan mama. Dah lama aku rasa sunyi tinggal kat kawasan ni.

Ada suami pun asyik borak online dengan kawan-kawan game dia aje. Tapi sebenarnya, aku taklah kisah sangat. Tak adalah Althaf abaikan aku dengan Ariq terus.

Muka Althaf berkerut macam orang tengah berak sembelit. Dia nampak tak happy. Aku dah faham kenapa. Hahah!

"Sekarang pergi ambik Ariq bawak turun. Jangan nak mengarah bini sangat, ya." Mama goyangkan jari telunjuk depan muka Althaf.

Aku gigit bibir, tahan senyum.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro