Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

1


Hai! Maaf lama tak masukkan karya di wattpad. 

Cerita ni masih ditulis. Dan masih jauh lagi perjalanan. Entah siap atau tak...

Akak upload as preview untuk buang rindu nak baca komen-komen reader 💜

Happy reading!


🌼

Bab 1

AKU duduk di meja makan keseorangan. Memikirkan tentang perjalanan hidupku. Yang orang nampak, hidupku cukup lengkap, cukup serba serbi. Ada duit, ada suami, ada rumah, dan ada kereta. Mentua yang penyayang. Mak ayah yang mengambil berat tentangku. Dan aku tidak kurang didikan agama. Walau aku tak alim mana, tapi aku menutup aurat seeloknya. Aku tak pernah tinggal mengaji dan solat. Setiap kali maghrib aku akan duduk kat masjid, menjadi tetamu Allah dan mengharapkan reda Ilahi. Aku sedar pandangan sanak saudara dan orang sekeliling terhadapku penuh dengan rasa kagum dan cemburu.

Cuma yang orang tak tahu, apa yang aku tempuhi dalam hidup. Orang tak rasa keperitan. Orang tak nampak kepahitan. Dan orang tak pernah tahu bagaimana layanan Nashrudin terhadapku.

Aku memilih untuk diam. Diam daripada meluahkan kepada siapa-siapa kerana aku takut mak dan ayah bersusah hati semata-mata disebabkan aku.

Dan aku memilih untuk berjalan dalam ruang yang sama kerana aku sudah terlalu selesa. Aku sedar masa berlalu dengan sia-sia. Dan sia-sia itu bakal memakanku dikemudian hari. Aku pasti bakal menyesal. Tapi aku tidak punya kekuatan untuk memulakan tindakan. Aku suka pandangan orang lain terhadapku. Hipokrit, kan?

Adakah semua orang sepertiku? Atau aku seorang yang seperti ini?

Bunyi enjin kereta memasuki perkarangan rumah. Aku masih kekal duduk di meja makan menyuap nasi ke dalam mulut. Apabila pintu dibuka, aku masih lagi leka dengan kunyahanku.

Aku tahu dia sedang membuka kasut dan menyusunnya di dalam almari kasut. Entah kenapa, tidak semena-mena, mataku terarah ke wajahnya apabila aura lelaki itu berada hampir denganku. Dan dia juga menghentikan langkah, menatap wajahku tanpa sepatah kata.

Nashrudin Yong.

Suamiku.

Lebih tepat lagi, sekadar teman serumah sahaja.

Wajahnya tampan. Tetapi hatinya bukan untukku.

Sudah tiga tahun kami menikah tapi antara kami masih beku seperti ini. Dia bawa haluan hidupnya, aku juga membawa haluan hidupku.

"Baru balik?" Aku memecahkan kesunyian.

"Hmmm..." Nashrudin mengangguk.

Aku juga mengangguk.

Dia menapak semula menuju ke tingkat atas. Sekelip mata tubuhnya hilang dari pandanganku.

Aku tersenyum segaris. Lucu. Tapi aku tak mampu ketawa.

"Kau bercerai aje dengan dia. Bebaskan dia." Suara hatiku menduga.

Seperti biasa, minda sedarku menghalang. Aku menggeleng sambil melepaskan nafas panjang. Aku tidak mahu bercerai dan belum bersedia untuk itu.

Aku dan Nashrudin berkahwin atas kehendak keluarga. Aku fikir persetujuannya berkahwin denganku kerana akan ada harapan antara kami untuk membina keluarga bahagia. Tapi aku silap. Dia tidak melayaniku seperti isteri. Dan aku pula perlu mengikut rentaknya kerana tidak berdaya untuk mencuri hati lelaki itu. Bukan aku tidak mencuba, tapi jika percubaanku gagal berkali-kali, aku juga punya rasa malu dan egoku sendiri. Maruah tidak akan mampu dapat dibeli. Aku takut jika aku merendahkan martabatku, aku bakal mendapat malu sahaja dan dia pula masih kekal begitu.

4 tahun yang lepas, kami dikenalkan. Memandangkan aku tidak punya kekasih dan tidak berhasrat untuk mencintai mana-mana lelaki, aku terima usul mak dan ayah untuk mengahwini anak kawan mereka. Mungkin Nashrudin juga begitu. Agaknya dia penat dengan tekanan perkahwinan, dia menerima saja diriku untuk dijadikan isteri. Setahun selepas itu kami diijabkabulkan. Aku fikir normal untuk dia mengasingkan diri denganku kerana kami berdua baru sahaja mahu mengenali hati budi masing-masing. Cuma apabila aku tersedar, semuanya telah terlambat. Aku tidak mampu mengubah rutin hariannya. Balik ke rumah hampir lewat malam, dia akan tidur dalam biliknya. Keesokan hari, dia keluar untuk bekerja di kliniknya. Sebulan, hanya sekali dua sahaja aku mendengar suara suami sendiri. Orang lain kahwin kerana aturan keluarga boleh saja bahagia. Tapi aku dan dia seperti dua orang asing tinggal serumah. Ironi bukan?

Ya, aku tahu setiap orang punya jalan takdir yang berbeza-beza. Tapi adakah aku perlu meneruskan takdirku sehingga ketua? Umurku menjangkau 31 tahun. Adakah aku perlu berusaha mendapatkan semula hati lelaki itu?

Aku menyudahkan makananku. Pinggan yang telah kosong kubawa ke dapur dan kucuci. Lama aku termenung memikirkan sesuatu.

"Cubalah usaha sikit, Sara. Kalau tak cuba sampai bila-bila pun kau bakal jadi orang asing dalam hidup dia." Suara hatiku menggesa.

Aku buka peti sejuk dan memotong kek yang belum terusik. Aku letakkan ke atas pinggan. Sudu kecil juga kuletak di atas dulang. Pukul 11 malam. Tiada siapa yang berselera untuk makan. Tapi mana tahu? Setelah selama ini aku menunggu kemunculan Nashrudin, sia-sia saja jika aku mematikan hasratku.

Aku melangkah menuju ke tingkat atas. Beberapa minit juga aku berdiri di depan pintu bilik Nashrudin, memikirkan sesuatu yang tidak berkesudahan. Adakah dia bakal mengambil kek ini dan terus menutup pintu? Hanya itu saja yang mampu aku gambarkan. Dia bukan lelaki garang yang akan menolak dengan cara yang kasar. Dia cuma tipikal lelaki dingin yang tidak mengendahkan berjuta-juta perempuan yang menanam hasrat untuk menjadi kekasih hatinya.

Perlahan-lahan aku mengetuk pintu bilik lelaki itu. 

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro