Bab 9
"Hah!"
"Ya Allah." Aku terjerit kecil mendengar sergahan di belakangku. Pantas aku berpaling. Hilman sudah terpacak di belakangku sambil tergelak sakan.
Kurang sopan betul, ni kes nak cari gaduhlah ni.
"Baik pilih nak penumbuk belah kanan ke kiri? Ke nak dua-dua sekali?" Aku sudah mengepal penumbukku. Bersedia untuk membuat tindakan lanjut.
"Okey, okey. Sorry. Bergurau sikit pun dah sentap." Dia cuba untuk mematikan tawanya.
"Orang tak ada masalah nak bergurau senda tengah hari buta macam ni." Aku tunjukkan muka garang. Dengan Hilman bukan boleh bagi muka nanti macam-macam lawak bodoh yang keluar.
"Ala-ala, comelnya dia marah." Kedua-dua belah tangannya mencubit kedua-dua belah pipiku. Bukan sekadar cubit, boleh pula dia goyangkan pipi aku. Dia ingat aku patung beruang agaknya.
"Isy, sakitlah." Aku tepis kedua-dua belah tangannya. Dia tersenyum lebar.
Aku menjeling tajam dan terus berpusing memandang rumah teres yang aku amati sebelum kedatangan Hilman tadi. Entah rumah siapalah agaknya, tiba-tiba sahaja dia ingin berjumpa denganku di sini. Sudahlah suruh aku datang sendiri. Bukannya dia tidak boleh datang menjemputku di rumah sewaku.
Dia terus berdiri di sebelahku dan sama-sama bersandar di kereta Perodua Axiaku sambil menghadap rumah teres dua tingkat ini.
"Rindu orang tak?" soalnya.
Aku berpaling padanya. Melihat senyumannya yang disertai lesung pipit itu membuatkan aku turut tersenyum. Hilang sudah amarah tadi.
"Adalah sikit," balasku.
Pantas dia menjuihkan bibir.
"Ceh, kedekut. Bukan luak pun kalau rindu orang banyak-banyak."
"Eh, perasaan rindu orang mahal tau. Mana boleh rindu-rindu macam tu aje." Sesekali mengenakan Hilman kadang-kadang seronok juga.
"Ewah, orang rindu dia bagai nak rak. Boleh pula dia kata macam tu kat orang. Memang sengaja nak sakitkan hati orang, ya?" Hilman sudah tidak puas hati, namun dia masih setia berada di sisiku.
"Rindu tu mana boleh paksa-paksa. Tak ada sebab pun orang nak rindu Hilman." Makin galak aku mengenakan dia. Kalau tentang hal ini memang aku suka buat dia sakit hati.
"Ada," tekannya.
"Sebab apa?"
"Because i'm your hero." Yakin betul dia menyuarakannya.
Aku tergelak besar.
"Sorry bro, my dad is my hero." Itu hakikatnya.
"Eee... Mengada-ada." Dia menarik hujung tudungku.
"Janganlah." Aku cepat-cepat tepis tangannya dan membetulkan semula tudungku.
"Dahlah tu, tak payah nak betul-betulkan lagi. Dah cantik dah tu." Dia terus menarik tanganku.
"Eh, nak ke mana pula?" Aku terpaksa juga mengikut langkahnya.
"Hai, Miss Suzy." Hilman terus menyapa wanita yang baru sahaja turun dari kereta Proton Persona.
"Hai, sorry I lambat. Jom masuk."
Hilman mengangguk dan memberi ruang kepada wanita itu membuka pagar rumah.
"Siapa?" soalku berbisik pada Hilman.
"Ejen." Sepatah jawapan diberikan sambil terus beriringan denganku masuk ke pekarangan rumah.
"Hilman nak beli rumah ni ke?"
"Yup."
"Nak buat apa beli rumah kat KL ni?"
Pelik juga dengan tingkahnya itu. Apa perlunya dia beli rumah di sini sedangkan dia bekerja di Terengganu? Dia datang Kuala Lumpur ini pun sebulan dua kali sahaja, itu pun kerana mahu berjumpa denganku kalau dia atau aku tidak sesibuk mana.
"Nak bagi Isya duduk free kat sini. Tak payahlah Isya nak menyewa dengan kawan Isya lagi lepas ni."
Terus terhenti langkahku mendengarkan tujuannya itu.
"Serius?" Aku sudah makin teruja. Baik sungguh hati Hilman.
"Tapi dengan syarat."
"Apa dia?"
Aku sudah tidak sabar.
"Orang duduk sekali dengan Isya. Boleh?"
Berkerut dahiku mendengar permintaan Hilman.
"Habis, kerja Hilman kat Terengganu tu?"
"Orang dah resign," sengihnya.
"Hah?" Aku terkejut bukan kepalang. Punyalah bagus kerjanya di Terengganu, gaji pun bukan calang-calang boleh pula dia berhenti begitu sahaja.
"Tak payah nak terkejut sangatlah." Dia menolak kepalaku sebelum masuk ke dalam rumah bersama ejen perumahan, meninggalkan aku seorang di luar.
"Hilman!" jeritku padanya. Banyak benda yang aku perlu tahu darinya. Dan aku akan pastikan aku korek semuanya sampai habis hari ini juga.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro