Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 8

Tujuh tahun kemudian...

Pendekatan baik pulih tetap terus dijalankan walaupun hanya aku seorang sahaja yang berada di restoran ini. Zaini tiba-tiba ada hal penting, jadi hanya aku seorang sahajalah yang akan meneruskan misi penting yang sudah kian lama tertangguh.

Jika tidak mengenangkan kes ini melibatkan kawan baikku Nora, tidak mungkin aku mahu diheret sama dalam kisah percintaan dia dan Mokhtar. Nora! Jika dia sudah bergaduh dengan Mokhtar, habis kawan-kawan akan terbabit sama. Tak kiralah sama ada secara langsung mahupun tidak. Sejak daripada mereka mula bercinta di universiti, sehinggalah sekarang, aku rasa sudah tidak terkira berapa kali mereka bergaduh. Yang pasti setiap kali itu jugalah aku dan Zaini yang akan menjadi penasihat tidak bertauliah. Bertugas menyelesaikan konflik peribadi mereka.

Jam di tangan aku teliti. Sudah hampir sejam aku menunggu, tapi bayang Nora mahupun Mokhtar masih tidak kelihatan. Aku keluarkan telefon bimbit cuba untuk menghubungi Nora.

Sudah puas aku hubungi Nora, dia masih juga tidak sampai-sampai. Tak ada cara lain, terpaksa aku menelefon Mokhtar pula. Mereka berdua memang jenis manusia yang suka membuatkan aku jadi penunggu. Nasib baik tahap kesabaranku masih tinggi, jika tidak sudah lama aku letak jawatan daripada menjadi kawan mereka berdua.

"Wei, kau kat mana ni? Bila nak sampai? Dah jenuh aku tunggu ni." Terus sahaja aku serbu dirinya dengan soalan. Malas mahu berbasa-basi dengan orang yang tidak menitikberatkan soal kepentingan menepati masa.

"La, kan aku kata aku tak datang. Aku ada hallah."

Amboi, senangnya dia bercakap. Hati yang masih lagi boleh bersabar sebentar tadi sudah mula berapi.

"Hei Mok, kau jangan nak banyak cakap ek. Aku suruh datang tu datang ajelah. Bukannya lama pun, sekejap aje."

Aku tidak kira, walau apa pun, dia perlu berjumpa dengan aku dan Nora sekarang juga. Aku dan Zaini sudah tidak sanggup mendengar Nora membebel tentang dia setiap hari. Itu belum masuk lagi kata-kata yang diluahkan Nora di Twitter miliknya. Aku sebagai pembaca hanya mampu menggelengkan kepala. Macam-macam luahan perasaan yang tertera.

"Aku memang tak bolehlah. Aku ada hal ni." Dia masih berkeras.

"Ala, sekejap ajelah. Aku tak kira... Kau kena datang juga. Kalau kau tak datang, kau tahulah nasib kau nanti."

Aku terus matikan talian setelah mengugut yang aku sendiri tidak tahu sama ada boleh menakutkannya atau tidak.

Suka-suka dia sahaja mahu mengelak daripada berjumpa denganku. Sejak dua hari lepas aku sudah membuat janji temu dengannya untuk bertemu pagi ini, boleh pula dia mahu mengelak. Nampak seperti aku sahaja yang bersusah payah mahu menyelesaikan masalah mereka berdua. Sehinggakan aku sanggup mengorbankan kelasku pagi ini. Boleh pula dia buat selamba. Memang dah kering agaknya hati dan perasaan Mokhtar sejak bermasam muka dengan Nora hampir sebulan lamanya.

Nora pula satu hal. Sama dan serupa. Dua kali lima. Sampai sekarang masih lagi tidak muncul-muncul. Pasti dia tidur semula selepas solat subuh, perangai sejak dahulu tidak pernah mahu berubah.

Dalam keterpaksaan, aku terus-menerus menghubunginya, walaupun dia tidak menjawab panggilanku. Bosan menunggu agar panggilanku yang sudah berpuluh-puluh kali itu berbalas, maka aku putuskan untuk mematikan talian dan log masuk ke dalam akaun Twitterku.

Susah sangat ke nak faham hati seorang wanita? #awakkejam @MokhtarAnuar

Terbeliak mataku melihat Tweet terbaru Nora yang baru beberapa minit. Aku mengetap bibir menahan marah. Boleh pula dia melayan Twitter tapi panggilanku langsung tidak mahu dijawabnya. Dengan rasa geram yang menebal aku terus membalas.

@nora_anggun @MokhtarAnuar Datang sini cepat sebelum aku mengamuk! #awakjugakejam

Tidak sampai beberapa saat, Tweet aku dibalas dengan hanya satu perkataan iaitu peace. Geramnya. IPhone kugenggam erat, jika tidak mengenang iPhone ini hadiah pemberian Hilman padaku, sudah lama aku campakkannya. Usia muda selalu mudah menjemput amarah. Semoga ada kesabaran buatku.

Telefonku berdetik seketika tanda ada mesej yang masuk. Melihat sahaja nama Hilman yang tertera, aku terus menjengah tetingkap WhatsApp. Baru sahaja aku terkenang dirinya dia sudah munculkan diri di balik talian.

Bila nak jumpa ni, rindu la... Busy sangat ke???

Terus hilang rasa marahku pada Nora tadi. Kini hanya senyuman yang menghiasi bibir. Sudah lama aku tidak bertemu dengan Hilman, dia agak sibuk kebelakangan ini. Begitu juga dengan aku. Jadi memang kami tiada masa untuk berjumpa.

Hampir setengah jam aku dan dia berbalas kata. Bertanya khabar dan berkongsi pelbagai cerita. Setengah jam itu juga mataku hanya melekap pada iPhone milikku. Aku sudah tidak peduli dengan segala di persekitaranku. Apabila terasa leherku sedikit sengal, terus aku mengangkat wajah. Membetulkan urat-urat di leherku.

Wajah Mokhtar menghiasi mata sebaik kepala aku dongak. Dia memberikan senyuman. Aku kerling pula pada seorang lelaki segak yang berjalan beriringan dengannya. Mataku dan matanya bertentangan tapi hanya seketika. Kemudian dia terus memalingkan wajah memandang ke tempat lain.

Amboi, sombongnya baru ingat nak senyum dah pandang tempat lain, omelku dalam hati. Eh, sudahlah. Bukan lelaki itu yang harus menjadi tumpuan aku tika ini tapi Mokhtar. Tadi beria-ia tidak mahu datang, akhirnya muncul juga dia di sini. Nampaknya berjaya juga ugutan aku tadi.

"Assalamualaikum, sorry lambat." Mokhtar dan lelaki di sebelahnya terus menarik kerusi dan duduk. Boleh pula Mokhtar mengambil tempat duduk berhadapan kerusi sebelahku yang masih kosong. Membiarkan lelaki yang masih belum aku kenali itu duduk di hadapanku.

"Waalaikumussalam. Tak payah nak minta maaf. Kau mana pernah cepat, selalu aje lambat. Aku dah biasa sangat." Jujur aku mengatakan. Mujur rasa marahku pada Mokhtar dan Nora sudah lenyap sebaik menerima mesej daripada Hilman. Hilman juga yang berjaya menyejukkan hatiku yang membara. Mereka memang patut berterima kasih pada Hilman.

Mokhtar tersengih panjang padaku.

"Okey, aku nak cepat ni. Baik kau terus terang apa..." Belum sempat dia menghabiskan kata, telefon bimbitnya berbunyi. Sebaik sahaja melihat nama pemanggil dia terus meminta diri untuk menjawab panggilan itu terlebih dahulu.

Aku memandangnya yang meninggalkanku dan kawan lelakinya itu berdua sahaja di meja ini. Aku mengerling memandang lelaki itu. Dia sibuk dengan telefon di tangannya. Sedikit pun tidak mahu memandang wajahku apatah lagi bertegur sapa denganku.

Sudah lima minit Mokhtar berbual di talian, dari jauh aku melihat dia bersungguh-sungguh cuba menerangkan sesuatu pada orang yang menelefonnya. Aku sudah naik bosan. Aku tidak boleh suasana yang sunyi sepi begini, boleh beku otak aku jadinya. Jadi, aku mengambil keputusan untuk berbual dengan lelaki di hadapanku yang sibuk menyentuh skrin telefonnya. Entah apa yang dicarinya hingga tidak berhenti-henti jari-jemarinya menari di atas skrin itu.

"Kawan sepejabat Mokhtar ke?" Soalan pertama dariku untuknya.

Dia terus mengangkat wajah memandangku bila mendengar aku berbicara dengannya.

"Bukan." Dia menggeleng dan terus memandang telefonnya semula.

"Kawan satu sekolah dulu?" Aku terus menyoal.

Dia memandangku sekali lagi.

"Bukan." Dia menggeleng sekali lagi dan seperti tadi dia terus memandang telefonnya semula.

"Roommate? Housemate?"

Dan seperti tadi dia memberikanku jawapan dan reaksi yang sama sahaja. Naik geram aku jadinya. Tidak tahukah dia aku sedang dalam kebosanan sekarang, dengan sikap dia yang langsung tiada sifat beramah mesra sesama insan itu, lagi membuatkan aku terlampau bosan?

"Nama?"

"Ish," jawabnya tanpa memandang wajahku.

"Takkan Ish aje?" Bukannya aku mahu sangat mengetahui namanya cuma aku mahu dia membuka mulutnya yang susah sangat mahu mengeluarkan suara. Umpama ada emas di dalamnya pula.

"Ishraf Muzaffar." Dia masih memandang telefonnya.

"Bin?"

Terus dia memandang wajahku. Dan aku lemparkan senyuman padanya. Susah sangat mahu buka mulut, jadi aku akan tanya pelbagai soalan agar dia membuka mulutnya yang berat itu.

"Iskandar." Dia tetap menjawab soalan yang aku ajukan walaupun jelas dalam keterpaksaan. Dia mengeluh seketika sebelum menumpukan perhatian pada telefonnya semula.

"Umur?"

"Rahsia."

"Kerja?"

"Biasa aje."

"Asal?"

"Malaysia."

Aku pula yang mengeluh, semua soalanku itu dijawab sambil lewa sahaja. Tiada satu pun yang menepati skema jawapan yang aku perlukan. Nak kata berlagak dan sombong mukanya tidak pula menggambarkan dia orang yang sebegitu dan jika dia sombong tidak mungkin dia mahu berkongsi namanya denganku, siap nama penuhnya lagi. Tapi kenapalah beku sangat lelaki yang seorang ini?

"Dalam otak awak tu memang kurang perbendaharaan kata ek? Tu yang sepatah saya tanya sepatah awak jawab."

"Tak."

"Jadi?" Kali ini aku memang tidak berpuas hati dengan jawapan yang dia berikan.

"Tak ada mood nak bersoal jawab dengan awak."

Tersentak aku dengan jawapannya. Cukup bersahaja dan menyakitkan hati. Huh, macamlah aku mahu sangat bersoal jawab dengannya. Jika Mokhtar berada di sini, aku yakin sepatah pun aku tidak akan bersuara padanya. Terus aku mematikan niat mahu terus-menerus menyoalnya. Mokhtar ini pun satu, apa yang lama sangat dia berbual di hujung talian itu.

"Sorry lambat." Akhirnya sampai juga Nora setelah lama aku menanti. Ketibaan Nora memang amat aku harapkan saat ini.

Jadi, tidak perlulah aku berhadapan berdua sahaja dengan lelaki yang bernama Ishraf Muzaffar ini. Harap nama sahaja sedap tapi tak mesra alam langsung.

"Siapa?" Nora memuncungkan bibirnya ke arah lelaki yang berada di hadapanku.

Aku mengerling memandang lelaki itu seketika. Kemudian aku memandang Nora semula dan memuncungkan bibirku pula pada Mokhtar yang berada tidak jauh dari kami.

Nora mengerling ke arah Mokhtar.

"Kenapa dia boleh ada kat sini?!" marah Nora padaku.

"Aku yang suruh dia datang."

"Aku nak balik." Nora segera mahu berpaling, namun dengan pantas aku menarik lengannya.

"Kau jangan nak mengada-ada kat sini. Duduk." Aku mengarahkannya duduk pada kerusi di sebelahku.

"Tak nak!"

"Duduk!" Aku menarik kasar lengannya hingga terduduk di atas kerusi di sebelahku. Aku tersenyum kemenangan dan dia menarik muncung dan berpeluk tubuh.

Aku sudah tidak kesah dengan reaksi yang dia tunjukkan. Lantaklah, janji masalah dia dan Mokhtar selesai hari ini juga.

Mokhtar pula yang semakin menghampiri meja ini menghentikan langkahnya apabila ternampak Nora berada di sebelahku. Dia ingin segera berpaling.

"Mok, sini kau. Tak payah nak buat cerita Hindustan kat sini. Tak kuasa aku nak main kejar-kejar dengan kau." Aku bersuara menghalangnya dari melangkah. Seperti lembu yang sudah dicucuk hidung, dia segera mengikut kataku tapi dengan wajah masamnya. Sedikit pun dia tidak memandang Nora di sebelahku.

"Kau nak apa sebenarnya?" Sebaik sahaja dia duduk, soalan itu menerjah telingaku.

Aku memandang Ishraf sebentar, perlu ke aku bersuara tentang masalah yang melanda Mokhtar dan Nora di hadapan lelaki ini. Tidak mengapakah?

"Cepatlah, kau nak apa? Kalau sebab kawan baik kau ni, aku malas nak layan. Buat sakit hati aje." Sempat juga Mokhtar memerli Nora sewaktu bertanya padaku.

"Saya pun tak kuasalah nak layan awak. Buat sakit jiwa aje," balas Nora.

"Kalau dah sakit jiwa tu pergilah mendaftar kat Tanjung Rambutan, habis cerita." Mokhtar tidak mahu mendiamkan diri.

"Awak ni kalau tak menyakitkan hati saya tak boleh ke?"

"Eh, awak tu yang..."

"Sudah-sudah. Macam budak-budaklah kau orang ni. Kau orang ingat kau orang budak sekolah lagi ke nak bergaduh macam ni kat tempat awam?" marahku yang sudah sakit telinga mendengar pertelingkahan mereka.

Ishraf pula buat tidak tahu sahaja dengan pertelingkahan kawannya. Dia sibuk dengan telefonnya. Melihat dia yang tidak mempedulikan kisah kami di sini jadi aku membuat kesimpulan yang dia tidak mahu masuk campur dalam hal ini dan aku rasa Mokhtar pun tidak kesah aku membuka cerita mereka di depan kawannya. Jadi, bolehlah aku memulakan tugasku yang sudah Zaini amanahkan sekarang juga.

"Dah sebulan kau orang bergaduh. Kau orang sedar tak?" Aku menumpukan perhatian pada Nora dan Mokhtar.

Mereka berdua mendiamkan diri, tidak mahu menjawab soalan dariku.

"Sampai bila kau orang nak bergaduh macam ni?" sambungku.

"Sampai bila-bila." Mokhtar pantas menjawab. Nora pula pantas mencebik.

"Tolong matang sikit boleh tak? Perkara ini boleh dibawa berbincang dan sekarang ni kau orang tak nak berbincang. Dah sebulan masing-masing mengelak dari berjumpa. Itu yang masalah ini jadi semakin besar." Segera aku memberikan khidmat nasihat.

"Tak semua benda boleh dibawa berbincang berdua, bila hati tengah panas berbincang pun tak guna, buat tambah sakit hati aje."

Aku segera memandang Ishraf apabila dia menuturkan kata. Walaupun dia masih memandang telefonnya tapi aku tahu sangat ayat tadi memang ditujukan untukku. Sibuk pula dia mahu memberikan pendapatnya saat aku sedang menaburkan nasihat buat kawan-kawanku. Malas mahu melayan dirinya, aku memandang Nora dan Mokhtar semula.

"Mok, perempuan ni hati dia halus, senang tergores, senang terasa. Macam tu jugalah Nora ni. Kau kenalah faham." Aku cuba berlembut pula kali ini.

"Lelaki aje ke yang kena faham hati perempuan? Habis perempuan tak payah faham hati lelaki?"

Aku menarik nafas panjang dan memandang ke bawah apabila mendengar sekali lagi suara lelaki itu. Aku sedaya upaya cuba menyabarkan diri. Apa masalah dia sebenarnya? Waktu aku bersoal jawab dengannya tadi dia tidak mahu, sekarang makin banyak pula mulut itu bersuara.

Setelah berjaya menenangkan diri seketika. Aku memandang Mokhtar dan Nora yang sudah terdiam seribu bahasa.

"Mok, aku tahu Nora tak sepatutnya cemburu buta macam tu. Tapi kau pun salah juga yang kau bawa client perempuan kau dinner berdua saja kenapa? Kat restoran mewah pula tu. Kalau aku pun, aku naik angin."

"Kenapa semua perkara nak salahkan lelaki saja?"

Kali ini aku sudah tidak boleh bersabar lagi. Aku terus memandang Ishraf yang masih bersahaja memandang telefonnya.

"Yang awak ni dah kenapa sebenarnya?!" marahku padanya.

Dia terus mengangkat wajah dan memandang wajahku.

"Kenapa apa?" Bersahaja dia menyoal.

"Saya tengah bercakap dengan kawan saya, yang awak sibuk-sibuk ni kenapa?"

Aku memang sudah tidak dapat mengawal kemarahanku. Tadi bukan main pendiam, sekarang terlebih hyper pula mulutnya membalas semua kata-kataku pada Mokhtar.

"Salah ke saya menyatakan kebenaran?"

"Kebenaran apanya? Awak tahu ke apa masalah mereka berdua ni sekarang? Awak tak tahu, kan? Jadi tak payahlah nak masuk campur." Aku sudah tidak mempedulikan Mokhtar dan Nora, pandanganku aku tujukan pada lelaki di hadapanku ini. Aku tahu sebenarnya dia tidak tahu apa yang berlaku pada hubungan Nora dan Mokhtar kerana aku yakin yang Mokhtar tidak akan ceritakan masalah cintanya pada orang lain. Itu satu-satunya perangai Mokhtar yang aku kagum.

"Saya pun tak nak masuk campur. Saya cuma nak menegakkan kebenaran. Saya rasa semua yang awak cakap tu langsung tak boleh diterima akal. Awak hanya salahkan sebelah pihak. Pihak lelaki." Terus dia meletakkan telefonnya itu di atas meja dan tumpuannya kini hanya padaku.

"Oh, jadi awak nak jadi pembela kaum lelakilah ni? Habis, kalau dah lelaki yang salah takkan nak dibela juga."

"Masalahnya sekarang, kaum perempuan suka sangat menuduh. Setiap perkara yang jadi dalam perhubungan semua nak salahkan lelaki. Kau orang semua tak pernah nak berfikir, tak pernah nak cari kesalahan sendiri. Semua nak tuding jari pada lelaki saja." Bersungguh-sungguh dia berhujah.

Aku sudah mengetap bibir, geram betul dengan dirinya. Hampir lima belas minit aku dan dia bertegang urat tentang perkara ini. Seorang pun tidak mahu mengalah, lebih-lebih lagi dia. Ada sahaja hujahnya yang cuba untuk mematahkan setiap hujahku. Setiap apa yang dikatakan memang ada benarnya tapi entah kenapa aku tidak mahu terima bulat-bulat semua kata-katanya. Aku akan bangkang sekeras-kerasnya dan dia pula akan membentangkan hujahnya dengan nada santai dan bersahaja tapi berjaya membuatkan hatiku sakit mendengarnya.

Sepanjang perdebatan aku dan dia, langsung tidak aku dengar suara Nora dan Mokhtar. Keadaan sekeliling pun sudah aku tidak peduli, dengan suara aku yang agak kuat sekarang ini aku yakin memang akan ada mata yang memandang kami. Tapi aku tidak peduli itu semua.

Tiba-tiba aku terdengar Nora tertawa kecil, pantas aku mengerling padanya yang berada di sebelahku. Senyuman lebar sudah nampak di hujung bibirnya. Tiba-tiba dia sudah tersipu-sipu malu di tempat duduknya. Aku memandang Mokhtar pula, dia juga sudah tersenyum lebar sama seperti Nora.

Aku pelik dengan sikap mereka berdua tika ini. Tadi muka macam singa kelaparan, sekarang dua-dua sudah tersengih panjang.

"Yang kau tersengih-sengih ni kenapa?" Aku menyoal Nora.

Nora memandangku seketika dan menggeleng kepala kemudian dia memandang Mokhtar semula.

"Malam ni kita dinner sama-sama, okey? Saya bawa awak makan kat tempat yang saya bawa client saya hari tu." Mokhtar mengukir janji dengan Nora dan Nora mengangguk dengan senyuman panjang.

"Kau orang dah berbaik-baik ke ni?" soalku pelik. Lelaki yang tadinya menjadi seteru debatku sudah tidak aku hiraukan.

"Dah." Lembut sahaja suara Nora tika ini. Tadi macam petir sahaja suaranya memarahi Mokhtar.

"Bila masa pula?"

Nora menarikku mendekatinya dan membisikkan sesuatu padaku.

"Tadi masa kau dengan mamat tu bergaduh sakan. Mokhtar dah minta maaf pada aku."

"Macam tu aje?" Aku tidak puas hati. Macam tu sahaja sudah selesai masalah mereka yang makan masa sebulan itu?

Nora mengangguk laju.

Geramnya aku, kalau dari dulu Mokhtar minta maaf pada Nora pasti masalah mereka ini tidak berpanjangan hingga membabitkan aku dan Zaini. Dan tidak perlulah aku berdebat dengan lelaki yang keras kepala ini tadi.

Aku terus memandangnya yang sudah leka semula dengan telefon di tangannya. Sepertinya perdebatan tadi langsung tidak terkesan padanya.

"Sudahlah, aku nak balik." Aku mengambil beg sandangku semula dan bersedia untuk bangun.

"Eh, tak nak makan dulu ke? Aku nak belanja ni. Maklumlah kau kan dah tolong aku dengan Nora berbaik semula hari ni."

Mokhtar membentangkan pelawaan yang tidak pernah aku tolak selama ini. Tapi hari ini dalam sejarah perkenalan kami, aku akan menolak ajakannya itu.

"Aku takkan makan semeja dengan pihak pembangkang," kataku sambil mengerling lelaki di sebelah Mokhtar, tetapi lelaki itu buat tidak dengar sahaja kataku.

"Dahlah, aku nak blah dulu." Aku terus sahaja membuka langkah.

Nampaknya, pendekatan baik pulih untuk Nora dan Mokhtar hari ini berjaya dengan lancarnya walaupun aku rasa bukan aku penyumbang utamanya. 

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro