
Bab 7
"Chik Hani." Aku menegur Chik Hani yang sedang menyiram bunga di halaman utama. Rajin sungguh dia, tidak boleh duduk diam. Puas Kak Win menegah dia daripada membantu, buat kerja-kerja itu semua, tapi dia tetap berdegil.
Pandangannya turut singgah padaku, sayangnya hanya seketika. Kemudian dia meneruskan kerjanya semula. Sebenarnya aku sudah terbiasa dengan reaksi balas yang sebegitu. Namun entah mengapa aku tetap mengeluh kecil.
"Waalaikumussalam." Perlahan salam dibalas, antara dengar dan tidak.
Aku tersenyum apabila respons kali ini lebih positif berbanding pandangan tadi. Peluang sudah terbuka luas. Jangan dipersia-siakan.
"Isya buatkan Chik Hani kek coklat. Nah." Aku hulurkan bekas makanan yang tertutup rapi. Namun Chik Hani enggan menyambut pemberianku. Dia terus bergerak menyiram bunga mawar yang tumbuh subur.
"Ala, Chik Hani ambillah. Janganlah jual mahal. Isya tak ada duit nak beli kalau mahal sangat." Saja aku berjenaka, harap-harap dia terima kek yang aku buat khas untuknya. Balik sahaja malam tadi aku terus menyiapkan kek ini. Salah satu usaha mengambil hati sekali gus tanda ucapan terima kasih atas tunjuk ajarnya semalam.
Chik Hani terus berjalan ke paip utama lalu memulas pili. Aliran air yang tadinya keluar dari getah paip sudah terhenti. Aku sekadar mengekori dari belakang, tapi tiba-tiba dia berpaling.
"Chik tak makan makanan manis." Dia kemukakan alasan.
"Erk, tapi hari tu..." Belum sempat aku habiskan ayat, Chik Hani sudah pergi, cepat-cepat aku mengekornya.
"Chik Hani." Aku panggil beberapa kali tapi dia tetap masuk ke dalam, meninggalkanku terkebil-kebil di depan pintu kaca.
"Ala, habis nak bagi siapa pula kek ni? Takkan nak makan sendiri?" Aku bercakap seorang diri.
"Bagi kat saya."
Aku pandang tangan yang sudah dihulurkan. Kemudian aku pandang pula lelaki yang tanpa segan silu menyatakan hasrat untuk mendapatkan kek, hasil air tanganku. Abang nurse lagi? Dia tersenyum panjang.
"Bagi kat saya, saya tak suka jual mahal. Untuk awak saya sanggup buat jumbo sale lagi."
Aku sorok bekas yang berisi kek coklat ke belakang badan. Jangan mimpilah aku nak bagi dia.
"Saya tak suka jumbo sale."
"Okey, saya tukar... YES, year end sales."
"Hahaha..." Aku pura-pura gelak.
"Kelakarlah sangat!"
"Bagilah saya kek tu. Saya suka kek coklat." Dia cuba mengambil bekas yang berada di belakang badanku. Aku mengelak. Jangan mimpilah nak merasa.
"Eh... Isya, awak ni." Dia sudah tarik muncung.
"Tak nak pura-pura tak kenal saya ke pagi ni macam selalu?" Aku bahasakan sekali, padan muka dia. Pagi ni elok pula sebut nama aku, tak seperti selalu.
"Awak ni, saya tak pernah pura-pura tak kenal awak tau." Dia cuba bela diri.
"Habis tu, yang selalu tu apa?"
"Itu bukan sayalah."
"Habis tu siapa?"
"Personaliti kedua saya."
"Janganlah main-main." Aku hentak bahunya dengan bekas yang berada di tanganku. Menyesal pula aku sebut pasal DID semalam. Tengok, dia dah mengungkit benda yang sama hari ini.
"Okey, okey. Yang sebenarnya, yang setiap pagi awak jumpa tu memang bukan saya."
"Tapi saya." Seorang lagi lelaki berdiri di sebelahnya.
Buntang mataku melihat lelaki yang baru sampai.
"Hai."
Dia melambaikan tangan di depan mataku.
"Janganlah terbeliakkan mata macam tu. Saya manusialah, bukan jembalang tanah." Sempat lagi dia mengusik.
"Hesy, kau ni, sudahlah. Tak habis-habis nak kenakan dia."
"Ewah, tadi kau usik dia tak apa pula."
"Eh, aku tak apa, dia buah hati aku."
"Ehhh... Stop stop! Jangan nak merepek sangat boleh tak? Cuba jelaskan apa benda semua ni sebenarnya."
Mereka berdua berpandangan seketika sebelum mereka memandangku semula.
"Okey, yang sebenarnya dia Aiman, adik kembar saya. Dan saya abang kembar dia, Aidil. Saya dah bagi tahu awak nama saya semalam, kan?" Aidil berikan penjelasan.
Aku mengetap bibir menahan geram. Kembar rupa-rupanya. Muka memang seiras. Jadi, memang senanglah untuk aku tertipu.
"Habis tu, berpakat nak kenakan sayalah selama ni?!" Tangan kiriku sudah mencekak pinggang. Nak kena betul mamat dua orang ni!
"Eh tak, kita orang memang tak ada niat nak kenakan awak. Saya memang tak kenal awak masa pertama kali kita jumpa kat pusat jagaan ni. Semalam baru Aidil buka cerita pasal awak pada saya. Itu yang pagi ni Aidil join sini." Aiman jelaskan.
"Yang awak pula malam baru muncul kenapa?" Aku tenung tajam Aidil yang tersengih dari tadi.
"Cuti semester kan, jadi saya kerja. Malam baru boleh join program amal ni. Aiman pula malam ada program kat universiti. So, kita orang gilir-gilir." Aidil pula berikan penjelasan.
Ah, aku tak kira. Aku tetap rasa dia orang memang berpakat nak kenakan aku. Kenapalah aku tak terfikir kemungkinan abang nurse ada kembar? Boleh pula aku terfikir pasal amnesia dan DID tu semua. Buat malu aje. Mana aku nak letak muka? Rasa macam dah tebal semacam mukaku.
"Tak marah, kan?" Aidil menyoal.
Aku diam. Malas nak membalas.
"Isya."
Aku menoleh, tersenyum lebar jadinya bila ternampak Hilman. Rasa macam nak melompat-lompat. Kehadiran Hilman aku sambut penuh gembira. Kini aku pandang pula kembar tadi. Tiba-tiba idea muncul. Inilah masa aku nak kenakan mereka pula. Senyuman nakal sudah terukir di bibirku.
"Abang." Aku dapatkan Hilman yang sudah menghampiri, lantas aku rangkul lengannya.
"Abang?" Hilman sudah buat muka pelik.
Secara sembunyi aku cubit lengan Hilman. Dia mengaduh kesakitan tapi aku cepat tutup dengan pura-pura ketawa kuat.
"Bila abang sampai?" Aku pandang muka dia, mata aku besarkan. Cuba untuk berkomplot dengannya menjayakan misiku.
Dengan gerak mata aku tunjukkan kembar yang berada di hadapan kami. Hilman pandang mereka berdua sebelum memandangku dan tersenyum. Aku menarik nafas lega, rasanya Hilman sudah tahu aku mahu pura-pura berlakon dengannya.
"Baru aje. Siapa ni?" Hilman bersalaman dengan Aidil dan Aiman.
"Sukarelawan kat sini," balasku.
"Siapa ni?" Sekarang giliran Aidil pula yang menyoal tentang Hilman.
"Bakal suami saya." Aku buat muka berlagak.
Hilman terus memandangku.
"Bakal suami?" Mata Hilman membesar. Aku cubit lengannya sekali lagi.
"Erm, yalah... Betullah tu... Bakal suami." Tersekat-sekat Hilman mengakuinya.
Aidil sudah terbeliak matanya. Aiman pula sudah tersenyum simpul.
"Settle sendirilah, bro. Aku nak pergi buat kerja." Aiman menepuk beberapa kali bahu Aidil. Selepas bersalaman dengan Hilman, Aiman terus berlalu, namun sempat juga dia mengenyitkan mata padaku.
Eleh, aku tumbuk mata tu baru tahu.
"Isya..." Aidil cuba bersuara.
Cepat-cepat aku potong katanya.
"Abang, Isya ada buat kek coklat. Jom kita makan kat dalam." Aku tarik lengan Hilman dan membawanya masuk ke dalam. Sengaja aku tinggalkan Aidil sendirian di luar. Kami berjalan seiring. Meminggirkan Aidil saat ini.
"Duduklah." Hilman tarik kerusi untukku.
"Siapa sebenarnya budak-budak kat luar tu?"
Aku ceritakan semuanya pada Hilman dari A sampai Z. Saat pertama kali aku berjumpa Aidil di tempat letak kereta sehinggalah kisah aku bertemu mereka berdua di sini. Tiada satu pun aku tinggalkan untuk pengetahuan Hilman.
"Habis tu, dah kenapa Isya suruh orang menyamar tadi?"
"Saja nak kenakan dia orang berdua tu. Nak-nak si Aidil tu. Baru padan muka. Huh!" Geram betul!
"Yang nak marah sangat kenapa? Mungkin dia orang memang tak ada niat nak kenakan Isya."
Entah, aku pun tak tahu kenapa aku nak marah dan kenapa aku perlu pura-pura berlakon bahawa Hilman ialah bakal suamiku di depan mereka terutamanya Aidil? Tapi yang aku tahu aku sakit hati. Rasa tertipu. Macam-macam rasa ada. Sampai aku tidak tahu alasan mana yang lebih utama yang menyebabkan kemarahan aku sekarang.
"Janganlah marah, tak baik tau. Memang dia orang tak sengaja tu. Orang yakin." Rajin betul Hilman membela budak-budak tu.
"Ah, tak peduli! Nak marah juga!" Aku peluk tubuh.
"Ni marah ke merajuk?" usik Hilman.
"Apa pasal nak merajuk pula?"
"Ala, orang kenal sangat dengan Isya. Muka Isya marah bukan macam ni. Ni muka Isya merajuk. Nak suruh mamat yang kita tinggalkan kat luar tadi tu pujuk dululah tu baru nak cool, kan?"
Aku cubit lagi dirinya.
"Hesy, mana ada. Memandai aje."
"Eh, kuat mencubit pula dia sekarang. Sakitlah." Hilman mengosok lengannya yang baru sahaja menerima cubitanku.
"Padan muka. Sakitkan hati orang lagi."
Aku jelirkan lidah dan Hilman hanya membalas dengan tawa panjang.
PETANG ini Kak Win adakan jamuan makan untuk semua sukarelawan yang telah sudi membantu pusat jagaan ini selama tiga hari. Aku turut sama sibuk menolong Kak Win menyiapkan itu dan ini sempena jamuan yang akan dimulakan sebentar lagi. Tak menang tangan pula rasanya. Menyesal tak panggil Nora datang tolong sekali. Tapi nasib baik ada Hilman, bolehlah buli apa yang patut.
"Budak tu dah datang pujuk belum?" Hilman datang duduk di sebelahku.
"Budak mana pula?"
"Kembar yang kita tinggalkan kat luar pagi tadi."
"Hilman!" Aku bagi amaran.
Dia ketawa kuat.
"Tak habis-habis merajuk."
"Eh... Bila masa pula orang merajuk dengan budak tu. Memandai-mandai aje buat cerita ya? Siat mulut tu karang." Tak habis-habis kata aku merajuk dengan Aidil sejak pagi sampai ke petang. Memandai-mandai aje.
"Okey kalau tak merajuk, jangan elakkan diri. Kesian orang tengok budak tu terkejar-kejar Isya nak bawa berbincang tapi Isya mengelak." Hilman cuba berdiplomasi.
Aku mencebikkan bibir.
"Bila masa pula dia terkejar-kejar orang? Dan bila masa pula orang mengelak?"
"Tu tengok kat sana tu."
Hilman memuncungkan bibirnya pada satu arah. Aku turut memandang ke arah yang sama. Aidil ada di situ sibuk melayan beberapa penghuni lelaki dengan gitar di tangannya. Mulutnya terkumat-kamit menyanyikan lagu, jari-jemari sibuk menari di atas tali gitar. Cuma matanya saja terarah padaku.
Aku jelingkan sekali. Sibuk pandang-pandang, cungkil biji mata tu baru tahu.
"Tu dah menjeling-jeling tu bukan nak mengelak ke tu?"
"Eee... Hilman ni kan. Kenapa hari ni? Selalu kalau ada lelaki yang nak dekat-dekat dengan orang punyalah marah siap bagi warning maut kat dia orang. Sekarang ni dia pula yang lebih-lebih. Dah tak sayang orang ek?"
Aku tarik muka, teringat semula semua kisah lama aku dan dia. Dulu pantang ada yang cuba nak dekat dengan aku memang kena berdepan dengan dia dulu, baru boleh rapat denganku. Tapi memang tak seorang pun yang berjaya.
"Dulu tu sebab Isya budak sekolah lagi, lagipun dulu tu budak-budak lelaki yang nak dekat dengan Isya tu semua tak boleh pakai. Sebab tu orang banteras cepat-cepat sebelum hal lain jadi."
"Habis tu, Si Aidil tu boleh pakai sangatlah?" soalku.
"Oh, Aidil ke nama dia?"
"Ya."
"Ala, kalau setakat nak berkawan tu orang akan bagi restu sepenuh hati." Hilman meletakkan tapak tangan kanannya di dada menunjukkan betapa dia rela. Ceh, berlakon aje lebih dia ni.
"Eleh, propa betul." Aku buat muka lagi. Senang sangat Si Hilman ni cair dengan Aidil. Mengalahkan aku pula.
"Orang tak sukalah tengok Isya masam mencuka macam ni. Macam mana agaknya baru boleh dapat pujuk Isya kali ni ya? Nak suruh Aidil ke sini nyanyikan lagu khas untuk Isya ke? Nak?" Dia buka cadangan dengan muka teruja.
Isy... Ada yang kena ni karang. Tapi tak boleh juga. Berdosa pula tampar Hilman lebih-lebih lagi di khalayak begini.
"Okey, orang pergi panggil Aidil." Hilman terus bangun dan menuju ke arah Aidil.
Aku sudah mula gelabah semacam.
"Eh, Hilman. Nak ke mana tu? Hilman! Hil..." Jeritan aku matikan bila banyak mata penghuni Al-Husna memandangku. Aku lemparkan senyuman pada mereka.
Selepas mereka semua buat hal masing-masing semula, aku toleh pada Hilman. Terlopong mulutku. Hilman sudah mengambil alih tempat Aidil bernyanyi sambil memetik gitar dengan penghuni-penghuni di sini dan Aidil pula sedang menuju ke arahku.
Aku sudah tak keruan. Alamak, nak buat apa ni? Nak buat apa ni? Macam cacing kepanasan aku duduk di atas bangku. Tapi otakku tidak dapat mengarahkanku untuk bangun dan berlalu dari sini. Akhirnya Aidil duduk di sebelah, mengambil alih tempat Hilman tadi.
"Betul ke Hilman tu bakal suami awak?"
Ewah... Datang-datang terus tanya soalan paparazi kat aku. Mengalahkan wartawan akhbar hiburan. Jadi aku pun kena bagi jawapan ala-ala artislah, kan?
"No komen!" balasku selamba, persis primadona terkenal.
Dia mengeluh.
"Janganlah main-main, saya serius ni."
"Saya pun tengah serius!" Aku buat muka toya.
"Jawablah betul-betul. Betul ke Hilman tu bakal suami awak?"
Dia ni memang jenis tidak puas hati selagi belum dapat jawapan yang dia mahukan. Kalau aku layan nanti aku pula yang sakit hati macam hari-hari kebelakangan ini. Kalau tak layan pula soalan itu pasti akan berulang-ulang sampai malam.
"Yalah. Betullah tu." Lantak dialah, aku mengeyakan saja.
Dia mengangguk-anggukkan kepala.
"Baik pula dia bagi saya bercakap dengan bakal isteri dia berdua begini."
"Berdua apa bendanya? Kan ramai ini." Aku tuding jari pada semua yang berada di laman utama. Rabun tenuk betul mamat ni.
"Dan dah tentu-tentu Hilman tu memang baik orangnya." Kalaulah Hilman dengar aku puji dia begini, mahu kembang hidung jadinya.
"Saya baik tak?"
"Tak!" Aku jawab serius, tapi dalam hati dah ketawa senang bila air mukanya terus berubah.
"Amboi, zalimnya jawapan."
Aku diamkan diri. Dalam hati rasa bersalah mula hadir. Tak baik aku cakap begitu padanya. Sudahlah aku baru kenal dia, dan dialah orangnya yang menghulurkan bantuan semasa Kak Win mahu bersalin. Zalim sangat ke? Tak kut. Aku gurau aje pun.
"Saya minta maaf kalau ada perbuataan saya dan Aiman yang buat awak kecil hati atau marah. Kita orang memang tak sengaja. Memang tak bermaksud yang bukan-bukan pada Isya. Malam semalam, lepas saya balik dari pusat jagaan ni baru saya sempat berbual dengan Aiman pasal Isya. Maafkan kami." Dengan nada sayu dan panjang lebar dia menjelaskan.
Aduh, tiba-tiba terasa bersalah pula. Memang dia orang tak sengaja. Entah kenapalah aku boleh terlalu sensitif? Benda kecil aje pun aku nak perbesar-besarkan. Terasa jahat pula tiba-tiba.
"Kenapa tak terangkan malam semalam yang awak ada kembar?" Itu yang paling aku nak tahu. Kenapa harus tunggu pagi ini baru nak cerita semuanya? Malam semalam boleh sahaja dia terangkan padaku agar aku tak perlu fikir benda yang bukan-bukan. Sampai terkeluar amnesia, DID dan macam-macam lagilah.
"Saja saya nak tunggu masa Aiman ada sama-sama dengan saya. Saya takut awak kata saya reka-reka cerita pula." Tertunduk dia bercerita.
Kesian pula aku jadinya. Ada baiknya dijernihkan keadaan. Buang kekeruhan.
"Okeylah, saya pun nak minta maaf juga. Tak patut saya marah. Benda simple aje pun." Akhirnya aku mengalah. Tak guna nak marah-marah. Bukan benda besar pun, aku aje yang melebih-lebih.
Dia mengangkat wajah memandangku dengan senyuman.
"So, kita dah boleh berkawanlah, kan?" Terus dia menyoal.
Aku mengangguk. Memang dari dulu lagi aku tidak kesah mahu berkawan dengannya. Bak kata Hilman, dia nampak baik. Menambah nama baru dalam senarai kawan-kawanku. Tak salah rasanya.
"Kalau lebih daripada kawan?"
Terkejut aku dengan soalannya yang tiba-tiba. Senyuman sudah kembali di wajahnya, tidak seperti tadi yang masam mencuka.
"Tak takut kena belasah dengan bakal suami saya tu ke?" Aku muncung pada Hilman. Aku tiada jawapan khusus untuk soalannya tadi, jadi aku gunakan Hilman lagi. Terpaksa, maaflah Hilman. Orang tahu kau tak kesah. Kau kan sayang orang sangat-sangat.
Dia senyum sinis.
Eh, eh dia ni. Geram pula aku melihat senyuman dia.
"Betul ke Hilman tu bakal suami awak?"
Aku sudah mula beristighfar dalam hati. Soalan yang sama lagi. Dia ni memang nak kena ni.
"Ya... Berapa kali nak tanya?"
"Okey... Kalau macam tu saya akan rampas awak daripada dia!"
Terlopong mulutku. Biar betul mamat ni!
"Tutup mulut tu, nanti masuk lalat." Dia ketawa dan terus berlalu.
Tinggallah aku terkebil-kebil sendirian di sini.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro