Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 5

Aku percepatkan langkah menuju ke meja yang berada di tengah ruangan makan Pusat Jagaan Al-Husna. Lelaki semalam a.k.a abang nurse ada di situ, sedang enak menjamu sarapan pagi bersendirian.

Dari tadi aku mahu turut serta dengannya tetapi memandangkan dia makan bersama tiga orang lelaki yang lain, aku batalkan niat. Biarkan sahaja dahulu. Setelah dia bersendirian, baru aku ambil langkah untuk menyapa.

Aku rasa dia jenis yang boleh dibuat kawan. Jadi bolehlah aku menambah jumlah kawan yang aku ada dengan kehadirannya.

"Assalamualaikum," sapaku lalu terus duduk berhadapan.

Dia tersedak lagi, sama seperti pagi semalam. Aik, asal jumpa aku aje tersedak, asal jumpa aku aje tersedak, ini sudah melampau.

"Awak ni ada penyakit tersedak ke?" soalku, tapi otakku berfikir ada ke penyakit sebegitu?

"Ada ke penyakit macam tu kat dunia ni?" soalnya sama seperti apa yang aku fikirkan.

"Entah." Aku jongket bahu sambil melirik senyuman.

"Okey, sekarang saya nak minta balasan."

"Awak yang buat saya tersedak, nak minta balasan apa pula?"

Aku tergelak besar. Aduhai abang nurse ni. Tak habis-habis dengan kes tersedak dia.

"Bukan pasal itu la."

"Habis tu?"

"Kan semalam saya dah bagi tahu nama saya kat awak. So, sekarang turn awak bagi tahu nama awak kat saya. Mana boleh awak aje tahu nama saya. Saya pun nak tahu nama awak juga." Aku jelaskan, dari semalam aku terasa ralat kerana tidak bertanya namanya.

"Bila masa awak bagi tahu nama awak kat saya?" Dia buat muka pelik dengan setiap kata-kata yang aku lontarkan.

Aku mengeluh berat. Dia buat hal semula. Sakit pula hati aku.

"Semalam."

"Semalam? Pagi?" Dahinya berkerut seolah-olah memikirkan sesuatu.

"Bukan pagi tapi malam semalam." Aku bagi perincian yang lebih jelas.

Tiba-tiba dia melirikkan senyuman padaku.

"Awak yakin awak jumpa dengan saya malam semalam?" Dia menggenggam kedua-dua belah tangannya dan meletakkannya ke atas meja. Fokus diberikan lebih padaku.

Sekarang, giliran aku pula buat muka pelik.

"Yalah."

Kenapa dengan dia ni? Aku sudah tidak sedap hati.

"Awak yakin tu saya?" Dia cambahkan kerisauanku.

"Mestilah." Aku cuba meyakinkan, bukan sahaja padanya tapi pada diriku sendiri.

"Malam-malam macam tu banyak juga makhluk lain selain manusia tau." Nada yang digunakan sudah berubah. Meremang bulu romaku.

"Awak jangan nak buat cerita seram pula kat sini."

Aku sudah panas hati. Tunggu masa nak meletup sahaja.

"Cuba pandang saya betul-betul. Betul ke saya yang awak jumpa?" Dia bawa wajahnya menghadap wajahku.

Badan aku terdorong ke belakang dengan tindakannya walaupun ada meja yang memisahkan aku dengannya. Aku tetap cuba menjarak walaupun sebenarnya masih ada ruang yang memisahkan.

Dia tersenyum melirik. Geram dengan tindakannya itu aku cepat-cepat menghentak meja dengan penumbuk.

"Kalau tak nak bagi tahu nama... Sudahlah. Tapi janganlah nak reka cerita misteri kat sini," marahku dan aku terus bangun dari kerusi.

"Bengang ke?" soalnya seperti riang bila aku sudah naik angin.

Aku menjeling dan terus berlalu ke meja lain. Yang penting aku tidak perlu menghadap wajahnya lagi.

Malam semalam sikit punya baik. Beramah mesra dan bertegur sapa. Tapi pagi ini lain pula. Siap menakut-nakutkan aku lagi. Memang nak kena agaknya abang nurse tu.

Tiba-tiba sebotol air mineral dan secawan ais batu diletakkan di atas meja di hadapanku. Aku mendongak melihat gerangan orang yang meletakkan air tersebut. Bila aku lihat dia tersenyum padaku, rasa panas dalam hati ini makin meluap-luap jadinya.

"Buat sejukkan hati yang panas tu." Selamba dia menuturkan ayat itu kemudian terus berlalu pergi.

Tanganku sudah mengempal penumbuk. Itu tanda aku benar-benar marah. Menyirap darahku jadinya melihat dia tenang berjalan meninggalkan ruangan ini.

"Oi, cik kak."

Aku tersentak. Pandangan pada abang nurse hilang serta-merta. Digantikan dengan wajah Nora yang sedang membetulkan duduk di hadapanku.

"Eh, cop cop cop. Bengkek gilanya muka. Merah padam tu. Kau tengah marah dengan siapa ni?" Nora ralit melihat wajahku.

"Jembalang tanah!" Aku mengetap bibir.

Nora tergelak kuat.

"Okey, untuk meredakan kemarahan kau tu, aku nak bagi sesuatu. Confirm lepas ni kau tak marah dah."

Aku mencebik padanya. Aku intai ke dalam begnya, dia sedang tekun mencari sesuatu.

"Tadaaa..." Nora menghulurkan sebungkus plastik padaku.

Aku menyambut tanpa rasa gembira. Sakit hati masih bermaharajalela sekarang ni.

"Bukalah, tunggu apa lagi?" desak Nora apabila aku hanya membiarkan plastik itu di atas meja.

"Yalah." Aku turutkan juga kata Nora. Dengan rasa malas aku buka plastik. Sebaik sahaja isi dalamnya kelihatan aku mengukir senyuman yang lebar. Sebuah buku daripada penulis kegemaranku. Tak sia-sia aku kirim pada Nora semalam. Dapat juga menggembirakan hatiku pagi ini.

"Soul Debt – Hutang Jiwa. Jiwa Yang Tenang Adalah Jiwa Yang Bebas. Mr. Anonymous." Aku baca setiap aksara yang tertera di muka hadapan buku tersebut. Ilustrasinya tidak begitu menarik hati tapi kata-katanya terkesan dalam jiwa.

"Amboi, dapat buku dari penulis kegemaran dia, terus riang gembira muka," perli Nora.

"Haruslah." Tanganku sudah mula membuka plastik yang membaluti buku itu. Tidak sabar untuk membacanya.

Nora menahan tanganku dari terus membuka plastik tersebut.

"Kau tak payah teruja sangat nak baca. Bukan kau tak pernah baca buku ni. Dah baca kan bulan lepas?"

"Memanglah tapi ni dalam bahasa Melayu." Memang aku sudah mengkhatamkan buku ini bulan lepas, tapi ia dalam bahasa Inggeris. Sekarang yang ada di tanganku ini edisi bahasa Melayu. Penulis hebat. Karyanya sentiasa diterjemah.

"Ahhh, bahasa aje yang lain. Isinya sama aje. Yang aku pelik dengan kau ni, bukannya kau tak faham bahasa Inggeris tapi setiap kali Mr. Anonymous ni publish buku mesti kau nak beli dua-dua versi, kan? Kau memang nak kayakan dia ke apa?" Panjang lebar Nora membebal.

"Aku kan peminat tegar dia. So, ni kira salah satu cara aku nak bagi sokongan pada dialah. Siapalah penulis tanpa pembaca. Ya tak?" Aku cuba membela diri.

"Eleh, nanti dia yang kaya kau yang kayap. Kau ingat murah ke buku Mr. Anonymous ni? Nak dekat seratus tau."

"Kau cakaplah apa pun. Aku tak kesah."

"Eee... Kalau pasal Mr. Anonymous bukan main degil kau, kan!" Nora terus merampas buku di tanganku dan memasukkannya semula ke dalam begnya.

"Eh... Kenapa ambil balik?" Aku sudah terkapai-kapai cuba untuk mengambil semula buku itu darinya.

"Kau suruh aku datang hari ini sebab nak aku tolong program warga emas kat sini hari ni, kan? Dah, jom buat kerja. Kalau kau tak nak, aku balik sekarang juga," ugut Nora. Dia sudah bangun dari kerusi mengacah untuk pulang.

"Yalah, yalah. Main ugut-ugut pula kau ni." Aku menjeling tajam.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro