Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 3

Semua barang yang baru dibeli tadi aku keluarkan dari bonet kereta. Kak Win sudah meluru ke dalam kerana ada hal penting yang ingin diuruskan. Nasib baik Pak Cik Khalid dan Pak Cik Yazid datang membantu. Walaupun mereka sudah tidak sekuat mana, mereka masih ringan tulang untuk membantu apa-apa yang patut.

Aku pula tidak mahu membebankan mereka dan hanya menyerahkan barang-barang yang ringan sahaja untuk dibawa masuk ke dalam stor barangan di belakang Pusat Jagaan Warga Emas Al-Husna.

"Ramai sangat hari ni kenapa, pak cik?" Aku memandang parkir yang berhadapan dengan pintu masuk utama Pusat Jagaan Warga Emas Al-Husna.

"Sukarelawan datang buat aktiviti. Awin yang panggil dia orang katanya," kata Pak Cik Khalid sebelum berlalu masuk ke dalam.

Oh, ya. Aku terlupa Kak Win ada bagi tahu aku semalam, sukarelawan daripada badan Kami Prihatin akan datang hari ini untuk melihat bantuan yang boleh disalurkan untuk bangunan yang baru siap dibina. Sekali gus meneruskan khidmat kasih yang dijalankan hampir setiap bulan untuk penghuni pusat jagaan ini.

Kak Win juga merupakan salah seorang ahli badan 'Kami Prihatin' jadi senang untuk Kak Win meminta bantuan pertubuhan tersebut bagi membantu Pusat Jagaan Warga Emas Al-Husna.

Aku cepat-cepat membawa masuk semua barang ke dalam stor. Sesudah menempatkan semua barangan pada rak yang disediakan, aku menutup pintu stor. Kawasan ruang utama yang sering menjadi tempat penghuni di sini bersosial sudah penuh dengan para sukarelawan dan penghuni.

Gelak ketawa sentiasa mengiringi setiap perbualan mereka. Aku turut tersenyum. Sukarelawan itu semua sudah selalu ke mari jadi penghuni di sini tentunya sudah terbiasa dengan kehadiran mereka.

Aku mengerling ke sudut bacaan, mencari seseorang dan ternyata orang yang aku cari ada di situ. Masih termenung jauh memandang ke luar jendela sambil memegang tasbih, bibirnya terkumat-kamit mengalunkan zikir. Aku bergerak menghampirinya.

"Chik Hani," panggilku apabila kehadiranku disebelahnya langsung tidak disedari.

Dia berpaling memandangku. Seperti biasa, dia hanya melemparkan senyuman kecil kemudian memandang ke luar jendela semula.

Aku mengeluh berat. Memang begitu sahaja reaksinya kepada sesiapa sahaja yang datang menyapanya. Sudah lima bulan dia di sini memang aku tidak pernah nampak dia berbual dengan sesiapa pun. Suaranya hanya akan keluar apabila dia mengajar penghuni di sini mengaji al-Quran. Jika tidak, hanya senyuman tawar yang dipamerkan kepada kami semua.

Aku menarik kerusi lalu duduk berhadapan dengannya. Tangannya yang tidak bertugas memegang tasbih aku genggam lantas menghadiahkan satu kucupan lembut. Dia menoleh padaku sekali lagi.

Kali ini aku masih terus lemparkan senyuman, aku mahu dia rasa masih ada kasih untuknya melalui sentuhanku. Itu yang aku lakukan setiap kali aku bertemu dengannya. Seperti biasa, matanya bergenangan kemudian dia memalingkan mukanya ke luar semula.

Aku selalu berharap agar dia rasa selesa dengan kehadiranku dan mungkin satu hari nanti semua yang aku lakukan ini akan membuatkan bibirnya bergerak, mengeluarkan patah kata, bercakap dan meluahkan rasa hatinya padaku.

Aku tahu banyak yang dia pendamkan sejak pertama kali melangkah ke sini. Aku ingin tahu kisahnya. Apa yang menyebabkan dia sendiri menghantar dirinya ke sini? Kisahnya kelihatan berbeza dengan penghuni-penghuni lain yang kebanyakannya di sini kerana dibuang oleh anak-anak yang tidak mengenang budi. Aku benar-benar ingin tahu kerana aku ingin berkongsi rasa dengannya.

"Chik Hani tahu Isya sayang Chik Hani, kan?" soalku saja memancing untuk dia berbual.

Perbualan yang aku mulakan terbiar sepi begitu saja. Sama seperti hari-hari yang lalu. Namun aku juga tidak mahu mendesak dan memaksa. Biarlah. Mungkin wanita itu punya sebab yang tersendiri untuk terus berkelakuan begitu. Semoga satu hari nanti akan terbuka juga suaranya untukku dan orang lain.

"Isya, tolong akak sekejap."

Aku menoleh memandang ke belakang. Kak Win melambai-lambai ke arahku. Aku tunjukkan isyarat tangan, meminta Kak Win tunggu sebentar.

"Isya pergi dulu, nanti Isya berbual dengan Chik Hani lagi, ya?" Aku melepaskan genggaman tanganku padanya dan berjalan mendapatkan Kak Win.

"Dapat berbual dengan Mak Cik Hani?" soal Kak Win sebaik aku mendapatkannya.

Mendengar soalan daripada Kak Win, aku kembali menoleh memandang Chik Hani yang berada tidak jauh di belakang. Pandangan mataku bertemu dengan pandangan matanya. Cepat-cepat dia mengalihkan pandangan apabila kami bertentangan mata. Aku tersenyum simpul. Aku dapat rasakan sudah mula ada ruang untukku. Aku perlu berikan sikit masa lagi buatnya.

Aku pandang Kak Win semula sambil menggeleng.

"Biarlah dia dulu, kak. Nanti berbual-bual juga tu." Aku cuba redakan kebimbangan Kak Win.

"Bukan apa, risau. Kalau pendam aje perasaan tu lama-lama melarat pula." Kerisauan Kak Win sentiasa ada untuk setiap penghuni pusat jagaan ini.

"Insya-Allah, Allah S.W.T akan jaga Chik Hani."

Aku yakin dengan perkara itu. Chik Hani tekun beribadat. Zikir sentiasa teralun di bibirnya walaupun hanya mimik yang menceritakan. Dengan segala kebaikan yang diabadikan, mengajar penghuni di sini ilmu al-Quran, aku yakin Allah akan membalas setiap perbuatannya itu dengan kebaikan.

"Insya-Allah. Ada hikmahnya Mak Cik Hani ke sini. Bolehlah penghuni kat sini belajar mengaji. Kalau dengan ustaz ataupun ustazah muda ni, dia orang malu-malu sikit. Dengan Mak Cik Hani ni dia orang macam bersungguh-sungguh belajar."

Aku mengangguk. Walaupun aku hanya ada di sini setiap hari Ahad tapi aku tetap nampak perubahan yang berlaku pada penghuni-penghuni di sini.

"Eh, Isya dah cuti sem, kan? Tak balik Tanjung Malim?" Kak Win mengingatkan jadual aku setiap kali cuti semester universiti bermula.

"Orang tolong kat sini dulu sebelum balik. Nak juga sumbangkan bakti macam sukarelawan Kami Prihatin tu."

Minggu ini memang minggu yang sangat sibuk untuk Pusat Jagaan Al-Husna. Minggu ini semua pekerja pusat jagaan ini dan sukarelawan Kami Prihatin akan bekerjasama untuk menceriakan dan menyusun atur perabot di dalam bangunan baru. Jadi aku tidak mahu ketinggalan dalam usaha murni ini.

"Ke nak tunggu Hilman balik sekali? Hilman jadi balik bulan ni?"

Betul, sebenarnya itu juga salah satu sebab kenapa aku menunggu beberapa hari lagi sebelum pulang ke kampung.

"Jadi... Tunggu dia jugalah ni, nak balik sama-sama."

"Tak boleh berenggang langsung dengan Hilman kan kalau tahu dia nak balik Malaysia." Kak Win mencebik padaku.

Aku tersenyum. Kalau boleh memang aku tidak mahu benarkan dia pulang ke Jepun lagi selepas ini.

"Dah la, tak habis-habis senyum."

"Senyuman orang kan manis. Lagipun senyuman tu sedekah," balasku.

"Eh, menjawab pula dia. Dah, tolong akak buatkan air boleh? Untuk sukarelawan yang tengah mengecat kat bangunan baru tu. Nanti tolong hantar kat sana sekali, ya?" Sesudah memberi arahan, Kak Win terus berlalu ke ruang utama.

Mata aku besarkan memandang Kak Win.

"Amboi, pergi macam tu aje lepas bagi arahan?"

Aku cekak pinggang sambil menggelengkan kepala. Nasib baik dia kakak sepupu yang paling rapat denganku dan nasib baik juga aku memang sudah biasa berkhidmat secara sukarela di pusat jagaan ini sejak aku sampai di bandar raya besar ini. Jika tidak, malas aku nak melayan arahannya

Aku masuk ke ruang masakan bagi menyediakan air untuk sukarelawan sepertimana yang dipinta Kak Win. Setelah siap semuanya, aku bawa jag besar berserta cawan kertas bertingkat merentasi pintu utama untuk ke bangunan dua tingkat yang baru dibina. Penghuni yang semakin ramai menyebabkan mereka terpaksa menambah bangunan baru.

Walaupun ia pusat jagaan swasta namun banyak pihak yang sudi menyumbang demi kebajikan warga emas yang dipinggirkan. Sumbangan untuk sesuatu yang menyedihkan. Aku berdoa semoga aku tidak menjadi seperti waris penghuni di sini. Melupakan mereka yang amat berjasa pada kita sejak kecil apabila mereka sudah berusia. Nauzubillah.

"Jemput minum!" Aku laungkan kepada beberapa orang sukarelawan lelaki yang sedang tekun mengecat dinding dalam bilik utama. Khabarnya bilik ini akan dijadikan kelas untuk penghuni pusat jagaan ini mempelajari ilmu agama.

"Akhirnya, sampai juga air. Dahaga sungguh ni."

Seorang lelaki berbaju merah datang menghampiriku diikuti semua yang lain.

"Air apa?" Lelaki yang sama menyoal sebelum beberapa langkah menghampiriku.

"Air paling sedap dalam dunia waktu gotong-royong," balasku.

Lelaki itu menoleh padaku, berkerut dahinya.

"Air apa?" Dia sudah menarik satu daripada cawan kertas.

"Sirap ais!" Aku hulurkan secawan air padanya yang baru siap aku tuang.

"Ceh, ingat jus epal ke, jus oren ke," bebelnya namun huluranku masih bersambut. Aku tahu bebelannya itu hanya sebagai gurauan.

"Tu air orang putih, kita orang Melayu, minum air Melayu aje dahlah." Aku turut sama berjenaka.

Dia ketawa besar.

"Ada pula air orang Melayu dengan air orang putih, ya?"

"Ada, siapa kata tak ada."

"Aishhh... Macam-macam kau ni." Dia terus berlalu dengan senyuman lebarnya.

Senyumku turut sama terukir. Tugas menghulurkan air pada semua sukarelawan masih aku teruskan. Lebih kurang enam sukarelawan yang bertugas untuk mengecat dan menceriakan bilik ini dengan mural.

Sewaktu air aku hulurkan pada sukarelawan yang terakhir, aku tergamam. Mati terus senyumanku. Wajahnya aku amati. Macam kenal. Tapi siapa? Jumpa kat mana? Aku tidak dapat menjawab.

"Cik..."

Suaranya mematikan lamunanku.

"Oh... Hah... Erk... Ya... Apa dia?" Tergagap-gagap pula aku jadinya.

"Air." Dia menjuihkan bibir pada cawan kertas yang berada dalam genggamanku. Tangannya juga sudah menggenggam bahagian atas cawan kertas tersebut.

"Oh, hah... Maaf." Aku lepaskan genggaman pada cawan kertas dan dia terus berlalu meninggalkan aku yang masih memerhati dirinya.

Aku memeluk tubuh sambil terus berfikir. Aku yakin aku pernah bertemu dengannya sebelum ini. Tapi aku lupa di mana. Dia kelihatan tidak selesa apabila melihat aku masih memerhatikannya. Wajahnya ditolehkan ke arah lain.

Ah, tanya terus ajelah, senang. Tekadku dan aku terus berjalan menghampirinya.

"Tumpang tanya," sapaku.

Dia menoleh dan tersedak melihat kemunculanku. Nasib baik aku sempat mengelak. Jika tidak, habis basah bajuku dengan air sirap yang tidak berjaya masuk ke dalam perutnya.

Terbatuk-batuk dirinya.

"Kita pernah jumpa ke sebelum ni?"

Perkara utama yang menjadi persoalan, aku tanya terus terang. Tak ada pusing-pusing. Soalan lurus dan telus. Daripada aku asyik merenung dirinya dan tertanya-tanya sendirian, baik aku terus bertanya. Entah kenapa aku tidak puas hati selagi tidak tahu di mana aku pernah bertemu dengannya.

Dia pula yang merenungku dari atas hingga ke bawah.

"Macam tak." Hanya itu yang keluar dari bibirnya.

"Ya ke?" Aku cambahkan keraguan padanya sebab aku yakin aku pernah bertemu dengannya sebelum ini.

"Rasanya ya."

Aku masih tak puas hati. Pandangan masih belum mahu aku lepaskan. Aku perhati dengan lebih teliti wajah lelaki misteri itu. Cuba untuk membuka semua memori yang tersimpan dalam minda. Dia pula nampak tidak keruan dengan pandanganku.

Tidak sampai seminit dari adegan renung dan tenung, dia pantas menyambung tugasnya mengecat ruangan dinding yang masih belum bersimbah dengan warna-warna ceria.

"Tapi kenapa saya rasa saya pernah jumpa awak, ya?" Aku terus menyoal.

Mungkin bengang dengan soalanku yang sama dari tadi, aku terdengar dia mengeluh berat.

"Awak ni stalker ke?"

Panas hatiku mendengar katanya. Aku tanya baik-baik. Ini yang dia balas? Bibir aku ketap menahan geram.

"Awak ingat awak artis popular ke saya nak stalk awak?" Aku luahkan rasa marah. Aku cuma ingin tahu sama ada aku pernah berjumpa dengannya sebelum ini atau tidak. Salah ke?

"Manalah tahu, kan? Dunia sekarang ni lain macam."

Dia menjongket bahunya kemudian terus menyambung kerjanya yang tertunda sebab pertanyaan demi pertanyaan yang kedengaran.

"Huh."

Aku menjeling walaupun dia tidak melihat. Kemudian aku terus berlalu. Menyesal pula aku ringan mulut bertanya. Kalau aku tahu begini jadinya tidak mahu aku teruskan niat. Lebih baik aku simpan sahaja hasrat. Buang masa betul.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro