
Bab 12
"Sini?" Aidil memandang bangunan di hadapannya melalui cermin hadapan kereta.
Aku hanya menganggukkan kepala. Tali pinggang keledar sudah aku tanggalkan. Tapi aku masih lagi berada di dalam kereta. Rasa berat hati pula mahu melangkah masuk ke dalam Sekolah Seri Damai.
"Kenapa tak keluar lagi?"
"Menghalau ke?"
"Taklah menghalau. Tapi kenapa monyok aje ni? Nampak tak bersemangat langsung. Takut ke?" Dia nampak risau dengan keadaanku.
Aku mengeluh berat.
"Entah. Rasa berat hati." Aku pun tidak tahu kenapa, tapi itu yang aku rasa sekarang. Bukannya aku tidak biasa ditemu duga tapi kali ini rasa lain sangat. Tiba-tiba emosi tidak stabil pula.
"Kalau dah rasa macam tu, tak payahlah masuk dalam."
"Tapi saya dah janji dengan Nora."
Rasa menyesal pula berjanji dengan Nora. Tapi sudah terlanjur berjanji. Apa lagi yang aku boleh lakukan?
"Kalau macam tu pergi ajelah. Mana tahu memang rezeki awak kat sini. Cuba aje dulu." Aidil memberikan galakan.
"So, kena masuk jugalah ni?"
"Ya." Aidil mengangguk laju.
"Lagipun awak ingat tak saya selalu kata? Kita kena bertanggungjawab dengan janji yang kita dah buat."
Ya, aku ingat. Tapi...
"Yalah." Aku reda ajelah. Dah alang-alang sampai sini. Apa yang nak jadi kat dalam nanti jadilah. Tak kuasa aku nak fikirkan lagi.
Aku buka pintu kereta dan turun. Tapi belum sempat aku menutup semula pintu kereta terdengar Aidil memanggil namaku. Aku terpaksa menunduk memandangnya yang berada di dalam kereta.
"Kalau jumpa lelaki handsome, palingkan muka ya? Jangan cepat sangat terpikat." Sempat dia berseloroh.
Aku ketawa kecil.
"Jangan risau, setakat ini awak lelaki paling handsome yang pernah saya jumpa." Aku juga turut berjenaka dengannya, hilang sikit rasa gundahku.
Dia tersenyum panjang. Sukalah tu aku kata dia paling handsome.
"Saya pergi dulu. Jaga diri." Dia melambai.
"Okey, drive elok-elok," kataku sebelum menutup pintu kereta.
Aku jalan dan masuk melalui pintu pagar kecil yang dibuka khas untuk pelawat.
Susah betul nak lepas masuk ke dalam. Kalau setakat tinggalkan kad pengenalan di pondok pengawal aku tidak kesah sangat, itu perkara biasa. Tapi sampai kena bersoal jawab hingga berpuluh-puluh soalan dari pelbagai aras, ini sudah lebih. Sakit pula hati. Sabar Isya, sabar. Aku sabarkan hati yang makin panas.
"Okeylah, cik boleh masuk. Ingat, jangan berjalan dalam kawasan sekolah tanpa seliaan pihak pentadbiran. Nanti sebelum balik jangan lupa tulis dalam buku lawatan ni, pulangkan pas lawatan dan ambil semula kad pengenalan cik."
Amboi, peringatan bukan main panjang berjela. Memanglah aku tahu kena ambil semula kad pengenalan aku. Takkan aku nak jadi pendatang asing tanpa izin, tak ada kad pengenalan.
Selepas menyematkan pas lawatan yang berukuran kad pengenalan ke tudung, aku terus melangkah menuju ke bangunan utama. Belumpun sempat aku sampai ke bangunan utama aku sudah ternampak kelibat Nora bersama seorang lelaki di tempat meletak kenderaan, bersebelahan sebuah kereta Toyota.
Langkah kaki aku halakan pada mereka. Nampak bersungguh-sungguh Nora bercerita dengan lelaki itu. Semakin hampir aku dengan mereka aku mendongak memandang tag berwarna keemasan yang tergantung di bumbung parkir tersebut.
PRINCIPAL
Oh, inilah agaknya pengetua yang sangat-sangat Nora tidak gemari. Pengetua cengil katanya. Tapi kenapa sekarang ini nampak seperti Nora yang terlebih cengil berbanding pengetua itu?
Semakin aku menghampiri mereka, semakin jelas butir bicara yang sedang mereka bincangkan. Nampak macam sesuatu yang serius dan penting.
"Masalahnya sekarang, doktor tak cuba nak faham." Nora nampaknya sudah hilang kawalan, merah padam mukanya yang putih melepak.
"Cik Nora, awak kena faham..."
Eh, macam aku kenal suara pengetua yang sedang membelakangkan aku tika ini. Belum sempat otak menganalisa suara itu dengan lebih lanjut, bibirku sudah mendahului.
"Assalamualaikum."
Kedua-dua mereka serentak menoleh padaku dan menjawab salam yang aku berikan. Aku lemparkan senyuman pada Nora. Tiada suara yang kedengaran tapi aku dapat baca gerak bibir Nora yang menanyakan kenapa aku lambat. Aku mengungkapkan perkataan sorry juga dengan hanya gerakan bibir, tanpa suara.
Pengetua yang hanya menolehkan kepalanya tadi, tiba-tiba mengalihkan badannya menghadapku. Pantas aku turut memandangnya. Terbuntang mataku bila melihat gerangan orangnya.
"Awak..." Hanya itu yang mampu aku suarakan. Patutlah aku rasa berat hati mahu ke sini hari ini. Rupa-rupanya terpaksa bertemu dengan dia lagi.
Huh, jumpa lagi rupa-rupanya. Ingat dah tak payah bertentang mata lagi dengan dia.
"Doktor, kenalkan inilah Batrisyia yang saya cadangkan tadi. Isya, ni Doktor Ishraf Muzaffar, Pengetua Sekolah Seri Damai." Nora memperkenalkan aku dengan dia yang aku sudah sedia kenal.
Dia pandang aku tidak berkelip. Mungkin dia juga terperanjat sebab terpaksa berjumpa dengan aku lagi.
"Tak payah nak kenalkan. Dah kenal pun." Sinis aku berkata.
Nora nampak seperti pelik dengan kata-kataku. Berkali-kali dia menoleh pada aku dan Ishraf. Kemudian baru dia bersuara.
"Oh, haah. Kau orang dah pernah jumpa hari tu, kan?" Baru Nora dapat mengimbau memorinya.
Aku pula entah kenapa senang sangat mengecam Ishraf. Selalunya aku memang payah mahu mengecam orang lain, lebih-lebih lagi jika baru bertemu sekali dua. Ada aura yang tak bagus antara aku dan dia. Aku dapat rasakan.
"Kalau dah kenal lagi senang cerita. So, doktor... Boleh, kan kita terus ambil Isya jadi tenaga pengajar di sini?"
Nora terus pada persoalan asal, mukanya tegang semula seperti tadi. Adakah mereka membincangkan tentang aku sebentar tadi?
Selepas mendengar soalan Nora baru dia melepaskan pandangan padaku. Matanya terarah pada Nora pula.
"No, kita dah bincang tadi, Cik Nora. Kita memang tak boleh ambil dia. Awak yang pandai-pandai suruh dia datang. Jadi, awaklah yang wajib suruh dia balik." Ishraf berpusing dan mula membuka pintu keretanya.
Eh, nanti dulu. Ni kiranya aku ditolak tanpa ditemu duga terlebih dahululah, kan? Ewah, suka-suka hati nak reject aku macam tu aje. Sekurang-kurangnya temu dugalah dulu. Barulah buat keputusan. Ini tidak. Dahlah aku yang dipaksa datang ke sini, bukan atas kehendak aku sendiri. Ini sudah boleh dikategorikan sebagai kes terlampau. Aku paling pantang dengan penindasan dan ketidakadilan. Ini tak boleh jadi.
"Sekejap, doktor." Aku menahan pintu keretanya. Sekali gus menghalangnya dari masuk ke dalam kereta.
Dia agak terkejut dengan tindakan drastikku. Apabila aku melihat tangannya perlahan-lahan melepaskan pintu keretanya, aku dengan pantas menutup pintu dan bersandar pada pintu keretanya sambil memeluk tubuh. Jangan harap nak ke mana-mana sebelum bagi penjelasan kat aku. Ini Isyalah. Ingat senang-senang ke nak tindas aku?
"Saya perlukan penjelasan daripada doktor." Saja aku menggunakan kata nama diri doktor padanya memandangkan Nora turut memanggilnya sebegitu. Lagipun sekarang rasanya perbincangan formal walaupun tempatnya tidak formal langsung.
"Perkara apa yang awak perlukan penjelasan saya?"
Dia turut memeluk tubuh dan bersandar pada kereta di belakangnya. Jadi aku dan dia sekarang saling berhadapan. Nora diam sahaja di tepi.
"Kenapa saya kena reject tanpa ditemu duga? Saya datang ni sebab nak ditemu duga, bukan nak main ping pong. Mana boleh halau saya macam tu aje." Aku mulakan kata. Ni baru aku sajikan dengan mukadimah yang lemah lembut. Kalau dia buat hal, siaplah.
"Maaf. Rasanya Cik Isya dah salah faham, saya tak pernah setuju untuk menemuduga Cik Isya. Sebab saya dah baca resume Cik Isya dan saya rasa Cik Isya tak sesuai untuk jawatan tersebut. Saya tak tahu pula Cik Nora sudah maklumkan pada Cik Isya untuk datang hari ni." Panjang lebar punya penerangan yang amat menyakitkan hati. Terutamanya ayat kedua tu.
Aku pemegang ijazah kelas pertamalah. Ingat senang ke nak dapat?
Aku hulurkan fail yang berisi sijil-sijil akademik aku padanya. Dia menyambut huluranku tapi fail itu hanya dipegangnya. Langsung dia tidak teringin nak tengok apa yang ada di dalam.
"Kenapa? Sebab saya bukan pemegang ijazah pendidikan? Tiada kelayakan ikhtisas? Begitu?" Aku soal lagi. Geramnya aku dengan dia ni.
"Pasal kelayakan ikhtisas tiada masalah sebab Damai consulting ada menyediakan program khas untuk tenaga pengajar yang tiada kelayakan ikhtisas di sekolah ini. Tapi ijazah yang Cik Isya ada sangat menyimpang dari opsyen yang kami perlukan. Guru Pendidikan Jasmani dan Kesihatan. Bukan subjek peperiksaan tapi kami tetap kena jaga piawaian yang ditetapkan Kementerian Pendidikan. Saya tak rasa Cik Isya boleh mengajar subjek tersebut."
Kali ini ayat terakhir pula yang menyakitkan hatiku. Baik, aku akan buktikan yang aku layak. Terus aku buka beg yang aku bawa. Aku keluarkan fail berwarna merah. Pada asalnya aku tidak mahu bawa fail ini tapi entah kenapa tanganku turut mengapai fail ini masa di rumah tadi. Berguna juga fail ini pada saat hatiku tengah pedih.
Melihatkan fail yang aku hulurkan tadi langsung tidak dibukanya jadi aku mengeluarkan sijil-sijil dari fail ini satu per satu dan berikan padanya.
"Ni sijil saya mewakili sekolah dalam acara balapan sehingga peringkat kebangsaan." Aku hulurkan berbelas keping sijil kepadanya.
"Untuk pengetahuan doktor, saya antara calon mewakili Perak untuk SUKMA tapi saya tolak atas alasan ingin memberi tumpuan dalam pelajaran."
Aku keluarkan sijil-sijil yang lain pula.
"Ini sijil saya mewakili sekolah dalam beberapa jenis sukan sehingga peringkat kebangsaan juga." Aku serahkan padanya lagi.
"Ini pula sijil saya semasa menyertai MAKSUM di universiti." Nak kata aku berlagak katalah aku dah tak kesah, janji aku puas hati.
Dan sekarang aku keluarkan sijil yang akan membuatkan dia terdiam. Aku hulurkan dua keping sijil padanya.
"Dan ini pula yang paling penting. Sijil Kejurulatihan tahap satu dan tahap dua. Dari Akademik Kejurulatihan Kebangsaan." Sijil yang sangat aku banggakan sudah bertukar tangan. Dia tekun meneliti sijil itu. Nak sahkan ketulenan sijil itu agaknya. Ada aku kesah! Nak telefon untuk pengesahan pun boleh. Silakanlah.
Memang dia terdiam akhirnya, puas hati aku. Dalam resume memanglah aku tidak letak semua perkara ini. Sebabnya? Sebab aku malas. Aku siapkan resume yang Nora minta itu pun hanya dengan separuh hati. Sebab tu banyak benda yang sengaja aku lopongkan.
Bukan sahaja Ishraf terdiam, Nora turut terkedu sebab dia memang tidak pernah tahu tentang sijil kejurulatihan yang aku miliki. Saja aku diamkan. Hanya walid, umi dan Hilman saja yang tahu. Saja aku mengambil keputusan untuk mendapatkan sijil kejurulatihan. Lepas habis ijazah, sementara tiada apa-apa yang aku lakukan terus aku memohon untuk mengikuti kursus tersebut. Sukan bukan sahaja bakatku tapi hobiku. Bila ada yang mempertikaikan memang aku berapi.
"So, saya dah kira layak atau tidak mengisi jawatan tersebut?" Bukan aku teringin sangat pun nak kerja bawah dia, tapi bila aku terasa dicabar memang aku akan sahut cabaran. Sakit hati padanya sewaktu di restoran dulu pun belum reda, dia tambah pula yang baru.
Dia pandang wajahku pula. Semua sijil yang aku berikan padanya dipulangkan semula padaku bersama fail akademik aku yang langsung tidak disentuhnya.
"Saya akan pertimbangkan." Dia bergerak ke hadapan. Cuba untuk membuka pintu keretanya.
"Saya nak jawapan sekarang. Ya atau tidak. Saya tak mahu menunggu." Sengaja aku memaksa. Alang-alang aku sudah sakit hati, biar dia turut merasa hal yang sama.
Dia menoleh pada Nora seketika. Nora diam tidak berkata apa-apa. Kemudian dia memandangku semula.
"Cik Isya boleh mula esok?" Keputusan sudah diambil.
"Tak ada masalah." Aku buat muka toya. Langsung tidak cuba untuk menunjukkan kegembiraan. Padahal dalam hati sudah menjerit kemenangan. Aku bukan gembira sebab dapat jawatan tersebut tapi sebenarnya aku lebih gembira sebab aku dapat membidas semua katanya tadi. Itulah, lain kali jangan pandang aku sebelah mata.
"Cik Nora, masukkan nama Cik Isya dalam semua program khas Damai." Sempat dia menyampaikan pesanan pada Nora sebelum masuk ke dalam kereta.
"Baik, doktor." Laju Nora membalas. Mukanya tak payah cerita memang gembira sangat, mengalahkan kegembiraan aku.
"Alhamdulillah, nasib baik kau dapat," bisik Nora padaku.
"Alhamdulillah, bak kata Mr. Anonymous, kebaikan takkan pernah meninggalkan orang yang baik." Saja aku menguatkan suara, biar Ishraf dengar.
Ishraf menoleh padaku dengan jelingan tajam dan aku buat tidak kesah.
"Tak habis-habis petik kata-kata Mr. Anonymous kau ni." Nora pula yang terlebih tak puas hati.
Aku hanya tersengih panjang.
Sebaik sahaja kereta Ishraf bergerak, Nora menghulurkan tangannya padaku untuk bersalaman.
"Selamat datang ke Sekolah Seri Damai."
Aku menyambut huluran salamnya.
"Tapi ingat, aku kerja sini sementara aje tau. Jangan buat-buat lupa pula." Sengaja aku mengingatkan janjinya sebelum ini.
Nora hanya tersenyum panjang.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro