Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 2

"APA yang Teja cakap ni? Nak bergurau dengan mak su, ya?" Berkerunyut dahi Datin Farhah. Kurang faham. Wajah Teja dipandang lama. Sudah beberapa hari wajah cantik itu kehilangan senyum. Bukannya dia tak perasan. Cuma malas nak bertanya. Risau Teja terlebih touching pula nanti. Cukup-cukuplah keluhan tak sudah Teja itu merimaskannya.

"Teja tak berguraulah, mak su. Teja serius dengan apa yang Teja cakap."

"Teja jangan nak buat gila! Mak su tak setuju! Dua ratus peratus mak su tak setuju! Bising pak su nanti. Apa yang mak su nak jawab dengan pak su? Kan Teja dah janji nak bantu pak su! Apa kes tiba-tiba nak lancarkan misi balas budi pula ni? Dah macam nak pergi Syria aje gaya misinya!" bantah Datin Farhah. Tangan naik bersilang di dada. Satu-satunya wajah anak gadis tunggal arwah kakaknya Farhana, direnung tak puas hati.

Apa agaknya yang Teja mimpi malam tadi? Apa kes yang pagi-pagi dah merepek yang bukan-bukan? Mustahil mamai lagi. Dah pukul 10 pagi. Matahari dah tinggi atas langit tu. Putrajaya dah panas terik!

Teja telan liur. Risau nak pandang wajah serius Mak Su Farhah. Volume suara mak su pun macam dah lain sikit. High pitch! Mak Su Farhah ni memanglah ibu saudara yang sangat lembut dan sporting. Boleh dibawa ke tengah, ke tepi dan ke atas. Tapi, bila dah datang angin tak puas hatinya tu, automatik boleh bertukar jadi mak tiri Cinderella. Sila tadah telinga!

"Teja jangan nak cari penyakit!" Datin Farhah dah keluarkan amaran gelombang kecil.

Teja telan liur. "Tapi mak su... Itu semua salah Teja. Teja kenalah bertanggungjawab. Teja tak boleh nak buat tak tahu macam tu aje. Teja aje bahagia. Tapi dia yang sengsara. Kasihan dengan dia, mak su. Dah dua bulan. Sampai bila nak biarkan? Demi Allah Teja tak tahu pula yang selama ini dia sakit sampai macam tu sekali."

Datin Farhah geleng kepala perlahan-lahan.

"Habis tu? Teja nak suruh dia langgar Teja baliklah? Teja nak terkedang atas katil, koma dan tak boleh buat apa-apa! Lepas tu baru Teja rasa lega? Rasa puas hati? Rasa aman dunia? Rasa terbalas semua budi? Macam tu?"

Huish! Macam peluru bidasan Mak Su Farhah. Kening yang tak gatal digaru. Banyaknya soalan. Nak jawab yang mana dulu?

"Errr... Bukan macam itulah, mak su."

"Habis tu... Macam mana?" Bulat mata Datin Farhah.

Teja terdiam agak lama. Aduhai! Tangan naik pula menggaru kepala yang tak gatal. Serba tak kena jadinya. Otak lincah mencari idea nak menjawab. Susah kalau berlawan cakap dengan ex-student law ni. Jangan mimpilah nak menang. Terlebih fakta kang dikatakan dia 'terlebih ajar' pula.

"Teja... Dengar sini. Pandang muka mak su ni. Berapa kali mak su nak cakap? Ini semua adalah accident. Bukan kita yang rancang. Bukan niat Teja nak buat cucu teruna sebelah rumah tu dilanggar kereta. Dia yang nak tolong Teja, kan? Nak selamatkan Teja. Itu bahagian dialah. Bukannya Teja yang beria-ia suruh!"

"Kenapa pula Teja nak bertanggungjawab bagai? Lagi pun, Teja nak bertanggungjawab untuk apa? Dia dengan Teja bukannya siapa-siapa. Nak kata berjiran. Baru lately ni aje Teja sedar itu jiran Teja. Hah! Itu pun lepas kes accident tu. Ini semua takdir! Teja faham, kan? T.A.K.D.I.R. Allah dah tentukan macam tu." Berjela hujah Datin Farhah. Sangat jelas dan terang-benderang. Kalah lampu stadium. Kalau anak saudaranya ni tak faham juga, tak tahulah.

Terkebil-kebil mata Teja. Wah! Mak Su Farhah siap eja perkataan takdir tu. Tak tahan betul! Nasib baik mak su tak explain definisi sebenar seperti dalam Kamus Dewan Edisi Keempat tu. Kali itu mahu Teja terus pengsan.

"Teja tahu, mak su. Itu semua adalah takdir. Tapi... Teja yang jadi punca accident tu berlaku. Kalaulah Teja berhati-hati masa nak lintas jalan tu, pasti semua ini tak akan terjadi. Teja yang lalai. Teja yang... yang..." Teja dah mula sebak. Mata sudah panas. Dia rasa tak mampu nak habiskan ayat. Sedih! Air jernih laju mengalir di pipi. Kalau masuk bab ini dia memang sensitif. Laju aje air mata meleleh. Sejak dua menjak ni, hatinya sangat lembut mengalahkan tisu.

Setiap kali teringat kejadian itu, Teja mula dihujani dengan rasa bersalah. Hati mula tak tenang. Gelisah! Dada rasa macam nak meletup. Nak buat apa pun tak boleh. Nak makan pun tak berselera. Nak pula bila dia tahu keadaan cucu teruna sebelah rumah itu tak pulih seperti yang disangka.

Kalau betul lelaki itu hanya cedera biasa seperti yang dimaklumkan, kenapa bila dah sedar daripada koma tak boleh berjalan pula? Kenapa mesti bergerak dengan kerusi roda? Maknanya memang teruklah, kan?

"Ya Allah, Teja... Kenapa menangis pula ni? Sorry... Sorry... Mak su bukan marah Teja. Mak su cuma nak Teja fikir betul-betul. Jangan buat keputusan melulu. Fikir dengan hati yang tenang. Jangan terpengaruh dengan emosi." Suara Datin Farhah kendur sedikit. Tidak segarang tadi. Serba salah pula jadinya apabila melihat tangisan Teja. Susah untuk dia melihat anak saudaranya itu menitiskan air mata. Bukan niat nak marahkan Teja. Tapi dia geram. Sampai bila nak salahkan diri sendiri? Kenapa mesti ada kalau? Seolah-olah tak percaya pada takdir.

Ya Allah... Kenapalah kemalangan petang itu boleh melibatkan Teja dan cucu teruna sebelah rumah tu? Apa yang Tuhan nak tunjuk sebenarnya?

Teja masih menangis. Terhinggut-hinggut bahunya. Air mata dikesat perlahan. Hidung dah mula berhingus dikesat. Ternyata akhir-akhir ini murah betul air matanya. Kalah paip pecah. Pantang silap, mula nak meleleh.

Doktor Shahril cakap lelaki itu mengalami gangguan pada saraf tunjang dan tulang belakang kerana hentakan yang kuat. Otot dan urat menjadi bengkak dan tegang kerana tisu saraf disekitarnya telah lumpuh sehingga tidak dapat berfungsi. Ada darah beku yang terapung lalu berlakunya penyumbatan pada pembuluh darah. Tisu yang berfungsi dan mengatur kegiatan otot-otot mengalami peradangan, maka dia hilang upaya untuk mengendalikan otot-otot yang dirangsang oleh saraf. Apabila keadaan ini berlaku, anggota badan akan menjadi semakin lemah dan ia juga akan kekurangan rasa sakit.

Adoi! Serabut kepala Teja ketika itu. Sungguh dia tak faham apa-apa. Lambat otaknya nak hadam bahasa-bahasa doktor ni. Panjang berjela tapi satu habuk pun tak boleh nak pick up. Apa yang dia faham, lelaki sebelah rumah itu lumpuh dan tak boleh berjalan buat seketika. Maknanya sakit itu seriuslah, kan? Kata Doktor Shahril lagi, lelaki itu boleh sihat seperti biasa kalau menjalani fisioterapi secara berjadual. Masalah yang timbul sekarang, lelaki itu tak mahu mengikuti apa-apa rawatan.

Teja yakin, perkara ini pasti tak mudah untuk diterima oleh cucu teruna sebelah rumah. Apabila satu nikmat ditarik seketika oleh Allah. Mestilah frust.

Aduhai... Dia seakan-akan turut merasai kesakitan yang dialami lelaki itu. Sejak dari hari itu, setiap saat dia dikejar rasa takut. Setiap minit dia dikejar resah. Setiap malam tidurnya bagai diburu jeritan si lelaki. Hingga terbawa-bawa dalam mimpi. Huh! Dia boleh jadi gila.

"Teja tak boleh salahkan diri Teja. Ini bukan salah Teja. Teja pun tak minta ini semua berlaku, kan? Dah ketentuan Tuhan. Kita kenalah reda. Mungkin ada hikmah dengan apa yang terjadi. Dah... Jangan menangis. Anak dara tak elok menangis di pagi hari. Hilang seri masa bersanding nanti. Tengok tu! Dah sememeh muka tu. Lap air mata tu betul-betul. Lap hingus tu." Datin Farhah memujuk lembut. Risau hatinya melihat Teja yang tiba-tiba diam.

Dia bangun dan memeluk Teja dari belakang. Bahu Teja diusap perlahan untuk ditenangkan. Sayu hatinya melihat kesedihan Teja. Tersentuh rasa naluri keibuannya.

Sejak beberapa hari ini dia hilang Teja yang manis, periang dan banyak cakap. Berganti pula dengan Teja versi bisu dan kerap termenung.

"Teja yang bersalah, mak su. That is why I have to be responsible. Teja nak bantu pulihkan dia. Teja nak bantu dia kembali sihat dan berjalan seperti biasa. Gembira dengan hidupnya semula. Demi Allah, Teja ikhlas. Teja tak minta apa-apa balasan," luah Teja dalam nada sendu yang tenggelam timbul.

"Ya, betul. Mak su faham. Tapi Teja tak perlulah berkorban sampai macam tu sekali. Family dia orang tu dah ada doktor peribadi dan pakar fisioterapi sendiri. Tak payah susah-susah Teja nak tolong rawat dan jaga. Bukannya budak kecik pun. Sekadar bertanya khabar pun dah kira okey. Lagi pun apa yang Teja tahu tentang rawatan fisioterapi? Bukan calang-calang orang boleh handle. Teja bukannya student medic. Student fisio jauh sekali. Ilmu fisio dan perubatan tu di hujung kuku pun tak ada. Terseliuh kaki pun Teja dah meraung sakit macam nak runtuh rumah. Macam mana tu?"

Satu family ambil maklum tentang Teja yang jenis tak tahan sakit, penakut dan manja orangnya. Apabila diurut kaki, Teja menjerit macam dah putus sebelah kaki. Satu kampung boleh bergegar.

Eh! Merah wajah Teja. Diterpa malu. Mak su ni! Apa kes buka cerita terseliuh kaki yang berlaku 10 tahun lepas pula? Jauhnya menyimpang. Potong betullah!

"Mak su rasa, mak su tak yakin Teja mampu. Lagi pun, macam susah aje nak berkomunikasi dengan family dia orang tu. Family dia orang tu macam pelik sikit. Tak macam jiran-jiran kita yang lain. Ramah-tamah dan berbudi bahasa. Sudahlah tak berapa nak friendly! Nak pula kalau dengan Datin Umairah, anak Toh Puan Aminah tu. Nak tersenyum kepada kita pun susah. Puas kita menyapa. Haram dia nak membalas. Teja tengoklah macam mana kita terserempak di hospital dulu. Selamba aje dia tinggalkan kita dengan muka tak puas hati. Dah tu... Siap nak menyaman kita lagi. Macam tak belajar adab aje! Sombong tu tak payah cakaplah! Nasib baik ada Toh Puan Aminah yang sudi layan kita dan tenangkan kepala angin anaknya tu. Kalau tidak, tak tahulah apa jadi."

Wajah lembut Datin Farhah bertukar serius kembali. Panas hatinya dengan anak jiran sebelah yang sombong tu. Kata aje berjiran. Tapi adat berjiran langsung tak apply! Kosong!

Sudah tiga tahun dia berjiran dengan orang sebelah ni sejak ibu pejabat D' Reka berpindah dari KL ke Cyberjaya. Boleh dikira dengan jari berapa kali aje dia berkesempatan berbual dengan Datin Umairah. Selalunya dia hanya berbual dengan Toh Puan Aminah sahaja. Macam tak percaya pula Datin Umairah itu adalah anak bongsu Toh Puan Aminah. Sikap anak dan emak itu berbeza macam bumi dengan Pluto. Rasanya boleh ribut taufan Putrajaya ni kalau tiba-tiba Datin Umairah yang sombong itu bertukar menjadi peramah.

"Pasal Datin Umairah tu kita tolak tepi aje, mak su. Yang penting kesihatan anaknya tu. Teja nak bantu cucu Toh Puan Aminah tu." Teja masih tak berputus asa. Sedaya upaya dia akan tebalkan muka. Tayang muka tembok. Terpulanglah kalau nak kena marah pun. Dia reda dan pasrah. Dia sedar nak balas budi bukannya mudah. Hutang duit dia mampu bayar. Tapi kalau hutang budi dan nyawa, dia kenang sampai mati.

"Teja bukannya tahu pasal fisioterapi tu. Buat apalah nak susahkan diri? Mak su risaulah," keluh Datin Farhah. Kenapalah degil sangat ni anak, oi?

"Mak su tak perlu risau. Memang betul Teja tak tahu apa-apa tentang dunia perubatan dan fisioterapi. Tapi Teja boleh belajar dan ikut nasihat Doktor Shahril. Teja dah bincang dengan Doktor Shahril. Dari A sampai Z, Doktor Shahril dah terang pada Teja. Doktor Shahril akan sediakan jadual dan arahan apa yang perlu Teja buat setiap hari. Do and don't. Dari pagi sampai petang. Ikut saja jadual fisio yang doktor dah tetapkan. Tak susah mana pun."

Betul ke tak susah? Huh! Dia main cakap aje sebenarnya. Sebab nak sedapkan hati mak su. Janji mak su bagi izin. Semua risiko nanti dia aje yang tanggung.

Apa pun Teja tetap nekad dengan keputusannya. Sungguh dia tak boleh duduk bergoyang kaki aje. Cucu teruna sebelah rumah itu mesti dibantu dan disedarkan untuk segera sembuh. Dia perlu lakukan sesuatu. Selagi lelaki sebelah rumah itu tidak pulih dan dapat berjalan seperti biasa, selagi itulah bertambah-tambah galau hatinya. Harapannya, andai lelaki itu tak dapat berjalan seperti biasa, dapat bertongkat pun dah kira cukup bagus. Alhamdulillah.

"Habis tu... Macam mana dengan kerja Teja? Nak bantu jaga orang sakit ini perlukan komitmen sepenuh masa. Nak pula yang 24 jam bergerak dengan wheelchair tu. Pagi dan petang pesakit kena buat fisio. Dah tu nak kena jaga kat rumah pula tu. Teja pun baru dua bulan kerja, kan? Baru sign in, mustahil Teja nak sign out pula. Bising tok ayah nanti. Tak sanggup mak su nak dengar tok ayah membebel. Teja bukan tak kenal dengan 'air force pencen' tu macam mana. Teja melepak sebulan, duduk goyang kaki lepas tamat study pun tok ayah dah pot-pet, pot-pet! Bising! Inikan pula Teja nak tolong jaga cucu teruna orang sebelah. Bukan mahram pula tu. Haish! Macam mana tu? Baik Teja lupakan aje misi Teja tu. Tak payah nak cari penyakit!"

Teja terdiam. Tunduk memandang lantai ruang tamu selepas dimop oleh Mak Tim. Dah boleh suluh cermin muka. Berkilat!

Teja sedar, apa yang dicakap oleh mak su tu ada benarnya. Tok ayah memang berharap sangat dia bekerja di D' Reka selepas tamat pengajian. Membantu pak su yang diamanahkan untuk mengendalikan perniagaan keluarga selepas Pak Long Haris dan Pak Ngah Hasnol tak berminat dan menolak.

Kedua-dua bapa saudaranya itu lebih cenderung untuk menjalankan perniagaan sendiri. Pak Long Haris sibuk dengan ladang lembunya dan Pak Ngah Hasnol pula bukannya berada di Malaysia. Dah berbelas tahun menetap di Dubai. Sibuk dengan business shipping. Sepupu sepapatnya pula memang sikit habuk tak berminat. Masing-masing ada tanggungjawab kepada perniagaan bapa mereka sendiri.

Kalau ada pun hanyalah anak-anak mak su aje. Tapi, anak-anak mak su semuanya masih belajar lagi. Farith Izmir lagi setahun, baru tamat ijazah kedoktorannya. Farid Ismat dan Farhan Imran baru tahun kedua pengajian di Holland. Maka, siapa lagi yang harus menerajui D' Reka kalau bukan Pak Su Rashid? Kalau ada arwah papa lainlah cerita.

Lepas arwah papa meninggal, pak su yang bertungkus-lumus bantu tok ayah untuk bangun dan kembangkan D' Reka sehinggalah tok ayah buat keputusan untuk bersara empat tahun lepas. Lepas itu, tok ayah terus memilih untuk menetap di Kedah.

Semua urusan D' Reka, tok ayah serahkan kepada pak su. Kadang-kadang sahaja tok ayah akan datang ke HQ apabila mesyuarat lembaga pengarah diadakan. Sebab itulah tok ayah nak dia cepat bekerja dan bantu pak su. Tapi... Macam mana dia nak bekerja jika hati tak senang? Nak buat apa pun tak boleh! Otak serabut.

Hmmm... Teja rasa hal tok ayah tu small matter aje kut. Dia yakin dia boleh handle dan kawtim dengan tok ayah. Tok ayah tu memanglah tegas dan garang. Maklumlah air force pencenlah katakan. Tapi kalau kena dengan cara dan alasan yang bernas lagi munasabah, mesti boleh 'makan'. Bukannya dia tak biasa membodek. Dia kan cucu kesayangan tok ayah. Pujuk kaw-kaw mesti tok ayah cair. Teja senyum nipis.

"Mak su rasa Teja sendiri dah dengar apa yang Toh Puan Aminah cakap beberapa hari lepas, kan?" Datin Farhah tarik nafas panjang.

"Kecederaan yang dialami cucunya itu walaupun tak lumpuh kekal tapi mengambil masa untuk baik. Bukan seminggu dua atau sebulan dua. Silap hari bulan boleh makan tahun. Tengok pada perkembangan cucunya itu sendiri. Itu pun kalau cucunya tu tak berputus asa."

Teja angguk. Ya, dia dengar. Sejak dari hari itu semakin menggunung rasa bersalahnya. Semakin berkobar-kobar niat nak melancarkan misinya itu.

"Sekarang ni, Teja tengok sendiri. Sejak cucunya tu balik ke rumah, cucunya tu macam dah hilang semangat. Doktor family dia orang pun tak mampu nak pujuk. Cucunya tu asyik berkurung dan bermurung. Rawatan fisio semua ditolak. Yang dia tahu menjerit dan maki hamun semua orang. Melepaskan rasa marah dan kecewa." Datin Farhah harap sangat Teja mengerti dan tak meneruskan misi.

Teja cuba menelan apa yang dituturkan oleh Mak Su Farhah tapi hatinya tetap berdegil dengan keputusan yang diambil. Dia tahu punca kenapa cucu Toh Puan Aminah jadi begitu. Memang patutlah lelaki itu kecewa dan sedih. Sesiapa juga akan turut merasai apa yang lelaki itu rasa andai menghadapi situasi yang sama.

Apa pun Teja dah bulat dengan keputusannya. Tak akan berubah hati. Dia dah buat solat istikharah. Mohon petunjuk Allah. Dan petunjuknya berpihak kepada apa yang dia ingin lakukan sekarang ini. Biarlah semua orang mengatakan dia gila dan buang masa tapi dia yakin keputusannya tak salah. Dia benar-benar ikhlas ingin membantu.

"Teja... Tolong jangan buat keputusan yang tak ada faedah pada Teja. Fikir masak-masak, sayang. Ini masa depan Teja. Berhempas-pulas Teja study di States tu semata-mata nak tunaikan impian tok ayah. Impian dan harapan arwah mama dan papa Teja. Ni, hah. Alih-alih Teja nak jadi pakar fisio yang tak bertauliah pula. Berapa lama lagi Teja nak buang masa? Teja pun tahu kan tegas dan keras tok ayah tu macam mana? Mengamuk tok ayah nanti." Datin Farhah masih berusaha memujuk. Mudah-mudahan degil Teja dapat dihalau pergi.

"Mak su... Please trust me. I need your support. Pasal tok ayah, mak su jangan risau." Kedua-dua tangan Datin Farhah digenggam erat. Memohon restu, sokongan dan pengertian. Berharap sangat.

"Teja..."

"Mak su... Teja akan slow talk dengan tok ayah dan mak tok nanti. Insya-Allah tok ayah akan setuju dengan niat Teja. Tok ayah akan faham." Betapa yakinnya Teja.

"Teja, jangan buat keputusan melulu. Jangan buat sesuatu yang tak mendatangkan untung. Teja kenal pun tidak dengan cucu Toh Puan Aminah tu. Bertegur sapa lagilah tak pernah. Macam mana Teja nak hadap dia? Mak su risau. Buatnya kekwat macam maknya. Haru-biru jadinya nanti. Lagi pun tak rasa macam buang masa ke?"

"Mak su... Nyawa lebih penting daripada segala-galanya. Insya-Allah Teja mampu hadapi kerenah cucu jiran sebelah tu. Teja tak sanggup hidup dalam rasa bersalah. Sampai bila? Dia sengsara kerana Teja. Dia derita kerana Teja. Tak sanggup rasanya nak galas budi yang ditabur ni."

"Hesy! Pening kepala mak su tau. Mak su risaukan tok ayah dan mak tok tu. Nak ke dia orang bagi izin? Sah-sah dia orang bising nanti." Datin Farhah picit dahi yang tiba-tiba rasa berdenyut. Kalau dah kata A tu, A juga! Mustahil nak tukar kepada B.

"Yang itu mak su jangan risau. Teja akan call dan cakap sendiri dengan tok ayah dan mak tok. Teja yakin mereka akan faham dan restu dengan apa yang Teja nak buat," balas Teja. Seratus peratus yakin.

"Tok ayah sendiri pernah ajar Teja tentang hadis riwayat Muslim yang menyebut barang siapa meringankan beban orang yang dalam kesulitan, maka Allah akan meringankan bebannya di dunia dan di akhirat. Demi Allah, Teja ikhlas mahu membantu. Teja nak lelaki tu sihat dan berjalan kembali."

Datin Farhah mengeluh lemah. Hilang kata-kata apabila 'dipaku' Teja dengan hadis. Bukan mudah untuk patahkan hujah Teja. Seperti mana degil arwah kakaknya itu begitu jugalah dengan Teja. Ke mana tumpahnya kuah kalau bukan ke nasi. Tak banyak, sikit pun jadilah. Kalau benar itu keputusan Teja. Apa dayanya lagi untuk menghalang?

"Baiklah, mak su cuba."

"Alah, mak su... Tak nak cuba-cubalah, mak su. Teja nak mak su sokong Teja. Two hundred percent sokong! Bila mak su sokong, barulah tok ayah dan mak tok boleh bagi hundred percent green light tanpa ragu-ragu. Baru senang Teja nak teruskan misi balas budi Teja hingga berjaya," rengek Teja dengan manja. Mak su punya pengaruh lagi kuat. Macam tiga tahun lepaslah. Kalau bukan pengaruh mak su jangan harap dia dapat tukar universiti dengan mudah.

"Hesy! Macam-macam Teja ni. Yalah mak su sokong dan restu. Two hundred percent! Satu aje pesan mak su, kalau tak mampu nak handle dan teruskan misi balas budi Teja tu, jangan nak paksa diri. Terus quit! Jangan nak tunjuk kuat! Apa-apa hal, let me know. Jangan nak pendam dan simpan sorang-sorang! Ingat, mata mak su ni lagi tajam daripada mata helang! Mak su boleh hidu apa yang berlaku." Datin Farhah bercekak pinggang. Pura-pura tayang wajah garang. Bukan dia tak tahu sikap Teja yang tak reti mengalah. Nampak aje lembut tapi semangat gadis itu kuat.

Teja tergelak. "Ai-ai captain..." Tangan kanan sudah diangkat untuk tabik. Dia rasa nak melompat sampai ke bintang. Lapang dada. Sekurang-kurangnya dia ada penyokong kuat untuk misinya.

"Mak su... Ada lagi satu. Boleh mak su tolong Teja?" Teja tayang wajah kucing manja. Satu jari diangkat sambil tersengih.

"Tolong apa lagi ni?" Bulat mata Datin Farhah.

"Mak su tolong jelaskan kepada pak su."

"Kenapa tak beritahu sendiri?"

Teja senyum nipis. "Teja takut pak su kecewa. Pak su kan excited nak Teja ada di D' Reka. Bolehlah, mak su. Please..."

"Betul Teja nak teruskan juga niat Teja tu? Mungkin kita ada cara lain nak membantu. Kita tolong dapatkan jururawat peribadi atau pakar fisio yang terbaik untuk dia orang ke?" Datin Farhah masih berat hati dengan keputusan Teja. Macam-macam perasaan yang tak baik terlintas dalam fikirannya. Risau.

"Tak payahlah, mak su. Biar Teja aje yang jadi jururawat merangkap pakar fisio tak bertauliah tu. Insya-Allah Teja pun ada bakat tau. Belum cuba belum tahu." Teja senyum sambil terjongket kening.

Datin Farhah mengeluh perlahan. Wajah gadis manis yang saling tak tumpah kecantikan seperti arwah kakaknya itu dipandang dengan rasa sayang yang tak berbelah bagi. Ada rindu yang hadir namun segera dihadiahkan al-Fatihah.

Wajah Teja bagai diadun baik dengan rupa paras yang ayu dan sopan. Terserlah kelembutan seorang gadis Melayu. Seperti kisah Tun Teja pada zaman Hang Tuah. Anak perempuan tunggal Bendahara Seri Amar Diraja itu sentiasa menjadi sebutan, rebutan dan igauan orang-orang yang berdagang di Pahang. Hinggakan Sultan Mahmud Syah juga turut berkenan.

Tak kurang juga Teja yang ada di hadapannya sekarang ini. Menjadi rebutan anak-anak kenalan abah. Sudah berapa kali abah dan uminya terpaksa menolak lamaran dan pinangan dengan alasan Teja masih mentah. Hakikatnya, abah dan umi tu sayang nak lepaskan Teja. Maklumlah, cucu perempuan tunggal. Tak pasti lelaki mana yang bertuah dan bakal lulus tapisan halus Haji Hamdan Akhbar tu.

Ketika ini, ada simpati yang menjalar dalam hati Datin Farhah. Teja membesar tak seperti gadis lain. Ibu bapa Teja meninggal dunia dalam kemalangan. Kereta yang dipandu oleh abang iparnya itu terbabas sewaktu mengelak treler terbalik berhampiran Terowong Menora. Sejak itu, Teja dijaga oleh abah dan umi.

Bagi Datin Farhah, dia sangat sayangkan Teja. Ketiga-tiga anaknya semuanya hero. Begitu juga dengan anak kedua-dua abangnya. Maka secara tak langsung, Teja menjadi satu-satunya cucu perempuan kesayangan abah dan umi. Satu-satunya bunga di taman hati keluarga Haji Hamdan dan Hajah Fatimah.

"Boleh kan, mak su?"

Lari semua lamunan Datin Farhah apabila jemari Teja menyentuh lembut tangannya. Wajah Teja dipandang.

"Insya-Allah... Mak su cuba. Harap pak su faham dan tak bising nanti. Yang paling penting tu hah, tok ayah dengan mak tok tu! Jangan lupa call dan inform dia orang! Explain betul-betul!"

"Ya, itu Teja tahu. Thank you mak su. I love you so much!" Teja terus bangun. Kedua-dua belah pipi Datin Farhah dicium sayang. Tubuh kurus itu dipeluk erat. Dia sedar, sejak kehilangan mama dia menumpang kasih sayang wanita ini selain daripada kasih sayang mak tok. Inilah pengganti mama...

"I love you more..." 

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro

Tags: #romance