Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 15

"ENCIK Uqail!!!"

Pintu ditolak kasar tanpa diketuk terlebih dahulu. Fuhhh! Nasib baik tak berkunci. Sebaik sahaja masuk, pintu bilik itu terus ditutup rapat dan dikunci dari dalam. Selamat!

"Allah... Allah..." Tangan kanannya naik mengurut dada berulang kali sambil bersandar seketika pada pintu untuk memulihkan hati, jantung dan lutut yang terasa longgar dan terlari dari paksi asal. Tangan kiri masih tak lepas memegang kuat wooden towel holder. Satu badan menggigil. Hanya Tuhan yang tahu rasa takutnya ketika ini. Hidung sudah pedih.

"Encik Uqail... Tolong... saya..." ujar Teja dalam nafas yang tenggelam timbul. Semput berlari sambil memanjat tangga. Mata dah bergenang. Dipandang katil Uqail yang kosong.

"Eh! Kosong?" Teja kembali kalut.

"Mana Benggali karpet ni pergi?" Dengan cemas dia bergegas ke balkoni bilik. Namun orang yang dicari tiada di situ.

Adoi... Mana ni? Jantung Teja kembali bekerja keras. Degup jantung semakin tak sekata. Rasa takut sudah menjadi 10 kali ganda.

"Encik Uqail..." panggil Teja. Namun tiada sahutan. Sepi. Dia melangkah perlahan dan duduk di pinggir katil. Ke mana Uqail pergi? Otaknya diperah untuk berfikir. Sudahlah banglo ni besar. Mustahil nak mencari ke semua bilik. Buatnya terserempak dengan Uqasyah, macam mana?

Krekkk...

Teja menoleh apabila terdengar pintu bilik air dibuka seseorang. Bulat matanya apabila terpandang Uqail yang tidak berbaju dan hanya bertuala sedang bersusah payah menggerakkan kerusi roda untuk keluar dari bilik air.

"Encik Uqail!" Teja sudah tegak. Terkejut.

Uqail yang terperanjat, terus angkat muka. Teja? Terjojol matanya buat seketika.

"Arghhh!!!"

Jeritan berjemaah sudah bergema di banglo agam dua tingkat itu.

Tanpa sedar, wooden towel holder yang dipegang Teja terlepas dan menghentam kaki.

Kelepuk!

"Auchhh! Adoi! Mak tok! Sakit!"

KAKI yang makin berdenyut dan bengkak itu, Teja sapu perlahan-lahan dengan minyak gamat yang dihulurkan oleh Bik Mayuni. Mak ai... Tembamnya kaki. Macam tak percaya itu kakinya. Chubby sangat! Kalah kaki Hulk. Cuma belum bertukar warna hijau aje lagi.

Adoiii! Sakit sangat-sangat! Mencucuk! Tak terkata. Macam dah retak tulang kaki. Nak berpijak pun ngilu!

Mak tok! Sakitnya kaki Teja macam kena hempap dengan gajah, rengek Teja dalam hati. Hidung pedih. Air jernih yang sudah berkolam ditahan sedaya upaya agar tak tumpah. Dia tak mahu menangis di hadapan cucu-cucu 'bertuah' Toh Puan Aminah. Malu! Lainlah kalau di rumah Mak Su Farhah. Dah tentu 'banjir' sekarang ni. Confirm dah meraung-raung.

Harap-harap janganlah tulang kakinya patah atau retak. Kaki nak pakai lama ni.

"Jom... I bawa you pergi klinik. Kaki you dah bengkak. Merah semacam aje tu. Risau I tengok. I rasa tak elok kalau dibiarkan lama-lama. Masuk angin nanti. Silap hari bulan you pula yang tak boleh berjalan. Tak pasal-pasal you pula yang naik wheelchair macam abang I," ajak Uqasyah. Wajahnya terpalit risau. Dia duduk bertinggung di hadapan Teja. Kaki Teja yang bengkak disentuh dan dibelek sekilas lalu.

Dalam masa yang sama, mata Uqasyah sempat menghantar jelingan maut kepada si abang. Bukan dia tak perasan wajah Uqail yang dah semacam tu. Mungkin terasa dengan tuturnya. Argh! Ada dia kesah? Lantaklah nak sentap atau tak! Memang niatnya nak bagi Uqail terasa.

Hati Uqasyah sedang membara sekarang ni. Nak pula apabila melihat gadis kesayangannya melarikan diri darinya dan bersembunyi di dalam bilik si abang. Huh! Tercabar kut. Nampak macam dia jahat sangat. Nak buat perkara tak senonoh kepada Teja. Kononnya si abang itu adalah hero. Siot aje!

Hmmm... Nampak gayanya makin menjunamlah kepercayaan Uqail kepadanya. Sudahlah rekodnya memang tak pernah baik. Nasib kaulah Uqasyah, oi! Jangan kau kena belasah dengan along sekali lagi sudahlah!

Sampai bila-bila dia akan ingat keperitan dan kesakitan yang dialami apabila kaki Uqail menerjah perutnya dua tiga kali sehingga dia pengsan. Nasib baik malam itu dia tak mati dikerjakan along. Bertambah baik nasibnya apabila along tak bocorkan kes itu kepada nenek dan ahli keluarga yang lain kecuali atuk. Atuk memang mengamuk habis. Sejak kes itu, arwah atuk seolah-olah dingin dengannya sehingga lelaki itu menghembuskan nafasnya yang terakhir.

Itu belum daddy yang tahu. Kalau tidak... memang dia kena kerat lapan belaslah. Sah daddy tak mengaku anak. Confirm dibuang daripada salasilah keluarga.

Belum ada keturunan Uwais yang merosakkan anak dara orang! Sejahat-jahat aku, aku tak sentuh yang haram! Dah gatal sangat, kahwinlah!

Pedih dan terpukul! Sampai bila-bila ayat Uqail itu akan terpahat kukuh di dalam semua urat sarafnya selagi dia hidup. Sentiasa mengekorinya. Memberi amaran setiap kali nafsu muda menguasai diri.

Teja angkat muka dan menggeleng. Selepas itu dia tunduk kembali. Kaki dilarikan. Tak selesa apabila kakinya disentuh Uqasyah. Saat ini bisa pada kaki terasa menular ke hati. Dia pula yang rasa panas mendengar sindiran Uqasyah kepada Uqail. Selamba Uqasyah aje. Macam tak bersalah!

Selaku seorang adik, Uqasyah sepatutnya hormat dan menjaga hati si abang. Nak pula dalam situasi si abang macam gitu. Haish! Apa punya adik entah! Tak ada hati perut betul! Langsung tak ada simpati! Kalaulah Uqasyah ni sepupunya dah lama dia karate pecah lapan.

Mata Teja sempat mencari wajah Uqail. Melihat wajah tak ceria Uqail. Teja rasa macam nak menangis. Wajah yang terlindung di sebalik 'semak' itu kelihatan sayu. Kasihannya! Dia selaku orang luar dah terasa, apatah lagi tuan empunya badan.

"Teja mahu ngak, bik urutkan kakinya?" Bik Mayuni mencelah.

Teja geleng kepala. "Tak apa, bik. Sikit aje ni..." Nak urut? Memang taklah! Mahu satu Putrajaya bergegar dengar jeritannya.

"Kita ke klinik, ya?" Toh Puan Aminah pula mengajak.

Sekali lagi Teja geleng kepala. Dia tunduk memandang kaki.

"Sikit aje ni. Tak payahlah, nek."

"Dah orang nak bawa pergi klinik tu, pergi ajelah! Yang nak jual mahal tu kenapa? Takut? Risau kena cucuk? Kalau cucuk pun bukannya boleh mati!" Uqail merengus kasar. Sempat lagi dia menyindir Teja.

Teja terkedu apabila disindir Uqail. Mamat ni macam tahu pula yang dia memang takut. Pandangan matanya berlaga dengan renungan membunuh Uqail. Terus dia tunduk. Rasa seram. Sejak keluar dari bilik tadi Uqail dah tayang wajah mengalahkan singa tertelan cili padi satu tempayan. Sungguh dia takut nak pandang wajah Uqail.

Aduhai... Kenapa dia boleh terfikir nak terjah bilik Uqail sedangkan bilik Toh Puan Aminah kan ada? Kenapalah akalnya terlalu pendek? Rasa nak sidekick diri sendiri. Malu... Malu... Malu... Rasa nak menyorok bawah katil pun ada. Mak tok... Tolonglah Teja. Teja nak balik kampung.

Kenapa ini yang berlaku? Teja mengeluh dalam diam. Bukan ini yang dia harapkan. Niatnya hanya mahu menyelamatkan diri. Sungguh dia sangat-sangat takut. Malang betullah.

"Jomlah you. You jangan degil... I takut kaki you makin teruk. Tak pasal-pasal you pula yang tak boleh berjalan. Macam mana you nak bantu abang I yang lumpuh tu?" Uqasyah masih tak berputus asa mengajak.

"Tak apa, saya okey... Sikit aje ni. Esok lusa baiklah." Teja tetap menolak. Sekilas dipandang Uqail. Dia perasan wajah Uqail yang berubah riak. Pasti Uqail terkesan dengan kata-kata sinis Uqasyah.

"Teja... Teja... Baru dua tiga hari dah macam-macam sakit yang Teja dapat. Marah Farhah dan Rashid dengan nenek nanti. Silap hari bulan dia orang cakap nenek dera Teja. Apa yang nenek nak jawab dengan dia orang?" rungut Toh Puan Aminah. Kesal dengan apa yang berlaku.

Kasihan dia melihat Teja yang sedang menahan sakit. Empangan mata si gadis seakan-akan menunggu masa untuk pecah. Dah merah-merah hidung tu. Kalau tengok dari gaya bengkak pada kaki tu, makan hari juga nak baik. Tak pasal-pasal kaki yang putih melepak itu berbedung nanti. Harap tulang kaki Teja tidak retak atau patah.

Toh Puan Aminah geleng kepala. Haish! Macam-macam hal betullah. Dia baru sahaja selesai menunaikan solat zohor apabila terdengar jeritan kuat yang datang dari bilik Uqail. Termengah-mengah dia memanjat anak tangga. Sangkanya ada perkara buruk yang tak diingini berlaku kepada Uqail.

Puas diketuk pintu bilik Uqail yang berkunci dari dalam. Jantung Toh Puan Aminah macam nak pecah risaukan Uqail. Risau andai Uqail mencederakan diri sendiri. Apatah lagi Uqail sekarang ini dalam jiwa kacau. Hati tak stabil.

Lapang dadanya sebaik sahaja pintu bilik dibuka dan terjengul wajah Uqail yang kelat. Tapi, hati tua Toh Puan Aminah mula gusar apabila terpandang Teja yang turut berada di dalam bilik tersebut. Nak pula apabila melihat Uqail yang hanya bertuala. Mulalah hati terfikir yang bukan-bukan. Tetapi selepas dijelaskan Teja dan Uqail. Hatinya mula tenang. Dia yakin tidak ada perkara yang tak baik berlaku. Dia percaya dengan Teja.

"Lain kali jangan suka-suka redah bilik aku! Pintu bilik tu dibuat untuk diketuk! Bukan untuk display aje! Jangan suka-suka main terjah! Kau ingat bilik aku tu reban ayam ke apa? Main masuk ikut suka hati kau! Tak belajar etika nak masuk bilik orang ke?" tembak Uqail. Wajahnya masih tegang menahan marah yang belum surut.

Sikit habuk pun dia tak bersimpati kepada Teja yang sedang sakit. Bukannya dia tak nampak kaki Teja yang mula membengkak itu. Huh! Sendiri yang cari penyakit, kan? Tanggunglah sendiri! Padan muka kau!

Pergh! Pedas! Panas telinga Teja bila ditembak bertalu-talu oleh Uqail. Berapi-api.

"Huh! Nasib baik aku keluar dari bilik mandi dengan bertuala. Kalau free show aje macam mana? Tak ke havoc satu Putrajaya? Kalau ya pun kau nak lari selamatkan diri, apa pasal masuk bilik aku? Macam tak ada bilik lain di tingkat bawah yang kau boleh bersembunyi! Berbilik-bilik di bawah tu! Bilik nenek pun ada! Bilik Mak Ton ada! Bilik Bik Mayuni ada! Sembunyilah kat situ! Tak pun kau lari balik rumah kau! Sebelah hidung aje kut! Bukannya jauh berbatu-batu!" Uqail masih tak puas hati.

"Saya minta maaf, Encik Uqail. Saya cuma nak selamatkan diri. Saya takut..." balas Teja perlahan. Kulit muka dah tebal gila-gila. Kebas mukanya. Malu berganda-ganda. Tak tahu di mana nak disorokkan wajah. Rasa nak benam dalam tanah.

Wajah Uqail yang garang itu Teja tak berani lawan pandang. Apatah lagi bila Uqail masih bertuala dan tidak berbaju. Menayang susuk badan yang berketak-ketak. Adeh! Dah macam badan Captain America. Six pack kau! Nampak aje badan Uqail tu macam kurus keding. Tapi tak sangka pula ketak habis. Tough kau! Hesy! Mata ni! Dalam situasi huru-hara pun masih sempat nak menggatal.

Teja beristighfar dalam hati. Mata kembali merenung lantai. Nasib baik Allah masih menjaga matanya. Hanya badan yang ketak-ketak itu saja yang dilihat. Bukan benda lain. Kalau benda lain? Dia sanggup aje koma sampai bila-bila!

"Apa yang kau takut sangat dengan Uqasyah? Dia nak rogol kau ke?" Uqail masih belum puas menembak.

Terangkat bahu Teja dengan tiba-tiba. Serta-merta hati berdenyut. Air liur ditelan berkali-kali. Sekilas dipandang wajah Uqasyah yang turut berubah.

"Perogol? Weh... Kau ni apa hal? Muka aku ni ada nampak macam perogol ke? Ada ke ciri-ciri nak jadi macam kau sebut tu? Gila ke apa? Sabar ajelah.. Choilah kau ni!" Uqasyah menyampuk. Tiba-tiba hatinya menggelegak. Macam tak ada benda lain yang nak sebut! Huh!

"Aku cakap aje... Yang kau nak sentap apa hal? Dah minah tu beria-ia sangat takut pada kau! Kot-kotlah tanduk kau yang kononnya dah hilang dulu tu tumbuh semula. Siapa tahu?" sindir Uqail. Selamba dan sinis.

Bukannya dia tak kenal siapa adiknya. Kononnya dah taubat. Jangan-jangan tau buat aje. Pantang nampak gadis berdahi licin, mulalah tanduk yang hilang tumbuh balik. Mulalah ulat beluncas tu hidup dan panjat daun. Nak pula Si Teja ni spesies budak kampung. Memang sedaplah kalau nak buat 'lauk'. Tak payah nak ayat lama-lama. Tabur ayat gula-gula sikit aje memang selamatlah minah tu.

Uqasyah gigit bibir. Tangan kanannya digenggam. Geram! Nasib baik ada nenek. Kalau tak, mahu pecah juga muka Uqail dikerjakan. Nak aje dia hadiahkan sebiji dua penumbuk. Biar bengkak macam kena gigit tebuan. Huh! Ayat memang makan hati betul!

Teja telan liur melihat perbalahan yang tiba-tiba tercetus di hadapan mata. Terkejut pun ada. Hatinya kuat mengatakan bahawa hubungan Uqail dan Uqasyah tidak semesra adik-beradik yang lain. Tak sehati sejiwa. Gayanya dah macam Tom and Jerry!

"Kau pun satu, Syah. Main terjah aje. Bila masuk rumah, mulut tu berat sangat nak bagi salam. Mahu minah tu tak terperanjat beruk. Selalu sangat buat perangai mat salih macam tu! Kau ingat kau tu kat overseas lagi ke? Kau tu dah bertahun kat Malaysia ni. Sedar diri sikit! Bagi salam elok-elok tak boleh? Dah berapa banyak tempayan emas dalam mulut kau!" marah Uqail beralih pula kepada si adik.

Nasib baik yang mengetuk pintu biliknya itu tadi adalah nenek. Buatnya orang pejabat agama. Tak ke haru dia kena kahwin ekspres dengan perempuan mulut longkang ni! Bertunang dengan orang lain, bernikah dengan orang lain. Huh! Tak pernah dibuat dek orang. Makin gelaplah masa depannya nanti.

Uqasyah tarik senyum sinis. Padahal dalam hati terbakar sebab kena sound direct oleh Uqail. Berdebuk-debuk sahamnya jatuh di hadapan Teja.

Yalah, lepas ni aku bagi salam kuat-kuat. Biar satu Putrajaya dengar. Biar sampai ke Alamanda sana tu. Baru puas hati kau!"

"Sorry, ya? Cik Teja, kalau cara I tegur you tadi menakutkan you. Harap lepas ni you tak takut dengan I lagi. Tak lari dari I lagi. Nice to meet you, Miss Teja Iman. Sedap nama you. Macam nama srikandi Melayu. Sesuai dengan orangnya yang cantik manis."

Dalam hati Uqasyah bersyukur sebab Teja tak bocorkan kejadian di dapur. Kalau tidak, mahu dia kena panggang dengan nenek.

Teja diam. Nak muntah dia mendengar pujian Uqasyah. Dalam hati berbakul-bakul sumpah seranahnya. Menyampahnya! Dia berharap sangat selepas ini dia tak akan berjumpa lagi dengan Uqasyah.

Tapi mustahillah tak berjumpa kalau dah katanya cucu Toh Puan Aminah. Pusing-pusing situ juga! Dah tentu Uqasyah akan sentiasa berlegar-legar di dalam banglo ini. Macam mana dia nak mengelak? Kalau dia ada kuasa macam Jessica Alba dalam Fantastic Four tu okeylah juga. Boleh hilangkan diri. Adehhh... Macam mana nak teruskan misi balas budi ni? Mustahil nak quit.

"Itulah Syah. Lepas ni hati-hati bila nak tegur anak dara orang. Jangan main redah aje. Belum lagi sembuh di dahi Teja, kaki pula dah berbalut. Besok lusa tak tahu apa lagi sakit yang datang. Esok kita minta Doktor Shahril tengokkan kaki Teja. Haish! Macam-macamlah cucu nenek ni," celah Toh Puan Aminah setelah sekian lama menjadi pemerhati.

"Sorry, nek... Lepas ni Syah akan tegur dengan cara yang sopan dan penuh tatasusila. Seperti lelaki Melayu sejati. Tak gitu Cik Teja Iman yang cantik manis?" Bibir Uqasyah merekah senyum penuh makna sambil mata menghadiahkan kenyitan nakal.

Teja menjeling dan tunduk. Rasa meremang bulu roma mendengar Uqasyah menyebut Cik Teja Iman yang manis. Lain macam! Ngeri! Ikutkan hati, rasa nak tuang minyak gamat ke dalam mata Uqasyah. Gatal punya makhluk Tuhan!

Toh Puan Aminah geleng kepala melihat gelagat Uqasyah. Mulalah nak jadi ulat beluncas. Harap-harap ilmu mengayat itu tak lut kepada Teja. Harap dinding hati Teja kukuh dan kebal.

Uqail yang memandang mula rasa menyampah dengan gelagat si adik yang dah mula jual minyak. Si Teja pula mengada-gada tunduk malu. Hesy! Sekor-sekor merenyam! Meluat betul!

Argh! Lebih baik aku blah dari sini. Lagi lama aku kat sini lagilah buat aku nak muntah hijau. Ulat beluncas dah mula panjat daun. Menyampahnya! gumam Uqail dalam hati. Kerusi roda diundur ke belakang perlahan-lahan.

"Eh! Uqail nak ke mana pula?" tegur Toh Puan Aminah.

"Nak masuk biliklah, nek. Tak kuasa Uqail nak tayang body Uqail ni. Dengan bertuala aje ni. Dah separuh bogel tau. Buatnya terlondeh tak ke naya. Tak pasal-pasal semua orang dapat tengok free show. Kang ada pula yang mengigau," balas Uqail selamba. Hujung mata menjeling tajam kepada Teja.

Spontan Toh Puan Aminah tergelak.

Uqasyah mencebik.

Teja pula memang tak berani angkat muka. Sekadar menelan liur. Separuh bogel? Free show? Hesy! Otak jangan fikir yang bukan-bukan! Seramnya... Positif, Teja... Positif!

"Lepas Uqail bersiap bolehlah kita lunch sama-sama, ya? Bik suruh Mak Ton hidangkan makanan di ruangan tengah. Hari ni kita makan di tingkat atas ramai-ramai," ujar Toh Puan Aminah.

"Baik, Toh Puan..." Bik Mayuni angguk dan terus beredar.

"Tak payahlah, nek! Uqail kenyang lagi. Nenek makan dulu dengan Syah. Tak payah tunggu Uqail." Uqail menolak. Belum terasa nak makan. Masih kenyang dek penangan nasi lemak pagi yang kononnya dimasak oleh Teja tadi. Tangki perutnya bukanlah sebesar mana pun. Kecik aje!

Terangkat wajah Teja. Kening bertaut. Kenyang? Biar betul? Eh! Tadi makan apa aje? Nasi lemak aje, kan? Sekarang dah pukul dua petang. Dah tiba masa untuk makan ubat. Tapi, macam mana nak makan ubat kalau perut belum diisi? Tak pasal-pasal sakit lain yang datang nanti.

"Encik Uqail..." Teja bangun. Dengan kaki yang terhincut-hincut dia menghampiri Uqail. Handle kerusi roda dipegang.

"Eh! Kau nak buat apa ni?" Uqail terkejut.

"Duduk diam-diam kat situ tak boleh ke? Tak padan dengan kaki bengkak dan terhincut-hincut! Sibuk aje!"

"Saya bantu tolakkan wheelchair Encik Uqail masuk ke dalam bilik. Lepas Encik Uqail bersiap, boleh terus lunch. Doktor Shahril dah pesan, Encik Uqail kena makan ubat tepat pada masanya. Maknanya sebelum makan ubat kenalah isi perut dulu. Tak boleh skip. Kalau nak cepat sihat kena ikut jadual makan yang betul."

"Kan aku dah cakap aku tak lapar! Kau ni pekak ke apa? Boleh tak kau jangan kacau aku! Jangan nak menyibuk hal aku! Biar aku buat semuanya sendiri. Dah pergi duduk sana diam-diam! Jaga kaki kau baik-baik! Aku boleh handle wheelchair ni sendiri! Tangan aku masih boleh bergerak. Belum lumpuh lagi!" Uqail memetir. Ingat aku dah nazak sangat ke tak mampu nak gerakkan kerusi roda ini sendiri?

"Tak boleh! Saya diberi tanggungjawab oleh Toh Puan Aminah untuk bantu dan tengokkan Encik Uqail." Teja berkeras. Wajah Toh Puan Aminah dipandang untuk meminta sokongan padu.

Uqail mencebik. "Tak payah kau nak jual nama nenek! Kalau kau cakap nama Perdana Menteri sekali pun aku tak hairanlah! Dah! Pergi! Blah!"

"Uqail... Biarlah Teja bantu Uqail. Jangan degil..." Toh Puan Aminah menyampuk. Kalau dibiarkan, sampai esok pun belum tentu selesai. Makin menjadi-jadi pula kedegilan Uqail sekarang ini. Apa sahaja yang dilakukan Teja ada sahaja yang tak kena di mata cucunya itu.

"Nenek..." Meleret suara Uqail mahu membantah.

"Dah... Jangan degil. Teja, cepat hantar Uqail ke bilik. Ini arahan nenek. Uqail cepat siap! Jangan nak berlama-lama. Nenek tunggu di meja makan. Nenek dah lapar ni. Nenek nak makan dengan Uqail dan Syah. Dengan cucu-cucu nenek!" tegas Toh Puan Aminah.

"Hah! Dengar tu, Encik Uqail?" Teja senyum sinis. Sempat aje dia tayang wajah kemenangan. Gembira apabila Toh Puan Aminah menyokongnya.

"Yalah, kali ini kau menang sebab ada nenek! Next time jangan harap! Memang aku tak bagi peluang langsung! Siaplah kau!" ujar Uqail menahan geram dan sakit hati.

Teja senyum nipis sambil jongket bahu. Dengan kaki yang masih sakit, dia menolak kerusi roda Uqail perlahan-lahan ke dalam bilik. Tak kesahlah walaupun mulut Uqail membebel sepanjang jalan. Dia buat pekak sahaja. Masuk telinga kanan, keluar telinga kiri. Sedangkan kepala Uqail saat ini dah berasap-asap sakit hati. Dah macam kereta api arang batu.

"Dah selesai bersiap Encik Uqail panggil saya. Saya tunggu depan pintu tau," ujar Teja sebaik sahaja kerusi roda ditolak masuk ke dalam bilik.

"Tengoklah kalau aku senang!"

"Jangan lama-lama tau. Nenek dah tunggu." Teja berpesan sebelum pintu bilik Uqail ditutup rapat.

Penumbuk digenggam. "Huh! Tak apa, Teja. Kau tunggulah. Suatu hari kau akan kena juga! Ingat aku nak mengalah macam itu aje ke? Silap orang tau. Ini Uqail! Aku nak tengok sampai bila kau boleh kebal? Selama mana kau boleh bertahan dan jual nama nenek? Selama ini tak pernah ada gadis mencabar aku! Uqail Wasim tak pernah tunduk dengan sesiapa!" 

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro

Tags: #romance