Bab 13
TANGAN yang sedikit menggigil Teja kawal sebaik mungkin. Hah! Sudah... Tadi okey aje. Apa pasal tiba-tiba gugup pula? Dah macam pesakit Parkinson aje! Dada pula rasa macam nak meletup. Nak pula bila terpaksa melawan renungan garang dari sepasang mata Uqail yang seakan-akan mahu tembus ke dasar otak.
Adeh! Janganlah pandang saya macam tu, Encik Uqail! Tumpah air ni kang. Gila punya tajam. Kalah sabit tok ayah! Relaks, Teja... Mustahil orang sakit macam ni pun kau dah gelabah puyuh! Hati Teja bermonolog sendiri.
Huh! Mahu dia tak gelabah puyuh. Uqail pandang dia macam tak pernah tengok orang. Macam nak keluar cahaya halilintar daripada mata tu! Mulalah Teja rasa cuak. Risau kalau mamat Benggali karpet ni tiba-tiba memetir macam semalam. Boleh tertanggal telinga! Orang sakit ni kan mood tak dijangka. Kalah angin monsun! Boleh terbalik banglo mewah ini.
"Kenapa kau datang?" tanya Uqail dengan sombong dan kasar. Wajah menyampah ditayang. Terlupa dengan apa yang dibualkan dengan neneknya semalam. Hati tiba-tiba rasa berasap! Nak meletup.
Mati lamunan Teja. Terperanjat! Semangat yang berkobar-kobar terus mencicit lari. Tapi sempat juga bibirnya menghadiahkan senyum manis untuk Uqail walaupun dia tahu mimpi sianglah kalau lelaki itu nak balas balik. Tarik muka tapai tak jadi lagi ada.
Sebenarnya... Teja tak tahu macam mana nak menjawab soalan Uqail. Silap jawab kang ada pula yang kena libas dengan gelas. Yang setepek kat dahi ini pun belum tanggal, tetiba tambah setepek lagi. Walaupun dia tak secantik model USA, tapi dia masih sayangkan wajah yang dianugerahkan Allah. Bersyukur seadanya dengan anugerah yang Allah kurniakan. Wajah tak cantik ini pun ada yang kecewa menonggeng tau!
"Aku tanya, jawablah! Kau pekak ke apa? Sejak bila kau jadi bisu?" marah Uqail. Tak puas hati bila Teja diam.
"Semalam bukan main pot-pet, pot-pet. Bukan main berapi mulut tu. Meletup-letup kau sound aku. Apa pasal pula hari ni kau diam? Nak tunjuk baik depan nenek ke? Hipokrit betul!"
"Uqail... Cuba cakap elok-elok. Tak baik, cu..." tegur Toh Puan Aminah. Lengan Uqail ditampar lembut. Dia tak berkenan dengan bahasa kasar Uqail.
Dalam kalangan cucu-cucunya yang ramai, Uqail adalah cucu yang paling rapat dan manja dengannya. Seorang yang peramah dan mudah mesra. Tak mudah melenting kecuali ada sesuatu perkara yang membuatkan Uqail benar-benar meletup. Memang Uqail akan naik hantu dan menggila tak ingat dunia.
Bukan itu sahaja, cucunya ini juga seorang yang tampan dan bijak. Semua pakej jejaka idaman Malaya ada pada Uqail. Sebab itu Toh Puan Aminah tak hairan kalau gadis-gadis di luar sana tertarik dan terkejar-kejarkan Uqail. Nasib baiklah Uqail tak seligat dan sebuaya si adik. Kalau tidak, tak tahulah berapa ramai stok koleksi teman wanita Uqail.
Itu satu sikap yang Toh Puan Aminah puji dengan cucunya. Walaupun Uqail seorang yang suka bersosial dan berhibur, tapi cucunya itu seorang pencinta sejati. Sekali Uqail jatuh cinta, selama-lamanya lelaki itu akan cinta. Cinta mati punya! Sikap yang saling tak tumpah seperti arwah suaminya.
"Dengan minah ni nek, bukannya Uqail boleh cakap baik. Buat bengkak jantung Uqail aje. Nampak aje lembut ni, tapi laser nak mampus! Tembak orang ikut sedap mulut dia aje. Tengok macam semalam. Sedap aje dia bahasakan Uqail. Dia ingat Uqail ni budak sekolah rendah ke apa? Langsung tak hormat Uqail. Bukannya dia reti nak jaga hati Uqail! Dahlah buat Uqail keras macam ni. Dia ingat dia siapa?" tembak Uqail. Masih tak puas hati.
Wajah Teja, Uqail renung macam nak telan. Belum pernah dirinya dicabar seperti semalam. Nak pula daripada seorang gadis yang tak dikenali. Berkeping-keping egonya jatuh. Tak sempat nak kutip kembali. Sudahnya dia meletup!
Errr... Terangkat kening Teja. Pergh! Pedas, wehhh... Tak agak-agaklah mamat ni. Mentang-mentanglah depan nenek sendiri. Bukan main sedap mulut awak menembak. Tunggulah nenek awak tak ada nanti. Siap awak! Tahulah saya nak fisio mulut awak tu! Kalau tak ada hutang budi saya dengan awak ni. Memang taklah saya nak hadap wajah awak yang semak tu! Ingat saya suka ke?
"Saya minta maaf pasal hal semalam. Mungkin saya bercakap agak kasar." Lain yang difikir, lain pula yang terkeluar dari mulut Teja. Hesy! Mulut tak sejiwa dengan otak.
"Agak?" Bulat mata Uqail.
"Hei! Memang kau sah-sah bercakap kasar dengan aku. Mencabar aku! Tak ada mungkin-mungkin dan agak-agak lagi! Belum ada perempuan yang berani cakap macam tu kepada aku! Kau ingat kau siapa? Hebat sangat? Kau sedar tak yang kau tu berhutang budi dan nyawa dengan aku!"
Teja telan liur. Gerun dia melihat wajah garang Uqail.
"Encik Uqail, saya minta maaf..."
"Kau ingat senang aku nak maafkan kau macam tu aje? Cantik muka kau! Kau yang buat aku macam ni! Kau kutuk aku kaw-kaw, lepas tu nak minta maaf senang-senang macam tu. Huh! Jangan haraplah!! Tak ada maaf untuk kau!" tempelak Uqail. Ikutkan rasa hati yang sedang marah, mahu sahaja dia berperang habis-habisan dengan si gadis. Sehari suntuk pun tak apa. Biar terbalas rasa sakit hatinya.
"Kau belum kenal siapa Uqail Wasim! Jangan main api dengan Uqail! Aku boleh buat kau menangis tak berlagu nanti! Sampai mati kau akan ingat dan kenang nama aku!" Jari telunjuk Uqail sudah menghampiri wajah Teja.
Alamak! Terkebil-kebil Teja menentang panahan mata Uqail. Berderau! Biar betul? Rasa seram pula mendengar amaran Uqail. Macam Tai Long. Uqail ni salah seorang ahli kongsi gelap ke? Ada register dengan Yakuza cawangan Malaysia ke?
"Uqail... Sudahlah tu. Tak baik marah-marah. Semalam Uqail janji apa dengan nenek?" Toh Puan Aminah cuba meredakan situasi yang kelihatan tegang. Huh! Tak padan dengan sakit, sempat aje nak cari gaduh, ya? Uqail... Uqail...
"Sebenarnya, yang hal semalam tu saya tak ada niat. Saya..."
"Tak ada niat? Kau jangan nak temberanglah! Kau ingat aku budak tadika ke kau nak kelentong?" pintas Uqail. Belum sempat Teja nak habiskan ayat.
Terjongket bahu Teja kerana terperanjat. Hesy! Lain kali bagi orang habis cakap dulu baru menyampuk, boleh tak? Tak sopan betul! Kalau Abang Aqi atau sepupu-sepupunya itu dah lama dia jentik dahi.
"Dah... Dah... Jangan bergaduh lagi. Sakit mata dan telinga nenek ni. Dah macam anjing dengan kucing aje kamu berdua! Baru kenal aje dah bergaduh entah apa-apa. Cubalah berbaik-baik. Tak boleh ke?"
"Dia inilah, nek! Siapa suruh cari pasal dengan Uqail! Mulut tak ada insurans! Uqail tak pernah jumpa perempuan mulut longkang macam ni!" komen Uqail. Direct! Jari telunjuk dituding tepat ke wajah Teja. Geram masih menggunung.
Teja senyum terpaksa. Dua kali ditelunjukkan Uqail. Rasa macam nak gigit jari panjang mamat tu. Tak pasal aku pula yang kena. Aduhai... Tadah ajelah telinga Teja, oi. Malas rasanya nak melawan. Risau. Kang ada pula yang tak puas hati dan tiba-tiba dicampak dari anjung banglo. Tak ke haru? Sabar ajelah, Teja...
"Hmmm... Yalah tu. Dah, tak payah nak gaduh-gaduh lagi. Ni hah... Nenek ada hal sekejap nak urus di bawah. Nak buat calling untuk seseorang. Nenek turun dulu. Teja tolong temankan Uqail sekejap, ya? Boleh?" pinta Toh Puan Aminah.
Teja angguk.
"Eh, nenek nak pergi mana?" Kalut Uqail bertanya. Dia rasa tak selesa apabila ditinggalkan berdua dengan Teja.
"Nenek ada hal nak urus di bawah. Kejap lagi nenek datang balik. Uqail jangan lupa makan ubat. Uqail, kalau nak cepat sihat dan baik kenalah makan ubat. Tak boleh skip." Tangan Uqail, Toh Puan Aminah tepuk sekali lalu.
"Tapi, nek..."
"Tak payah nak tapi-tapi. Lepas ni Teja akan bantu Uqail untuk fisio. Nenek dah sediakan bilik khas untuk Uqail fisio. Kejap lagi Aril sampai. Aril yang handle everything. Teja cuma bantu aje. Uqail jangan risau," Sambung Toh Puan Aminah. Dia terus bangun. Meninggalkan Uqail dan Teja berdua.
Harapan Toh Puan Aminah, sepeninggalannya itu tak adalah hamba Allah yang tercampak dari balkoni. Separuh hatinya risau dan separuh lagi yakin Teja mampu memujuk, 'menjinakkan' dan menghilangkan kedegilan Uqail sedikit demi sedikit.
Uqail tak sempat menahan apabila neneknya sudah bangun dan berlalu. Dia hanya mampu memerhati langkah nenek yang laju. Macam nak kejar apa entah. Huh! Memang dah buat konspirasi terancang dengan Teja ke? Mudahnya nenek percaya dengan orang luar! Buatnya Teja bagi racun tikus sebab nak balas dendam pasal dahi luka semalam tu macam mana? Tak ke naya?
"Encik Uqail, makan ubat ni..." Teja hulur piring kecil yang mempunyai enam biji pil berwarna-warni.
Uqail pandang sekilas pil tersebut sebelum mata dialih ke halaman banglo yang luas. Tak ada niat nak menyambut. Sudahlah hati sakit, dipaksa pula makan ubat. Satu hal yang dia paling tak suka! Benci betul!
"Encik Uqail..."
"Sampai bila aku nak jadi hamba ubat? Aku dah bosan nak telan semua ubat-ubat ni! Aku tak nak makan ubat! Makan ubat pun bukannya boleh baik! Sudahnya dengan kerusi roda ni juga aku bergerak ke hulu ke hilir. Simpan balik ubat tu! Buang masa semua ni!" rungut Uqail perlahan tapi jelas di telinga Teja.
"Tak bolehlah, Encik Uqail. Encik Uqail kena makan ubat ni, sampai Encik Uqail sihat seperti biasa." Teja memujuk lembut. Hati sangat bersimpati melihat wajah keruh Uqail. Sungguh dia dapat rasa apa yang Uqail rasa sekarang ini.
"Bila aku boleh sihat seperti biasa? Dah berbulan aku telan ubat. Tapi aku tetap tak boleh berjalan. Sikit pun tak ada perubahan. Kau sendiri boleh tengok, kan? Kaki aku keras dan kaku. Aku tak mampu nak berjalan macam orang lain. Nak berdiri macam orang lain pun aku tak mampu. Mustahil kau tak nampak! Atau kau buat-buat tak nampak!" protes Uqail. Keras!
Teja telan liur. Ada sesuatu yang menggigit tangkai hatinya saat ini. Pedih! Tak mampu untuk diluahkan.
"Selain dari makan ubat, Encik Uqail kenalah buat fisio seperti yang dijadualkan oleh Doktor Shahril. Kena pergi susulan check-up di hospital. Insya-Allah, cepatlah Encik Uqail sembuh. Cepatlah Encik Uqail berjalan semula. Semuanya terpulang kepada Encik Uqail. Nak atau tak nak aje."
"Huh! Kau cakap macamlah kau tu pakar. Bijak sangat! Mana Doktor Shahril? Bukankah Doktor Shahril yang sepatutnya pantau aku? Rawat aku? Apa kes pula nak suruh kau yang ngok-ngek tak reti apa-apa ni bantu aku? Agaknya dia pun dah fed up nak rawat aku. Kan?" Uqail menjeling Teja. Bengang. Ada aje jawapan Teja. Tadi bukan main bisu macam kena jahit mulut. Ini berkicau macam murai tercabut ekor pula.
Ngok-ngek? Amboiii! Ini memang betul-betul nak minta kena campak ni. Sabar ajelah!
"Hah! Kenapa diam?"
"Doktor Shahril ada. Sekejap lagi dia sampai. Dia masih bertanggungjawab untuk pantau kesihatan Encik Uqail. Saya memang bukan pakar atau doktor. Tapi tak salah saya nak bantu Encik Uqail, kan? Saya ikhlas. Saya nak tebus kekhilafan saya." Teja cuba tersenyum manis. Biarlah dia menjadi 'bomba' yang memadamkan api yang sedang marak. Walaupun api yang marak tu makan masa nak padam dan dia rasa macam dia pun nak berapi juga ni.
Teja pegang kata-kata Hafiz Hamidun yang pernah dia baca di laman Facebook lelaki itu. Senyum di waktu senang itu syukur. Senyum di waktu susah itu reda. Senyum di waktu marah itu penenang. Senyum di waktu ajal itu impian. Maka... Senyumlah selagi mampu.
Uqail mencebik. Ikhlas konon! Sejauh manalah ikhlas kau tu?
"Aku dah cacatlah! Tak jalan makan ubat ni. Doktor cakap nak baik dengan tak baik tu sama banyak aje! Itu pun kalau baik. Kalau tak baik? Nak jadi apa? Huh! Buang masa semua ni!" Sungguh dia dah putus harapan. Tak berani menaruh keyakinan. Risau makin kecewa.
"Mungkin aje, tapi belum confirm, kan? Benar... doktor expert dalam bidang tugas mereka tapi doktor bukannya Tuhan. Itu hanya teori. Kita berusaha. The rest... Kita serahkan kepada Tuhan. Doa yang baik-baik. Fikir yang baik-baik. Insya-Allah, hasilnya pun baik-baik. Saya yakin Encik Uqail akan baik kalau ikut fisio tu dengan betul. Jangan lupa berdoa. Jangan malas berusaha. Jangan sesekali hilang semangat dan putus asa. Apa pun yang berlaku hidup perlu diteruskan."
Uqail mencebik. Pandainya kau bercakap. Rasa nak aje dia cilikan mulut Teja.
"Cakap memanglah senang. Semua kata-kata manis boleh kau tabur semata-mata nak jaga hati aku! Walk a mile in my shoes, then feel what I feel. Then you will understand."
"Errr... Itulah yang sedang saya lakukan Encik Uqail," sambut Teja perlahan. Sayu. Mata mula panas. Hidung terasa pedih. Sebak!
Saya nak Encik Uqail tahu yang saya sanggup untuk berkongsi sakit itu dengan Encik Uqail. Saya sanggup lakukan apa sahaja. Janji Encik Uqail buat fisio tu. Kalau mampu diganti dengan kaki saya pun, saya sudi. Ayat itu Teja hanya mampu Teja lafaz dalam hati. Tak ada kekuatan untuk dilontarkan.
Herot mulut Uqail tanda tak puas hati. Wajah si gadis yang tenang dan berubah sedikit mendung dipandang geram. Ada aje mulut comel tu nak menjawab! Macam popcorn yang sedang meletup-letup semasa digoreng! Rasa nak jentik mulut merah delima tu.
"Kenapa kau beria-ia nak bantu aku? Sedangkan sebesar zarah pun aku tak kenal kau! Tak payahlah kau nak tunjuk baik. Sebanyak mana pun kau buat baik, semuanya tak akan mengubah apa-apa. Aku tetap lumpuh dan cacat! Aku dah tak ada apa-apa yang nak dibanggakan! Kalau aku sembuh pun aku mungkin tak dapat membahagiakan pasangan aku. Aku tak seperti lelaki lain. Silap hari bulan aku mati pucuk! Tak ada zuriat! Hilang nikmat rumah tangga. Kau faham kan maksud aku?" Tegang wajah Uqail menahan bermacam rasa.
Teja telan liur yang tiba-tiba mengeras. Terkedu seketika dengan ayat mati pucuk dan nikmat rumah tangga. Aduhai! Kalau dah lelaki tu, lelakilah juga. Itu sahaja yang difikirkannya! Mustahil dia nak menjawab balas. Risau Uqail meroyan macam semalam. Tak sanggup nak tengok lagi. Sedih sangat! Biarlah lelaki ini melepaskan rasa yang tersimpan dalam hati. Teja sanggup aje tadah telinga dan jadi punching bag untuk Uqail. Disebabkan dia juga Uqail jadi macam ini.
"Pergilah kau balik! Aku tak perlukan bantuan kau atau bantuan sesiapa pun! Tak payah nak tunjuk baik! Sebab kau juga aku jadi macam ni! Sengsara macam ni!"
Aduhai... Mamat Benggali karpet ni asyik nak halau orang aje. Pertama kali dalam seumur hidup, Teja bertemu dengan orang sakit yang sangat sombong tahap A++. Kalaulah bukan kerana rasa bersalah dan budi Uqail tu memang dia dah cabut balik sekarang juga. Tak hingin dia nak terhegeh-hegeh tunjuk muka lagi. Malu tau kalau asyik kena marah dan kena halau. Dia pun ada air muka juga.
Hesy! Tak boleh ikut rasa. Teja segera beristighfar. Nak pastikan misi balas budi ini berjaya dia perlu banyak bersabar. Kena belajar suka walau hati memang tak suka dengan sikap Uqail. Menyampah dengan lelaki yang kasar! Dah tentu misinya sangat mencabar apabila terpaksa hadap kedegilan Uqail Wasim.
Teja sedar, pesakit seperti Uqail jiwanya mudah kacau-bilau. Sangat berhati kecil dan cepat naik angin. Hormon tak stabil. Selalu berfikiran negatif dan rendah diri. Dia hanya perlu pekakkan telinga dan telan kata-kata kasar Uqail. Dia kena kuat dan banyak beralah. Tak mudah nak lembutkan degil Uqail. Tidak boleh terlalu keras dengan Uqail. Menarik rambut dalam tepung, tepung jangan berselerak dan rambut jangan putus.
"Encik Uqail, saya bukan nak tunjuk baik. Saya nak bantu Encik Uqail sebab saya nak encik kembali sihat. Ahli keluarga encik nak encik sihat seperti biasa. Semua orang sayangkan encik. Mereka perlukan encik."
Mata Uqail menghelang.
"Semua orang? Kau jangan buat lawak boleh tak? Siapa semua orang tu? Cuba bagi tahu aku! Mummy? Daddy? Adik-adik? Atau tunang?" Dia pura-pura ketawa.
"Aku ni sebenarnya dah menyusahkan semua orang lagi ada. Hanya beban pada mummy dan daddy aku. Mesti dia orang malu ada anak cacat macam ni! Aku dah menyusahkan nenek dan semua orang dalam rumah ni. Kau faham tak?"
Mata Uqail mula masuk habuk. Dia sedar, selama ini dia bebas bergerak tanpa halangan. Apa yang dia nak, dia akan dapat. Sekali petik aje. Tapi sekarang, tengoklah... Nak ke bilik mandi pun dia perlukan bantuan kerusi roda. Kalau nak harap dia mengengsot, lapan tahunlah baru sampai agaknya. Setiap apa yang dilakukan dia perlukan bantuan seseorang. Yang menjadi mangsa dah tentulah nenek atau Mak Ton. Kadang-kadang Abang Imran, driver nenek. Sampai bila dia akan bergantung dan menyusahkan mereka? Lebih baik dia mati sahaja.
"Encik Uqail, apa yang berlaku bukan kehendak kita. Tuhan lebih tahu perancangan-Nya. Pasti ada hikmah dengan apa yang berlaku sekarang ni. Kita yang hidup ni tak boleh berputus asa. Setiap dugaan yang datang tu kita kena hadapi dengan hati yang kuat dan tabah. Kena banyak bersabar. Sabar tu memanglah pahit. Tapi di penghujungnya pasti ada kemanisan dan kebahagiaan yang menanti."
Uqail menjeling Teja. Amboi! Dah macam Prof Dr. Muhaya pula bila bercakap. Nak sindir akulah tu!
"Kau jangan nak membebel boleh tak? Aku tak suka perempuan yang asyik pot-pet, pot-pet macam murai tercabut ekor. Bising! Sakit telinga aku! Kalau nak membebel, baik kau balik rumah kau! Tak payah nak duduk depan aku. Buat semak aje! Pergi balik! Jangan datang lagi!" Uqail dah bengang.
Adehhh... Kena halau lagi. Orang nasihatkan, bukannya membebel. Lagi pun siapa yang pot-pet, pot-pet sebenarnya ni? desis Teja dalam hati. Hesy! Buat hati aku mendidih aje. Sudahlah tak reti nak cakap baik-baik. Sabarlah wahai seorang Teja Iman. Jangan patah semangat.
"Hah! Tunggu apa lagi? Berambus sekarang! Baik kau pergi sebelum nenek datang," gesa Uqail. Kalau ada nenek, susah pula nak menghalau Si Teja. Sah-sah nenek akan pertahankan Teja. Tak tahu ilmu apa yang Teja dah jampi pada nenek hinggakan nenek boleh baik sangat dengan Teja. Pada hal bukannya kenal sangat pun!
"Errr... Maafkan saya. Saya tak boleh balik. Saya kena bantu Encik Uqail."
"Hesy! Degillah kau ni! Aku tak pernah jumpa perempuan yang tak reti malu macam kau!" Uqail merengus. Gigi diketap menahan geram. Muka dah cantik. Tapi degil tahap langit ketujuh!
Teja buat tak dengar. "Encik Uqail makan ubat ni dulu. Lepas ni kita boleh buat fisio. Saya dah discuss dengan Doktor Shahril. Untuk tempoh dua bulan awal ni, Encik Uqail tak boleh skip sebarang fisio. Tak boleh skip ubat. Dua minggu sekali kena berulang ke hospital untuk check-up. Saya akan bawa Encik Uqail ke hospital." Cepat-cepat dia pusing cerita. Kang dihalau lagi.
"Hesy! Fed up aku dengan fisio-misio ni. Aku tak mahu ke hospital! Aku nak duduk di rumah saja! Biar Doktor Shahril rawat aku di rumah!" bantah Uqail. Dengan rasa geram pil di dalam piring kecil itu disambar kasar dan disumbat serentak ke dalam mulut. Selepas itu gelas berisi air suam di atas meja disambar dan diteguk ganas.
Teja tergamam. Eh! Biar betul mamat ni? Nak tercekik ubat ke apa? Selamba badak aje telan semua pil tu serentak. Kalau dia, dah tentu sebiji-sebiji pil itu beratur nak masuk ke dalam mulut dengan sopan. Makan masa untuk ditelan dan dihadam. Silap hari bulan, mahu dua botol air menyusul lepas telan ubat. Nasib tak baik dia muntahkan semula pil itu. Eee... Dahsyat betul skil mamat ni!
"Nah!" Dengan kasar gelas yang sudah kosong Uqail hulur kepada Teja. Kelam-kabut Teja menyambut.
"Eh! Bagi elok-elok tak boleh ke, Encik Uqail? Jatuh kang... Tak pasal satu kerja saya nak kutip semua kaca ni." Teja gigit bibir.
Uqail pura-pura tak dengar dan perasan reaksi kelam-kabut Teja. Kerusi roda diundur ke belakang sedikit. Dia mahu masuk ke dalam rumah. Malas nak hadap Teja. Sakit hati! Lagi pula panas matahari dah terasa. Membahang dan menyengat. Peluh mula merenik di dahi dan belakang badan. Ketiaknya dah mula lencun. Tak larat matanya nak mengenyit menahan panahan matahari. Makin sepet matanya.
"Eh! Encik... Encik nak pergi mana ni?" tanya Teja. Dengan kalut dia terus bangun.
"Aku nak masuk dalam rumahlah. Kau ni kulit orang Afrika agaknya! Matahari dah tegak atas kepala! Dah terik! Cuaca kat luar ni dah panas! Kulit aku dah macam lobster kena panggang ni hah! Tak nampak peluh melencun kat muka aku ni? Nak suruh peluh aku menitik penuh setempayan agaknya! Baru aku boleh masuk dalam rumah!" sembur Uqail.
Erk! Teja terkedu. Putih melepak dan gebu macam kulit orang Korea ni dikatanya kulit Afrika. Encik Uqail ada problem dengan mata ke apa? Manalah dia nak nampak peluh di muka Uqail tu kalau muka dah bersemak samun tak bertebas! Dengan rambut panjangnya. Silap hari bulan nak sembunyikan pistol pun boleh.
"Errr... Saya tolong tolak Encik Uqail masuk ke dalam, ya? Encik Uqail nak berehat di dalam bilik dulu atau nak terus ke bilik fisio?" Teja tawarkan diri untuk membantu.
"Tak payah! Aku boleh buat sendiri. Jangan menyibuk boleh tak? Aku nak masuk ke bilik aku. Aku nak berehat! Aku tak mahu buat fisio! Aku penat! Aku nak tidur! Kau jangan masuk bilik aku! Aku tak izinkan! Kalau masuk bilik aku, kau siap! Tahu aku nak ajar kau!" tegah Uqail. Siap bagi amaran.
"Eh! Hari ni Encik Uqail dah kena start buat fisio tau. Dah berapa lama Encik Uqail buang masa. Bila nak baik kalau macam ni? Kejap lagi Doktor Shahril sampai."
"Kan aku cakap aku tak nak! Aku tak naklah! Kau pekak ke apa? Dah berapa kilo tahi telinga kau? Lepas ni kau pergi balik dan servis telinga kau!" Uqail jegil mata.
"Apa hal nak paksa-paksa aku pula? Suka hati akulah nak buat fisio atau tak! Badan aku bukannya badan kau!"
Aduhai! Teja mengeluh dalam diam. Ini orang banyak degil lohhh! Tak makan pujuk maaa... Kalaulah anak sedaranya, dah lama kena piat telinga.
"Dah... Kau ke tepi! Tak pasal-pasal kena langgar dengan aku nanti."
"Meh, saya bantu Encik Uqail." Teja tawar diri. Handle kerusi roda dipegang.
"Tak payah! Aku boleh buat sendiri." Tangan Teja ditepis kasar. Egonya menghalang Teja daripada membantu. Dia masih mampu menggerakkan kerusi roda dengan sendiri. Bukannya tak biasa. Kalau ajak race dengan kerusi roda pun dah tentu dia menang.
Teja tersenyum sinis. Amboi... Sombong! Tepis ekkk...
Uqail mencebik. Tanpa membuang masa, roda diputar kalut. Tapi kerusi roda yang diduduki masih juga tidak bergerak. Puas dia menolak roda itu ke depan dan ke belakang. Muka sudah merah menahan geram.
Apa kes pula ni? Tadi elok aje. Sengaja betul wheelchair ni nak jatuhkan saham aku depan perempuan ni. Hesy! Ada juga aku campak wheelchair dari anjung ni kang, gumam Uqail dalam hati. Peluh merembes semakin banyak. Dah rasa berlengas dan tidak selesa. Sesekali dikesat kasar dengan belakang tangan.
Teja hanya diam sambil memandang. Ikutkan rasa, dia dah nak tergelak guling-guling, tapi tak sampai hati. Kesian pula melihat tangan Uqail yang terkial-kial memutarkan roda. Tapi kerusi roda itu masih statik. Tak bergerak!
Alahai... Encik Uqail, macam manalah kerusi roda tu nak bergerak kalau ada kaki kerusi yang menghalang? Inilah yang dipanggil bodoh sombong. Orang nak tolong tapi jual mahal tak bertempat. Lapan tahun pun belum tentu Encik Uqail dapat masuk ke dalam rumah kalau cenggini punya gaya. Sah-sah daripada putih gebu memang terus jadi ireng. Hah! Itu baru betul-betul Afrika, getus Teja dalam hati.
Teja perasan wajah Uqail yang sudah membahang. Dah macam-macam bunyi yang terbit dari mulut lelaki itu. Cot-cet, cot-cet... Tak puas hati! Tanpa sedar terbias senyuman dibibirnya.
"Apa senyum-senyum?" Uqail menjeling. Tarik mulut tu kang. Nak kutuk akulah tu!
"Eh! Mana ada senyum."
"Kau ingat aku buta?"
"Maafkan saya, Encik Uqail. Mehlah saya tolong. Kadang-kadang kan Encik Uqail, kita perlukan seseorang untuk membantu. Bukan kerana kita ni lemah tapi sebenarnya Allah dah utuskan seseorang untuk mempermudahkan sesuatu kerja. Meringankan beban yang ditanggung," ujar Teja, lembut.
Uqail rasa terpukul. Pipi seperti ditampar-tampar. Jelingan maut tujuh keturunan dihadiahkan kepada Teja. Buat kali kedua kata-kata Teja itu mencalarkan egonya. Memang bengang habis! Mulut tu kalau tak menyindir memang tak sah, kan? Buat orang makan dalam aje!
Tanpa menunggu persetujuan Uqail, handle kerusi roda Teja pegang dan tolak ke hadapan sedikit sebelum ditarik ke belakang semula. Melarikan tayar kerusi roda yang tersangkut pada kaki kerusi.
"Stop! Aku tak perlukan pertolongan kau! Aku boleh buat sendiri! Kau boleh pergi sekarang! Aku nak berehat! Pergi! Pergi!" bentak Uqail.
"Kadang-kadang kan, Encik Uqail... Kita perlukan bantuan orang lain bila kita dalam kesusahan. Sehingga kita mati, kita tetap perlukan orang untuk mandikan, kapankan, sembahyangkan dan bacakan talkin untuk kita. Nak masuk dalam kubur pun kita perlukan orang. Mustahil kita mampu bergolek sendiri masuk ke dalam kubur."
Sentap! Huh! Memang ayat berdarah telinga. Makin terbakar hati Uqail.
"Seperti juga Tuhan ciptakan lima jari di tangan kanan dan kiri. Semua jari-jari ini saling membantu antara satu sama lain. Bak kata Profesor Muhaya, hidup kena ikhlas dan banyakkan kasih sayang kepada diri kita dan orang lain. Buang semua perasaan negatif dan jangan sekali-kali fikir negatif tentang sesiapa. A negative mind will never give you a positive life," ujar Teja dengan senyuman manis terukir di bibir. Sungguh dia ikhlas.
Sekali lagi Uqail terpukul.
"Kau!" Bibir bawah diketap menahan rasa. Tak mampu dia nak membalas kata-kata Teja yang kedengaran lembut tapi sangat berbisa.
Teja Iman... Siap kau nanti! Mulut kau memang puaka betul! Rasa nak tenyeh dengan berus longkang! Uqail hanya mampu melampiaskan geram dalam hati.
Teja pula senyum kemenangan. Akhirnya dapat juga dia menutup mulut berapi Uqail. Kerusi roda ditolak perlahan menuju ke bilik fisio apabila dia perasan Doktor Shahril sudah menanti di situ.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro