Bab 1
"ARGH!!! Get out! Go! Leave me alone!"
Terangkat bahu Teja kerana terkejut. Dadanya diurut laju. Adehhh! Tanjat gegurl tau! Nasib baik paksi jantung masih kuat. Kalau putus, jenuh nak kutip. Ini pun rasanya dah mengecut sebesar duit syiling lima sen.
Kuat betul vokal jiran sebelah ni. Dah sebijik macam Tarzan. Tak sakit tekak ke? Tak faham etika dan prinsip kejiranan ke apa ni?
Mood Teja nak ambil angin di malam minggu dari balkoni bilik terus ke laut. Rasanya dah seminggu dia mendengar pekikan yang sama. Apa kes malam-malam pun nak memekik? Tak faham betullah!
Lama Teja berfikir dan tiba-tiba...
Zappp!
Dadanya seakan-akan ditepuk kuat dengan tiba-tiba apabila saraf-saraf otak mula berhubung. Dah tentulah dia yang menjadi punca jiran sebelah tu memekik dan memetir macam itu, kan? Tak payah nak buat-buat lupalah Teja oi!
Adehhh! Teja tepuk dahi. Teringat perbualannya dengan Doktor Shahril. Terus hatinya menjemput rasa bersalah. Agaknya Allah nak tunjuk, tanpa sengaja di PCMC minggu lepas dia terserempak dengan doktor yang merawat cucu jiran sebelah. Kebetulan dia melawat teman sepejabat yang kemalangan. Kalau tidak... Memang sampai sudah dia tak akan tahu status lelaki itu.
Serta-merta jiwa Teja dihambat resah. Hati rasa sakit seperti dipijak-pijak oleh berjuta-juta manusia. Sangkanya selama dua bulan ini, keadaan lelaki itu baik-baik sahaja. Tapi tak sangka pula sebaliknya. Nampak sangat dia seperti manusia yang pentingkan diri. Bebas bergerak tak pedulikan sesiapa. Boleh hu-ha-hu-ha tanpa sedar saat ini ada hamba Allah yang sedang merana sakit dan kecewa kerananya. Tak sangka keadaan menjadi semakin buruk. Kasihan lelaki itu.
Keluhan kesal dilepaskan. Sungguh dia bersalah sebab selama ini dia buat tak tahu dan tak ambil peduli. Tapi salah ibu lelaki itu juga! Sombong sangat! Orang nak datang melawat si anak pun tak dibenarkan. Bukannya orang nak culik anaknya tu. Si ibu siap upah bodyguard lagi untuk menjaga pintu wad VIP itu. Dahsyat betul anak-anak orang kaya zaman sekarang ini. Ada duit, semua jalan.
Argh! Apa pun alasan yang dia cuba wujudkan untuk sedapkan hati sendiri, jiwa Teja tetap berasa galau. Tak senang duduk. Tak boleh jadi! Dia perlu lakukan sesuatu.
"Ya Allah... Maafkan aku. Kerana aku dia sengsara. Kerana aku dia menderita. Sungguh aku tak tahu," rintih Teja sayu. Hidung mula pedih. Mata dah terasa panas dan berkolam.
Saat ini hatinya diruntun rasa sangat-sangat bersalah. Terbeban dengan khilaf sendiri. Tak pernah dia rasa seseksa ini. Kedua-dua belah tangan mencengkam kuat tembok balkoni. Kesakitan pada hujung jari tak dihiraukan. Mata dipaku ke banglo sebelah, lebih tepat ke bilik yang masih terang-benderang walaupun malam sudah semakin lewat.
"Arghhh! Aku kata pergi! Pergilah bodoh! Jangan ganggu aku! Biar aku mati! Get out!"
Eh! Mak kau get out! Sekali lagi bahu Teja terangkat bila jeritan itu bergema kembali. Dalam rasa terkejut, hatinya disambar sayu. Air jernih mengalir di pipi tanpa sedar. Wah! Sejak bila hatinya selembut jeli kelapa ni?
"Tuhan... Andai masa mampu diputar kembali, aku akan lebih berhati-hati. Ya Allah, kasihani dia. Sembuhkan dia. Aku sanggup merasai kesakitan itu asalkan lelaki itu bahagia," doa Teja. Sungguhlah kerana kelalaiannya ada satu nyawa menderita.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro